SHAH ALAM 2 MAC : Kerajaan Negeri hari ini melancarkan Seminar Wanita
Masjid bagi meningkatkan penyertaan golongan itu dalam program masjid
dan bagi memupuk kepimpinan di dalam institusi masjid di Selangor.
Bertempat di Masjid Negeri pagi tadi, seminar yang julung-julung kali
dianjurkan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
yang juga merupakan Exco Hal Ehwal Islam.
“Ini antara usaha perintis kita untuk memupuk semangat cintakan
masjid di kalangan wanita seterusnya menjadikan mereka lebih berminat
dan yakin untuk beribadat di masjid.
“Di samping itu, kita juga berharap agar usaha ini dapat menyemai
budaya cintakan ilmu dan maklumat di kalangan mereka, seterusnya membina
asas kepimpinan wanita yang proaktif di masjid,” ujar Abdul Khalid di
hadapan hampir 2, 000 peserta.
Bagi
mencapai segala objektif itu, tambahnya, Kerajaan Negeri juga akan
memperlengkapkan setiap masjid di negeri ini dengan perkhidmatan
internet ‘wifi’.
“Dengan ini, komunikasi yang lebih interaktif dapat diadakan dengan
meluas secara online, yang pastinya memberi banyak manfaat kepada
semua,” jelas beliau.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk
Marzuki Hussin ternyata gembira dengan sambutan yang diterima hari ini.
“Kita jangkakan hanya sekitar seribu penyertaan tapi ternyata kita terima lebih ramai lagi (peserta).
“Ini adalah satu petanda positif untuk program sebegini,” jelas beliau.
Hadir sama ialah isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut serta Timbalan Exco Hal Ehwal Islam, Dr. Abdul Rani Othman.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan