Isnin, 27 Julai 2009

Nazir Wajib Pantau Masjid


Tindakan mungkin dikenakan terhadap nazir-nazir masjid negeri ini yang membenarkan khutbah atau ceramah berunsur politik dalam masjid.

Datuk Seri Indah Diraja, Datuk Haji Abu Bakar Abdul Hamid berkata, perkara ini terkandung dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Kaedah-kaedah Pegawai Masjid Dan Jawatan Kuasa Kariah (Negeri Selangor) 2001 dan Kaedah Tauliah (Selangor) 2001.

Antaranya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mungkin mengeluarkan surat amaran dan jika ia masih berlaku, jawatan nazir masjid berkenaan dilucutkan.

“Sekarang tidak ada lagi dah, khutbah berunsur politik, wakil rakyat takleh baca khutbah sekarang ya dulu terlepas, sbelum perlantikan yang baru. Jika berlaku lagi, nazir kita tangkap”, katanya.

Katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan tokoh-tokoh politik dilarang sama sekali untuk berceramah atau menyampaikan khutbah Jumaat di mana-mana masjid di seluruh negeri Selangor.

Beliau berkata, khutbah Jumaat hendaklah disampaikan oleh imam yang dilantik manakala penceramah yang dijemput perlu mendapat tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya, Nazir turut bertanggungjawab memantau aktiviti tabligh di masjid-masjid, selagi menjaga kebersihan masjid dan menjaga ketenteraman awam, mereka dibenarkan melakukan dakwah.

“Itu terpulang kepada Ahli Jawatankuasa Masjid untuk membenarkan selagi mereka menjaga kebersihan sebab mereka sesama mereka sahaja dan kita dengar ceramah mereka tidak ada unsur politik”, jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil-sijil tauliah kepada jawatankuasa baharu 66 masjid Daerah Petaling, di Masjid Negeri, pagi tadi.

Pelantikan Ahli Jawatankuasa Masjid bagi sesi 2009/2012 dibuat pada 27 Julai lalu dalam Majlis Konvensyen Pengurusan Masjid yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sementara itu, penerima tauliah berkenaan berjanji berusaha untuk menghidupkan semula pelbagai aktiviti ibadah dan kemasyarakatan di masjid masing-masing.

Selain menyusun semula program pengimarahan masjid, umat Islam juga bakal menyambut ketibaan Ramadhan dengan pelbagai program yang sesuai.

“Sasaran saya untuk mengimarahkan masjid dan dapat menyatu padukan Qariah di kawasan Subang Jaya dengan aktiviti-aktiviti yang akan datang pada bulan Rejab, Syaban dan Ramadan”, kata Ahli Jawatankuasa Masjid An Nur USJ 4.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan