Islam menyeru kita semua untuk menyuruh manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran. Allah ta'ala berfirman:
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar dan beriman kepada Allah." (Ali-Imran: 110)
Rasulullah s.a.w pula bersabda
"Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah ia ubah dengan tangannya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Jika ia tidak mampu, maka ubahlah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman."(Riwayat Muslim)
Menyuruh yang ma'ruf bermaksud untuk menggalakkan orang ramai untuk terus beramal dengan perintah Allah atau mengajak mereka yang tidak mengamalkannya untuk mula melakukan perintah Allah. Manakala mencegah yang mungkar ialah dengan mencegah masyarakat dari jatuh dalam kemungkaran atau mengajak mereka yang telah terjerumus dalam kemungkaran untuk meninggalkannya.
Usaha melakukan islah ini merupakan tanggungjawab setiap muslim. Kita bertangungjawab untuk mengubah diri kita. Kita bertanggungjawab untuk mengubah cara hidup kita. Kita bertanggungjawab atas kehidupan keluarga kita. Kita bertanggungjawab atas masyarakat kita. Jika tiada siapa yang mahu bertanggungjawab untuk menyeru kepada yang ma'ruf dan mencegah yang mungkar pastinya kemungkaran akan berleluasa dan bertambah jauhlah kita dari Allah s.w.t.
Namun dalam usaha untuk melakukan perubahan, perlu diingatkan bahawa Islam menganjurkan agar apa jua perubahan yang hendak dilakukan, ia mesti dilakukan secara berhikmah.
Akan tetapi Apabila sesuatu perubahan itu ingin dilakukan dengan mendadak, ia akan mencetus kesan-kesan negatif seperti kemudaratan yang lebih besar, kesulitan kepada masyarakat atau individu berkenaan, melarikan orang lain dari kebaikan atau mungkin sahaja menyebabkan orang menjadi lebih degil dan terus melakukan kemungkaran. Kesemua ini hanya akan menimbulkan fitnah pada Islam dan umatnya.
Jika kita mengkaji cara dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w, kita akan dapati bahawa beliau sentiasa menjaga prinsip bertahap-tahap dalam mengubah kaumnya. Rasulullah s.a.w bahkan mengajar sahabatnya untuk mengamalkan bertahap-tahap dalam melakukan perubahan. Beliau bersabda kepada Mu`az ketika menghantarnya ke Yaman;
"Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum dari Ahli Kitab. Maka jika kamu telah datang kepada mereka, ajaklah mereka untuk bersyahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan selain Allah dan sesungguhnya Muhamad adalah Rasulullah. Jika mereka telah mentaatimu dengan ajakanmu itu, maka beritahukan kepada mereka bahawa Allah mewajibkan atas mereka solat lima waktu dalam sehari semalam. Jika mereka telah mentaati perintahmu, maka beritahulah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan kepada mereka sedekah (zakat) yang diambil atau dipungut dari orang-orang kaya mereka kemudian dibahagikan kepada orang-orang miskin di antara mereka. Jika mereka telah mentaati perintahmu itu, maka janganlah kamu mengambil harta mereka yang berharga, dan takutilah kamu terhadap doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya tidak ada hijab antara doa mereka dengan Allah."(Riwayat Al-Bukhari)
Ini sesuai dengan firman Allah: Serulah (dakwahlah) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia-lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. [Al-Nahl 125]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan