Rabu, 29 Julai 2009

Selangor Pusat Cetak Al Quran


JIKA Mekah dan Syria terkenal sebagai tempat mencetak al-Quran, Malaysia adalah pusat di mana mushaf al-Quran bukan sekadar dicetak,’ bahkan disalin.Pencapaian ini adalah hasil usaha Yayasan Restu yang bertungkus-lumus meninggikan lagi kualiti, peranan dan penghasilan seni khat Islam.Dengan 13 tahun pengalaman, Yayasan itu mempunyai pengalaman luas mencetak pelbagai bentuk al-Quran salinan tangan dan terjemahan berbagai saiz. Setiap al-Quran salinan asli dijual dengan harga hingga mencecah RM900,000. Ada juga dalam bentuk lain yang dijual dengan harga RM70,000, RM30,000 atau lebih murah.

Semuanya bergantung kepada saiz dan sama ada ia disalin dengan tangan atau diulang cetak seperti dilakukan di tempat-tempat lain.Mula-mula dulu Yayasan itu mengambil masa yang lama untuk menghasilkan Quran, tetapi dengan bertambahnya kakitangan yang cekap ia dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.Menurut Ketua Pegawai Operasi Yayasan Restu, Ahmad Ikram Hussain Abdul Mutalib ia sekarang sedang menyiapkan al-Quran dalam bahasa Hausa (Nigeria) dan dalam rundingan untuk menyiapkan dalam bahasa Jerman.

Yang menarik ialah jika di negara lain, yang menyalin al-Quran adalah orang tua, tetapi di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di Seksyen 10 Shah Alam, mereka yang melakukan kerja rumit itu adalah anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Diploma yang dilatih.Pada masa ini Yayasan mempunyai hampir sembilan penyalin mushaf. Setiap mushaf mengambil masa kira-kira dua tahun untuk siap. Tetapi bagi yang dicetak tanpa disalin dengan tangan, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan dan harganya pun lebih murah. Namun hasil kerjanya tetap halus dan cantik.

Projek murni Yayasan itu bermula dalam tahun 1994 apabila kerajaan memberi peruntukan RM1.8 juta untuk kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).Ini termasuk melatih anak muda lepasan sekolah memahirkan diri dalam seni khat Islam, mewarna, melakar dan membentuk seni zukhruf (ragam hiasan).Keindahan dan kehalusan seni motif setiap helai al-Quran berbeza dilukis dan diwarnakan, berdasarkan lakaran Melayu lama.

Seni motifnya diambil berasaskan motif flora dan fauna, bangunan lama, tangga istana, pintu gerbang dan produk Islam yang menarik dan unik.Motif al-Quran adalah juga hasil pembabitan dan tunjuk ajar badan-badan agama, jurutera, doktor dan ahli perniagaan. Ini dilakukan untuk mencapai taraf pengurusan komersial yang tinggi dan sekali gus ia menjadi produk komersial yang bermutu.Yayasan ini juga terlibat dalam usaha membuat hiasan seni Islam dalam bentuk berbingkai. Turut dihasilkan ialah ukiran atas mosaic, kaca atau ukiran kayu.Kompleks Taman Seni Islam Selangor, salah satu mercu tanda terpenting di Shah Alam, diberi oleh Kerajaan Negeri.Kini, Kompleks Taman Seni Islam Selangor turut dikenali sebagai pusat penyalinan dan penerbitan.

Arkib : 30/4/08

Tiada ulasan:

Catat Komen