Rabu, 16 Februari 2011

Aurat Sesama Lelaki dan Wanita

Dari Abu said al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda: “Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan perempuan tidak boleh melihat aurat perempuan. Lelaki tidak boleh berselimut sesama lelaki dalam satu selimut tanpa pakaian dan perempuan tidak boleh berselimut sesama perermpuan dalam satu selimut tanpa pakaian.” (Bukhari)

Huraian:

Pakaian adalah satu keperluan penting bagi manusia. Secara lahirnya, pakaian melindungi manusia, tetapi secara batinnya adalah lambang kemuliaan insan. Syarak mendefinisikan bahawa aurat adalah sesuatu yang wajib disembunyikan dan haram dilihat. Menurut pendapat jumhur ulama’, wajib menutup aurat dalam semua keadaan sama ada pada waktu solat atau di luar solat.

Secara keseluruhannya empat mazhab utama dalam fiqh Islam iaitu mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali menetapkan bahawa aurat bagi lelaki adalah antara pusat dan lutut manakala bagi wanita ialah keseluruhan tubuhnya kecuali muka dan tapak tangan berdasarkan nas yang kuat daripada al-Quran dan al-sunnah.

Menjauhi Perbuatan Yang Mendatangkan Bahaya

Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya syaitan ada baginya bisikan ke hati anak Adam, dan Malaikat juga ada bisikannya; ada pun bisikan syaitan itu ialah galakannya supaya seseorang melakukan kejahatan dan mendustakan kebenaran, dan bisikan Malaikat pula ialah galakannya supaya seseorang mengamalkan kebaikan dan meyakini kebenaranya; oleh itu sesiapa yang terasa bisikan yang baik, maka hendaklah ia mengetahui bahawa perkara itu dari Allah, serta hendaklah ia bersyukur kepada Allah, dan sesiapa yang terasa bisikan yang satu lagi maka hendaklah ia meminta perlindungan Allah dari angkara syaitan.” Ibn Mas’ud r.a

Huraian:

* Setiap manusia mempunyai lintasan hati yang berlainan kerana berlainan sebabnya.
* Satu daripada jenis lintasan itu adalah lintasan yang dibawa oleh malaikat yang bertugas memancarkan ke dalam hati manusia perasaan suka berbuat kebajikan dan menerima kebenaran; sementara satu lagi lintasan adalah lintasan syaitan iaitu lintasan untuk melakukan kejahatan dan menolak kebenaran.
* Lintasan malaikat ini dinamakan sebagai “ilham” dan lintasan jahat syaitan itu sebenarnya adalah “was-was” di mana kita diperintahkan memohon perlindungan Allah daripadanya sebagaimana yang dimaksudkan di dalam al-Quran, surah an-Nas.
* Oleh yang demikian selaku manusia biasa, apabila datang sesuatu lintasan hati, maka hendaklah kita mempertimbangkannya terlebih dahulu dengan neraca syarak; jika bersesuaian kerjakanlah, jika sebaliknya jauhkanlah.

Keistimewaan Memeluk Islam

Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a : “Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Apabila seseorang memeluk agama Islam dengan ikhlas, Allah akan mengampunkan semua dosa-dosanya di masa lalu. Kemudian setelah itu mulai diadakan perhitungan, pahala untuk setiap perbuatan baik yang dilakukannya dilipat gandakan sepuluh sampai tujuh ratus kali ganda sedangkan setiap dosa yang dilakukannya akan dicatat sebanyak dosa yang dilakukannya kecuali apabila Allah mengampunkannya.”
(al-Bukahri)

Huraian:

Mualaf ialah orang yang baru berjinak-jinak Islam. Dari segi bahasa mualaf bererti lemah. Istilah ini lalu disandarkan kepada mereka yang baru saja memeluk Islam dan masih lemah pemahamannya tentang Islam. Kebanyakan daripada kita tidak memahami keperluan mualaf.

Mualaf sebenarnya mengharapkan teman dan sahabat yang dapat memberi sokongan moral dan perlindungan dari kecaman keluarga mahupun saudara, kerana perpindahan agama bukanlah perkara yang mudah sebaliknya memerlukan banyak pengorbanan. Justeru perlu ada pihak yang menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk Islam ini agar mereka tidak kembali murtad. Contohnya menziarahi mereka supaya tidak terabai dan memantau perkembangan mereka.

Kebanyakan kes yang berlaku hari ini, orang memeluk Islam sekadar untuk mencukupkan syarat membolehkannya berkahwin dengan pasangan yang beragama Islam. Bukan dengan niat yang benar-benar ikhlas mahu mentauhidkan Allah SWT. Bagi mualaf yang ikhlas ingin memeluk Islam pula, mereka akan melaksanakan ajaran Islam secara bertahap. Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ada antara golongan mualaf ini yang jauh lebih taat daripada mereka yang sejak lahir memeluk Islam. Golongan inilah yang disebutkan di dalam hadis di atas.

Perkara Yang Mengeratkan Persahabatan

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya: “Tiga perkara yang boleh mengeratkan persahabatan dengan saudaramu iaitu memberi salam apabila bertemu dengannya dan menyediakan tempat duduknya dalam sesuatu majlis serta panggilah ia dengan nama yang paling disenanginya.” Riwayat Al-Tabrani

Huraian:

* Kita hendaklah sentiasa mempamerkan keperibadian seorang muslim dalam setiap pergaulan kerana ia merupakan aset penting bagi kejayaan diri serta organisasi yang dipimpin.
* Tutur kata yang baik, beradab dan dipenuhi unsur-unsur keikhlasan akan memberikan motivasi yang paling berkesan kepada setiap individu dalam masyarakat sekeliling sehingga membentuk kualiti ummah yang terbaik dan menjadi contoh kepada yang lain.
* Jika kita mahu dihormati maka kita hendaklah terlebih dahulu menghormati orang lain sama ada dengan mengucapkan salam, bersikap peramah dan mengutamakan keperluannya. Ini dengan sendirinya akan menerbitkan perasaan hormat orang itu terhadap kita dan seterusnya menimbulkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain.

Kasih Kepada Rasulullah SAW

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: “Didiklah anak-anak kamu atas tiga sifat iaitu: cintakan nabi mereka, cintakan keluarga Nabi dan membaca al-Quran.”
(At-Tabrani)

Huraian:

* Kita perlu beradab dengan Rasulullah SAW dalam semua keadaan sekalipun baginda sudah wafat.
* Adalah tidak memadai mengasihi Rasulullah dengan sekadar berselawat memuji baginda sahaja sedangkan diri kita tidak pernah mencontohi segala tindakan dan akhlak baginda tetapi mengasihi Rasulullah mestilah disertakan dengan segala tindakan anggota badan iaitu dengan mendirikan segala kewajipan beribadat serta berusaha melaksanakan tuntutan yang lain sebagai menandakan keyakinan yang tidak berbelah bahagi terhadap kebenaran Islam yang dibawa oleh baginda.
* Cintakan keluarga baginda pula bererti menjaga kemuliaan atau nama baik keluarga Rasulullah iaitu tidak membiarkan sebarang fitnah dan cercaan berlaku oleh orang-orang kafir atau mereka yang mahu mengkhianati Islam.
* Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah SAW, maka sebagai menjaga keteguhan iman dan aqidah, seorang Muslim itu hendaklah sentiasa membacanya dan menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan pedoman agar terhindar daripada kejahatan dan kesesatan.

Mengekalkan Adab Yang Mulia

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T sukakan bersin dan benci pada menguap. Jika salah seorang kamu bersin dan memuji Allah S.W.T, hendaklah orang Islam yang mendengarnya mengucapkan “(Yarhamukallah)”. Sedangkan menguap itu adalah daripada syaitan. Maka jika seorang kamu menguap hendaklah ia mengembalikannya (menahannya) sedapat mungkin, kerana apabila kamu menguap, syaitan akan ketawa melihatnya.” Riwayat al-Bukhari

Huraian:

* Islam selaku agama yang mulia amat menekankan kesopanan dan kesantunan dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya sama ada dalam pergaulan, percakapan ataupun tingkahlaku refleks seperti menguap, bersin dan sebagainya.
* Ketika menguap terdapat adabnya yang tersendiri iaitu hendaklah meletakkan tangan di mulut ketika menguap untuk menutup pandangan yang tidak elok ketika mulut terbuka dan juga untuk menghalang sesuatu daripada masuk ke dalam mulut. Selain itu kita disuruh mengurangkan bunyi ketika menguap, seboleh-bolehnya tidak kedengaran langsung.
* Manakala apabila bersin pula kita hendaklah memalingkan muka ke arah lain sambil menutup mulut dan hidung untuk mengurangkan bunyi bersin tersebut selain untuk mengelak daripada terkena jangkitan pada orang lain. Selepas bersin hendaklah mengucapkan “alhamdulillah” dan orang yang mendengarnya hendaklah mengucapkan “yarhamukallah” sebagai mendoakan kesejahteraan orang yang bersin itu serta dibalas pula oleh orang yang bersin dengan mengucapkan “Yahdiinaa wayahdiikumullah”.
* Bersin yang terlalu kerap melebihi 3 kali menandakan seseorang itu kemungkinan diserang selsema manakala menguap yang terlampau kerap menandakan seseorang itu tidak cukup tidur selain menunjukkan ciri-ciri kemalasan yang patut dihindari dengan melakukan aktiviti senam ringan dan sebagainya.

Solat Dalam Kedaan Mengantuk

Diriwayatkan dari Anas r.a: “Nabi Muhammad SAW pernah bersabda: “Apabila seseorang mengantuk ketika sedang mengerjakan solat hendaklah ia tidur terlebih dahulu hingga ia mengerti apa yang ia katakan (atau ia bacakan).” (al-Bukhari)

Huraian:

Jika kita merasa sangat mengantuk dan letih eloklah sekiranya kita baring seketika. Selepas itu bangun dan ambillah wudhu’ dan tunaikan solat. Ingat! Jangan terus tertidur.

Sebenarnya seseorang itu hendaklah bersembahyang dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Tidak secara terpaksa hingga tidak sedar tentang bacaan dalam solat mahupun bilangan rakaat yang telah dikerjakan. Solat seperti ini boleh membawa kepada batal.

Malah adalah lebih baik sekiranya setiap kali merasa mengantuk kita memperbaharui wudhu’ semula kerana dengan cara membasuh muka dan mengenakan air kepada anggota tubuh itu akan dapat menyegarkan semula badan kita dan kita menjadi bersemangat untuk mengerjakan solat.

Persediaan Sebelum Tidur

Diriwayatkan daripada Abdullah bin Zaid al-Ansari r.a bahawa dia pernah melihat Nabi Muhammad SAW berbaring terlentang di dalam masjid, meletakkan sebelah kakinya pada sebelah kakinya yang lain.” (al-Bukhari)

Huraian:

Sekiranya hendak tidur kita disarankan mengikut sunah Rasulullah SAW. Dalam suatu riwayat menerangkan: “Daripada ‘Aisyah r.a katanya: “Nabi SAW apabila berbaring di tempat tidurnya pada setiap malam, baginda mengangkat kedua tangannya (seperti berdoa), lalu meniup dan membaca surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah an-Nas, kemudian baginda menyapukan tangannya itu ke seluruh badan yang dimulai dari kepalanya dan mukanya dan bahagian depan daripada badannya, Baginda melakukannya sebanyak tiga kali.” (at-Tirmizi) Selain itu sebelum tidur baginda menunaikan sembahyang witir kerana Nabi SAW juga telah mengingatkan umatnya bahawa syaitan sering mengganggu manusia ketika tidur. Oleh itu kita dianjurkan supaya mengamalkan solat witir setiap kali sebelum tidur. Ketika baginda terbangun daripada tidur di tengah malam pula, baginda akan membasuh muka dan kedua belah tangan sebelum baginda tidur semula. Berkenaan dengan cara tidur pula, Rasulullah SAW selain daripada tidur miring ke sebelah kanan, baginda juga pernah tidur terlentang dengan cara meletakkan satu kaki di atas yang lain sebagaimana maksud hadis di atas.

Selasa, 15 Februari 2011

Isnin, Hari Kelahiran Rasulullah SAW

Daripada Abu Qatadah al-Ansari berkata: Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat tentang kelazimannya berpuasa pada setiap hari Isnin. Maka baginda bersabda: “Padanya aku dilahirkan dan padanya wahyu pertama diturunkan kepada ku”.

(Muslim)

Huraian:

* Merayakan maulid rasul termasuk dalam rangka memuliakan Rasulullah SAW dan sesiapa yang meraikannya diberikan pahala oleh Allah SWT. Begitu juga menyambut hari-hari kebesaran Islam yang lain seperti Maal Hijrah, Nuzul al-Quran, Hari Raya Puasa dan Haji, Nisfu Syaaban dan sebagainya.
* Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj ayat 32 yang maksudnya : “..dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu adalah satu kesan daripada sifat-sifat hati yang bertaqwa kepada Allah”
* Rasulullah SAW adalah merupakan syiar atau tanda kebesaran Allah SWT kerana dengan kelahiran Rasulullah SAW, dunia mengetahui tentang keesaan Allah SWT. Sesungguhnya Allah menyuruh kita mengambil pengajaran di atas peristiwa keputeraan Rasulullah SAW ini kerana ia akan memperkukuhkan keimanan dan kecintaan kita terhadap diri baginda dan meneruskan perjuangannya serta tidak melupakan ajaran dan sunahnya.
* Mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW seperti dalam majlis maulidurrasul adalah amalan yang amat digalakkan dalam Islam kerana Allah sendiri telah berfirman yang maksudnya “Sesungguhnya Allah dan para malaikat berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, hendaklah kalian berselawat baginya dan mengucapkan salam penghormatan kepadanya.” (Al-Ahzab:56)
* Ulama telah sepakat memandang baik amalan menyambut maulidurrasul SAW. Di Malaysia, era 50an hingga 80an sambutan ini dilakukan dengan cara tradisional seperti berzanji, tilawah al-Quran, tahlil dan sebagainya. Namun perkembangan semasa telah mempengaruhi acara sambutan tersebut kepada bentuk baru seperti dengan mengadakan nasyid, forum, ceramah, perarakan dan sebagainya. Tujuannya tidak lain melainkan untuk memperingati, mengagungkan, dan memuliakan Rasulullah SAW.

Menjadikan Harta Jambatan Ibadah

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnnya bagi setiap umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”

Riwayat at-Tirmidzi

Huraian:

* Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.
* Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.
* Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

Menghormati Bapa

DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya: “Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.”
Riwayat Muslim

Huraian:

* Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.
* Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.
* Oleh itu bagi mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan pergaulan yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain.

Tiga Kali Lebih Baik

Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: “Apabila Nabi SAW memberitahu sebuah pernyataan, baginda mengulanginya sampai tiga kali hingga orang ramai dapat memahami dan mengerti perkataannya dengan baik dan setiap kali nabi meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah, ia mengetuk pintu) tiga kali dan mengucapkan salam.”
(al-Bukhari)

Huraian:

Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan bergantung pada situasi dan tempat. Dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat.

Malah bagi kebanyakan perkara, perbuatan mengulang-ulang itu dianggap akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku sebelumnya daripada langsung tidak melakukannya atau setidak-tidaknya menduakan malah lebih bagus menigakan dan seterusnya. Jika kurang dari tiga kali ditakuti menjadi kurang bermanfaat, khususnya dalam perbuatan mengingat atau menghafal ilmu yang menuntut kita mengulang-ulangnya beberapa kali sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa.

Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!

Mukmin Yang Berakhlak Mendapat Darjat Yang Tinggi

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya seseorang mukmin itu dapat mencapai darjat orang yang berpuasa yang mendirikan sembahyang ditengah malam disebabkan akhlaknya yang mulia.” Riwayat Abu Daud

Huraian:

* Allah S.W.T. memberi ganjaran yang amat tinggi kepada orang yang berakhlak mulia, setaraf dengan orang yang berpuasa serta mendirikan sembahyang di tengah malam.
* Setiap Muslim hendaklah berusaha mempertingkatkan kualiti akhlaknya agar menjadi baik dan lebih baik sepanjang menjalani kehidupan di dunia ini kerana setiap amalan akan dihitung dan dihisab di akhirat kelak.
* Mukmin yang mempunyai akhlak mulia, bukan sahaja mendapat kemulian di dunia, bahkan mendapat darjat yang tinggi di sisi Allah di akhirat nanti.

Banyak Ketawa, Manusia Lalai Kematian

SUKA dan duka menjadi asam garam kehidupan. Setiap insan sering dihadapkan dengan pelbagai keadaan hidup yang memerlukan tindakan mental dan fizikal tertentu.

Menangis dan hiba sering dikaitkan dengan kedukaan dan penderitaan, manakala ketawa selalunya menjadi manifestasi keriangan dan kepuasan yang tidak semua insan dapat merasainya.

Islam tidak pernah melarang umatnya untuk melahirkan rasa kegembiraan dan kepuasan hati mereka dengan ketawa. Namun, sebagai agama syumul dengan pelbagai adab dan disiplin, syariat tetap membataskan tahap ketawa yang dibenarkan.

Ia bagi mengelakkan orang Islam dipandang rendah martabatnya oleh bukan Islam. Menyingkap sirah Rasulullah SAW ketika hebat melancarkan misi dakwah melalui jihad perang selepas hijrah ke Madinah.

Allah menempelak sebahagian tentera munafik yang pada mulanya menyatakan persetujuan untuk bersama Baginda di medan peperangan. Bagaimanapun, mereka membatalkan janji dan persetujuan pada saat genting tentera Islam bakal bertarung dengan kekuatan tentera Musyrikin Quraisy dalam Perang Uhud.

Berikutan peristiwa itu, Allah berfirman yang bermaksud: “Oleh itu bolehlah mereka ketawa sedikit (di dunia ini) dan mereka akan menangis banyak (pada akhirat kelak), sebagai balasan bagi apa yang mereka usahakan.” – (Surah at-Taubah, ayat 82)

Jelas daripada mafhum ayat ini, Allah mengungkapkan sifat lazim kaum munafik selalunya suka mengamal tabiat ketawa berlebihan. Sedih, murung, riang, gembira dan ketawa adalah sentuhan naluri semula jadi, tetapi Islam tetap mengehadkan untuk mengelak berlaku dalam keadaan melampau.

Lantaran Islam menyediakan pilihan yang boleh diamalkan bagi mengelak kita daripada bertindak di luar batasan kemanusiaan apabila hati dan perasaan bertindak balas dengan apa yang dialami.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Dan janganlah kamu banyak ketawa kerana banyak ketawa itu mematikan hati.” (Riwayat Ahmad dan at-Tirmizi)

Sewajarnya setiap insan mukmin segera menginsafi diri untuk tidak menjadikan ketawa sebagai perantara menzahirkan perasaan tersendiri dengan cara berlebihan. Perbuatan itu dibimbangi boleh membawa kepada beku dan matinya hati.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata, seseorang yang banyak ketawa nescaya akan kurang rasa takutnya kepada Allah. Apabila rasa takutnya berkurangan, maka akan kuranglah taatnya kepada Allah.

Ketawa yang sampai ke tahap berlebihan, maka ia lebih mengundang perkara negatif. Orang banyak ketawa lebih suka membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan sesuatu bermanfaat. Banyak ketawa juga boleh melupakan manusia daripada mengingati mati dan himpunan dosa yang menimbun dalam diri.

Apabila lupa kepada mati, manusia lupa membuat persiapan menuju ke alam abadi kerana terlalu leka dengan keindahan, kekayaan, keseronokan dan kegembiraan yang tidak lebih hanya bersifat sementara.

Justeru, bermuhasabah diri adalah jalan paling terbaik supaya tidak terlalu leka dengan keseronokan dan keriangan yang dinikmati di dunia. Kita juga diminta tidak mudah berpuas hati dan leka dengan pencapaian tersendiri dan akhirnya menjadikan ketawa sebagai teman kepada keseronokan.

Sekali lagi ditegaskan bahawa Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa, tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana. Kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Isnin, 14 Februari 2011

Galakan Berdoa

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Doa itu ialah ibadat.” Riwayat Bukhari
Huraian:
* Doa adalah Istiksaat (memohon pengampunan dan pertolongan) dan hanya Allah S.W.T sahaja yang dapat memberikannya.
* Orang yang berdoa hendaklah melahirkan kehinaan dan kerendahan diri serta menyatakan hajat dan tunduk kepada Allah sebagai menunjukkan bahawa kita berhajat kepada Allah untuk memperolehi sesuatu yang kita kehendaki.
* Doa adalah suatu ibadat yang sangat penting kedudukannya dan sangat mahal nilainya bahkan ia adalah pintu yang paling utama daripada pintu-pintu ibadah yang lain dalam meperhambakan diri kepada Allah.
* Apabila seseorang itu berdoa maka hendaklah ia melakukannya dengan sebaik-baiknya dan dengan memelihara adab-adabnya. Dengan itu barulah doanya akan dimakbulkan oleh Allah S.W.T.

Beberapa Larangan Rasulullah SAW

Dari al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: “Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya.”

(Bukhari)

Huraian:

Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.

Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.

Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan. Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu. Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain. Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga.

Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan. Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.

Kesabaran Seorang Nabi & Rasul

Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”

(Bukhari)

Huraian:

Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Mengumpat Amalan Tercela.

SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat.

Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah.

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.

Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.”

Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian:

* Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.
* Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.
* Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Enggan Masuk Syurga

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.” (al-Bukhari)
Huraian:
Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Kesimpulan daripada hadis di atas ialah bahawa orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

Ahad, 13 Februari 2011

Ramai Yang Masih Tidak Solat

Sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari”. Anda mungkin terkejut dengan data ini tetapi itulah hakikatnya. Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh tokoh motivasi terkenal di Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, bahawa sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.


Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga (Utusan Malaysia 2008, 23 Jun).

Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya.

Selain dari itu kadar pelaksanaan yang rendah dalam ibadah solat di kalangan responden dalam kajian ini juga mungkin dapat dikaitkan dengan tahap pengetahuan dan kemahiran responden dalam menunaikan ibadat tersebut. Apakah faktor yang menyebabkan jumlah besar responden tidak menunaikan solat dalam kehidupan mereka? Persoalan ini mungkin tidak dapat diselesaikan dengan menjaga fakta-fakta atau cara melaksanakan solat. Sesungguhnya ia melibatkan banyak faktor lain termasuk motivasi pelaksanaan solat dan ibadat. Menurut al-Kumayi (2009) terdapat tiga halangan dalam melaksanakan ibadah iaitu:

* Malas (kasal) mengerjakan ibadat kepada Allah, sedang setiap insan sanggup dan berupaya melakukan ibadah.
* Lemah fikiran (futur) atau tidak memiliki tekad yang kuat kerana terpengaruh dengan kehidupan dunia.
* Bosan (malal) atau cepat berasa bosan melakukan ibadah sedangkan tujuan belum tercapai.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup barat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan peluh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Formula Solat Sempurna

Penulis : Ust. Zaharuddin Abd. Rahman
HARGA : RM25.90
Dapatkan secara online di http://store.stormreaders.org

FORMULA SOLAT SEMPURNA ini menjelaskan kepada pembaca dengan pendekatan mudah dan mantap berkenaan cara menunaikan solat secara lebih sempurna iaitu dengan menggabungkan sunat-sunat semasa solat bersama rukun dan syaratnya.

Keistimewaan buku ini terletak pada kupasan ringkas dan padat hasil kajian mendalam daripada kitab-kitab turath silam dan kontemporari. Penulis membawakan nas-nas yang terbaik hasil ijtihad para ulama hadis silam dan semasa.

Aspek ini menjadikan ia sebuah buku yang amat sesuai buat semua lapisan masyarakat dan latar belakang, hingga mereka yang mempunyai kefahaman Syariah yang minimum juga mampu memahami ulasan di dalam buku ini dengan baik. Demikian juga mereka yang khusus dalam ilmu Syariah juga diyakini akan mendapat sesuatu yang menarik daripada buku ini. Kandungan buku ini disusun dalam bentuk menarik mengikut kronologi pergerakan solat dan kemudian disusuli dengan nas-nas warid daripada Nabi s.a.w. Seterusnya huraian amat berguna berkaitan khusyuk, masalah dan punca kehilangannya dewasa ini.

Pengajaran disebalik Kontrovesi Azan

SU bantahan peguam yang menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah dianggap selesai apabila kelmarin, peguam terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

Tindakan peguam berkenaan mendapat bantahan seluruh umat Islam, maka wajarlah permohonan maaf dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Azan, syiar Islam yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang.

Maka Rasulullah SAW pada satu hari mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi.



Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’.

Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ seperti yang ada pada hari ini.

Apabila mimpi sahabat disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Mimpi itu mimpi yang benar.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan pada setiap kali masuk waktu solat.

Untuk solat Jumaat, dua kali azan iaitu pertama menandakan masuk waktu Zuhur memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum imam memulakan khutbah Jumaat.

Manakala azan Subuh semasa zaman Rasulullah SAW dikumandangkan sebanyak dua kali seperti dilakukan di Masjidilharam.

Pertama, selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu umat Islam waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa.

Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz ‘solat itu lebih baik daripada tidur’. Azan juga sunat dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir.

Dalil mensyariatkan seruan azan ialah firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang…” (Surah al-Ma’idah, ayat 58).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keajaiban syiar Islam dalam azan ini terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.

Ribuan bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia.

Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.

Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah.

Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zuhur sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu.

Semoga selepas ini tidak ada lagi pihak mempertikaikan amalan agama masyarakat di negara ini.

Janganlah menghuru-harakan keadaan masyarakat yang hidup dalam rukun dan damai. Walaupun permohonan maaf dibuat, namun hakikatnya ada yang tersinggung dengan tindakan itu.

Perbuatan menghina amalan agama sesuatu masyarakat tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.

Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap serta bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.

Hakikat agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk dianuti seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihormati masyarakat bukan Islam.

Agama Islam yang diletakkan di bahagian awal dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan, kedudukan dan keutamaannya.

Hukum Bukan Islam Memasuki Masjid

ALLAH menjamin rezeki makhluknya. “Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan Allahlah yang akan memberi rezekinya.” (Surah Hud ayat 6).

Sumber rezeki sangatlah luas dan dalam. Seluas bentangan bumi dan kedalaman samudera. Setiap jengkal hamparan bumi dan laut terdapat rezeki yang boleh dicari.

Masalahnya, kerap kali manusia lebih berorientasi menunggu rezeki daripada menjemputnya. Mereka lebih mementingkan selera peribadi dalam memilih sumber rezeki yang mana mahukan sesuatu rezeki itu datang tanpa berusaha mendapatkannya.


Islam menekankan setiap Muslim supaya bekerja keras mencari rezeki dengan menggunakan semua potensi dan kekuatan tulang empat kerat. Elakkan daripada meminta secara haram.

Ambillah iktibar daripada kisah sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada Rasulullah.

Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah, Baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, Baginda bersabda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta di dunia ini memang indah dan manis, barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu, tetapi barang siapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang perutnya.

Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah iaitu orang yang menerima pemberian berkenaan.”

Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasulullah berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, sejak dari itu dia tidak lagi meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan.

Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi.

Namun apa yang menyedihkan pada masa ini terdapat sebilangan orang yang

meminta-minta wang daripada keluarga, jiran atau rakan, ataupun ke rumah orang yang tidak dikenali.

Ada juga di antara mereka meminta-minta kepada pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan kewangan dan lebih mendukacitakan terdapat juga segelintir orang yang tanpa segan selalu meminta wang daripada orang ramai di tempat awam seperti di kompleks beli-belah atau restoran dengan alasan hasil pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Rezekinya halal tetapi caranya tidak betul. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi orang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta.

Ini berdasarkan kepada sabda, dari Imran bin Husin berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai.” (Riwayat Ibnu Majah).

Renunglah, betapa orang miskin lagi tidak digalakkan meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Sebagai hamba Allah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan reda ke atas rezeki yang dikurniakan Allah.

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan haloba kepada harta benda sehingga sanggup mencari harta dengan cara meminta-minta.

Sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang ramai, sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang hanya tinggal tulang, tidak ada lagi daging padanya.”

Walaupun pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus.

Keadaan terpaksa atau darurat itu ialah seorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang jika tidak makan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati.

Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain selama mana peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya.

Jika dia berupaya untuk bekerja tetapi malas maka tidaklah diharuskan ia meminta-minta daripada orang lain. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik daripada perbuatan meminta-minta.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Az Zuba’ir bin Al Aawam dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, nescaya yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak.” (Riwayat Imam Bukhari).

Umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta tanpa sebab itu menjatuhkan maruah serta menjejaskan imejnya.

Malah perbuatan meminta-minta mencerminkan sikap yang negatif masyarakat kerana sentiasa bergantung ihsan dan bantuan daripada orang ramai atau pihak tertentu.

Justeru, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan pemberian Allah.

Sama-samalah berdoa mudah-mudahan Allah meluaskan rezeki-Nya ke atas kita semua.

Kejar Keberkatan Rezeki Halal

ALLAH menjamin rezeki makhluknya. “Dan, tidak ada suatu binatang melata pun di bumi, melainkan Allahlah yang akan memberi rezekinya.” (Surah Hud ayat 6).

Sumber rezeki sangatlah luas dan dalam. Seluas bentangan bumi dan kedalaman samudera. Setiap jengkal hamparan bumi dan laut terdapat rezeki yang boleh dicari.

Masalahnya, kerap kali manusia lebih berorientasi menunggu rezeki daripada menjemputnya. Mereka lebih mementingkan selera peribadi dalam memilih sumber rezeki yang mana mahukan sesuatu rezeki itu datang tanpa berusaha mendapatkannya.




Advertise Here

Islam menekankan setiap Muslim supaya bekerja keras mencari rezeki dengan menggunakan semua potensi dan kekuatan tulang empat kerat. Elakkan daripada meminta secara haram.

Ambillah iktibar daripada kisah sebuah hadis riwayat Imam Al-Bukhari yang menceritakan berkenaan Hakim bin Hizam yang sering meminta-minta kepada Rasulullah.

Setiap kali dia meminta kepada Rasulullah, Baginda akan memberikannya. Namun setelah tiga kali dia datang meminta, Baginda bersabda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta di dunia ini memang indah dan manis, barang siapa yang mengambil harta di dunia dengan hati yang lapang yakni tidak bercampur dengan sifat ketamakan, nescaya akan dilimpahkan keberkatan dalam hartanya itu, tetapi barang siapa yang mengambil harta dunia dengan ketamakan, pasti tidak ada keberkatan dalam harta yang diperolehinya itu. Orang yang sedemikian ini adalah ibarat orang yang makan dan tidak pernah kenyang perutnya.

Tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah iaitu orang yang menerima pemberian berkenaan.”

Setelah Hakim mendengar akan teguran dan nasihat Rasulullah berkenaan sikapnya yang suka meminta-minta, sejak dari itu dia tidak lagi meminta-minta kepada sesiapa pun meskipun dia berada dalam kekurangan.

Inilah sikap terpuji yang patut dicontohi oleh kita semua. Janganlah kita menjadikan sebab kekurangan hasil pendapatan sebagai alasan untuk meminta-minta bantuan semata-mata bagi memenuhi keperluan hidup yang tidak mencukupi.

Namun apa yang menyedihkan pada masa ini terdapat sebilangan orang yang

meminta-minta wang daripada keluarga, jiran atau rakan, ataupun ke rumah orang yang tidak dikenali.

Ada juga di antara mereka meminta-minta kepada pihak tertentu untuk mendapatkan bantuan kewangan dan lebih mendukacitakan terdapat juga segelintir orang yang tanpa segan selalu meminta wang daripada orang ramai di tempat awam seperti di kompleks beli-belah atau restoran dengan alasan hasil pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung keperluan hidup.

Rezekinya halal tetapi caranya tidak betul. Walaupun seseorang itu ditakdirkan oleh Allah untuk menjadi orang miskin atau fakir, namun mereka tetap tidak digalakkan untuk meminta-minta.

Ini berdasarkan kepada sabda, dari Imran bin Husin berkata: Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya yang beriman yang miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai.” (Riwayat Ibnu Majah).

Renunglah, betapa orang miskin lagi tidak digalakkan meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Sebagai hamba Allah kita hendaklah sentiasa bersyukur dan reda ke atas rezeki yang dikurniakan Allah.

Allah melarang kita daripada bersifat tamak dan haloba kepada harta benda sehingga sanggup mencari harta dengan cara meminta-minta.

Sebagaimana hadis riwayat Imam Al-Bukhari daripada Abdullah bin Umar berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Seorang yang terus-menerus meminta-minta kepada orang ramai, sehingga nanti dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang hanya tinggal tulang, tidak ada lagi daging padanya.”

Walaupun pada dasarnya perbuatan meminta-minta itu haram dan dilarang oleh agama, namun jika timbul sesuatu darurat atau keadaan terpaksa, maka ia menjadi harus.

Keadaan terpaksa atau darurat itu ialah seorang yang lapar meminta makanan untuk mengisi perutnya kerana dia bimbang jika tidak makan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati.

Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian, terpaksa meminta pakaian bagi menutup auratnya. Hal seperti ini mengharuskan seseorang itu meminta kepada orang lain selama mana peminta itu tidak berkuasa atau mampu membuat sebarang pekerjaan untuk menyara keperluannya.

Jika dia berupaya untuk bekerja tetapi malas maka tidaklah diharuskan ia meminta-minta daripada orang lain. Ingatlah pesan Rasulullah bahawa orang yang bekerja mencari rezeki itu walaupun hasilnya hanya sedikit, itu adalah lebih baik daripada perbuatan meminta-minta.

Sebagaimana hadis yang diriwayatkan dari Az Zuba’ir bin Al Aawam dari Nabi Muhammad S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sekiranya salah seorang daripada kamu membawa tali lalu pergi ke bukit untuk mencari kayu, kemudian dia pikul kayu tersebut ke pasar untuk menjualnya demi menjaga kehormatannya, nescaya yang demikian itu adalah lebih baik daripada meminta-minta kepada orang lain, baik diberi mahupun ditolak.” (Riwayat Imam Bukhari).

Umat Islam hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta kerana perbuatan meminta-minta tanpa sebab itu menjatuhkan maruah serta menjejaskan imejnya.

Malah perbuatan meminta-minta mencerminkan sikap yang negatif masyarakat kerana sentiasa bergantung ihsan dan bantuan daripada orang ramai atau pihak tertentu.

Justeru, kita hendaklah berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang halal serta sentiasa bersyukur, sabar dan reda dengan pemberian Allah.

Sama-samalah berdoa mudah-mudahan Allah meluaskan rezeki-Nya ke atas kita semua.

Kenapa Diciptakan Neraka

Ini kisah benar..kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar ‘Membangun Bersama Islam’, kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Aku tak pasti berapa jumlah denda yang dikenakan sekiranya didapati melakukan kesalahan, tapi selalunya merekaakan diberi amaran bagi kesalahan pertama, dan didenda jika didapati masih enggan mematuhi garis panduan yang ditetapkan. Lazimnya dalam setiap operasi sebegini, seorang ustaz ditugaskan bersama dengan para pegawai pihak berkuasa tempatan. Tugasnya adalah untuk menyampaikan nasihat secara berhemah, kerana hukuman dan denda semata-mata tidak mampu memberi kesan yang mendalam.




Advertise Here

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la…setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, “..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya,takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka…”

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri,tiba-tiba membentak “Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?” Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: “Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?”

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: “Perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan ‘lulus’ percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol disyurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu ‘baik’. Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?”; tanya ustaz.

“Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je..” rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: “Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?”

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: “Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu’alaikum.”

Adab Berpuasa dan Solat Tarawikh

Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah tersebut. Antara yang terpenting adalah:

1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;

2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;

3. Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.




Advertise Here

Ulama silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?” Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;

4. Berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

Meninggalkan maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai’, sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat bodoh. Jika ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan Muslim);

5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan intipati puasa yang perlu dicapai;

6. Jauhkan diri daripada mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan Ramadan.

Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan berzikir kepada-Nya.

Sepatutnya orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..

Sabdanya: Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya. (Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)

Terdapat ulama yang mengungkapkan kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang.”

As-Salaf as-Soleh (mereka yang terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan itulah adat mereka sepanjang masa;

7. Tidak menyibukkan diri dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru, dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya. Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan akhirat;

8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.

Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);

9. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)

10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.

Adalah dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.

Perbuatan tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan ‘wajib-wajib’ solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.

Oleh itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat dan rukunnya.

Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai . Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan) beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat an-Nasaei)

Sabtu, 12 Februari 2011

Sifat Tawadu'

Secara amnya tawadu' membawa maksud rendah diri, agama islam amat menggalakkan pengikutnya agar bersifat rendah diri,

kerana apa yang dimiliki di dunia yang sementara ini hanyalah pinjaman dari Allah s.w.t., dengan memiliki sifat ini juga kita

dapat menjauhkan diri dari sifat-sifat yang tidak diingini, seperti sombong, bongkak dan sebagainya, sifat-sifat sedemikian

bukan sahaja dimurkai Allah, malahan ia juga tidak disenangi oleh umat manusia.

Sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari sifat lalai dan lupa, adakalanya kejayaan yang kita kecapi membuatkan kita

berasa seronok sehinggakan terkadang kita terlupa untuk mengucapkan syukur pada Allah, ingatlah! setiap perkara yang terjadi,

tidak akan terjadi melainkan dengan izinNya. Dari itu, marilah sama-sama kita berdoa, agar Allah s.w.t memperbetulkan niat

kita dalam segala amalan.

Akhir kata, berjalanlah di bumi Allah ini dengan penuh rasa rendah diri, carilah keredhoan Allah dalam setiap amalan kita,

biar hina dimata manusia tapi mulia di sisi Allah.

Menyeru yang Ma'aruf dan Mencegah yang Mungkar

Islam menyeru kita semua untuk menyuruh manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah ta'ala berfirman:

"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran: 110)

Rasulullah s.a.w pula bersabda

"Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."(Riwayat Muslim)

Menyuruh yang ma'ruf bermaksud untuk menggalakkan orang ramai untuk terus beramal dengan perintah Allah atau mengajak mereka yang tidak mengamalkannya untuk mula melakukan perintah Allah. Manakala mencegah yang mungkar ialah dengan mencegah masyarakat dari jatuh dalam kemungkaran atau mengajak mereka yang telah terjerumus dalam kemungkaran untuk meninggalkannya.

Usaha melakukan islah ini merupakan tanggungjawab setiap muslim. Kita bertangungjawab untuk mengubah diri kita. Kita bertanggungjawab untuk mengubah cara hidup kita. Kita bertanggungjawab atas kehidupan keluarga kita. Kita bertanggungjawab atas masyarakat kita. Jika tiada siapa yang mahu bertanggungjawab untuk menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar pastinya kemungkaran akan berleluasa dan bertambah jauhlah kita dari Allah s.w.t.

Namun dalam usaha untuk melakukan perubahan, perlu diingatkan bahawa Islam menganjurkan agar apa jua perubahan yang hendak dilakukan, ia mesti dilakukan secara berhikmah.

Akan tetapi Apabila sesuatu perubahan itu ingin dilakukan dengan mendadak, ia akan mencetus kesan-kesan negatif seperti kemudaratan yang lebih besar, kesulitan kepada masyarakat atau individu berkenaan, melarikan orang lain dari kebaikan atau mungkin sahaja menyebabkan orang menjadi lebih degil dan terus melakukan kemungkaran. Kesemua ini hanya akan menimbulkan fitnah pada Islam dan umatnya.

Jika kita mengkaji cara dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, kita akan dapati bahawa beliau sentiasa menjaga prinsip bertahap-tahap dalam mengubah kaumnya. Rasulullah s.a.w bahkan mengajar sahabatnya untuk mengamalkan bertahap-tahap dalam melakukan perubahan. Beliau bersabda kepada Mu`az ketika menghantarnya ke Yaman;

"Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum dari Ahli Kitab. Maka jika kamu telah datang kepada mereka, ajaklah mereka untuk bersyahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhamad adalah Rasulullah. Jika mereka telah mentaatimu dengan ajakanmu itu, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan atas mereka solat lima waktu dalam sehari semalam. Jika mereka telah mentaati perintahmu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sedekah (zakat) yang diambil atau dipungut dari orang-orang kaya mereka kemudian dibahagikan kepada orang-orang miskin di antara mereka. Jika mereka telah mentaati perintahmu itu, maka janganlah kamu mengambil harta mereka yang berharga, dan takutilah kamu terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya tidak ada hijab antara doa mereka dengan Allah."(Riwayat Al-Bukhari)

Ini sesuai dengan firman Allah: Serulah (dakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [Al-Nahl 125]

Mesyuarat AJK 1/2011

Tarikh : 14/02/2011
Hari : Isnin malam Selasa
Masa : 900 malam
Tempat : Bilik Mesyuarat Masjid

Semua Penasihat, AJK dan Pegawai Masjid di jemput hadir.

Kelebihan Menuntut Ilmu

Sebagai seorang Islam, di antara kewajipan yang dituntut dalam memelihara akal ialah menuntut dan menguasai ilmu.

Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

"Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim."

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan menyedut udara segar kurniaan Allah..

Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu dari manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah diambil, seseorang akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu akan mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu kemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai bonusnya, Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang akan dihormati dan diberikan kemuliaan di tengah masyarakat. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah pemimpin dalam sesuatu perkara.

Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.

Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya. Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya.

Mesyuarat AJK Masjid 1/2011

Tarikh : 14/02/2011
Hari : Isnin malam Selasa
Masa : 900 malam
Tempat : Bilik Mesyuarat Masjid Parit 4.

Semua Penasihat, AJK dan Pegawai Masjid dijemput hadir.

Sabtu, 5 Februari 2011

Tizkiran, Tidak Semudah Yang disangka..

Memberikan tazkirah bukan satu perkara remeh, mudah, santai sehinggakan sesiapa sahaja boleh melakukannya tanpa disiplin tertentu. Di sini saya ringkaskan beberapa masalah dalam beberapa tazkirah termasuklah tazkirah sepanjang Ramadhan yang saya temui dan saya masih ingat. Tidak dinafikan terdapat tazkirah yang disampaikan dengan penuh ilmu dan penghayatan lantas memberi kesan pada diri saya dan orang lain. Tumpuan saya hanyalah pada segelintir tazkirah dan pentazkirah sebagai kritikan membina dan peringatan bersama.

Berserta nasihat ini juga saya sertakan cadangan penyelesaian untuk para pentazkirah agar kesilapan yang sama tidak akan berulang. Apa guna kita mengkritik jika kita tidak membantu?
Selamat membaca..

1- Terdapat sebahagian pentazkirah yang tersalah dalam menyebut ayat-ayat Al-Quran yang ingin dijadikan isi tazkirahnya. Bahkan ada yang tersalah memberikan terjemahan dan tafsiran. Contohnya terjemahan ayat 'Fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh' [iaitu ayat 191 dan ayat 217 dari surah al-Baqarah] dengan menafsirkan 'fitnah' sebagai 'tuduhan bohong terhadap manusia tidak bersalah'. Ini adalah terjemahan yang tidak tepat. 'Fitnah' di dalam kedua ayat tersebut bukan bermaksud 'tuduhan bohong' tetapi ia membawa maksud 'usaha orang-orang kafir yang mengganggu dakwah dan cuba memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran lantas menyemai amalan syirik'.


Cadangan:
Seeloknya pentazkirah menyenaraikan terlebih dahulu ayat-ayat yang beliau ingin gunakan lalu mengambil sedikit masa untuk menyemak terjemahan dan tafsirannya. Salah seorang ulama tafsir terkemuka negara Arab, Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi pernah menasihatkan di dalam bukunya Ma'a Qasas al-Saabiqin supaya para pendakwah membuat persediaan sebelum berdakwah agar dakwahnya lebih kukuh dan mantap serta kurang melakukan kesilapan.

2- Terdapat beberapa tazkirah yang menyebut hadith-hadith dhaif dan palsu. Adakah pentazkirah itu tahu ia dhaif dan palsu? Saya merasakan bahawa beliau tidak tahu. Namun begitu ia tetap satu perkara yang tidak wajar kerana hadith palsu itu akan tersebar dalam kalangan yang mendengar tazkirah. Contohnya seperti :

'Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China'
'Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad'
'Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, hujungnya pembebasan dari neraka'
'Beramallah untuk duniamu seolah kamu akan hidup selamanya, beramallah untuk akhiratmu seolah kamu akan mati keesokannya'
'Sesiapa yang inginkan dunia, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan keduanya, hendaklah memiliki ilmu'
'9/10 rezeki itu ada pada perniagaan'

Sedangkan kata-kata di atas telah pun dinilai sebagai palsu dan bukan hadith oleh ramai ahli hadith dan ulama sejak dahulu hingga kini. Maka bagaimana kita boleh 'terleka' dan 'tersebut' hadith-hadith ini dalam tazkirah di hadapan orang ramai? Kita tidak boleh asyik menuturkan alasan mudah seperti 'nak buat macam mana, saya tak tahu', 'saya ingatkan hadith' atau 'dah lama saya tahu ini hadith' dan sebagainya. Ini bukan alasan kerana hadith-hadith sahih terlalu banyak untuk kita capai dalam buku-buku terkemuka seperti Riyadhussolihin, Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Alasan itu boleh diterima dari mereka yang mendengar tazkirah, bukan 'pentazkirah'.

Cadangan:
Jadikan buku-buku utama hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Riyadhussolihin sebagai bahan rujukan utama jika ingin mencari hadith-hadith untuk digunakan dalam tazkirah. Tidak mengapa jika kita tidak menyebutkan terlalu banyak hadith. Cukup dengan satu dua hadith pun memadai jika dihuraikan dan dihayati maksudnya.

3- Menumpukan sesuatu isu yang kecil dan membesarkannya sedangkan ia tidak termasuk dalam kategori 'wajib' atau 'haram'.

Contohnya saya pernah mendengar seorang pentazkirah beria-ia memarahi orang yang tidak solat terawih 23 rakaat. Manakala dalam masa yang sama ada pula pentazkirah yang seolah menghadkan terawih mesti 11 rakaat dan tidak boleh lebih. Sedangkan di zaman awal Islam perkara sebegitu begitu kecil dan ada yang menunaikan solat sehingga 30 atau 40 rakaat lebih. Ia hanyalah bilangan rakaat.

Manakala terdapat pula pentazkirah yang memarahi anak-anak muda pergi ke masjid tanpa memakai kopiah dan baju melayu. Adakah ini satu perkara yang patut dibangkitkan sedangkan ia tidak wajib dan bukan asas dalam beragama?

Seorang lagi pentazkirah pula berkeras mahukan para jemaah mengkhatam Quran dalam bulan Ramadhan sedangkan ia bukanlah satu tuntutan wajib. Sesiapa yang berjaya khatam 30 juzuk maka ia satu perkara yang baik namun sesiapa yang tidak mampu, tidak wajar kita mempertikaikannya.

Cadangan:
Setiap isu dan perkara yang ingin dibawa mestilah dilihat dari segi 'keutamaannya'. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan menggariskan bahawa pendakwah dan umat Islam perlu menumpukan kepada yang lebih utama. Contohnya mendahulukan perkara wajib sebelum sunat, perkara tentang masyarakat sebelum individu, perkara haram sebelum makruh, perkara yang bermanfaat untuk ramai dan sebagainya. Buku beliau Fiqh al-Awlawiyyat telah pun diterjemah dan elok dijadikan bahan bacaan pendakwah.


4- Membawa kisah-kisah pelik dan ajaib yang tidak bersumberkan dari Al-Quran atau hadith sahih. Kisah-kisah ini adakalanya berkaitan umat terdahulu atau kadangkala kisah di zaman moden ini yang belum dipastikan kebenarannya.

Cadangan:
Sebagaimana kita membuat persediaan untuk menyemak ayat Al-Quran dan hadith yang akan kita gunakan dalam tazkirah, buatlah juga kajian tentang kesahihan kisah atau cerita pelik yang akan kita sampaikan nanti. Tidak semua kisah pelik itu benar. Ada kisah pelik dan ajaib yang memang ada dalam Al-Quran dan hadith. Tetapi ada juga kisah pelik yang tiada dalam mana-mana sumber yang diyakini.

5- Berdoa terlalu lama selepas tazkirah sehingga para jemaah tidak selesa. Doa bukanlah satu kemestian setiap kali selepas tazkirah. Namun begitu jika pentazkirah ingin berdoa, dinasihatkan agar berdoa dalam kadar sederhana dan tidak terlalu panjang. Kita semua tahu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memarahi sahabatnya Mu'adz Bin Jabal kerana terlalu memanjangkan solat ketika menjadi imam solat fardhu. Tidakkah hadith ini boleh membuatkan kita terfikir, adakah patut kita memanjangkan doa sehingga terlalu lama?

Cadangan:
Berdoalah dengan doa-doa ringkas yang diterjemahkan agar dapat dihayati oleh mereka yang mendengar tazkirah. Malah amat memadai kalau kita akhiri dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Itu sudah cukup cantik dan ringkas serta mencapai matlamat.

Itulah sekadar yang dapat saya kongsi untuk kali ini. Maafkan saya jika terkasar atau mengguris hati sesiapa. Apa yang baik, harap disebarkan.

Hentikan Perbuatan Khurafat dan Bidaah

Mekah, 19 Oktober, Jemaah-jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji musim 1431 Hijrah diingatkan tidak membazir masa dan merancang aktiviti serta menjauhi perbuatan kufur atau bertentangan dengan akidah semasa berada di tanah suci.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah ketika memberi nasihat itu meminta mereka menggunakan kesempatan berada di tanah suci sebaik-baiknya dengan menumpu kepada amalan-amalan bagi mencapai kesempurnaan ibadah.


"Analisis dan maklum balas yang diterima musim lepas mendapati ada jemaah terutama golongan tua masih melakukan perbuatan bidaah seperti mengambil batu di Mina dengan kepercayaan untuk murah rezeki.

"Saya harap perbuatan khurafat dan bidaah seperti ini dihentikan. Lebih baik berdoa di tempat mustajab antaranya di Multazan dan hadapan Kaabah di Masjidil Haram memohon Allah SWT mengabulkan doa kita," kata beliau kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah di sini Selasa.

Tengku Aziz yang juga setiausaha bahagian Ibadat dan Ziarah TH di Mekah mengingatkan jemaah tentang tujuan utama mereka datang menunaikan fardu haji dan digalakkan banyak meluangkan masa beribadat di Masjidil Haram.

"Di sini saya ingin menekankan tentang rukun wajib haji dan umrah terutama jemaah yang kali pertama menunaikan haji supaya benar-benar faham mengenainya bagi membantu mereka mendapat haji mabrur.

"Kita mendoakan semoga jemaah-jemaah yang mendapat haji mabrur apabila pulang nanti akan terus mengamalkan ciri-ciri orang solehah," katanya.

Beliau berkata jemaah yang tiba awal di tanah suci digalakkan melakukan ziarah di Arafah (tempat wukuf), Muzdalifa (tempat bermalam) dan Mina (tempat melontar jamrah) bagi mendapat gambaran untuk membuat persediaan menjelang hari wukuf 14 Nov ini.

Kota Mekah pula mula menerima kedatangan tetamu Allah setiap hari. Rombongan kedua jemaah haji Malaysia dari Madinah tiba di hotel Al Janadriyah awal hari ini selepas rombongan pertama lebih 1,100 orang tiba semalam.

Perjalanan mereka dengan bas lancar. Kesihatan jemaah Malaysia yang berada di Kota Mekah juga dalam keadaan baik dan memuaskan walaupun cuaca panas dan kering.

Bersabarlah Wahai Saudaraku...

Hidup yang beberapa tempoh lamanya ini tidak terlepas dari kita akan beberapa situasi yang menyukarkan kita. Tatkala ini berlaku, bermacam-macam perasaan datang, yang kadang-kadang boleh merosakkan diri dan iman kita.

Renung dan perhatikanlah beberapa ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam berikut. Ia khusus untuk memperbaiki cara kita pandang dan fikir terhadap setiap masalah yang menimpa diri kita.


Mudah-mudahan kalam ALLAH Yang Maha Benar dan kalam Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam berikut bisa menenangkan jiwa kita. Semoga dengan membacanya makin bertambah kekuatan sabar dan redho di dalam diri kita semua tatkala berhadapan dengan masalah, musibah dan kesukaran, insyaALLAH:



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا

Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu” (Ali ‘Imran, 3:200)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:155)

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar, 39:10)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:153)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.” (Muhammad, 47:31)

Berikut pula beberapa hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam:

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman, di mana apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan, ia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, ALLAH Ta’ala berfirman: “Tidak ada pembalasan bagi seorang hambaKU yang mukmin yang telah AKU ambil kembali kekasihnya dan ahli dunia ini kemudian ia hanya mengharapkan pahala daripadaKU, kecuali pembalasan syurga.” (HR Bukhari)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya ALLAH Ta’ala berfirman: “Apabila AKU menguji salah seorang hambaKU dengan buta kedua matanya, kemudian ia sabar, maka AKU akan menggantikannya dengan syurga.” (HR Bukhari)

Dari ‘Atha’ bin Abi Rabah berkata: “Ibnu ‘Abbas radhiAllahu ‘anhuma berkata kepadaku: “Mahukah kamu saya tunjukkan seorang wanita yang termasuk ahli syurga?” Saya menjawab: “Ya, saya mahu”. Ia berkata: “Itu wanita hitam yang pernah datang kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang mana ketika itu dia berkata: “Sesungguhnya saya mempunyai ayah dan sesungguhnya saya mempunyai penyakit ayan, dan sesungguhnya pernah terbuka aurat saya kerananya (penyakit itu), oleh itu doakanlah kepada ALLAH Ta’ala agar penyakit saya sembuh.” Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kamu mahu sabar maka kamu akan mendapatkan syurga, dan apabila kamu tetap meminta maka saya pun akan berdo’a kepada ALLAH agar DIA menyembuhkan penyakitmu itu.” Wanita itu berkata: “Saya akan bersabar”. Kemudian wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya kadang-kadang sampai terbuka aurat saya, maka do’akanlah kepada ALLAH agar aurat saya tidak terbuka.” Maka Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pun mendo’akan baginya. (HR Bukhari & Muslim)

Dari Abu Sa’id dan Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhuma, dari Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seorang muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahupun kedukacitaan akibat tertusuk duri pun, nescaya ALLAH akan menebus dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang dikehendaki oleh ALLAH menjadi orang baik, maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya.” (HR Bukhari)

Dari Ibnu Mas’ud radhiAllahu ‘anhu berkata: “Saya masuk ke tempat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang beliau menderita sakit panas, kemudian saya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan benar-benar menderita sakit yang panas sekali.” Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Benar, sakit panas yang saya deritai ini dua kali ganda yang biasa dideritai oleh seseorang di antara kamu sekalian.” Saya berkata: “Kalau begitu, tuan mendapat pahala dua kali ganda.” Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Benar, memang demikianlah keadaannya. Seorang muslim yang tertimpa suatu kesakitan, baik itu berupa duri ataupun lebih dari itu nescaya ALLAH menutupi kesalahan-kesalahannya dan menghapus dosa-dosanya sebagaimana daun berguguran dari pohonnya.” (HR Bukhari & Muslim)

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila ALLAH Ta’ala mencintai sesuatu bangsa maka ALLAH menguji mereka; barangsiapa redho maka ALLAH akan meredhoinya. Dan barangsiapa yang marah, maka ALLAH akan memarahinya.” (HR at-Turmudzy)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila ALLAH menghendaki hambaNYA itu menjadi orang baik maka DIA akan menyegerakan seksaannya di dunia ini, dan apabila ALLAH menghendaki hambaNYA itu menjadi orang jahat, maka DIA akan menangguhkan balasan dosanya sehingga akan dituntut nanti pada Hari Kiamat.”

Dari ‘Aisyah radhiAllahu ‘anha bahawasanya dia bertanya kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tentang wabak taun. Kemudian Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam memberitahu kepadanya bahawa wabak taun itu merupakan seksaan yang ditimpakan oleh ALLAH Ta’ala kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNYA. Akan tetapi ALLAH Ta’ala menjadikannya sebagai rahmat bagi orang-orang yang beriman. Seseorang yang tetap tinggal pada suatu daerah yang dijangkiti taun dan dia sabar, malah memohon kepada ALLAH serta sedar bahawa dia tidak akan tertimpa musibah itu kecuali apabila ALLAH telah mentaqdirkannya maka dia akan mendapat pahala seperti pahalanya orang yang mati syahid.“ (HR Bukhari)

Semoga hati kita lebih tenang dan redho setelah membaca kalam-kalam yang mulia di atas. Lantas menerbitkan kesabaran yang mantap dan iman yang padu dalam menempuh ranjau hidup yang penuh mencabar di hadapan sana. Mudah-mudahan ALLAH bersama-sama kita, amin…

WAllahu Ta’ala A’lam.

Sebelum Beramal dan Berucap, Tuntutlah Ilmu

Bagaimana dapat dipastikan satu-satu amalan itu dilakukan sempurna dan betul, andai pelakunya tidak mempunyai ilmu tentang amalan yang mahu dilakukan.

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menegur sahabat yang berwudhuk dengan tidak menyempurnakan basuhan air ke kaki. Baginda bersabda, “Azab seksaan dan kebinasaan bagi tumit-tumit kaki tersebut”.
Riwayat Bukhari (no: 60), dan Muslim (no: 241).



Amalan yang dilakukan jika tidak menepati sunnah, tidak berlandaskan ilmu, ia tidak diterima oleh Allah Taala. Lebih dahsyat, bukan pahala yang diperoleh, dibimbangi azab seksaan yang menanti di sana.

Justeru, menuntut ilmu sebelum membuat amalan adalah kewajipan setiap muslim, tanpa pengecualian. Amat wajar guru sekalian ulama hadits, Imam Bukhari di dalam kitab Sahihnya, membikin sebuah bab bertajuk ‘Ilmu Sebelum Pertuturan dan Perbuatan’.


Dalilnya, kerana Allah Taala dalam Al-Quran, menyebut:

Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)” (Muhammad: 19)

Perhatikan susunan pada ayat tersebut, bagaimana Allah Taala mendahulukan arahan supaya mengetahui, sebelum menyebut arahan supaya beristighfar kepadaNya. Sifir mudahnya, ilmu mesti didahulukan sebelum perkataan dan perbuatan.

Demikian dalil al-Quran tentang perlunya ilmu sebelum amal. Apakah alasan logiknya pula? Rasionalnya, kerana setiap amalan tidak diterima Allah kecuali jika ia menepati syariat yang diturunkan. Dan tidak mungkin seseorang muslim dapat mengetahui syariat Allah, kecuali dengan menuntut ilmu. Natijahnya, wajib menuntut ilmu sebelum membuat amalan.

Akibat amalan ibadah tanpa ilmu, tersesatnya golongan Nasrani. Ibadah mereka kuat, perasaan kasih sayang mereka mendalam, dan dihiasi pula dengan rahbaniyyah yang mereka ada-adakan. Tetapi sayang, mereka tiada cakna terhadap ilmu. Lantas menjadi golongan yang menyeleweng dan sesat.

Kerana ibadah tanpa sandaran ilmu jualah, terpesongnya sebahagian pentaksub amalan tarekat batiniyyah. Lain yang disabda, lain pula yang dibuat. Yang disabda ditinggalkan, konon ia amalan orang awam. Tidak sesuai diamalkan oleh golongan khawass. Yang diamalkan pula, ada pula tokok tambahnya. Puncanya, amalan tanpa pengetahuan.

Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu supaya amalan yang dilakukan diterima Tuhan. Jangan terikut-ikut resam orang Nasrani, amal ibadatnya banyak, tetapi ilmunya sedikit.

Pesanan Untuk Si Kaya

Merenung, mengkaji dan mempelajari kisah para Nabi dan Rasul di dalam Al-Quran pasti akan membawa kepada pelbagai kesan positif. Kali ini mari kita bersama melihat dan merenung kisah Nabi Sulaiman a.s. sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran. Kisah yang cukup menarik tentang seorang yang bukan sahaja dilantik sebagai Nabi malah juga seorang Raja yang memiliki kekayaan dan kerajaan.

SEJAUH MANA KEKAYAAN NABI SULAIMAN?

Bagaimana kekayaan dan kekuasaannya? Mari kita lihat apa kata Nabi Sulaiman a.s. sendiri:


قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya:
Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".
[Surah Sad, ayat 34 dan 35]

Kekayaan yang tidak ada bandingnya..tiada tandingan daripada sesiapa pun! Itulah kekayaan Nabi Sulaiman a.s.

KEKAYAAN...DAN ILMU!

Bukan hanya kekayaan yang diperolehi oleh Nabi Sulaiman a.s. Malah beliau juga dikurniakan ilmu pengetahuan. Apalah kekayaan tanpa ilmu yang mampu memeliharanya. Lihatlah firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
[Surah al-Naml, ayat 15]

APAKAH SIKAP NABI SULAIMAN?

Sebahagian manusia akan sombong apabila memiliki kekayaan dan ilmu pengetahuan. Begitulah sikap yang menjadi lumrah dalam alam ini. Namun sebahagian lagi sedar bahawa kekayaan milik Allah...ilmu juga kurniaan Allah...maka mengapa perlu aku angkuh dan sombong?

Sikap Nabi Sulaiman a.s. amat jelas dan terang - Bersyukur dan beramal soleh. Masih ingat lagi bagaimana kisah Nabi Sulaiman a.s. melalui satu lembah semut? Mari kita baca bersama dan fokus pada sikap SYUKUR dan BERAMAL dalam diri Baginda:

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya:
Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml" (lembah semut), berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
[Surah al-Naml, ayat 17 hingga 19]

MAKA NASIHAT DAN PESANAN UNTUK SI KAYA:

1-Ingat segala kekayaan adalah kurniaan Allah SWT. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.

2-Mohonlah keampunan di atas kesilapan yang telah dilakukan. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.

3 -Bersyukurlah kerana itu sahajalah sikap yang mampu menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat nanti. - Surah al-Naml, ayat 19.

3-Pastikan ilmu juga bertambah sebagaimana harta kita bertambah. - Surah al-Naml, ayat 19.

4- Amalan soleh perlu dijaga kerana itulah bekalan kita di akhirat sana. Seorang yang kaya adalah lebih mudah untuk mengerjakan amalan soleh dengan pelbagai cara dan kemudahan. - Surah al-Naml, ayat 19.

Semua nasihat ini disimpulkan daripada kisah seorang Nabi dan Raja yang agung - Sulaiman alaihissalaam

Khamis, 3 Februari 2011

Merungkai Misteri Dalam Kaabah

iap hati umat Islam yang menunaikan fardu haji akan terusik apabila melihat Kaabah buat kali pertama. Hati yang bagaimana kuat sekalipun akan menjadi lemah apabila 'Rumah Allah' itu dipandang. Kerap, tanpa disedari, hati menjadi amat terharu dan dengan tiba-tiba air mata membasahi pipi.

Tetapi bagaimana pula agaknya perasaan kita apabila berada di dalam Kaabah? Ya, bukan dekat Kaabah, tetapi di dalam Kaabah sendiri!

Saya dan tiga rakan lain dari Singapura - Ahmad Mohd Don, Hussein Jahidin dan Sulaiman Jeem – mendapat peluang memasuki Kaabah semasa kami berada di Tanah Suci, Makkah, kerana menunaikan haji pada 8 September 1983. Kami dan rakan-rakan wartawan lain dari negara-negara Islam di seluruh dunia yang berjumlah kira-kira 150 orang, berada di tanah suci atas undangan kerajaan Arab Saudi. Kami tidak diberitahu terlebih dulu tentang rancangan untuk menyaksikan upacara mencuci Kaabah.

Pagi itu, saya sendiri sedang bersiap-siap untuk bersiar-siar di sekitar Makkah setelah bersarapan, apabila diberitahu supaya jangan meninggalkan hotel. Setelah semua wartawan berkumpul, barulah kami mendapat tahu bahawa kami akan berpeluang melihat acara mencuci Kaabah.

Kami berjalan masuk mengikut pintu besar Masjidil Haram yang bernama Abdulaziz yang telah pun dikawal ketat oleh askar Saudi. Dari jauh Kaabah kelihatan 'sendirian'. Tidak ada seorang pun yang melakukan tawaf. Suasana begitu hening. Kira-kira 20 meter dari Kaabah, kelihatan askar Saudi yang berdiri rapat-rapat, membentuk satu bulatan mengelilingi Kaabah, untuk menghalang orang ramai daripada mendekati 'Rumah Allah' itu.

Melihat Kaabah yang begitu 'lengang' para undangan, termasuk kumpulan kami, para wartawan, mengambil peluang untuk bergambar dengan Kaabah. Kami juga dibenarkan bertawaf dan berkesempatan untuk mencium batu hitam, Hajar Aswad, dengan sepuas-puasnya. Malah, kami juga dapat bergambar di sebelah Hajar Aswad.

Kami juga dibenarkan bertawaf dan berkesempatan untuk mencium batu hitam, Hajar Aswad, dengan sepuas-puasnya. Malah, kami juga dapat bergambar di sebelah Hajar Aswad…"

Ketika itu panas belum begitu terik kerana jam baru menunjukkan kira-kira 8.30 pagi. Sewaktu para undangan sibuk mencium Hajar Aswad secara bergilir-gilir, beberapa orang pekerja kelihatan menolak sebuah tangga, dan membawanya ke pintu Kaabah. Seorang pegawai kemudian naik tangga itu, menyingkap kain yang menutupi pintu Kaabah, dan kelihatanlah pintu yang berwarna kuning keemas-emasan itu.

Pintu itu kemudian dibuka dan serentak dengan itu, ribuan jemaah yang melihat peristiwa itu dari jauh, bersuara: "Ha!" Terdengar juga, dari jauh, suara orang yang memekik: "Allahu Akbar." Di saat itu pulalah Gabenor Makkah, yang akan memimpin upacara mencuci Kaabah itu, tiba. Beliau melakukan tawaf dan kemudian naik tangga dan masuk ke dalam Kaabah. Beberapa minit kemudian beliau turun Kini tiba pula giliran para undangan untuk masuk ke dalam Kaabah!

Keadaan menjadi tidak terkawal buat seketika. Suruhan beratur tidak dipedulikan. Tiap orang kelihatan tidak lagi sabar untuk melihat bahagian dalam 'Rumah Allah' itu. Akhirnya tibalah giliran saya untuk naik. Sebaik saja kaki saya memijak anak tangga pertama, fikiran saya segera teringat kepada perbualan dengan seorang ustaz pada hari sebelumnya. Kebetulan kami bercakap tentang Kaabah. Ustaz itu berperi-peri berpesan kepada saya dan rakan-rakan yang lain supaya jangan sekali-kali mendongak ke atas apabila berada dalam Kaabah. Beliau tidak memberikan sebab-sebab tertentu. Tetapi itu sajalah pesanannya.

Bagaimanapun, sebaik-baik saja kaki saya melangkah masuk ke dalam Kaabah, perkara pertama yang saya lakukan ialah mendongak ke atas untuk melihat 'apakah yang ada di atas' Kaabah itu.

Saya tidak nampak apa-apa kecuali hitam pekat. Bumbung Kaabah kelihatan keras. Ada kemungkinan kehitaman bumbung itu disebabkan cat hitam. Ada kemungkinan juga ia adalah sebahagian daripada kain Kaabah. Keadaan dalam Kaabah itu gelap. Tidak ada sebarang lampu. Satu-satunya cahaya yang menerangi bahagian dalam Kaabah itu datangnya daripada pintu Kaabah yang terbuka.

Asap kemenyan memenuhi ruang dalam Kaabah itu. Lantainya pula dibasahi air mawar yang mengeluarkan bau semerbak. Beberapa orang pekerja kelihatan sedang mengelap lantai itu. Beberapa orang yang lain pula, mengelap dindingnya.

Hampir di tiap bahagian dinding Kaabah itu, para undangan sedang menunaikan sembahyang sunnat dengan khusyuk. Mereka menghadap tiap bahagian dinding Kaabah. Tidak ada ruang yang tinggal untuk membolehkan saya bersembahyang. Jadi, kesempatan itu saya gunakan untuk terus meneliti keadaan dalam Kaabah itu. Lantai Kaabah dibuat daripada mar-mar putih. Begitu juga dindingnya. Bagaimanapun, pada satu bahagian dinding itu, kelihatan ukiran ayat-ayat suci.

Terdapat beberapa batang tiang di dalam Kaabah yang diperbuat dari batu mar-mar. Besar tiang itu kira-kira satu pemeluk. Pada satu bahagian dinding itu disalut dengan kayu yang berukiran. Mungkin ukiran ayat-ayat suci.

Terdapat juga para-para yang di atasnya diletakkan beberapa buah cerek yang kelihatan diperbuat daripada tembaga. Tidak saya ketahui apakah yang ada dalam cerek itu. Berkemungkinan besar ia berisi air mawar yang digunakan untuk mencuci bahagian dalam Kaabah.

Kemudian, tibalah giliran untuk saya menunaikan sembahyang. Perasaan yang begitu terharu membuat saya 'terlupa' diri. Tidak teringat oleh saya bahawa lantai yang saya pijak itu sedang lecak oleh air mawar dan akan membasahi hampir seluruh pakaian saya.

Selesai bersembahyang, pegawai yang bertugas cepat-cepat memerintahkan saya supaya turun, kerana ramai undangan lain yang sedang menunggu giliran untuk masuk ke dalam Kaabah itu. Perintah itu saya turut dengan rasa puas bersama kenangan abadi walaupun tempoh saya berada dalam Kaabah itu hanya kira-kira lapan minit.

"SEBAIK SAJA KAKI SAYA MEMIJAK ANAK TANGGA PERTAMA, FIKIRAN SAYA SEGERA TERINGAT KEPADA PERBUALAN DENGAN SEORANG USTAZ... USTAZ ITU BERPERI-PERI BERPESAN KEPADA SAYA DAN RAKAN-RAKAN YANG LAIN SUPAYA JANGAN SEKALI-KALI MENDONGAK KE ATAS APABILA BERADA DALAM KAABAH. BELIAU TIDAK MEMBERIKAN SEBAB-SEBAB TERTENTU. TETAPI ITU SAJALAH PESANANNYA..."