Selasa, 25 Ogos 2009

Perkara Wajib Haji

Perkara wAJIB HAJI

Oleh Nukman Fadzil (siri i)

Bakal haji perlu mengetahui di mana mereka patut bermiqat bagi mengelak dikenakan dam.

MENGERJAKAN ibadat haji adalah satu kefarduan bagi mereka yang telah mencukupi syarat-syarat wajib menunaikan haji. Jutaan manusia mengerjakan haji pada setiap tahun dengan harapan dan matlamat yang satu iaitu mendapat haji yang mabrur.

Mendapatkan haji mabrur bukannya satu perkara yang mudah, tidak semudah dilafazkan. Inilah yang memerlukan persediaan ilmu yang bersungguh-sungguh dan istiqamah serta beramal dengannya. Ilmu berhubung ibadat haji yang maha luas ini tidak hanya terhenti pada perkara rukun sahaja, malahan merangkumi perkara-perkara wajib, sunat dan sebagainya. Selain rukun-rukun haji seperti yang telah dibicarakan dalam siri sebelum ini, jemaah haji juga perlu mengetahui apakah yang dikatakan wajib haji?

Wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tersebut tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya, dan juga akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja. Terdapat enam wajib haji iaitu:

I. Berniat ihram di Miqat.

II. Meninggalkan larangan ihram.

III. Mabit (bermalam) di Muzdalifah.

IV. Melontar anak batu di Jamrah Kubra.

V. Mabit (bermalam) di Mina.

VI. Melontar anak batu di tiga Jamarah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Niat Ihram di Miqat

Niat ihram ialah lafaz niat untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, ia tertakluk kepada cara pelaksanaan haji yang dipilih iaitu sama ada haji tamattuk, ifrad atau qiran.

Niat tersebut hendaklah dilafazkan di miqat. Contoh Lafaz niat ihram haji: "Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah taala".

Apakah yang dimaksudkan dengan miqat?

Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu miqat Zamani dan miqat Makani.

l Miqat Zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga seketika terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijjah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan-bulan haji.

l Miqat Zamani umrah pula ialah sepanjang masa selain dari masa sedang berihram haji.

l Miqat Makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram haji atau umrah.

Miqat Makani haji atau umrah bagi penduduk Luar Mekah iaitu:

I. Yalamlam atau pun dikenali juga sebagai al- Sa'diyyah

Yalamlam ialah nama sebuah bukit yang terletak berhampiran Laut Merah di Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya lebih kurang 89 kilometer (km) dari Mekah. Yalamlam ialah miqat bagi penduduk Yaman dan orang yang datang dari arahnya.

II. Zulhulaifah atau pun dikenali juga sebagai Abyar Ali/Bir Ali

Zulhulaifah ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 425 km dari Mekah dan lebih kurang 10 km dari Masjid Nabawi. Zulhulaifah ialah miqat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang dari arahnya.

III. Al- Juhfah

Al- Juhfah ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 187 km dari Mekah. Al- Juhfah ialah miqat bagi penduduk Syam (Jordan, Lubnan, Palestin dan Syria) dan mereka yang datang dari arahnya.

IV. Qarn al-Manazil atau pun dikenali juga sebagai al-Sayl

Qarn al-Manazil ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 94 km dari Mekah. Qarn al-Manazil ialah miqat bagi penduduk Najd atau orang yang datang dari arahnya.

V. Zatu 'Irqin atau pun dikenali juga sebagai al- Daribah

Zatu 'Irqin ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 94 km dari Mekah. Zatu 'Irqin ialah miqat bagi penduduk Iraq atau orang yang datang dari arahnya.

Pada masa kini, kebiasaannya hanya dua miqat sahaja yang dilalui oleh jemaah haji dari Malaysia iaitu:

1. Qarn al-Manazil- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah dan seterusnya ke Mekah dari Malaysia.

2. Zulhulaifah- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah kemudian Madinah atau terus ke Madinah dari Malaysia selepas itu barulah ke Mekah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji tamattuk akan berniat umrah terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat haji akan disempurnakan di Mekah (tempat penginapan), kebiasaannya pada 8 Zulhijjah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji ifrad atau qiran akan berniat haji terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat umrah pula akan disempurnakan pada kebiasaannya di Tan'im, Ja'aranah atau Hudaibiyah selepas selesai melaksanakan haji.

Walau bagaimanapun menurut pandangan para ulama jemaah haji boleh berniat ihram sebelum melepasi kawasan atau sempadan miqat, tetapi yang terbaik adalah sebaik sahaja memasuki/tiba di miqat yang ditetapkan.

Bagaimana jemaah haji akan mengetahui miqat manakah yang akan dilaluinya untuk berniat, sama ada niat ihram haji atau umrah?

Jemaah haji perlu mengambil perhatian ia adalah tertakluk kepada jenis haji yang dipilih oleh jemaah haji, iaitu sama ada melakukan haji tamattuk, ifrad dan qiran dan juga ada kaitan dengan jadual penerbangan haji yang akan dikeluarkan oleh TH.

Jika berhajat berniat ihram lebih awal dan contohnya dalam pesawat (bagi kes miqat yang dilalui nanti adalah Qarnul Manazil) maka niat hendaklah dilafazkan setelah empat atau lima jam mengharungi perjalanan udara.

Tidak digalakkan berniat terlalu awal contohnya di Kompleks Haji Kelana Jaya atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram

Jemaah haji perlu memahami perkara berhubung larangan semasa dalam ihram. Walaupun hanya perkara wajib haji jemaah perlu memberi tumpuan dan perhatian kerana dibimbangi akan memberi kesan terhadap mencapai matlamat haji mabrur.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram bermaksud setelah jemaah haji berniat ihram sama ada haji atau umrah maka haram melakukan perkara yang ditegah.

Jika melakukan perkara tersebut maka dikenakan dam menurut syarat-syaratnya. Sekiranya dilakukan juga dengan sengaja maka ia akan memberi kesan dosa.

Larangan ihram adalah seperti berikut:

1- Menutup kepala atau sebahagian daripadanya (lelaki sahaja).

2- Menutup muka (perempuan sahaja).

3- Memakai pakaian yang berjahit secara bercantum atau bersarung (lelaki sahaja). (Memakai kain pelekat dengan cara tidak menyarung ke dalamnya adalah dibenarkan)

4- Memakai sarung tangan.

5- Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan.

(Perlu diingatkan bagi kes rambut/bulu yang gugur bukan disebabkan oleh usaha atau perbuatan tangan maka tidak berdosa dan tidak dikenakan dam begitu juga dengan kuku).

6- Mengerat atau memotong kuku.

7- Memakai wangi-wangian sama ada di badan, pakaian, makanan, minuman atau menghisapnya ke dalam hidung (sabun, ubat gigi atau shampoo yang ada wangian dibenarkan penggunaannya hanya sekadar keperluan bagi tujuan pembersihan sahaja).

Penggunaan minyak ubat/gosok yang terdapat wangian seperti minyak serai wangi, balm dan sebagainya adalah dibenarkan.

8- Memakai minyak di rambut atau janggut dan semua bulu muka selain daripada tumbuhan di pipi dan di dahi.

9- Memotong/menebang/mengerat atau mencabut pokok-pokok di Tanah Haram.

10- Memburu binatang buruan yang halal di makan atau membinasakannya di Tanah Haram atau Tanah Halal.

11- Melakukan mukadimah (pendahuluan) persetubuhan.

12- Bersetubuh.

13- Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.

Dalam pelaksanaan ibadat haji jemaah haji akan dikira bebas dari 10 larangan ihram (no. 1 hingga 10) di atas setelah bertahallul awal, iaitu melakukan dua daripada tiga perkara berikut:

i- Melontar Jamrah Kubra

ii- Tawaf dan saie

iii- Bercukur atau bergunting

Jika sekiranya telah melakukan ketiga-tiga perkara di atas maka jemaah haji dikira telah tahallul thani dan akan bebas semua larangan ihram.

Ini berbeza dengan pelaksanaan ibadat umrah, iaitu jemaah akan dikira bebas daripada semua larangan ihram setelah selesai melakukan tawaf, saie dan bercukur atau bergunting.

Berdasarkan pengalaman penulis, perkara mengenai larangan dalam ihram sering mengelirukan jemaah haji, khususnya dikenakan dam atau tidak, berdosa atau tidak berdosa, sengaja atau tidak sengaja, jika dilakukan dalam keadaan lupa dan sebagainya.

Jika jemaah haji memerlukan penjelasan dan bantuan bagi menyelesaikan permasalahan ini mereka dinasihatkan merujuk kepada guru agama yang bertugas di hotel Mekah dan Madinah (Pusat Perkhidmatan Maktab dan Zon).

Jangan malu dan teragak-agak serta elakkan sama sekali menghantar wakil (kawan) untuk bertanya kepada guru agama. Ini penting bagi mengelak perasaan was-was timbul di kemudian hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan