Batasan- batasan di tanah Haram Makkah
Soalan:
Apakah sebenarnya istilah tanah haram Makkah dan sampai manakah
batas-batasnya? Adakah kawasan ‘Arafah, Mudzdalifah dan Mina termasuk
dalam tanah haram?
Jawapan:
الحمد لله حمدا يوافي نعمه ويكافئ مزيدة ، يا ربنا لك الحمد كما ينبغى
لجلال وجهك وعظيم سلطانك ، اللهم صل وسلم على سيدنا ومولانا محمد وعلى آل
سيدنا محمد صلاة تحيينا بها حياة طيبة ترضاها وتجعلنا بها هداة مهديين غير
ضآلين ولا مضلين ، وبعد
Istilah Tanah Haram Makkah
Tanah haram Makkah ialah suatu kawasan yang aman kerana di dalamnya ada
hal-hal yang tidak dibenarkan kita melakukannya dan juga ada beberapa
hukum yang membezakannya dengan kawasan-kawasan yang lain kerana
kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda:
إن هذا البلد حرمه الله يوم خلق السموات والأرض فهو حرام يحرمه الله تعالى
إلى يوم القيامة وإنه لم يحل القتال فيه لأحد قبلي ولم يحل لي إلا ساعة من
نهار فهو حرام بحرمة الله تعالى إلى يوم القيامة لا يعضد شوكه ولا ينفر
صيده ولا يلتقط لقطته إلا من عرفها ولا يختلى خلاة فقال العباس يا رسول
الله إلا الإذخر فإنه لقينهم وبيوتهم ، فقال صلى الله عليه وسلم إلا الإذخر
(رواه مسلم)
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengharamkan negeri ini semenjak Dia
menciptakan langit dan bumi. Negeri ini diharamkan oleh Allah sampai
Hari Kiamat kelak. Sebelumku, sesiapun tidak dihalalkan berperang di
negeri ini. Bahkan aku sendiri juga tidak dihalalkan melakukan hal yang
sama kecuali sesaat di siang hari. Negeri ini diharamkan oleh Allah
sampai Hari Kiamat nanti. Pohonnya yang berduri tak boleh ditebang,
haiwan buruannya tidak boleh dibunuh, dan barang cicirannya tidak boleh
dikutip melainkan oleh orang yang mahu mengumumkan saja, dan
rerumputannya tidak boleh dicabut atau dipotong. Al-‘Abbas berkata:
“Kecuali rumput lalang, wahai Rasulullah, kerana ia sangat bermanfaat
bagi manusia”, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: “Ya
kecuali rumput al-izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya).”
(Hadits riwayat Muslim)
Antara hukum-hukum penting yang khusus dengan tanah haram Makkah dan tiada kaitan dengan tanah halal atau kawasan lain ialah:
1. Mengikut pendapat ulama Syafi’e bahawa sunat bagi seseorang yang memasuki kawasan ini (haram Makkah) dengan berniat ihram.
2. Binatang buruan di kawasan ini adalah haram diburu, sama ada oleh
mereka yang berihram atau yang tidak berihram, kecuali binatang
berkenaan merupakan binatang yang membahayakan dan biasanya akan
menyerang manusia. Jika buruan dibunuh maka wajib dibayar gantinya.
3. Setiap tumbuhan yang masih hidup dan tumbuhan sendiri dan bukan
ditanam oleh manusia dalam kawasan tanah haram ini adalah haram
dipotong. Contohnya pokok shis, duri dan ‘ausaj. Hukum ini dikecualikan
jika tindakan tersebut perlu, umpamanya memotong pokok izkhir. Menurut
pendapat jumhur jika tumbuhan tersebut dipotong maka wajib dibayar
gantinya.
4. Tanah serta anak batu dari kawasan tanah haram adalah makruh dibawa keluar dari tanah haram.
5. Mengikut pendapat jumhur ulama, orang kafir adalah tidak dibenarkan
untuk memasuki tanah haram sama ada untuk menetap ataupun hanya untuk
lalu sahaja.
6. Sesuatu yang tercicir dan tidak diketahui tuannya di Makkah atau
tanah haram adalah haram diambil untuk dimiliki. Ia hanya halal untuk
diambil oleh orang yang mahu memaklumkan tentang siapa yang kehilangan
barang itu sahaja.
7. Mereka yang melakukan pembunuhan yang bukan atas tuntutan syara’ di
tanah haram (bukan kerana hak), akan dikenakan hukuman diyat yang lebih
berat.
8. Haram mengkebumikan orang musyrik dalam tanah haram dan juga menggali kuburnya.
9. Penyembelihan dam dan denda dalam ibadat haji serta penyembelihan
binatang hadyu adalah ditentukan tempatnya di kawasan tanah haram.
10. Sekiranya seseorang itu merupakan penduduk tanah haram dan
mengerjakan haji secara Qiran atau Tamattu’ maka dia tidak wajib
membayar dam.
11. Mengikut pendapat dalam mazhab Syafi’e sembahyang sunat muthlaq
iaitu sembahyang yang tidak bersebab tidak menjadi makruh jika dilakukan
di tanah haram pada bila-bila masa sahaja.
12. Seorang yang bernazar untuk ke sana maka dia wajib menunaikannya sama ada dengan cara haji ataupun umrah.
13. Apabila seseorang itu bernazar untuk menyembelih binatang sahaja di Makkah maka dia wajib melakukan seperti nazarnya itu.
Batas-batas atau sempadan tanah haram Makkah ialah:
1. Dari arah Madinah ialah sejauh kira-kira 3 batu atau 4.5 kilometer.
Sempadan ini terletak di kawasan Bani Nifar ataupun as-Syuqya. Pada masa
ini tempat tersebut dikenali dengan nama Masjid A’isyah.
2. Dari arah Yaman pula ialah sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5
kilometer, iaitu di sebelah kawasan Ada’at Libnin dalam kawasan Tsaniyah
Libnin.
3. Dari arah Iraq pula ia terletak sejauh kira-kira 7 batu atau 10.5
kilometer dari Makkah berhampiran dengan bukit di al-Muqatar ataupun
al-Muqta’.
4. Dari arah Tha’if dan dari pertengahan Lembah Namirah yang terletak di
pertengahan jalan ke ‘Arafah adalah terletak sejauh kira-kira 7 batu
atau 10.5 kilometer dari Makkah, bersebelahan dengan ‘Arafah.
5. Dari jalan arah Ji’ranah adalah terletak sejauh kira-kira 9 batu atau 13.5 kilometer iaitu di Shu’aib al-Abdullah bin Khalid.
6. Dari arah Jeddah pula ialah sejauh kira-kira 10 batu atau 15 kilometer dari Makkah iaitu di Muntaqi’ ‘Ash’ash.
7. Dan dari Bathni ‘Uranah pula adalah sejauh kira-kira 11 batu atau
16.5 kilometer. (lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2390-2394)
Adapun ‘arafah sebuah bukit yamg tingginya lebih kurang 220 meter dari
paras laut dan terletak dalam jarak kira-kira 25 kilometer di Tenggara
Makkah. Ia tidak termasuk di dalam kawasan tanah haram. Imam an-Nawawi
ada menjelaskan, katanya:
واعلم أن عرفات ليست من الحرام
Ertinya: Dan ketahuilah bahawasanya ‘Arafah itu bukan termasuk di dalam kawasan tanah haram. (Al-Idhah fi Manasik al-Hajj: 147)
Manakala Mina merupakan sebuah kampung yang terletak sejauh kira-kira 7
kilometer dari Makkah dan Muzdalifah pula suatu kawasan yang terletak di
antara Mina dan ‘Arafah. Muzdalifah termasuk di dalam lingkungan tanah
haram.
Sebenarnya kawasan tanah haram mempunyai tanda dari setiap arah yang
telah diletakkan di setiap penjuru-penjurunya. Al-Azraqiy dan lain-lain
telah menyatakan bahawa tanda-tanda atau perbatasan-perbatasan tanah
haram itu telah dilakukan oleh Nabi Ibrahim ‘Alahissalam dan yang
menunjukkan tempatnya ialah malaikat Jibril ‘Alaihissalam. Kemudiannya
tanda-tanda itu telah diperbaharui dengan arahan Nabi Muhammad
Shallallahu ‘alaihi wassalam dan selepas itu arahan Sayyidina Umar,
Utsman dan Muawiyah. Pada masa sekarang tanda-tanda tersebut begitu
terang dan jelas sekali. (Lihat Fiqh al-Islami wa Adillatuh: 3/2381)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan