Menuntut Ilmu
Menuntut ilmu adalah satu keharusan bagi kita kaum muslimin. Banyak
sekali dalil yang menunjukkan keutamaan ilmu, para penuntut ilmu dan
yang mengajarkannya.
Sebenarnya banyak ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang memerintahkan kita
agar menuntut ilmu dan kelebihan-kelebihan menuntut ilmu itu.
Maksud firman Allah s.w.t:
“Maka tanya oleh mu akan orang yang ahli zikri (orang yang alim) jikalau kamu tidak mengetahui”.
Maksud sabda Rasulullah s.w.w pula yang bermaksud :
“Sesungguhnya sesuatu bab daripada ilmu yang dipelajari oleh
seorang lelaki terlebih baik baginya daripada dunia dan apa yang ada di
dalamnya”
Di samping itu terdapat juga hadis-hadis yang menceritakan tentang
fadhilat-fadhilat menuntut ilmu itu yang menjadi lebih baik daripada
ibadah kita (ibadah sunat) sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah
s.a.w ertinya :
“Demi Tuhan bahawa jika kamu pergi menuntut ilmu daripada sesuatu bab terlebih baik daripada kamu sembahyang seratus rakaat,”
Di samping itu, banyak hadis yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w
tentang kematian bagi orang-orang yang sedang menuntut ilmu antaranya:
“Barangsiapa yang mati di dalam keadaan menuntut ilmu untuk
menghidupkan agama Islam, maka dia berada di dalam Syurga kelak satu
darjat dengan para nabi.”
Rasulullah s.a.w juga telah menggariskan beberapa peringkat kelebihan ilmu dengan sabda Baginda s.a.w,
“Sesungguhnya ilmu itu adalah umpama gedung dan anak kuncinya adalah pertanyaan.”
Empat jenis golongan yang diberikan pahala di dalam menuntut ilmu ini, iaitu :
-
-
Golongan yang sukar bertanya akan sesuatu ilmu
-
Golongan pengajar atau orang yang mengetahui sesuatu ilmu dan mengajar kepada orang lain
-
Golongan yang yang mendengar orang yang mengajar ilmu
-
Golongan orang yang suka dan kasih akan majlis ilmu.
Jika kita teliti kepada kepentingan ilmu seperti yang telah
dijelaskan di atas, maka seharusnya bagi kita sebagai “Ummah Terbaik”
mengambil kesempatan yang berharga di dalam kehidupan ini untuk
merancakkan lagi pemburuan ilmu itu. Maka menuntut ilmu itu tidak
mengira usia sama ada seseorang itu muda atau tua, lelaki atau perempuan
semua digalakkan menuntut ilmu.
Adab Menuntut Ilmu Agama
Adab-adab dalam menuntut ilmu yang harus kita ketahui agar ilmu yang
kita tuntut berfaidah bagi kita dan orang yang ada di sekitar kita
sangatlah banyak. Adab-adab tersebut di antaranya adalah:
Sepertimana amalan-amalan yang lain, langkah yang pertama adalah
keikhlasan diri. Langkah ini merupakan faktor yang amat penting
sehinggakan Rasulullah telah memberi amaran: Maksud hadis riwayat Ibn
Hibban dan ia dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke
atas Shahih Ibn Hibban (Muassasah al-Risalah, Beirut, 1997), hadis no:
78
“
Sesiapa yang mempelajari satu ilmu yang sepatutnya dilakukan
kerana mencari Wajah Allah, namun dia tidak mempelajarinya kecuali untuk
mendapatkan keuntungan duniawi, maka dia tidak akan mencium bau syurga
pada Hari Kiamat.”
Oleh kerana itu dalam sebuah hadis yang lain, baginda mengingatkan:
Maksud hadis riwayat Ibn Hibban dengan para perawi yang dipercayai lagi
sahih, demikian terang Syu’aib al-Arna’uth dalam semakannya ke atas
Shahih Ibn Hibban, hadis no: 77
“Jangan mempelajari ilmu untuk berbangga-bangga di hadapan para
ulama’, atau untuk berdebat dengan orang-orang bodoh, atau untuk memilih
majlis yang terbaik (demi mendapat pujian orang). Sesiapa melakukan hal
itu maka nerakalah tempatnya.”
Sesiapa yang memiliki niat dan tujuan yang betul sepertimana di atas,
dia tidak sekali-kali akan terkalah dengan pelbagai cubaan dan fitnah
yang mungkin dihadapinya dalam rangka memahami agama Islam. Ini kerana:
Maksud surah Muhammad, ayat 7
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah
nescaya Allah membela kamu dan meneguhkan tapak pendirian kamu.”
Sikap yang positif dan keyakinan diri adalah faktor yang penting
untuk mencapai sesuatu tujuan. Faktor ini tidak terpisah bagi sesiapa
yang ingin memahami agama yang dicintai ini. Bahkan ketahuilah bahawa
sesiapa yang berusaha dengan ikhlas untuk tujuan ini, maka Allah akan
membimbingnya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan orang-orang yang berusaha dengan
bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya
Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami; dan sesungguhnya
(pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang
berusaha membaiki amalannya.”
[al-Ankabut, ayat 69]
“Pimpinan” Allah boleh wujud dalam pelbagai bentuk, seperti
dipertemukan dengan guru yang benar, ditunjuki kepada buku daripada
penulis yang jujur, dipersahabatkan dengan orang-orang yang shalih,
dibimbing kepada subjek-subjek yang mengikut tertib kepentingannya dan
ditanam dalam dirinya akhlak yang mulia apabila berinteraksi dengan ilmu
agama. Oleh itu janganlah merasa ragu-ragu atau rendah diri untuk
berusaha memahami agama Islam. Yakinilah bahawa Allah akan memimpinnya
selagi mana dia ikhlas dan bersungguh-sungguh.
Tidak ada jalan pintas (short cut) untuk memahami agama Islam, maka
janganlah mengharapkan kefahaman dalam agama secara serta merta atau
melalui jalan yang mudah. Sebaliknya hendaklah bersiap sedia untuk
melakukan banyak pengorbanan dari sudut tenaga, masa, kewangan dan
kehidupan. Proses menuntut ilmu sememangnya memerlukan banyak
pengorbanan dan hal ini diketahui oleh Rasulullah. Oleh itu baginda
menjanjikan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang melakukan
pengorbanan tersebut dengan bersabda, maksudnya:
“Sesiapa yang menempuh satu jalan kerana mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan ke syurga.”
[Riwayat Muslim dalam Shahihnya (penomboran Fu’ad Abd al-Baqi), hadis no: 2699].
Pengorbanan dari sudut tenaga dan masa adalah berusaha untuk ke
kelas-kelas pengajian agama sekalipun kesibukan atau keletihan dengan
kuliah di universiti atau kerja di pejabat. Pengorbanan kewangan adalah
membelanjakan wang ringgit untuk membeli buku-buku agama yang
berkualiti. Ini adalah pengorbanan yang tidak boleh ditinggalkan, dimana
setiap yang ingin memahami agama Islam perlu mencintai buku dan
berusaha membina koleksi buku-buku agama atau perpustakaan peribadi yang
tersendiri.
Namun di antara semua pengorbanan, yang terbesar adalah
pengubahsuaian gaya hidup. Tidur perlu dikurangkan, gizi pemakanan perlu
dijaga dan aktiviti harian yang sia-sia perlu dihindari. Sedar atau
tidak, terdapat banyak aktiviti harian yang sebenarnya adalah sia-sia
seperti mengikuti acara sukan, membaca akhbar harian, menonton
televisyen dan berbual kosong. Semua ini hendaklah diubah kepada
bersukan demi menjaga kesihatan, menelaah akhbar harian sekadar mencari
laporan yang bermanfaat, menghadkan tontonan televisyen kepada
dokumentari yang ilmiah dan berbual sekadar menyampaikan nasihat.
Pengubahsuaian ini akan membuka banyak masa lapang yang dapat
dimanfaatkan untuk memahami agama Islam.
Semua orang yang melazimkan diri berinteraksi dengan ilmu akan
mengetahui bahawa ia sentiasa dinamik tanpa mengenal titik noktah. Maka
demikianlah juga seharusnya sikap setiap muslimin dan muslimah yang
ingin mencari kefahaman agama. Tidak boleh berkata “Saya sudah habis
belajar agama” atau “Saya sudah faham Islam”. Sebaliknya hendaklah
sentiasa mengkaji dan menganalisa kerana ilmu agama juga adalah sentiasa
dinamik. Bak kata pepatah:
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.”
Pertama: Pada masa kini terdapat banyak ajaran yang
menyeleweng, setiap darinya berselindung di sebalik slogan “Ahli Sunnah
Wal Jamaah” agar kelihatan berada di atas jalan yang benar. Seandainya
seseorang itu tergelincir dalam salah satu daripada ajaran yang
menyeleweng, sikap dinamiknya yang sentiasa mengkaji dan menganalisa
akan mengeluarkan dirinya daripada ajaran tersebut kepada ajaran yang
benar.
Kedua: Seseorang yang berusaha memahami agama akan
melalui beberapa tahap, daripada tahap kebudak-budakan sehinggalah
kepada tahap kedewasaan. Ini kerana dalam rangka melakukan kajian, dia
akan menemui banyak perkara baru yang tidak pernah diketahuinya sebelum
itu. Penemuan ini akan menjana semangat baru dalam dirinya. Terdapat
kemungkinan yang besar semangat tersebut akan mengarah dirinya kepada
sikap merasa dirinya amat berilmu (ujub), memandang rendah para ulama’
dan mudah menghukum orang yang tidak sependapat dengannya. Inilah sikap
kebudak-budakan yang saya maksudkan.
Di sini manhaj dinamik amatlah perlu dimana sikap yang sentiasa
mengkaji dan menganalisa akan mengalih seseorang itu dari tahap
kebudakan-budakan ke tahap kedewasaan. Tahap kedewasaan akan mengarah
kepada sikap merendah diri berdasarkan keinsafan bahawa ilmu agama
sebenarnya amat luas, sikap menghormati para ‘ulama berdasarkan
kesedaran bahawa terdapat banyak faktor lain yang mereka pertimbangkan
dan terbuka kepada dialog berdasarkan mata yang celik kepada hakikat
berbeza pendapat adalah fitrah manusia.
Usaha untuk memahami agama Islam bukanlah sekadar class room
discussion, akan tetapi ia adalah untuk diamalkan. Ilmu tanpa amalan
adalah sesuatu yang dibenci oleh Allah sebagaimana firman-Nya yang
bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu
memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya
di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak
melakukannya.”
[al-Saff, ayat 2-3]
Sebaliknya orang yang mengamalkan ilmunya akan ditambahi oleh Allah
dengan ilmu dalam pelbagai bentuk. Orang yang berusaha memahami agama
Islam akan meningkat keimanannya dan iman itu sendiri adalah apa yang
dibuktikan dengan hati, lidah dan perbuatan. Keimanan seperti ini akan
ditambahi oleh Allah dengan hidayah-Nya, sebagaimana firman-Nya yang
bermaksud:
“……sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah.”
[Maksud surah al-Kahf, ayat 13]
Orang yang mengamalkan ilmu juga bererti mengamalkan hidayah yang
Allah kurniakan kepadanya, meningkatkan ketaqwaannya, maka dengan itu
Allah akan mengurniakan kepadanya al-Furqan yang membolehkan dia
membezakan antara yang benar dan batil. Allah akan juga menambahi
Rahmat-Nya dan memberikannya cahaya untuk terus berada di atas jalan
yang benar. Perhatikan dua firman Allah berikut yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu
bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (al-Furqan) yang
membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan
kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah
(sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
[al-Anfal, ayat 29]
Siapa kita berhubung, siapa kita berkawan, memiliki pengaruh yang
besar kepada perwatakan diri kita sendiri. Rasulullah pernah
mengingatkan, maksudnya:
“Sesungguhnya perumpamaan teman yang shalih dan teman yang buruk
hanyalah seumpama pembawa minyak wangi dan peniup tungku api seorang
tukang besi. Bagi pembawa minyak wangi, boleh jadi sama ada dia
memberinya kepada kamu (minyak wangi) atau kamu membeli daripadanya
(minyak wangi) atau kamu mendapat bau harum daripadanya. Bagi peniup
tungku api seorang tukang besi, boleh jadi sama ada ia akan membakar
pakaian kamu (kerana kesan tiupan api) atau kamu mendapat bau yang tidak
sedap daripadanya (bau besi).”
[Diriwayatkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 2628].
Oleh itu sesiapa yang berusaha untuk memahami agama Islam hendaklah
sentiasa berhubung dengan orang-orang yang perhubungannya sentiasa
bersama ilmu. Mereka adalah orang-orang yang perhatiannya sentiasa
kepada al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, usahanya sentiasa kepada
mengkaji kitab-kitab peninggalan para ulama’ dan pemikirannya sentiasa
ke arah memperbaiki keadaan umat Islam dan menjaga kemurnian agama
Islam.
Di antara mereka ialah para alim ulama’ dan guru-guru, maka hendaklah
memuliakan mereka, mendengar nasihat mereka dan mengikuti jejak langkah
mereka. Seandainya mereka berbuat salah, hendaklah menasihati mereka
secara sopan dan tersembunyi, tidak secara kasar dan terbuka kepada
orang ramai. Di antara mereka adalah orang-orang yang dalam proses
memahami agama Islam, maka hendaklah menjadikan mereka sebagai sahabat
karib, selalu meluangkan masa berkongsi ilmu, bertukar-tukar pendapat
dan saling menasihati.
Setiap usaha perlu diikuti dengan doa dan usaha untuk memahami agama
Islam tidak terpisah daripada adab ini. Maka hendaklah berdoa kepada
Allah dan sebaik-baik doa adalah apa yang diajar oleh Allah dan
Rasul-Nya. Antaranya:
-
Ikhlas dalam menuntut ilmu.
-
Positif dan Yakin kepada diri sendiri
-
Bersiap sedia untuk melakukan pengorbanan.
-
Tidak mengenal titik noktah.
-
Mengamalkan ilmu.
-
Berhubung dengan orang yang berhubung dengan ilmu.
-
Berdoa Kepada Allah.
“Tunjukilah kami jalan yang lurus. Iaitu jalan
orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan
(jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan)
orang-orang yang sesat.”
[Maksud surah al-Fatihah, ayat 6-7]
Demikian tujuh adab yang dapat saya ringkaskan daripada sekian banyak
adab untuk menuntut ilmu. Diharapkan adab-adab di atas bermanfaat untuk
setiap orang, termasuk diri saya sendiri. Selain tujuh adab tersebut,
setiap orang yang berusaha untuk memahami agama Islam perlu berwaspada
kepada unsur-unsur yang boleh merosakkannya. Unsur-unsur tersebut akan
saya jelaskan dalam penulisan yang seterusnya insya-Allah.