Sabtu, 31 Oktober 2009

Individu Bertauliah Baca Khutbah Jumaat


GOMBAK, 31 Okt - Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Hasan Ali berkata hanya mereka yang bertauliah sahaja yang dibenarkan untuk menyampaikan khutbah Jumaat dan kuliah agama di masjid dan surau negeri ini.
Hasan Ali menegaskan peraturan dan garis panduan sudah pun dikeluarkan namun masih ada individu tertentu yang ingkar mengikutinya.
Bagaimanapun, pentauliahan itu hanya dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan menetapkan beberapa proses tertentu sebelum seseorang itu layak berbuat demikian.
“Peraturan-peraturan itu telah pun diberitahu sebenarnya kepada masjid-masjid dan surau-surau dan selepas ini peraturan itu akan diletak dalam bentuk notis yang agak besar di dinding-dinding tempat yang boleh dilihat dengan terang di surau dan masjid dan sebagainya. Antara peraturan itu ialah setiap pemberi khutbah, pengkuliah dan sebagainya mesti ada tauliah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS)”, katanya.
Berkata demikian selepas menyerahkan bantuan Skim Mesra Usia Emas di Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia hari ini.
Sebelum ini terdapat aduan daripada penduduk Seksyen 19 mendakwa seorang pemimpin politik menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Seksyen 19, Shah Alam baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, sebagai Exco Hal Ehwal Islam Selangor beliau dikecualikan sepertimana yang termaktub dalam Enakmen dan kaedah-kaedah pentadbiran Agama Islam Selangor.
“Itu kita sudah bagi tahu nazir-nazir, selagi tidak bertauliah, siapa pun tidak dibenarkan untuk memberi khutbah, macam saya misalnya membaca khutbah memang sudah ada dalam Enakmen dan juga Kaedah-kaedah Pentadbiran Agama Islam Selangor, bahawa Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor dibenarkan untuk memberikan khutbah, kuliah dan sebagainya”, jelasnya

Isnin, 26 Oktober 2009

Rebut 5 Sebelum Datang Yang 5


Daripada Ibn Abbas r.a. , Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud:
"Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan mudamu sebelum tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan sakitmu, keadaan kaya sebelum fakirmu, keadaan lapangmu sebelum waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu."
Hadis riwayat Imam al-Hakim.
Allah s.w.t telah menciptakan manusia di dunia ini dengan tujuan mengEsakan Allah dan mengabdikan diri kepadaNya semata-mata.
Untuk mencapai tujuan ini, Allah azza wajall tidak membiarkan manusia begitu sahaja, tetapi Allah s.w.t telah membekalkan kepada manusia segala keperluan bagi melayari bahtera kehidupan dunia ini dengan pelbagai nikmat yang tidak dapat dikira manusia; usia, kekuatan, kekayaan, masa, kehidupan dan sebagainya.
Biasanya manusia akan hanyut apabila dikurniakan dengan nikmat-nikmat seperti, masa lapang yang ada, kekayaan, zaman mudanya dan juga kesihatannya.
Maka dalam hadis tadi, Rasulullah s.a.w telah menjelaskan kepada kita kepentingan merebut peluang-peluang memperbanyakkan ibadah kepada Allah s.w.t ketika 5 keadaan tadi yang merupakan takdir baik sebelum datang 5 keadaan lain yang merupakan takdir buruk bagi manusia.
Marilah kita manfaatkan takdir-takdir yang baik ini, memperbanyakkan ibadah, saling mengajak kepada kebaikan, sampaikan yang benar, cegah kemungkaran dengan kebijaksanaan, supaya kita tidak tergolong diantara orang-orang yang menyesal di akhirat kelak.

Mengapa Tidak Solat ?


Solat adalah ibadah yang paling utama dalam Islam. Ia diibaratkan sebagai 'imaaduddin' atau 'tiang agama'. Namun pada hari ini, ada di antara kita yang rasa terbeban untuk melakukan solat. Mungkin kerana malas, sibuk, penat, atau mungkin juga solat yang dilakukan seperti tiada kesan. Padahal solat adalah keperluan manusia, seperti mana kita perlu udara untuk bernafas, serta makan dan minum untuk mengisi perut. Begitu juga dengan solat 5 waktu yang berfungsi sebagai 'charger' untuk memulihkan jiwa kita.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda: "Jika ada sebatang sungai yang mengalir di hadapan pintu rumah salah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di sungai itu 5 kali sehari, adakah masih terdapat kotoran (pada badannya)?" Para sahabat menjawab, "Tidak akan tertinggal sedikit pun kotoran." Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, "Maka begitulah solat 5 waktu. Melalui solat, Allah akan mengampunkan dosanya."
Dalam hidup, ada kalanya kita menghadapi kesulitan sehingga tubuh dan fikiran kita merasa letih dan tertekan. Namun melalui solat, kita diajak untuk mengingati Allah dan mengadu kepadaNya. Dan Allah akan mengampunkan dan memberi ketenangan pada jiwa kita. Begitulah peranan solat 5 waktu yang terus-menerus memberi kekuatan pada jiwa seorang Muslim. Maka rugilah orang yang tidak melakukan solat kerana menganggapnya sebagai suatu beban, sedangkan solat itu sendiri yang dapat meringankan beban manusia.
Akhir kata, semoga Allah mudahkan kita dalam melaksanakan ibadah solat dan memeliharanya pada setiap waktu.

Kewajipan Memelihara Bumi Allah


SEBAGAI khalifah Allah di muka bumi, manusia memikul amanah cukup besar. Manusia bertanggungjawab sepenuhnya bagi memakmurkan bumi serta memelihara segala khazanah kekayaan Allah daripada segala bentuk ancaman, kerosakan dan kemusnahan.
Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya dunia ini cantik, subur menghijau dan sesungguhnya Allah menjadikan kamu (wahai manusia) selaku pengurusnya dan apa yang terdapat padanya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
Sebenarnya, semua ciptaan Allah yang terdiri daripada haiwan, tumbuhan, lautan, gunung-ganang malah virus yang amat kecil itu mempunyai faedah tersendiri buat kehidupan manusia. Semua diciptakan Allah untuk dimanfaatkan dengan cara yang terbaik bagi memudahkan kehidupan manusia di muka bumi ini.
Begitulah kehebatan dan rahmat Allah SWT yang tidak sesekali membiarkan manusia hidup dalam keadaan serba kekurangan dan kedaifan. Dengan sifat ar Rahmaan dan ar Rahim-Nya, manusia sama ada yang beriman atau kufur terus diberi nikmat. Hal ini sewajarnya menjadikan manusia semakin tunduk patuh kepada-Nya.
Bagi hamba yang memiliki iman yang sempurna, segala kejadian ciptaan Allah menjadikan mereka sentiasa berfikir mengenai kehebatan Allah SWT. Penciptaan makhluk di langit dan di bumi menjadi antara tanda jelas membuktikan kewujudan dan kehebatan Allah s.w.t. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi orang yang beriman." (Surah al-Jaathiyah, ayat 3).
Secara jelas, Islam melarang umatnya melakukan kerosakan di muka bumi. Kerosakan yang dimaksudkan termasuk melakukan perbuatan maksiat dan keji oleh mereka yang alpa akan larangan Allah serta kerosakan yang membabitkan kemusnahan alam ciptaan Allah.
Dewasa ini, sesetengah pihak bersifat rakus menghimpun kekayaan dunia dengan menjalankan projek pembangunan mega sehingga sanggup merosakkan ekosistem alam. Gunung-ganang ditarah tanpa kajian dan penelitian, pokok balak ditebang secara haram, kawasan tadahan hujan dibotakkan sewenang-wenangnya sehingga seluruh hidupan termasuk manusia dan haiwan menderita menanggung akibatnya.
Disebabkan kerakusan serta sifat tamak manusia yang mengabaikan tanggungjawab memelihara alam semula jadi ini akan menyebabkan berlaku kerosakan dan bencana yang akan mengganggu kehidupan mereka sendiri. Firman Allah yang bermaksud: "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)." (Surah ar-Ruum, ayat 41).
Allah s.w.t amat membenci golongan yang melakukan kerosakan di muka bumi. Firman-Nya yang bermaksud: "Kemudian apabila ia pergi (dengan mendapat hajatnya), berusahalah ia di bumi, untuk melakukan bencana padanya, dan membinasakan tanaman dan keturunan (binatang ternak dan manusia); sedangkan Allah tidak suka kepada bencana kerosakan." (Surah al-Baqarah, ayat 205).
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakan." (Surah al-Qasas, ayat 77). Penciptaan kehidupan di atas muka bumi yang terkandung di dalamnya pelbagai jenis flora dan fauna memerlukan penjagaan dan pemeliharaan bagi memastikan sistem ekologi berfungsi dengan lancar dan baik.
Aturan kehidupan tersebut yang seimbang adalah menurut sunnatullah yang sentiasa beroperasi untuk memastikan manusia mendapat faedah daripadanya. Sistem yang amat istimewa diciptakan Allah ini dikenali ekosistem yang sangat unik dan sistematik. Justeru, manusia sebagai khalifah tidak terlepas daripada tanggungjawab bagi memastikan tiada sebarang kerosakan dan kemusnahan di atas muka bumi yang boleh menjejaskan perjalanan sistem ini.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu, dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu." (Surah Ibrahim, ayat 32-33).
Sebagai manusia yang dianugerahkan akal fikiran yang boleh menentukan baik buruk sesuatu perkara, manusia seharusnya mengawal diri daripada terus mengeksploitasi sumber alam secara berlebihan.
Fenomena seperti tanah runtuh, banjir kilat dan jerebu haruslah dijadikan renungan agar kita dapat memikirkan kesan jangka masa panjang terhadap kerakusan mengaut keuntungan dunia yang tidak berkesudahan.
Maka, semua pihak haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memelihara keindahan alam semula jadi agar generasi akan datang akan terus mendapat nikmat yang tidak ternilai ini.

Qiamullail Bulanan

Insyaallah, Program Qiamullail yang tertangguh sebelum ini akan disambung semula pada,
Tarikh : 31/10/2009
Hari : Sabtu
Masa : 430 pagi
Tempat : Masjid Parit 4 Sg Hj Dorani.

Muslimin muslimat yang berkelapangan, sila hadirkan diri kerana banyak kelebihan Sembahyang Malam, Insyaallah.

Politik Punca Perbalahan !

PERBEZAAN pendapat mengenai sesuatu isu menyebabkan semangat perpaduan sesama umat Islam terhakis. Kesannya, muncul pelbagai keadaan negatif dalam kehidupan bermasyarakat seperti fitnah, prasangka buruk, cabar-mencabar, hasad dengki, dendam dan mendedah keaiban orang lain.
Umat Islam perlu mengelak sebarang perselisihan, sebaliknya mencari jalan penyelesaian terbaik bagi merapatkan kembali ikatan perpaduan sesama umat.Firman Allah yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah itu)." (Surah al-Hujurat, ayat 10).
Politik tidak dapat dipisahkan dengan Islam yang bersifat syumul (sempurna) dalam segenap perkara yang membabitkan urusan dunia dan akhirat. Namun, jika umat Islam terus merenggangkan perbezaan fahaman politik masing-masing, maka tercetuslah perpecahan ummah yang melemahkan kekuatan Islam. Lebih teruk jika perjuangan politik hanyalah semata-mata untuk kedudukan serta kepentingan peribadi.
Walaupun bertujuan baik, keadaan yang sesak dalam suasana yang berhimpun padat itu akan mewujudkan situasi kurang sopan yang mencerminkan budaya yang tidak sihat. Ini memudahkan musuh mencatur agenda memusnahkan perpaduan.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantah (berselisihan), kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu." (Surah al-Anfal, ayat 46). Tujuan berdemonstrasi harus jelas dan menjamin impak terbaik buat semua. Jika sekadar wadah bagi mengumpul kekuatan dan menunjukkan kehebatan diri sendiri, ia menyalahi tuntutan Islam.
Apakah sudah tiada jalan penyelesaian terbaik bagi menangani sesuatu isu selain berdemonstrasi?Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim).
Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai orang beriman, janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain, dan janganlah pula kamu panggil memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk." (Surah al-Hujurat, ayat 11).
Jika dilihat secara positif, terdapat beberapa cara yang dituntut Islam bagi menyuarakan sesuatu pendapat atau mengajak manusia ke arah kebaikan. Contohnya, apabila Allah memerintahkan Nabi Musa dan Nabi Harun menemui Firaun bagi menerima keesaan Allah, lalu diperintah mereka menuturkan kata-kata yang lembut dan bukan dengan angkuh atau menggunakan kekerasan.
Firman Allah yang bermaksud: "Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan dia ingat atau takut." (Surah Toha, ayat 43-44).
Konsep tegur-menegur secara berhikmah dan berhemah adalah sesuatu yang amat indah bagi menggambarkan keindahan Islam itu sendiri. Rasulullah pernah bersabda berkaitan perihal menegur pemimpin yang antara lain bermaksud. "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin itu dan nasihatilah dia secara sembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat itu) maka itulah yang diharapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat) sudah melaksanakan tanggungjawabnya." (Hadis riwayat Ahmad).
Budaya demonstrasi perlu dibendung agar ia tidak menjadi acuan serta budaya dalam masyarakat di negara ini.Jika budaya ini menular, anak-anak mudah memberontak kepada kedua orang tuanya, murid cepat melenting dengan gurunya malah pekerja tiada kerja lain melainkan mahu menunjuk perasaan kepada majikannya sahaja.
Demonstrasi keterlaluan akan menyebabkan nama negara tercemar di mata dunia serta kepimpinan negara mendapat aib yang besar. Sesungguhnya Islam menyeru umatnya jangan mendedahkan keaiban orang lain.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya jika kamu mencari-cari keaiban orang lain, bererti kamu telah merosakkan mereka atau setidak-tidaknya hampir merosakkan mereka itu." (Hadis riwayat Abu Daud).

Ahad, 4 Oktober 2009

5 Wasiat Allah kepada Rasulullah

Dari Nabi S.A.W., "Pada waktu malam saya diisrakkan sampai ke langit, Allah S.W.T telah memberikan lima wasiat, antaranya :

· Janganlah engkau gantungkan hatimu kepada dunia kerana sesungguhnya Aku tidak menjadikan dunia ini untuk engkau.

· Jadikan cintamu kepada-Ku sebab tempat kembalimu adalah kepada-Ku.

· Bersungguh-sungguhlah engkau mencari syurga.

· Putuskan harapan dari makhluk kerana sesungguhnya mereka itu sedikitpun tidak ada kuasa di tangan mereka.

· Rajinlah mengerjakan sembahyang tahajjud kerana sesungguhnya pertolongan itu berserta qiamullail.

Ibrahim bin Adham berkata, "Telah datang kepadaku beberapa orang tetamu, dan saya tahu mereka itu adalah wakil guru tariqat. Saya berkata kepada mereka, berikanlah nasihat yang berguna kepada

saya, yang akan membuat saya takut kepada Allah S.W.T. Lalu mereka berkata, "Kami wasiatkan kepada kamu 7 perkara, iaitu :

· Orang yang banyak bicaranya janganlah kamu harapkan sangat kesedaran hatinya.

· Orang yang banyak makan janganlah kamu harapkan sangat kata-kata himat darinya.

· Orang yang banyak bergaul dengan manusia janganlah kamu harapkan sangat kemanisan ibadahnya.

· Orang yang cinta kepada dunia janganlah kamu harapkan sangat khusnul khatimahnya.

· Orang yang bodoh janganlah kamu harapkan sangat akan hidup hatinya.

· Orang yang memilih berkawan dengan orang yang zalim janganlah kamu harapkan sangat kelurusan agamanya.

· Orang yang mencari keredhaan manusia janganlah harapkan sangat akan keredhaan Allah daripadanya."






Hikmat Meninggalkan Cakap Bohong

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim, menceritakan pada suatu hari ada seorang telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata :

"Ya Rasulullah. Sebenarnya hamba ini selalu saja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahwa engkau sanggup meninggalkan cakap bohong?"

"Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya.

Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya untuk meninggalkan segala keburukan itu. Sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W.

Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya :

"Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu."

Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek.

"Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali pulalah hatinya berkata :

"Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga."

Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermula babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. Hingga ke akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.


Kisah Nafsu Yang Degil

Dalam sebuah kitab karangan 'Ustman bin Hasan bin Ahmad Asy-Syaakir Alkhaubawiyi, seorang ulama yang hidup dalam abad ke XIII Hijrah, menerangkan bahwa sesungguhnya Allah S.W.T telah menciptakan akal, maka Allah S.W.T telah berfirman yang bermaksud : "Wahai akal mengadaplah engkau." Maka akal pun mengadap kehadapan Allah S.W.T., kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal berbaliklah engkau!", lalu akal pun berbalik.

Kemudian Allah S.W.T. berfirman lagi yang bermaksud : "Wahai akal! Siapakah aku?". Lalu akal pun berkata, "Engkau adalah Tuhan yang menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu yang daif dan lemah."

Lalu Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Wahai akal tidak Ku-ciptakan makhluk yang lebih mulia daripada engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menciptakan nafsu, dan berfirman kepadanya yang bermaksud : "Wahai nafsu, mengadaplah kamu!". Nafsu tidak menjawab sebaliknya mendiamkan diri. Kemudian Allah S.W.T berfirman lagi yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku, dan Engkau adalah Engkau."

Setelah itu Allah S.W.T menyiksanya dengan neraka jahim selama 100 tahun, dan kemudian mengeluarkannya. Kemudian Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Lalu nafsu berkata, "Aku adalah aku dan Engkau adalah Engkau."

Lalu Allah S.W.T menyiksa nafsu itu dalam neraka Juu' selama 100 tahun. Setelah dikeluarkan maka Allah S.W.T berfirman yang bermaksud : "Siapakah engkau dan siapakah Aku?". Akhirnya nafsu mengakui dengan berkata, " Aku adalah hamba-Mu dan Kamu adalah tuhanku."

Dalam kitab tersebut juga diterangkan bahwa dengan sebab itulah maka Allah S.W.T mewajibkan puasa.

Dalam kisah ini dapatlah kita mengetahui bahwa nafsu itu adalah sangat jahat oleh itu hendaklah kita mengawal nafsu itu, jangan biarkan nafsu itu mengawal kita, sebab kalau dia yang mengawal kita maka kita akan menjadi musnah.

7 Pahala Yang diterima Selepas Mati

Dari Anas r.a. berkata bahwa ada tujuh macam pahala yang dapat diterima seseorang itu selepas matinya.

1. Sesiapa yang mendirikan masjid maka ia tetap pahalanya selagi masjid itu digunakan oleh orang untuk beramal ibadat di dalamnya.

2. Sesiapa yang mengalirkan air sungai selagi ada orang yang minum daripadanya.

3. Sesiapa yang menulis mushaf ia akan mendapat pahala selagi ada orang yang membacanya.

4. Orang yang menggali perigi selagi ada orang yang menggunakannya.

5. Sesiapa yang menanam tanam-tanaman selagi ada yang memakannya baik dari manusia atau burung.

6. Mereka yang mengajarkan ilmu yang berguna selama ia diamalkan oleh orang yang mempelajarinya.

7. Orang yang meninggalkan anak yang soleh yang mana ianya selalu mendoakan kedua orang tuanya dan beristighfar baginya

8. yakni anak yang selalu diajari ilmu Al-Qur'an maka orang yang mengajarnya akan mendapat pahala selagi anak itu mengamalkan ajaran-ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda : "Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :

1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Amal Jariah)

2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.

3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

Kisah Neraka Jahannam

Dikisahkan dalam sebuah hadis bahwa sesungguhnya neraka Jahannam itu adalah hiam gelap, tidak ada cahaya dan tidak pula ia menyala. Dan ianya memiliki 7 buah pintu dan pada setiap pintu itu terdapat 70,000 gunung, pada setiap gunung itu terdapat 70,000 lereng dari api dan pada setiap lereng itu terdapat 70,000 belahan tanah yang terdiri dari api, pada setiap belahannya pula terdapat 70,000 lembah dari api.

Dikisahkan dalam hadis tersebut bahwa pada setiap lembah itu terdapat 70,000 gudang dari api, dan pada setiap gudang itu pula terdapat 70,000 kamar dari api, pada setiap kamar itu pula terdapat 70,000 ular dan 70,000 kala, dan dikisahkan dalam hadis tersebut bahwa setiap kala itu mempunyai 70,000 ekor dan setiap ekor pula memiliki 70,000 ruas. Pada setiap ruas kala tersebut ianya mempunyai 70,000 qullah bisa.

Dalam hadis yang sama menerangkan bahwa pada hari kiamat nanti akan dibuka penutup neraka Jahannam, maka sebaik saja pintu neraka Jahannam itu terbuka, akan keluarlah asap datang mengepung mereka di sebelah kiri, lalu datang pula sebuah kumpulan asap mengepung mereka disebelah hadapan muka mereka, serta datang kumpulan asap mengepung di atas kepala dan di belakang mereka. Dan mereka (Jin dan Mausia) apabila terpandang akan asap tersebut maka bergetarlah dan mereka berlutut dan memanggil-manggil, "Ya Tuhan kami, selamatkanlah."

Diriwayatkan bahwa sesungguhnya Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Akan didatangkan pada hari kiamat itu neraka Jahannam, dan neraka Jahannam itu mempunyai 70,000 kendali, dan pada setiap kendali itu ditarik oleh 70,000 malaikat, dan berkenaan dengan malaikat penjaga neraka itu besarnya ada diterangkan oleh Allah S.W.T dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : "Sedang penjaganya malaikat-malaikat yang kasar lagi keras."

Setiap malaikat apa yang ada di antara pundaknya adalah jarak perjalanan setahun, dan setiap satu dari mereka itu mempunyai kekuatan yang mana kalau dia memukul gunung dengan pemukul yang ada padanya, maka nescaya akan hancur lebur gunung tersebut. Dan dengan sekali pukulan saja ia akan membenamkan 70,000 ke dalam neraka Jahannam

Jumaat, 2 Oktober 2009

Yang perlu dan Jangan dilakukan

Bulan Ramadhan, sudah hampir tiba ke penghujungnya. Bagi individu yang sedar serta menghayati ‘tawaran' bonus yang di berikan oleh Allah SWT dan RasulNya di bulan Ramadhan, mereka sudah pasti akan merasa sedih atau amat sedih dengan pemergiannya.
Sebaliknya orang yang tidak sedar atau tidak ambil endah tentang kelebihannya pasti bergembira dan berpesta dengan pemergian bulan hebat ini. Lebih malang lagi, pestanya yang dianjurnya adalah jenis pesta hiburan yang sememangnya bertentangan dengan ruh dan objektif Ramdhan.
Seolah-olah individu yang berpesta maksiat di permulaan bulan Syawal ini ingin memaklumkan berkenaan ‘peperiksaan' Ramadhannya yang mendapat keputusan ‘gagal' dan berjaya peroleh doa khas Malaikat Jibrail untuk mendapat 'kecelakaan' iman yang lebih dahsyat pada bulan selanjutnya. Nau'zubillah.
Ahhh.. apa peduli apa !..Kata sebahagian mereka
Masalah pasti berterusan kerana sebahagian besar dari mereka yang berpesta maksiat ini tidak mempunyai ilmu bagi mengenal pasti perbezaan antara maksiat dan amal soleh, dosa dan pahala. Malah tiada minat langsung untuk mengetahuinya.
"waste of time!!" katanya lagi.
Padahal di bulan Ramadhan yang juga digelar bulan Al-Quran, Allah SWT mengarahkan kita merujuk Al-Quran yang fungsinya adalah sebagai Al-Furqan (Pemisah antara yang benar dan yang salah).
Malang bagi mereka yang masih tidak mahu bernaung dengan petunjuk Al-Quran dan Al-Hadis dalam kehidupan hariannya sejurus selepas Ramadhan ini.
Sebagaimana kata-kata hukama :-
الْقُرْآَنُ شَافِعٌ مُشَفَّعٌ فَمَنْ جَعَلَهُ إِمَامَهُ قَادَهُ إلى الْجَنَّةِ وَمَنْ جَعَلَهُ خَلْفَهُ سَاقَهُ إلى النَّارِ
Ertinya : "Al-quran itu boleh memberi syafaat, barangsiapa yang mengambilnya sebagai pemandu (kehidupannya) nescaya ia akan membawa ke Syurga dan barangsiapa yang meletakkannya di belakangnya, nescaya ia akan mengheret orang itu ke Neraka" ( Riwayat At-Tabrani, Ibn Hibban, 1/331 ; Ia sukar untuk dianggap sebagai hadis kerana perawinya Al-Rabi' bin Badr yang dinilai Matruk ; Majma Az-Zawaid, 7/164)
BOLEHKAH BERSUKARIA DI MUSIM RAYA?
Jika demikian, adakah Muslim di tegah untuk bersuka ria di hari raya dan hanya bersedih sahaja ?.
Jawapannya, bergembira di Syawal tidak ditegah, malah Rasulullah s.a.w sendiri membenarkan umat islam bergembira di Syawal, dengan syarat gembira itu mestilah dilaksanakan dan dizahirkan dalam bentuk yang di terima Islam.
Nabi SAW juga pernah menegur kepada Abu Bakar As-Siddiq apabila melihat Abu Bakar memarahi Aisyah r.a dan penghibur kanak-kanak yang sedang menyanyikan nasyid di rumah Rasulullah SAW dengan katanya :
دعهما يا أبا بكر فإنها أيام عيد
Ertinya : "Biarkan ia ( wahai Abu Bakar) kerana ini adalah hari raya" ( Riwayat Al-Bukhari)
Mukmin sebenar akan merasa gembira kerana berterima kasih kepada Allah s.w.t atas kurniaan kesempatan dan peluang untuk mereka mendapat keampunan di bulan Ramadhan.
Sudah tentu mukmin ini merasa puas dengan usahanya yang berganda, walaupun penerimaannya adalah terpulang kepada Allah SWT semata. Ia bertepatan dengan Hadith Nabi SAW :
من سَرَّتْهُ حَسَنَتُهُ وَسَاءَتْهُ سَيِّئَتُهُ فذلك الْمُؤْمِنُ
Ertinya "Sesiapa yang merasa gembira apabila ia melakukan amal baik dan merasa buruk dengan perlakuan dosanya, itulah ciri Mukmin sejati " (Riwayat At-Tirmizi, no 2165, 4/465 ; Tirmizi : Hasan Sohih ; Al-Haithami : perawinya sohih , rujuk Majma Az-Zawaid, 1/86 )
Selain mengenangkan usaha berganda yang telah dilakukan sewaktu Ramadhan, bergembira juga atas kejayaan membina ‘benteng kukuh' dari godaan Syaitan, bukankah Nabi SAW telah menyebut bahawa "Puasa itu benteng" (Riwayat Al-Bukhari).
Kerana itu mereka menyambutnya dengan kegembiraan.

Kelebihan Sahur

BERDASARKAN beberapa hadis Rasulullah s.a.w., hukum makan sahur adalah sunat. Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Anas r.a., Baginda bersabda: Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada berkat.Dalam riwayat Abdullah bin al-Haris, salah seorang daripada sahabat Rasulullah s.a.w. telah menceritakan ketika beliau masuk ke rumah Nabi, Baginda sedang bersahur lalu bersabda: Sesungguhnya (sahur itu) mempunyai berkat yang diberikan Allah kepada kamu sekalian, maka janganlah kamu meninggalkannya.``Sahur ialah makan selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum terbit fajar bagi orang-orang yang hendak berpuasa pada bulan Ramadan atau pada bulan-bulan yang lain.``Bagaimanapun, waktu yang sesuai ialah selepas waktu dinihari iaitu antara pukul 3.00 pagi sehingga sebelum masuk waktu imsak, iaitu 10 minit sebelum waktu Subuh,'' jelas Mufti Johor, Datuk Mohd. Nooh Gadot.Tambah beliau, imsak bererti menahan diri daripada makan dan minum, bermula terbit fajar sehingga terbenam matahari. Waktu imsak adalah kira-kira 10 minit terakhir sebelum masuk waktu Subuh, iaitu bersamaan dengan bacaan 50 ayat al-Quran.Riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim bahawa sahabat yang bernama Zaid bin Tsabit berkata: ``Kami telah bersahur bersama Nabi Muhammad s.a.w. Kemudian kami mendirikan sembahyang, lalu Anas r.a. bertanya:``Berapakah jarak waktu antara kedua-duanya?'' Zaid menjawab: ``Kadar membaca lima puluh ayat.''``Namun, seseorang yang makan dalam waktu imsak perlu berhati-hati dan tidak melebihi waktu terbit fajar kerana ia bertujuan sebagai peringatan kepada orang yang bersahur,'' katanya.Beliau menjelaskan, tidak ada syarat-syarat tertentu untuk bersahur, seperti tidur dahulu dan kemudian bangun untuk bersahur. Begitu juga bersahur sekadar meminum air dan buah kurma. Memadailah jika mendapat berkat daripada amalan bersahur.Daripada Abu Sa'id al-Khudri, Rasulullah s.a.w. bersabda: Makan sahur itu berkat, oleh sebab itu jangan kamu meninggalkannya walaupun salah seorang daripada kamu kemudiannya meneguk seteguk air. Maka sesungguhnya Allah s.w.t. berselawat ke atas orang-orang yang bersahur. (Hadis riwayat Imam Ahmad)Sekiranya terdapat buah kurma, ia adalah makanan sahur bagi orang-orang yang beriman sebagai mana riwayat daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: Sebaik-baik makanan sahur orang yang beriman ialah buah tamar (kurma). (Hadis riwayat Abu daud)Dalam riwayat yang lain pula, daripada As-Saib bin Yazid, sabda Rasulullah s.a.w.: Sebaik-baik makanan sahur ialah buah tamar (kurma). Baginda bersabda lagi yang bermaksud: Allah merahmati orang-orang yang bersahur.``Bagaimanapun, sebagai bekalan tenaga sepanjang hari, disarankan bersahur dengan makanan yang berkhasiat dan berzat supaya dapat menahan diri daripada kelaparan dan mendapat kekuatan,'' jelas beliau lagi.Hadis riwayat al-Hakim, Rasulullah s.a.w. bersabda: Memohonlah kamu (kepada Allah kekuatan) melalui makan sahur supaya memperoleh kekuatan berpuasa pada siang hari.Bangun dan berdoa pada waktu sahur sebenarnya mempunyai barakah yang besar dan merupakan ciri-ciri orang yang bertaqwa. Firman Allah s.w.t. dalam surah az-Zariyat, ayat 18, maksudnya: Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar), mereka selalu beristighfar kepada Allah memohon ampun.``Bangun awal pagi untuk bersahur juga memberi peluang untuk melakukan amal ibadat seperti berwuduk, berzikir, membaca al-Quran dan menunaikan sunat tahajud dan sunat witir bagi yang belum melakukannya,'' ujarnya mengenai hikmah bersahur.Surah Ali Imran, ayat 17 pula, Allah menjelaskan waktu yang sesuai untuk memohon keampunan daripada Allah s.w.t. Firman-Nya: Dan juga orang-orang yang sabar (dalam menjunjung perintah Allah) dan orang-orang yang benar (perkataan dan hatinya), dan orang-orang yang sentiaas taat (akan perintah Allah), dan orang-orang yang membelanjakan hartanya (pada jalan Allah) dan orang-orang yang beristighfar (memohon ampun) pada waktu sahur.Sahur juga merupakan salah satu daripada akhlak Rasulullah s.a.w., sebagaimana yang terkandung dalam terjemahan hadis berikut: `'Tiga perkara yang termasuk antara akhlak para rasul ialah bersegera berbuka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan ke atas tangan kiri ketika dalam sembahyang.Perbezaan antara puasa orang Islam dengan ahli kitab terkandung dalam hadis riwayat Muslim, sabda Baginda: Perbezaan antara puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahlul kitab ialah makan sahur.Menurut Ibn Hajar al-'Asqalani, pengarang kitab Fath al-Bari dan Imam an-Nawawi di dalam kitab Sahih Muslim, bahawa sahur yang memberi keberkatan ialah memperoleh balasan dan ganjaran pahala daripada Allah s.w.t. dan mengikut sunah Nabi Muhammad s.a.w.``Sahur juga menghalang perbuatan-perbuatan tidak sopan yang dipengaruhi oleh kesan lapar pada siang hari, selain memberi kekuatan untuk beribadat bagi menghadapi rasa lapar dan dahaga pada siang hari,'' ujar beliau tentang kelebihan-kelebihan bersahur.

Kelebihan Sedekah

Abu Laith As-Samarqandhy berkata; 10 kebaikan terkandung di dalam sodaqah. 5 di dunia dan 5 kebaikan di Akhirat. Lima Faedah yang diperolehi di dunia ialah; 1. Membersihkan harta.2. Membersihkan dosa-dosa yang diperbuat oleh seseorang.3. Menolak beranika bala dan penyakit.4. Mengembirakan hati golongan fuqara dan Masaakin.5. Mendatangkan barokah dan melapangkan rezki. Lima kebaikan di akhirat ialah; 1. Mendapat naungan aryash Allah di akhirat.2. Meringankan hisabnya.3. Menambah berat timbangan amal kebajikan.4. Memudahkannya menyeberangi titian.5. Meningkatkan darjatnya di Syurga.Demikian kelebihan dan kebaikan bersedekah. Kerana setiap apa yang kita infaq didunia ini atas sifatnya sebagai kebaikan agama maka ianya adalah kebajikan dan pahala. Saat di dunia tentunya kita agak kurang berhajat kepada pahala.Namun apabila berkelananya seorang hamba diakhirat, saat tiada lagi teman dan taulan serta sanak saudaraa, tiada lagi pangkat dan harta serta kemegahan dunia. Maka saat itu sangatlah kerdil rasanya diri yang tidak membawa bekalan akhirat yang cukup. Tersisih jauh ia dari hamba-hamba Allah yang didunia dahulu sentiasa mendahulukan kebajikannya ke akhirat. Sesungguhnya yang di makan dan dipakai semuanya binasa, kecuali apa yang dibelanjakannya di jalan Allah swt.

Ziarah Kubur

ZIARAH KUBUR PADA HARI RAYA.Soalan: “Ramai dari kalangan orang Islam menitik berat tentang ziarah kubur selepas menunaikan sembahyang hari raya, adakah disyariatkan ziarah seperti ini?”Jawapan Syeikh Athiyyah Saqr (Mantan Ketua Majlis Fatwa Al-Azhar) Hukum asal bagi ziarah kubur adalah sunnat, kerana ia boleh mengingatkan seseorang tentang hari akhirat.Di sebut di dalam hadis Nabi S.A.W sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah R.A dia berkata:“Nabi S.A.W menziarahi kubur ibunya lalu dia menangis dan orang yang disampingnya juga menangis, kemudian dia bersabda:( استأذنت ربي في أن أستغفرلها فلم يؤذن لي، واستأذنته في أن أزور قبرها فأذن لي، فزوروا القبور فانها تذكر الموت )Maksudnya:“Aku meminta izin dari Tuhanku untuk aku beristighfar baginya (bagi ibuku), maka Dia tidak memberi keizinan kepadaku, dan aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya maka Dia (Allah) membenarkanku, maka ziarahilah kubur kerana ia boleh mengingatkan kepada kematian”.Ibnu Majah meriwayatkan dengan sanad yang sahih sabda Nabi S.A.W:( كنت نهيتكم عن زيارة القبور، فزوروا القبور فانها تزهد في الدنيا وتذكر الأخرة )Maksudnya:“Adalah aku dahulunya menghalang kamu dari menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahilah kubur, kerana ia boleh menjadikan kamu zuhud terhadap dunia dan mengingati akhirat”.Ziarah kubur tidak mempunyai waktu yang tertentu. Sebahagian ulama’ menyatakan bahawa pahalanya lebih besar pada hari-hari yang tertentu seperti hari Khamis dan Jumaat, kerana kuatnya hubungan di antara roh-roh dengan si mati. Pendapat ini tidak mempunyai dalil yang kuat.Dengan ini kita dapat simpulkan bahawa menziarahi kubur selepas dari sembahyang hari raya, jika ia bertujuan untuk mengambil peringatan dan mengingati mereka yang telah mati yang dahulunya bersama-sama mereka berseronok di hari raya, serta memohon rahmat dari Allah S.W.T untuk mereka dengan berdoa, ini semua tidak mengapa dilakukan oleh orang lelaki.Adapun bagi perempuan, hukum mereka menziarahi kubur telah dibincangkan pada jilid pertama, ms:588 dari kita fatwa ini.[Di dalam perbincangan tersebut, pendapat yang dipilih oleh sheikh ialah hukumnya makruh jika dibimbangi akan berlakunya perkara yang haram seperti meratap dan lain-lain, jika perkara haram tersebut tidak dapat dielakkan maka hukumnya adalah haram –ringkasan dari fatwa tersebut oleh penterjemah]Adapun jika menziarahi kubur selepas solat hari raya untuk memperbaharui kesedihan dan untuk menerima takziah di atas kubur, atau dengan mendirikan bangsal dan menyediakan tempat untuk menerima takziah, maka ia ditegah.Ini kerana takziah selepas dari mayat dikebumikan lebih dari tiga hari adalah dilarang, samada larangan dalam bentuk haram atau makruh. Juga kerana hari tersebut adalah hari raya, hari bergembira dan berseronok yang sepatutnya tidah ditimbulkan perasaan sedih padanya.[Ahsanul Kalam Fil-Fatawa Wal-Ahkam, Sheikh ‘Athiyyah Saqr, Jilid: 6, MS: 646-647]

Hadith 2

Rasulullah s.a.w. bersabda:"Tidak diterima solat seseorang tanpa suci (wuduk), tidak diterima sedekah seseorang yang berasal dari kejahatan (seperti mencuri, menipu, mengelapkan wang dan sebagainya".(Sahih Muslim)

Surah Luqman (13)

Maksud firman Allah: Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, di waktu ia memberi pelajaran kepadanya: "Hai anakku, janganlah kamu mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman kezaliman yang besar. (Luqman:13)