Isnin, 28 September 2009

Bilal bin Rabah

BILAL bin Rabah seperti yang diceritakan oleh Abdul Latip Talib dalam bukunya; Bilal bin Rabah, Pengumandang Seruan Langit, begitu mengharungi pahit getir sebagai hamba.
Ditambah dengan warna kulitnya yang hitam itu, Bilal menjadi mangsa masyarakat Arab yang mengamalkan dasar diskriminasi warna, iaitu aparteid.
Bilal dipandang hina oleh kebanyakan penduduk Arab dan boleh diperlakukan apa sahaja dan tidak layak dilayan seperti manusia.
Telah diberi makan, minum dan tempat tinggal sudah cukup baik. Jangan bertanyakan soal upah kerja mahupun hendak memiliki harta, hak-hak itu dinafikan bagi mereka yang bergelar hamba!
Jadi, apabila Bilal digula-gulakan dengan tawaran merdeka jika berjaya membunuh Nabi SAW, peluang seperti ini terlalu sukar dilepaskan.
Lalu bersama sebilah pisau tajam yang dilumur racun tersembunyi di sebalik jubah, Bilal melangkahkan kaki menuju ke rumah Abu Bakar As Siddiq. Ini kerana hanya melalui Abu Bakar sahaja, Bilal akan dibawa menemui Nabi SAW.
Sebelum itu sebenarnya, Bilal pernah menemui Abu Bakar ketika sahabat baik Nabi itu datang menemui tuannya, Umaiyyah bin Khalaf atas urusan perniagaan.
Bilal mendapati sahabat tuannya itu mempunyai watak yang sangat berbeza. Tidak seperti Umaiyyah yang bengis, kejam dan tidak berperi kemanusiaan .
Abu Bakar ialah seorang yang mempunyai hemah yang tinggi, berbudi bahasa, menghormati kawan dan lawan dan tidak pernah memandang hina kepada sesiapa pun.
Dalam pertemuan itu Bilal bertanya bagaimana Abu Bakar boleh memeluk Islam dan apakah kelebihan-kelebihan yang ada pada agama itu sehingga semakin ramai meninggalkan penyembahan berhala yang selama ini begitu dipertahankan.
Lalu Abu Bakar pun dengan senang hati menjawab segala pertanyaan Bilal sehingga hamba itu sendiri begitu tertarik mendengarkannya.
Ini apabila Abu Bakar memberitahu bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang memberi keadilan dan kedudukan sama rata kepada semua penganutnya tanpa mengira warna kulit, bangsa dan rupa.
Tidak ada golongan hamba kecuali mereka yang bertakwa, orang itulah yang akan mendapat kedudukan tinggi di sisi Allah!
"Jika seorang hamba sekalipun, andai dia mempunyai iman yang teguh terhadap Allah, maka dialah yang mendapat tempat dan dipandang mulia oleh agama.
"Bukan seperti yang berlaku sekarang, manusia dipandang mulia kerana warna kulit. Sedangkan semua itu tidak sepatutnya membeza-bezakan kita semua," kata Abu Bakar.
Kata-kata Abu Bakar menyebabkan Bilal semakin teruja dan tidak sabar-sabar meminta supaya diislamkan dengan segera.
Beliau yakin hanya dengan Islam sahaja, kebebasan hidup sebagai manusia dapat beliau rasai.
Namun Abu Bakar menasihatkan Bilal supaya menunggu masa yang sesuai dan lebih selamat untuknya memeluk Islam. Ini kerana Abu Bakar lebih bimbangkan keselamatan Bilal, takut akan diseksa oleh tuannya, Umaiyyah yang terkenal dengan sifat kejam dan bengisnya itu.
Bilal akur dengan nasihat Abu Bakar namun di hatinya tidak mampu menahan untuk menemui Nabi SAW.
Kali ini beliau sebenarnya berjaya mengelabui tuannya, beliau sama sekali tidak memperalatkan Abu Bakar dalam usaha untuk menemui dan membunuh Rasulullah SAW.
Rahsia
Ini kerana pada mulanya Umaiyyah tidak setuju Bilal hendak menemui Abu Bakar kerana dikhuatiri rahsia rancangan mereka akan bocor dan gagal membunuh Nabi yang kini menjadi musuh ketat golongan kafir Quraisy.
Namun Bilal memberi jaminan, Abu Bakar digunakan semata-mata untuk membawanya menemui Nabi Muhammad. Ini kerana baginda sering berada di tempat-tempat yang dirahsiakan dan tidak diketahui oleh orang ramai bagi menyampaikan ajaran Islam secara lebih mendalam.
Umaiyyah sebenarnya tidak mengetahui bahawa Abu Bakar telah mengetahui segala rahsia rancangan jahat itu sebagaimana yang diberitahu sendiri oleh Bilal.
Lalu kedua-dua mereka berpura-pura saling tidak mengetahui niat masing-masing dan memberi jaminan bahawa Bilal pasti dapat menemui baginda kerana Abu Bakar sahaja yang mengetahui di mana Nabi SAW berada.
Bilal akhirnya berjaya menemui satu-satunya manusia yang ingin beliau temui dan berharap menjadi 'hamba' kepada Nabi Muhammad setelah melalui hidup yang amat membosankan sebagai hamba kepada Umaiyyah.
Dalam pertemuan beliau dan baginda di rumah Arqam bin Abi Al Arqam di kaki bukit Safa, Bilal langsung tidak mengeluarkan pisau tajam lagi beracun yang tersisip di pinggang tersembunyi di sebalik jubah.
Beliau sama sekali tidak mengkhianati Abu Bakar malah yang beliau keluarkan hanyalah tangannya yang bersih berjabat dengan Nabi Muhammad untuk mengakui "bahawa tiada yang wajib disembah kecuali Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah".
Tanpa sebarang keraguan lagi. Maka rasmilah kini, Bilal memeluk Islam sebagaimana beberapa golongan hamba lain yang turut memeluk Islam kerana tidak tahan lagi hidup di bawah rejim kafir Quraisy.
Malah sejurus melafazkan syahadah itu, Bilal mula merasai nikmat keislaman mengalir ke segenap darah dan tubuhnya. Terasa nyaman lagi menyejukkan. Ditambah senyuman dan layanan baik Rasulullah sudah cukup menjadi pemangkin untuk beliau keluar dari naluri penghambaan.
Beliau sama sekali tidak menyangka golongan hamba sepertinya, yang sering dipandang hina, sudi diterima oleh baginda sebagai pengikutnya.
Ini menjadikan beliau, Bilal yang baru. Bukan lagi hamba tetapi menjadi lebih berani dan tidak lagi menghiraukan ancaman dan ugutan dari Umaiyyah atau sesiapa sahaja.
Bilal kemudian menghabiskan masa hampir sehari dengan Nabi Muhammad untuk mengenali dan mempelajari Islam secara lebih dekat.
Apabila tiba masanya untuk pulang, Bilal benar-benar berat hati untuk meninggalkan Nabi dan para sahabat yang lain di rumah Al Arqam itu.
Namun berbekal semangat yang baru, Bilal dikatakan terus menuju ke kaabah dan menghampiri patung-patung berhala yang ada di situ.
Beliau benar-benar memandang jijik terhadap patung-patung itu dan mahu sahaja tangannya memusnahkan kesemua patung itu supaya tidak mencemari kaabah yang mulia.
Saat itu juga beliau ternampak seorang lelaki yang sedang menyembah salah satu berhala kerana meminta perniagaannya dapat diselamatkan dan keluarganya tidak ditimpa musibah akibat kerugian yang beliau alami.
"Adakah patung itu boleh memakbulkan doa kamu?," Pertanyaan Bilal yang mengundang renungan tajam lelaki itu.
"Wahai Bilal, apakah kamu sudah tidak percaya kepada tuhan-tuhan kita? Kamu tidak takut dilaknat oleh al Latta dan al Uzza?," kata lelaki itu dengan nada suara yang terkejut.
"Saya tidak pernah menyembah patung-patung itu dan tidak pernah berdoa kepadanya. Berhala itu tidak boleh berkata-kata, tidak boleh mendengar dan melihat. Bagaimana pula dia boleh mendengar permintaan kamu?," kata Bilal.
"Wahai Bilal, adakah kamu sudah menjadi pengikut Muhammad?," tanya lelaki itu dengan rasa marah yang meluap-luap.
"Tidak ada tuhan selain Allah dan Muhammad itu memang pesuruh Allah," jawab Bilal.
Lelaki itu begitu marah dan mengancam untuk mengadukan mengenai Bilal yang telah berpaling tadah kepada Islam itu kepada tuannya, Umaiyyah bin Al Khalaf.
Ancaman
Bilal sama sekali tidak takut dengan ancaman itu malah mengejek lelaki itu dengan terus meludah ke arah patung berhala itu. Malangnya perbuatannya itu turut dilihat oleh Abu Lahab
Abu Lahab begitu marah dengan sikap Bilal dan mengugut untuk memberitahu kepada Umaiyyah.
Bilal sudah tidak menghiraukan lagi dengan ugutan seperti itu dan terus pulang untuk menemui tuannya.
Di rumah, Umaiyyah begitu tertunggu-tunggu kepulangan Bilal dan tidak sabar-sabar menantikan berita yang bakal dibawa oleh hambanya itu.
Sebaik sahaja Bilal menjejakkan kaki ke rumahnya, Umaiyyah terus menerpa Bilal dan bertanyakan mengenai rancangan membunuh itu.
Alangkah terkejut Umaiyyah apabila Bilal dengan tenang memberitahu bahawa beliau belum lagi membunuh Nabi Muhammad.
"Kenapa belum? ataupun kamu sengaja mengingkari perintah aku?" tanya Umaiyyah kepada Bilal dengan nada yang keras.
"Saya belum dapat bertemu Muhammad kerana nabi itu berada di tempat rahsia. Hanya pengikut-pengikut yang setia sahaja dapat menemui Nabi.
"Jadi, benarkanlah saya menjadi 'pengikut' Muhammad mungkin hanya dengan cara itu sahaja kita tahu di mana beliau berada dan mudah untuk kita membunuhnya" jawab Bilal.
Umaiyyah cukup marah dengan jawapan Bilal namun tanpa banyak pilihan beliau terpaksa setuju dengan cadangan Bilal itu. Asalkan sahaja Bilal dapat membunuh Nabi Mohammad itu.
Ikuti keluaran datang, akibat Bilal meludah patung-patung berhala, apakah yang terjadi pada hamba kulit hitam itu?

Tangguh Hasrat Tunaikan Fardu Haji


RIYADH 28 Sept. - Arab Saudi menggesa umat Islam yang tidak sihat seperti warga emas, yang sakit, wanita mengandung dan kanak-kanak supaya menunda hasrat mereka untuk melakukan ibadah haji ke Mekah sebagai usaha mengelakkan penularan berskala besar selesema babi (influenza A/ H1N1). Sehingga kini, kira-kira 3,500 kes H1N1 telah disahkan di Arab Saudi yang kebanyakannya berjaya dirawat manakala 26 daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut media tempatan.
Arab Saudi mengambil langkah-langkah khusus untuk mencegah wabak besar itu pada musim haji November ini di mana tiga juta jemaah haji daripada 160 buah negara dijangka berkumpul di Mekah selain turut mengerjakan umrah. Antara langkah tersebut ialah, pemasangan 20 buah alat pengesan terma bagi memeriksa para jemaah di terminal lapangan terbang haji di bandar pelabuhan Laut Merah di Jeddah iaitu hentian pertama untuk para jemaah tiba di Arab Saudi.
Kakitangan perubatan di lapangan terbang itu akan dipertingkatkan kepada 20 peratus berbanding pada musim haji tahun lepas, iaitu menjadi 550 pakar perubatan termasuk para doktor, jururawat, juruteknik makmal dan ahli farmasi.
Pihak berkuasa akan menyediakan pusat kesihatan berdekatan lapangan terbang di Jeddah dan Madinah, kota suci kedua, yang boleh menampung sehingga 500 orang pesakit dalam satu-satu masa yang akan dihantar untuk menerima rawatan semasa tempoh kuarantin. Kerajaan tersebut juga telah membuat tempahan kira-kira 10 juta dos vaksin H1N1 yang dijangka akan tiba pada bulan Oktober dan ia akan diwajibkan kepada semua jemaah haji yang tiba di Arab Saudi. Arab Saudi turut meningkatkan stok Tamiflunya sehingga 20 peratus, dua kali melebihi daripada yang disyorkan oleh WHO untuk negara-negara lain, menurut pihak berkuasa Julai lalu.
Pihak berkuasa telah menangguhkan permulaan persekolahan tahu baru sehingga dua minggu untuk melatih kira-kira 66,000 orang guru mengenai kaedah mencegah penularan virus itu di sekolah. Kementerian turut akan mendapatkan lima juta dos vaksin H1N1 untuk golongan pelajar

Ahad, 27 September 2009

Ribuan I’tikaf Di Masjid Al Aqsa

17 Sept – Sebahagian besar malam di Jerusalem dipenuhi ribuan pengunjung dari kota Tua (Jerusalem) dan Tebing Barat.Itulah Lailatul al-Qadr, malam yang datang menjelang akhir Ramadhan di mana ahli keluarga beribadah bersama-sama selama berjam-jam. Masjid Al Aqsa ini pun menjadi penuh, begitu juga dengan pasar Kota Tua.
Bas-bas telah membawa para jamaah dari kota-kota Palestin di persempadanan Israel, sementara banyak kenderaan datang dari sekitar Jerusalem. Penduduk Tebing Barat yang mengguna khidmat pihak pengangkutan awam yang mampu melewati pos pemeriksaan Israel juga tidak ketinggalan.
Seorang penduduk Betlehem mengatakan bahawa dia telah diperiksa dengan ketat di sebuah pos pemeriksaan di Beit Jala dan mereka cuba menghalang beliau untuk memasuki kawasan Masjid Al Aqsa, namun beliau tetap berkeras untuk beribadah di Al Aqsa. Ribuan orang berupaya menjangkau Jerusalem Timur menembusi pos-pos pemeriksaan untuk beri’tikaf. Sementara itu pasukan Israel di sekitar Kota Tua Jerusalem yang terdapat pos pemeriksaan telah menutup jalan-jalan utama.
Tanah pekarangan masjid telah tertutup dengan jamaah sejak siang hari. Direktor Waqf, Syekh Azzam Al Khatib, mengatakan bahawa mereka menyediakan makanan bagi 150,000 orang yang berpuasa di bulan Ramadan ini.
Sejumlah tenaga sukarelawan dari Persatuan Pekerja Bantuan Arab dikerahkan untuk menangani jamaah yang pengsan dan kelelahan akibat perjalanan berjam-jam yang penuh tekanan, panas, dan bersesakan.
Imam masjid menyampaikan ayat-ayat Al Qur’an dan kemudian mengeluarkan seruan untuk menyelamatkan Masjid Al Aqsa dari penggalian Israel dan permukiman Yahudi. Tidak ketinggalan syeikh imam juga menambahkan doa-doa agar sekatan terhadap warga Gaza segera berakhir, tanah Palestin segera dibebaskan, serta kesatuan rakyat Palestin terbina utuh.
Sementara orang-orang beri’tikaf, pertarungan tidak seimbang antara pemuda Palestin dengan tentara Israel ikut mewarnai malam-malam terakhir Ramadhan. Di berhampiran Kem Pelarian Shu’afat pemuda melemparkan batu ke arah pasukan Israel yang menembakkan gas dan karet berlapis peluru baja. Hal serupa juga terjadi di pos pemeriksaan Qalandiya yang menyekat Ramallah di utara Jerusalem

Isnin, 21 September 2009

Selasa, 15 September 2009

Selamat Berpuasa


Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-
1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.
2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda:
"Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).
Selain itu, Nabi juga bersabda: "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).
Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan). Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah (bagi lelaki).
Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.
3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.
Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.
4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.
Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi SAW :-
ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع
Ertinya: Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebruka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar)
Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-
ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)
5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka.
Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi SAW:
إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد
Ertinya: Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah; Sohih)
6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.Berdasarkan hadith Nabi SAW :
لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر
Ertinya:"Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).
Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.
Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).
7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.
كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء
Ertinya: "Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi) (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).
Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu:
ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله
Ertinya: "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah" Riwayat Abu Daud, 2/2357: Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.
9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :
‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا
Ertinya: "Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" (Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).
Disebut dalam sebuah hadis lain:
ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة
Ertinya: "Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga" (Riwayat Al-Baihaqi; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya: rujuk juga Tuhaftul Ahwazi)
10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.
Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.
11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.
12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur:
Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib). Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa: "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Isnin, 14 September 2009

Ibadah Puasa, Fasa Ketiga

Kini kita telah memasuki fasa ketiga bulan Ramadan. Ramadan al-Mubarak menjanjikan ganjaran serta keampunan yang amat luas bagi mereka yang mampu merasai kemuliaannya serta menghargai setiap minit yang berlalu dalam bulan ini.
Hakikatnya, Ramadan mampu mendidik rohani dan jasmani setiap individu Muslim jika penguasaan ilmu yang tepat berkaitannya dijadikan keutamaan. Meskipun setiap tahun kita berjumpa dengan Ramadan dan melakukan rutin yang sama, namun perlu menjadi tekad setiap orang untuk menjadikan Ramadan kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya.Siapa yang boleh memberi jaminan bahawa puasanya pasti diterima oleh Allah? Justeru, pemahaman terhadap konsep puasa perlulah sentiasa dititik-beratkan meskipun kita sedang menjalani ibadah puasa. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: ”Ramai yang berpuasa tetapi tidak memperoleh apa-apa melainkan lapar dan dahaga.”Tiada amal ibadah dalam Islam yang disyariatkan kepada umatnya kecuali padanya hukum dan kaedah pelaksanaan yang tepat sepertimana yang dikehendaki oleh Allah SWT. Pemahaman yang tepat dalam bab ibadah amat perlu bagi mengelakkan amalan menjadi sia-sia dan tertolak. Keadaan ini perlu difahami dengan jelas agar tidak berlaku salah faham dalam pelaksanaan amal ibadah yang kita lakukan. Sesungguhnya hanya amal ibadah yang selari dengan apa yang telah digariskan dalam al-Qur’an dan hadis Rasulullah SAW sahaja akan diterima oleh Allah SWT.Sesetengah daripada kalangan masyarakat pada hari ini, kadang-kadang lupa atau salah faham terhadap falsafah sebenar di sebalik ibadah puasa yang bertujuan mendidik jiwa daripada tertipu dengan godaan nafsu. Justeru, dapat dilihat walaupun mereka berpuasa daripada makan dan minum, namun objektif puasa masih gagal dipenuhi bahkan telah dirosakkan dengan perkara-perkara negatif yang dilarang oleh Islam.Sebagai contoh, seorang berpuasa tetapi masih lagi bercakap bohong atau mengeluarkan kata-kata kotor dan kesat. Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Puasa adalah perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor.” Hal ini tidak akan terjadi jika setiap individu Muslim mengubah perkara-perkara buruk dan keji yang telah menjadi tabiat serta kebiasaan dalam kehidupan harian sebelum kedatangan Ramadan lagi.Satu lagi salah faham yang perlu kepada pemahaman yang tepat dalam pelaksanaan ibadah puasa ialah kepentingan bersahur. Terdapat segelintir daripada kita yang mengambil remeh hal ini samada dengan tidak bersahur langsung ataupun mengambil makanan pada waktu larut malam dengan tujuan bersahur. Keadaan ini bercanggah dengan apa yang telah disyariatkan oleh Islam.Sahur adalah sesuatu yang perlu kerana padanya terdapat keberkatan dan rahmat Ilahi, apatah lagi bersahur untuk melakukan puasa di bulan Ramadan. Galakan agar orang yang ingin berpuasa untuk bersahur ini dapat dilihat dalam hadis Nabi yang bermaksud: “Makanlah sahur, sekalipun dengan seteguk air.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban) Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: “Bersahurlah kamu kerana pada sahur itu ada keberkatan.” (Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Ibn Majah)Selain itu, sebenarnya amalan bangun sahur adalah bertujuan untuk membezakan antara puasa orang Islam dengan puasa orang Yahudi dan Nasrani. Hal ini disebut dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Perbezaan di antara puasa kami dengan puasa ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) ialah adanya makan sahur.” (Hadis riwayat Muslim)Terdapat beberapa lagi perkara yang perlu jadi renungan dan nilaian bersama terhadap perkara-perkara yang boleh mengurangkan pahala puasa. Ada yang berpuasa daripada makan dan minum, tetapi mengabaikan ibadah solat yang menjadi tiang kepada agama. Ada yang sibuk berniaga tetapi tidak berlaku jujur dalam perniagaan dengan menjual makanan yang sudah tidak elok. Ada pula yang menjadikan ibadah puasa sebagai alasan kepada kemerosotan prestasi kerja. Tidak kurang yang menggunakan masa bekerja di bulan puasa untuk membuat persiapan menjelang hari raya.Inilah antara perkara-perkara yang perlu kita muhasabah kembali agar ibadah puasa diterima oleh Allah SWT. Sebenarnya, kesempurnaan puasa seseorang adalah terikat kepada sejauh mana pemahaman terhadap erti puasa itu sendiri, rukun dan syaratnya serta apa-apa yang membatalkannya, serta mengetahui kaifiat atau cara pelaksanaannya dengan betul menepati kehendak syara’.Semoga kita berjaya memenuhi tuntutan ibadah puasa yang menjadi antara rukun utama agama Islam serta mendapat ganjaran yang terbaik daripada-Nya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya di syurga ada pintu yang bernama ar-Rayyan tempat masuk orang yang berpuasa pada hari kiamat. Tidak dapat masuk dari pintu itu kecuali orang yang berpuasa, dipanggil oleh penjaganya: ”Di manakah orang yang telah berpuasa?” Dan tidak dapat masuk ke situ kecuali mereka yang berpuasa saja, dan jika semuanya telah selesai masuk, maka pintu itu ditutup, dan tidak masuk melaluinya melainkan mereka yang berpuasa saja.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Selasa, 8 September 2009

Berdosa Tak Bayar Zakat Fitrah

SOALAN 1:
Ada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan zakat fitrah, apa hukumnya? Saya keliru kerana ada yang kata boleh.

Jawapan:

Menunaikan zakat fitrah adalah wajib yang mutlak di dalam Islam dan mengabaikannya adalah haram dan berdosa di sisi Allah SWT. Ibnu Umar r.a meriwayatkan: Rasulullah telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah sebelum orang-orang keluar melaksanakan solat Idul Fitri. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Hikmah zakat fitrah adalah untuk membersihkan orang-orang yang berpuasa daripada kelalaiannya, Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah saw telah mewajibkan zakat fitrah untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada bicara yang tiada manfaatnya dan kata-kata kotor". (riwayat Abu Daud).

Ulama fikah menyatakan, orang yang enggan berzakat kerana kesengajaan dan mengingkari kewajipannya, maka dia boleh jatuh kepada kekufuran.

Namun, jika kerana terlupa, maka hendaklah segera dia menunaikannya walau sudah terlepas waktunya (menjadi qada) dan segeralah memohon ampun kepada Allah SWT di atas kelalaiannya sebelum itu. Wallahua'lam.

Soalan 2:

Adakah zakat fitrah boleh ditunaikan seawal Ramadan atau sebaik-baiknya ditunaikan sebelum solat sunat Aidilfitri?

Jawapan:

Adalah harus mengeluarkan zakat fitrah sejak bermulanya Ramadan. Hadis daripada Umar menyatakan: "Telah mewajibkan Rasulullah SAW zakat fitrah pada bulan Ramadan".

Walau bagaimanapun, ulama berbeza pendapat mengenai waktu wajibnya. Imam Syafie, Ahmad, Ishaq, Tsuri dan Malik menyatakan, ia menjadi wajib apabila terbenamnya matahari pada akhir Ramadan.

Abu Hanifah, Imam Laits dan Abu Tsaur pula menyatakan, ia wajib setelah terbit fajar satu syawal.

Untuk memudahkan kita, ulama fikah telah membahagikan waktunya seperti berikut, iaitu harus sejak awal Ramadan, menjadi wajib sebelum solat Aidilfitri dan makruh setelah menunaikan solat Aidilfitri.

Sesiapa yang tidak menunaikan zakat fitrah sehingga terbenam matahari satu Syawal, maka dia dianggap berdosa dan wajiblah segera mengeluarkannya dan kala itu ia dianggap qada.

Soalan 3:

Seorang miskin tidak wajib menunaikan zakat harta tetapi wajib pula menunaikan zakat fitrah, bolehkah dijelaskan keadaan ini?

Jawapan:

Zakat fitrah diwajibkan kepada semua orang Islam, tanpa mengira sama ada mereka kaya, miskin, merdeka atau hamba sahaya. Abu Hurairah r.a menyatakan: Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah pada bulan Ramadan kepada orang yang merdeka, hamba sahaya, lelaki dan perempuan, anak-anak, dewasa, fakir atau kaya - daripada kalangan kaum muslimin. (riwayat Ahmad, Bukhari dan Muslim, rujuk Hukum Zakat, al-Qardhawi, hal. 927).

Ini kerana, zakat harta mempunyai syarat nisab (batas minima kekayaan) yang berbeza dengan zakat fitrah. Nisab zakat harta adalah 85 gram emas pada harga semasa; sedangkan zakat fitrah meletakkan, mereka yang mempunyai makanan dari malam raya sehingga keesokan harinya (sehari semalam) adalah dianggap wajib menunaikan zakat fitrah. Di samping itu, kadar zakat fitrah juga disandarkan kepada nilai segantang Baghdad makanan asasi (2.7 kg), iaitu kadar yang dianggap rendah dan tidak membebankan golongan miskin bagi menunaikannya.

Jika seseorang itu tidak mempunyai makanan yang mencukupi bagi diri dan keluarganya pada sehari semalam pada hari raya, maka terlepaslah kewajipan zakat fitrah ke atas dirinya.

Peka Rukun Tawaf

Dalam bab Haji dan Umrah, istilah rukun merujuk kepada amalan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji dan umrah. Jika ia tidak dilakukan, haji dan umrah menjadi tidak sah.

Tawaf adalah satu daripada kerja-kerja haji dan umrah yang wajib dilakukan sendiri oleh jemaah. Tidak sah mewakilkan orang lain tawaf bagi pihak dirinya. Jika uzur, jemaah boleh tawaf dengan menaiki kereta sorong.

Bakal haji hendaklah mengetahui dengan baik perkara-perkara yang berkaitan dengan syarat-syarat tawaf dan sunat-sunatnya supaya mereka dapat melakukan tawaf dengan sempurna.

Jenis-jenis tawaf

Terdapat lapan jenis tawaf :

1. Tawaf Haji (Ifadah),

2. Tawaf Umrah,

3. Tawaf Qudum,

4. Tawaf Tahiyyatul Bait,

5. Tawaf Tahallul,

6. Tawaf Wada',

7. Tawaf Nazar,

8. Tawaf Sunat.

Syarat-syarat tawaf

1. Suci daripada hadas besar dan kecil.

Sebelum melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengambil wuduk dengan sempurna. Jika berlaku persentuhan kulit ketika tawaf dengan lelaki/wanita ajnabi (asing), jemaah hendaklah berpegang dengan satu pendapat dalam Mazhab Syafie yang mengatakan tidak batal wuduk jika berlaku persentuhan kulit dengan lelaki/wanita ajnabi melainkan jika ia berlaku dengan sengaja dan timbulnya syahwat.

Bagi pasangan suami isteri yang tawaf bersama sambil berpegangan tangan dengan berlapik adalah sah tawaf mereka. Jika timbulnya syahwat, tawaf tersebut masih lagi sah melainkan apabila keluar air mazi kerana ia membatalkan wuduk.

Bagi wanita yang berada dalam keadaan haid, dia hendaklah menunggu sehingga haidnya kering. Apabila haidnya kering, hendaklah dia mandi wajib dan mengambil wuduk, maka bolehlah dia melakukan tawaf.

Bagi jemaah yang selalu berhadas atau sentiasa berada dalam keadaan kotor seperti mengidap penyakit kencing yang sentiasa menitis atau istihadah, sebelum melakukan tawaf hendaklah membersihkan kotoran. Kemudian membalut tempat berkenaan dengan kemas, seterusnya berwuduk dan segera melakukan tawaf.

Kadar segera yang dimaksudkan ini tidak termasuk persediaan untuk menutup aurat dan perjalanan ke masjid. Tetapi bukan kerana makan, berbual dan seumpamanya. Cara berniat ketika mengambil wuduk bagi kes sebegini adalah seperti berikut: "Sahaja aku berwuduk untuk mengharuskan tawaf".

2. Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf.

Jemaah hendaklah memastikan, pakaian dan badannya suci daripada najis. Jika jemaah terpijak tahi burung yang terdapat di kawasan tawaf, maka ia dimaafkan dengan syarat tahi burung itu kering dan ia berlaku tanpa disengajakan.

3. Menutup aurat sebagaimana di dalam solat.

Semasa tawaf, aurat hendaklah sentiasa ditutup. Bagi lelaki, sekurang-kurangnya antara pusat dan lutut. Bagi wanita pula seluruh tubuh badannya kecuali muka dan tapak tangan.

Jika aurat terbuka semasa tawaf, jemaah hendaklah menutup dengan segera. Tawaf tidak batal kerana ia tidak disengajakan dan segera ditutup.

Bagi wanita yang tawaf dengan menaiki kereta sorong, hendaklah berhati-hati supaya kainnya tidak terselak sehingga menampakkan betis.

4. Tawaf hendaklah dimulakan dan disudahi pada sudut Hajarul Aswad.

Jemaah hendaklah memulakan tawaf pada sudut Hajarul Aswad. Apabila jemaah menghampiri untuk memasuki kawasan penjuru Hajarul Aswad, maka hendaklah berniat tawaf jika tawaf tersebut selain tawaf haji (ifadah), umrah dan qudum. Bagi tiga jenis tawaf ini, hukum berniat sebelum memulakan tawaf adalah sunat.

5. Sewaktu berjalan melakukan tawaf, bangunan kaabah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.

Jika jemaah ditolak akibat kesesakan ketika tawaf sehingga bahunya terpesong sedikit daripada bangunan kaabah, maka hendaklah segera membetulkan segera bahunya itu menghala ke arah bangunan kaabah.

Bagi jemaah uzur yang tawaf di tingkat atas Masjidil Haram dengan berkereta sorong secara berupah, waris jemaah dinasihatkan hadir sama bagi memastikan syarat mengirikan kaabah dilaksanakan dengan sempurna oleh orang yang mengambil upah menyorong itu.

6. Berjalan itu dengan tujuan tawaf.

Sepanjang berjalan melakukan tawaf, jemaah hendaklah mengekalkan niat perjalanannya itu adalah semata-mata kerana tawaf. Terdapat kes jemaah yang terpisah daripada kumpulannya atau pasangannya, lalu dia berjalan selepas itu bertujuan semata-mata untuk mencari kumpulannya atau pasangannya, maka batallah untuk pusingan itu sahaja.

Jika niat tawafnya masih ada tetapi dalam masa yang sama dia tawaf sambil mencari rakan-rakan sekumpulannya atau pasangannya, maka pusingan tawaf tersebut tidak batal.

7. Cukup tujuh keliling dengan yakin.

Jika jemaah ragu-ragu ketika tawaf pada menentukan bilangan pusingan tawaf, maka hendaklah mengambil jumlah yang terkecil. Contohnya, jika jemaah ragu-ragu antara 6 atau 7 pusingan, maka dikira masih 6 pusingan.

Jikalau tawaf dilakukan secara berkumpulan, jemaah hendaklah memakai keyakinan pada diri sendiri dalam menentukan jumlah pusingan tawaf, walaupun bercanggah dengan pendapat rakan sekumpulan. Jika ragu-ragu berlaku selepas selesai tawaf, maka ia tidak memberi mudarat.

8. Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam Masjidil Haram dan di luar daripada bahagian Kaabah seperti Hijir Ismail dan Syazarawan.

Semasa tawaf, jemaah tidak boleh menyentuh bangunan kaabah, kelambunya, Hijir Ismail dan Syazarawan. Begitu juga memasuki ke dalam Hijir Ismail ketika tawaf.

Bagi jemaah yang tersentuh perkara-perkara tersebut hendaklah mengulangi pusingan tawaf yang terbatal itu sahaja. Tetapi tidak mengapa tawaf melalui ruangan antara Maqam Ibrahim dan bangunan kaabah.

Sunat-sunat tawaf

Terdapat sembilan perkara sunat dalam tawaf. Sebahagiannya diperinci kali ini dan bakinya pada keluaran akan datang.

1. Tawaf dengan berjalan kaki tanpa memakai alas kaki serta memendekkan langkah. Bagi jemaah yang sihat, harus tawaf dengan berkereta sorong tetapi makruh hukumnya.

2. Beridtiba', iaitu memakai kain ihram dalam keadaan menutup bahu kiri dan membuka bahu sebelah kanan bagi lelaki sepanjang tujuh tawaf.

Beridtiba' ini sunat dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya jemaah haji tamattu') dan dia ketika itu dalam keadaan memakai pakaian ihram.

3. Berlari-lari anak bagi lelaki pada pusingan 1, 2 dan 3. Pada pusingan ke 4 hingga 7, jemaah lelaki hendaklah berjalan macam biasa.

Berlari-lari anak ini juga dilakukan pada tawaf yang diiringi selepas itu dengan saie seperti pada tawaf umrah, tawaf qudum bagi jemaah haji ifrad atau qiran yang berhasrat melakukan saie haji selepas melakukan tawaf qudum itu, dan pada tawaf haji (ifadah) bagi yang akan melakukan saie haji selepas itu (terutamanya jemaah haji tamattu').

4. Tawaf berhampiran dengan bangunan kaabah bagi lelaki, melainkan jika tidak dapat melakukan perbuatan berlari-lari anak. Dalam keadaan ini, hendaklah tawaf berjauhan sedikit daripada bangunan kaabah.

Bagi wanita, adalah afdal tawaf berjauhan daripada bangunan kaabah.

5. Melakukan istilam (sentuh) hajarul aswad kemudian mengucupnya, meletakkan dahi atasnya dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tidak mampu berbuat demikian terutamanya ketika kesesakan pada tempat tawaf, jemaah hanya disunatkan mengisyaratkan dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut Bismillah Allahu Akbar kemudian mengucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara.

Begitu juga sunat istilam rukun Yamani dan mengucup tangannya selepas itu. Jika tidak mampu, disunatkan isyarat dengan tangan kanan dari jauh sambil menyebut Bismillah Allahu Akbar dan mengucup tapak tangan tersebut tanpa membunyikan suara.

Namun begitu, pada kedua-dua tempat ini, jemaah hanya dinasihatkan melakukan isyarat sahaja dan mengucup tapak tangannya itu. Jika jemaah tetap mahu mengucup hajarul aswad, dinasihatkan melakukannya di luar masa tawaf.

Ini kerana cara yang betul untuk mengucup Hajarul Aswad dan istilam Rukun Yamani semasa tawaf tidak dapat dilaksanakan terutamanya pada musim haji. Jikalau Hajarul Aswad dilumur dengan minyak wangi, maka haram mengucupnya dan menyentuhnya bagi jemaah yang berada di dalam ihram.

Isnin, 7 September 2009

Sekitar Penyerahan Kad Kuasa










Majlis Penyampaian Kad Kuasa


5 Sept 2009. Sabtu. Satu majlis ringkas, Penyampaian Kad Kuasa untuk Nazir, Imam, Bilal dan Siak telah diadakan bagi masjid2 yang berhampiran telah diadakan. Orang Besar Daerah, Dato' Hj Baharin bin Mat Akhir telah menyampaikannya. Majlis turut dihadiri oleh Tuan Kadhi Daerah, Tn Hj Idris bin Ramli, Penghulu Kanan Hj Mohd Rijalullah bin Khalid, Pengarah MTD Sungai Panjang Ustaz Fadzlin Taslimin, Ketua-ketua Kampung Sungai Panjang serta penduduk setempat.

Selasa, 1 September 2009