Isnin, 9 September 2013

Jari Telunjuk Masa Tahhiyat

Sejak dahulu lagi, para ulama telah berbeza pendapat mengenai ketika/waktu mengangkat jari telunjuk dan samada digoyang-goyangkan atau digerak-gerakkan jari telunjuk ketika bacaan tasyahhud/tahiyyat semasa solat.

Pendapat-pendapat yang masyhur ialah:
1. Mengangkat jari telunjuk dari awal bacaan tasyahhud tanpa digerak-gerakkan.
2. Mengangkat jari telunjuk dari awal bacaan tasyahhud serta digerak-gerakkan.
3. Mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah, di tengah bacaan tasyahhud tanpa digerak-gerakkan.

Majoriti umat Islam di Malaysia yang bermazhab Syafi'i akan mengangkat jari telunjuk ketika membaca kalimah syahadah semasa bacaan tasyahhud dan tidak digoyang-goyangkan atau digerak-gerakkan jari telunjuk tersebut.

Imam an-Nawawi, seoarang ulama mazhab Syafi’iyah, mengatakan : “Dan mengangkat telunjuknya pada saat mengucapkan إلاالله (“illallah”) dan tidak menggerakkannya”. ( An-Nawawi, Minhaj al-“al-Thalibin, dicetak pada hamisy Qalyubi wa Umairah, Dar Ihya al-Kutub al-Arabiyah, Indonesia. Juz.I, Hal. 164)

Imam an-Nawawi menyatakan bahawa beliau berlapang dada dalam soal perbezaan pendapat bagi hal ini. Dan sama sekali tidak mencaci atau mentohmah di antara satu sama lain.

Wallahu 'alam.

Batas-batas Tanah Haram

Batasan- batasan di tanah Haram Makkah

Soalan:
Apakah sebenarnya istilah tanah haram Makkah dan sampai manakah batas-batasnya? Adakah kawasan ‘Arafah, Mudzdalifah dan Mina termasuk dalam tanah haram?

Jawapan:

الحمد لله حمدا يوافي نعمه ويكافئ مزيدة ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير ضآلين ولا مضلين ، وبعد

Istilah Tanah Haram Makkah
Tanah haram Makkah ialah suatu kawasan yang aman kerana di dalamnya ada hal-hal yang tidak dibenarkan kita melakukannya dan juga ada beberapa hukum yang membezakannya dengan kawasan-kawasan yang lain kerana kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:

إن هذا البلد حرمه الله يوم خلق السموات والأرض فهو حرام يحرمه الله تعالى إلى يوم القيامة وإنه لم يحل القتال فيه لأحد قبلي ولم يحل لي إلا ساعة من نهار فهو حرام بحرمة الله تعالى إلى يوم القيامة لا يعضد شوكه ولا ينفر صيده ولا يلتقط لقطته إلا من عرفها ولا يختلى خلاة فقال العباس يا رسول الله إلا الإذخر فإنه لقينهم وبيوتهم ، فقال صلى الله عليه وسلم إلا الإذخر
(رواه مسلم)

Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini semenjak Dia menciptakan langit dan bumi. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat kelak. Sebelumku, sesiapun tidak dihalalkan berperang di negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang sama kecuali sesaat di siang hari. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai Hari Kiamat nanti. Pohonnya yang berduri tak boleh ditebang, haiwan buruannya tidak boleh dibunuh, dan barang cicirannya tidak boleh dikutip melainkan oleh orang yang mahu mengumumkan saja, dan rerumputannya tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-‘Abbas berkata: “Kecuali rumput lalang, wahai Rasulullah, kerana ia sangat bermanfaat bagi manusia”, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ya kecuali rumput al-izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya).”
(Hadits riwayat Muslim)
Antara hukum-hukum penting yang khusus dengan tanah haram Makkah dan tiada kaitan dengan tanah halal atau kawasan lain ialah:
1. Mengikut pendapat ulama Syafi’e bahawa sunat bagi seseorang yang memasuki kawasan ini (haram Makkah) dengan berniat ihram.

2. Binatang buruan di kawasan ini adalah haram diburu, sama ada oleh mereka yang berihram atau yang tidak berihram, kecuali binatang berkenaan merupakan binatang yang membahayakan dan biasanya akan menyerang manusia. Jika buruan dibunuh maka wajib dibayar gantinya.


3. Setiap tumbuhan yang masih hidup dan tumbuhan sendiri dan bukan ditanam oleh manusia dalam kawasan tanah haram ini adalah haram dipotong. Contohnya pokok shis, duri dan ‘ausaj. Hukum ini dikecualikan jika tindakan tersebut perlu, umpamanya memotong pokok izkhir. Menurut pendapat jumhur jika tumbuhan tersebut dipotong maka wajib dibayar gantinya.

4. Tanah serta anak batu dari kawasan tanah haram adalah makruh dibawa keluar dari tanah haram.


5. Mengikut pendapat jumhur ulama, orang kafir adalah tidak dibenarkan untuk memasuki tanah haram sama ada untuk menetap ataupun hanya untuk lalu sahaja.

6. Sesuatu yang tercicir dan tidak diketahui tuannya di Makkah atau tanah haram adalah haram diambil untuk dimiliki. Ia hanya halal untuk diambil oleh orang yang mahu memaklumkan tentang siapa yang kehilangan barang itu sahaja.


7. Mereka yang melakukan pembunuhan yang bukan atas tuntutan syara’ di tanah haram (bukan kerana hak), akan dikenakan hukuman diyat yang lebih berat.

8. Haram mengkebumikan orang musyrik dalam tanah haram dan juga menggali kuburnya.


9. Penyembelihan dam dan denda dalam ibadat haji serta penyembelihan binatang hadyu adalah ditentukan tempatnya di kawasan tanah haram.

10. Sekiranya seseorang itu merupakan penduduk tanah haram dan mengerjakan haji secara Qiran atau Tamattu’ maka dia tidak wajib membayar dam.


11. Mengikut pendapat dalam mazhab Syafi’e sembahyang sunat muthlaq iaitu sembahyang yang tidak bersebab tidak menjadi makruh jika dilakukan di tanah haram pada bila-bila masa sahaja.
12. Seorang yang bernazar untuk ke sana maka dia wajib menunaikannya sama ada dengan cara haji ataupun umrah.

13. Apabila seseorang itu bernazar untuk menyembelih binatang sahaja di Makkah maka dia wajib melakukan seperti nazarnya itu.

Batas-batas atau sempadan tanah haram Makkah ialah:

1. Dari arah Madinah ialah sejauh kira-kira 3 batu atau 4.5 kilometer. Sempadan ini terletak di kawasan Bani Nifar ataupun as-Syuqya. Pada masa ini tempat tersebut dikenali dengan nama Masjid A’isyah.

2. Dari arah Yaman pula ialah sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer, iaitu di sebelah kawasan Ada’at Libnin dalam kawasan Tsaniyah Libnin.


3. Dari arah Iraq pula ia terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah berhampiran dengan bukit di al-Muqatar ataupun al-Muqta’.

4. Dari arah Tha’if dan dari pertengahan Lembah Namirah yang terletak di pertengahan jalan ke ‘Arafah adalah terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5 kilometer dari Makkah, bersebelahan dengan ‘Arafah.


5. Dari jalan arah Ji’ranah adalah terletak sejauh kira-kira 9 batu atau 13.5 kilometer iaitu di Shu’aib al-Abdullah bin Khalid.

6. Dari arah Jeddah pula ialah sejauh kira-kira 10 batu atau 15 kilometer dari Makkah iaitu di Muntaqi’ ‘Ash’ash.


7. Dan dari Bathni ‘Uranah pula adalah sejauh kira-kira 11 batu atau 16.5 kilometer. (lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2390-2394)

Adapun ‘arafah sebuah bukit yamg tingginya lebih kurang 220 meter dari paras laut dan terletak dalam jarak kira-kira 25 kilometer di Tenggara Makkah. Ia tidak termasuk di dalam kawasan tanah haram. Imam an-Nawawi ada menjelaskan, katanya:

واعلم أن عرفات ليست من الحرام

Ertinya: Dan ketahuilah bahawasanya ‘Arafah itu bukan termasuk di dalam kawasan tanah haram. (Al-Idhah fi Manasik al-Hajj: 147)
Manakala Mina merupakan sebuah kampung yang terletak sejauh kira-kira 7 kilometer dari Makkah dan Muzdalifah pula suatu kawasan yang terletak di antara Mina dan ‘Arafah. Muzdalifah termasuk di dalam lingkungan tanah haram.
Sebenarnya kawasan tanah haram mempunyai tanda dari setiap arah yang telah diletakkan di setiap penjuru-penjurunya. Al-Azraqiy dan lain-lain telah menyatakan bahawa tanda-tanda atau perbatasan-perbatasan tanah haram itu telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alahissalam dan yang menunjukkan tempatnya ialah malaikat Jibril ‘Alaihissalam. Kemudiannya tanda-tanda itu telah diperbaharui dengan arahan Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wassalam dan selepas itu arahan Sayyidina Umar, Utsman dan Muawiyah. Pada masa sekarang tanda-tanda tersebut begitu terang dan jelas sekali. (Lihat Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2381)

Kelebihan Tanah Haram Mekah

Ibnu `Abbas RA berkata, "Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, "Sesiapa yang menunaikan haji dari Makkah sambil berjalan kaki (yakni menuju ke Mina, Muzdalifah dan `Arafah) sehingga dia kembali ke Makkah, maka Allah SWT menulis baginya untuk setiap langkahnya 700 kebajikan dan setiap kebajikan itu adalah seumpama kebajikan-kebajikan yang dilakukan dalam Tanah Haram. Lalu baginda ditanya oleh sahabat, " Apakah kebajikan Tanah Haram itu (yakni apakah keistimewaan kebajikan Tanah Haram) ?" Baginda menjawabnya dengan bersabda: "Bagi setiap kebajikan itu diganda dengan 100,000 kebajikan." (HR. al-Hakim, al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

Majlis Pengajian Ilmu

Minggu pertama dan ketiga
1. Ustaz Taftazzani Atiqullah
2. Ustaz Aminudin Arbe

Minggu kedua, ketiga dan keempat
1. Ustaz Suparman Sadiqan
2. Ustaz Asri Nordin

Minggu ketiga (kuliah Subuh)
1. Ustaz Niswan Jumat

Ahli kariah yang cintakan ilmu dipersilakan hadir.