Ahad, 12 Julai 2009

Catatan Dari Singapura


POLITIK terdapat di mana mana, termasuk di masjid.Jadi, apabila membaca beberapa surat keluhan relawan masjid, Oteh anggap ini sebagai perkara biasa.Sebenarnya bukan mudah hendak menguruskan sesebuah pertubuhan, termasuk masjid.Walaupun lembaga pentadbirnya ditentukan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), ada saja perkara yang tidak kena.

Ada kala pengerusi dengan setiausaha tidak seiring. Atau ada ahli jawatankuasa yang pandai-pandai buat cerita sehingga menjadi fitnah. Begitulah adatnya.Namun apapun halnya, pengerusi masjid mestilah orang yang berkebolehan dan dapat dihormati anak buahnya.

Walaupun kini zaman komersial - segala-galanya pakai wang saja - namun khidmat relawan amat penting pada mana-mana badan masyarakat. Masjid tidak terkecuali.
Bahkan demi menghadapi kemelesetan, relawan diharapkan dapat mengisi keperluan masjid - dari segi membersih, berkebun, mendapatkan derma dan sebagainya.

Cuma untuk masjid berjaya menjana relawan dan memanfaatkan mereka secara menguntungkan, maka perlulah ilmu pengurusan yang betul.Oteh syorkan para pegawai masjid yang berurusan dengan relawan dilatih secara khusus. Menurut anak buah Oteh, sudah ada badan nasional yang melatih relawan. Ayuh, manfaatkanlah khidmat badan ini.

Sebenarnya, relawan pun manusia biasa.Ada yang senang bergaul dan memberikan kerjasama.Ada pula yang mempunyai corak pemikiran tersendiri sehingga yakin pendapatnya saja yang betul.

Oleh itu, sebelum relawan diterima di masjid, adakanlah sesi kenal suai dan kaunseling. Tak kenal, maka tak cinta.Selanjutnya, relawan diberikan tugas yang termampu mereka pikul. Jika mereka tak mampu, berikanlah tugas lain. Yang utama ialah relawan pun perlu pengiktirafan dan diberikan sambutan atas usaha mereka.

Zaman relawan bertungkus-lumus tanpa mengharap jasa dijulang sudah lapuk.Zaman kini memerlukan semacam sanjungan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Alahai apa nak buat?Pun Oteh yakin, masih ada relawan yang berbuat sesuatu kerana Allah (swt) dan tidak mengharapkan apa jua ganjaran.

Untuk mereka, tentulah ganjaran Ilahi yang lebih besar maknanya kelak.Sudah sewajarnya skim relawan dilembagakan agar tersusun.Apabila sudah ada aturan atau sistem, barulah tampak setiap kerja yang lebih beres lagi rapi. Hendak-hendak soal urusan kewangan atau harta benda yang sering boleh menimbulkan masalah jika tidak ditangani dengan telus dan berkesan.

Bahkan wajar juga masjid menyediakan semacam skim ganjaran yang bukan berbentuk wang tunai seperti peluang melancong dan melanjutkan pelajaran atau menghadiri kursus di luar negara untuk sukarelawan gigih.Cara ini merapatkan masjid dengan relawan dan tentulah masyarakat sekeliling.Bahkan Oteh fikir ada baiknya juga relawan bukan Muslim sekalipun boleh disertakan.

Misalnya, jika mereka sanggup berbakti dalam kegiatan umum masjid yang bukan bersifat agama khusus seperti mengagihkan bantuan untuk warga tua dan miskin, tidak kira agama. Ini menunjukkan semangat Islam sebagai rahmat seluruh alam.Bagi relawan yang gigih berkhidmat di masjid, Oteh beri tabik kepada mereka.Namun ingatlah wahai pentadbir masjid, relawan pun ada hati perut. Jadi, ambillah 'hati' mereka agar terus dapat berbakti.

Tiada ulasan:

Catat Komen