Khamis, 9 Julai 2009

Ibadat hanya sempurna dengan Sunnah

Ibadat hanya sempurna dengan SunnahOleh Idris MusaUMAT Islam dinasihatkan berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w jika mahu mendapatkan kesempurnaan beribadat dan tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang memperkecilkannya.Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata sunnah memainkan peranan penting kerana ia memberikan penjelasan terhadap ayat al-Quran.Menurutnya, jika tidak kerana sunnah Nabi Muhammad banyak perkara dalam Islam tidak dapat dilaksanakan."Contohnya seorang Muslim tidak dapat mengetahui waktu dan bilangan rakaat solat jika tidak ditentukan sunnah."Begitu juga dengan cara melaksanakan haji, tiada dalam al-Quran secara terperinci, tetapi diterangkan Rasulullah," katanya pada ceramah sambutan Maulidur Rasul di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Dr Fauzi berkata, bagi pihak yang mendakwa hanya perlu berpegang kepada al-Quran dan meninggalkan sunnah sudah tentu gagal melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna kerana tidak mengetahui cara untuk beribadat. Justeru, katanya, sudah semestinya setiap individu Muslim mengikuti Nabi Muhammad supaya kehidupan beribadat lebih sempurna.Menurutnya, untuk mengikuti Nabi Muhammad sekali gus menjadi umat yang berjaya, setiap orang mesti menepati panduan seperti dibangunkan baginda yang membabitkan semua aspek."Pertama, setiap individu kena ada iman atau akidah, kerana apabila tidak ada iman, amalan akan tertolak walaupun beribadat dan bersolat begitu hebat. Aspek ini kena jelas bagi mengelakkan pelbagai masalah. "Tauhid itu senang dan iman itu mudah. Kata seorang ulama kontemporari, iman dalam Islam mudah iaitu beriman pada Allah."Macam mana? Tengoklah biodata Allah seperti diterangkan dalam al-Quran. Misalnya melalui surah al-Ikhlas iaitu surah paling terkenal dan paling pendek, menceritakan mengenai diri Allah."Satu lagi ayat yang popular ialah ayat Kursi. Apabila kita faham ayat yang menceritakan mengenai diri Tuhan itu, kenallah kita terhadap Tuhan," katanya.Beliau berkata, ilmu yang betul juga amat penting terutama membabitkan elemen halal dan haram, syurga dan neraka."Ilmu yang dipelajari dan dimiliki juga mesti bersepadu dan seimbang supaya seseorang manusia itu tidak hanyut," katanya.Beliau melahirkan dukacita terhadap sesetengah remaja yang cemerlang dalam akademik sehingga mendapat pujian dan sebutan ramai, tetapi tidak pada keperibadian, malah hancur nilai akhlaknya.Dalam usaha meletakkan diri dan masyarakat menjadi cemerlang, katanya, umat Islam juga perlu mementingkan harta dan kekayaan."Aset, modal dan kekayaan juga perlu. Kaya penting dan dengan sebab itu sahabat nabi ramai yang kaya. "Tetapi apabila ada harta, kenalah membelanjakannya pada jalan yang betul kerana setiap antara kita akan ditanya, ke mana harta dibelanjakan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan