Jumaat, 28 Januari 2011

Isu Laungan Azan: Sudah selesai, pengadu pindah

UALA LUMPUR 15 Jan – ‘Sudah selesai’, itu anggapan Gabungan NGO Malaysia tentang isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi apabila pengadunya yang mendakwa dirinya seorang anggota MCA dan juga peguam telah berpindah dari kawasan tersebut baru-baru ini.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Setiausaha Agung gabungan itu, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menulis e-mel kepada pihak yang dia pernah mengadu mengatakan mahu berpindah dari kondominium tempat tinggalnya di Pantai Hill Park atas faktor keselamatan.

Kondominium Pantai Hill Park terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pihak yang menerima salinan aduannya bahawa mereka ada menerima e-mel dua tiga hari yang lalu mengatakan dia sudah mengambil pendekatan mahu berpindah kerana bimbang keselamatan diri dia… itu maklumat yang kami terima,” kata pagi ini.

Jurit berkata, pihak yang menerima salinan surat peguam berkenaan meminta pihak-pihak yang mengadakan tunjuk perasaan semalam supaya tidak memanjangkan isu azan ini dan melihat ia “sudah selesai” selepas dia memutuskan untuk berpindah.

“Jadi kami pun menganggap ini sudah selesai. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan lagi.

“Kita mahu persekitaran yang aman, kalau keadaan tidak tenang, kita tidak boleh hidup tenang dan tenteram,” kata beliau.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah ISA.

Kumpulan itu terdiri daripada anggota kumpulan NGO Pekida dan Perkasa mendakwa peguam terbabit menuntut agar masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara bagi tujuan azan.

Penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan menamakan peguam terbabit, malah mempamerkan alamat rumah dan nombor telefonnya pada kain rentang ketika berdemonstrasi.

Ditanya tindakan susulan Gabungan NGO Malaysia, Jurit berkata, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

“Tetapi tindakan penduduk kawasan itu, kami tidak tahu. Kami menganggap isu ini sudah selesai,” kata beliau lagi.

Katanya walaupun pihaknya menganggap isu ini sudah selesai tetapi sekurang-kurangnya pengadu perlu memohon maaf kepada umat Islam.

“Tindakan ini perlu untuk meredakan keadaan dan kita mahu setiap kaum hormat-menghormati agama dan kaum lain,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengunjungi unit kediaman peguam itu sebelum ini, Jurit berkata:

“Tidak, kami tidak menemui pengadu, tetapi hanya menerima maklumat daripada salinan surat aduan.”

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak termasuk pengurusan masjid agak memperlahankan laungan azan atau menghentikan penggunaan pembesar suara untuk tujuan azan.

Jurit berkata, pihak berkuasa dan pengurusan tidak seharusnya melayan aduan-aduan daripada orang perseorangan.

“Dalam kes ini, aduan daripada seorang individu, mengapa perlu kita layan? Melainkan dia mewakili mana-mana pertubuhan atau parti, kita boleh melayan… sepatutnya kita tidak melayan surat individu,” kata beliau lagi.

“Surat dan aduan orang perseorangan, kita pun tidak pasti boleh percaya atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun Jurit berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya memang tiada arahan rasmi tetapi difahamkan ada perbincangan mengenai aduan yang diterima daripada peguam berkenaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan