Ahad, 30 Ogos 2009

Adab Berbuka Puasa, Menurut Sunnah Rasulullah SAW.

ADAB-adab berhubung ibadat mestilah merujuk kepada ajaran yang ditunjuk oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w., iaitu al-Quran dan sunah. Ada sebahagian pihak yang cenderung mencipta adab-adab ibadah tanpa merujuk kepada dua sumber agung itu, misalnya dakwaan yang menyatakan makruh mandi terlalu kerap, atau mandi pada hampir waktu berbuka kerana ia boleh mengurangkan keletihan dan sekali gus menghilangkan kelebihan puasa.

Sedangkan di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Mawata’, Ahmad dan Abu Daud di dalam sunannya, Abu Bakar bin Abd al-Rahman meriwayatkan:

“Telah berkata sahabat yang menceritakan kepadaku: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

Dengan itu Ibn Qudamah al-Maqdisi (meninggal 620H) menyatakan:

“Tidak mengapa seseorang mencurahkan air ke atas kepalanya (ketika puasa) disebabkan panas atau dahaga kerana diriwayatkan oleh sebahagian sahabat bahawa mereka melihat Rasulullah s.a.w. di al-`Arj (nama tempat) mencurahkan air ke atas kepala Baginda ketika Baginda berpuasa disebabkan dahaga atau panas.”

(Ibn Qudamah al-Maqdisi, al-Mughni, 2/18, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Yang penting di dalam bulan Ramadan ini adalah adab-adab yang kita kaitkan dengan ibadah puasa mestilah mempunyai asas yang boleh dipegang, iaitu al-Quran atau sunah. Antara adab-adab berbuka puasa yang dinyatakan di dalam hadis:

1. Menyegerakan berbuka apabila masuknya waktu atau disebut ta’jil al-Iftar. Ini berdasarkan hadis-hadis yang menyebut perkara ini, antaranya: Daripada Sahl bin Sa`ad bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Manusia sentiasa dalam kebaikan selagi mereka menyegerakan berbuka puasa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menerangkan punca kebaikan di dalam agama ialah mengikut sunah Nabi s.a.w., iaitu Baginda menyegerakan berbuka puasa. Ini menolak dakwaan ajaran-ajaran karut yang kononnya melewatkan berbuka menambah pahala. Kata at-Tibi (meninggal 743H):

“Barangkali sebab Allah menyukai mereka yang bersegera membuka puasa, ialah kerana apabila seseorang berbuka puasa sebelum solat, membolehkannya menunaikan solat dengan dihadirkan hati. Juga ia menyanggahi ahli bidaah yang berpendapat wajib melewatkannya.”

(at-Tibi, Syarh Miskhat al-Masabih, 4/183, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Berut).
2. Berbuka puasa dengan rutab, atau tamar atau air. Rutab ialah buah kurma yang telah masak sebelum menjadi tamar kering, ia lembut dan manis. Adapun tamar ialah buah kurma yang sudah kering. (lihat: al-Mu’jam al-Wasit 1/88). Sekarang di negara kita rutab sudah mula dikenali. Ia kurma yang masak dan masih lagi belum kering dan mengecut. Apabila ia mengecut dipanggil tamar. Di dalam hadis daripada Anas katanya:

“Bahawa Rasulullah s.a.w. berbuka puasa dengan beberapa biji rutab sebelum bersolat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan beberapa biji tamar, dan sekiranya tiada tamar, maka Baginda minum beberapa teguk air.”

(Riwayat Imam Ahamd dan Tirmizi, katanya hadis ini hasan) Al-Diya al-Maqdisi (meninggal 643H) telah mensahihkan hadis ini. (lihat: al-Ahadith al-Mukhtarah, 4/411 cetakan: Maktabah al-Nahdah al-Hadithah, Mekah).

Inilah tertib yang dilakukan oleh Baginda, pilihan pertama ialah rutab, jika tiada tamar dan jika tiada air. Kata al-Mubarakfuri (meninggal 1353H):

“Hadis ini menjadi dalil disunatkan berbuka puasa dengan rutab, sekiranya tiada, maka dengan tamar, dan sekiranya tiada, maka dengan air. Adapun pendapat yang menyatakan di Mekah disunatkan didahulukan air zam-zam sebelum tamar, atau mencampurkan tamar dengan air zam-zam adalah ditolak. Ini kerana ia menyanggahi sunah. Adapun Nabi telah berpuasa (di Mekah) banyak hari pada tahun pembukaan kota Mekah, namun tidak pernah diriwayatkan baginda menyalahi adat kebiasaannya mendahulukan tamar sebelum air.”

(al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi, 3/311, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut). Di samping itu, dakwaan jika tiada tamar, maka dengan buah-buahan yang lain juga tiada sebarang dalil daripada sunah Nabi s.a.w.
3. Menyegerakan solat Maghrib selepas berbuka dengan tamar atau air, sekiranya makanan belum dihidangkan. Hadis yang kita nyatakan di atas menunjukkan Baginda Nabi s.a.w. berbuka dengan rutab atau tamar atau air sebelum bersolat Maghrib. Maka kita disunatkan juga mengikuti langkah tersebut, iaitu selepas berbuka dengan perkara-perkara tadi, lantas terus menunaikan solat. Ini sekiranya makanan belum dihidangkan. Adapun sekiranya makanan telah dihidangkan di depan mata, maka dimakruhkan meninggalkan makanan untuk menunaikan solat. Ini berdasarkan apa yang dinyatakan dalam hadis-hadis baginda Nabi s.a.w. antaranya: Daripada Anas bin Malik r.a.: Bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Apabila telah dihidangkan makan malam, maka mulakanlah ia sebelum kamu menunaikan solat Maghrib, dan jangan kamu tergopoh-gapah ketika makan malam kamu.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam hadis yang lain daripada Abdullah bin Umar, Baginda s.a.w. bersabda:

“Apabila dihidangkan makan malam seseorang kamu, sedangkan solat (jamaah) telah didirikan, maka mulailah dengan makan malam. Janganlah dia tergopoh-gapah sehinggalah dia selesa.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim).

Riwayat di atas juga menambah:

Bahawa Ibn Umar r.a. apabila dihidangkan untuknya makanan, manakala solat pula sedang didirikan, maka beliau tidak mendatangi solat melainkan hingga beliau selesai makan, sedangkan beliau mendengar bacaan imam. Ini kerana meninggalkan makanan dalam keadaan keinginan yang kuat untuk menjamahnya atau dalam perasaan lapar, boleh menghilangkan khusyuk di dalam solat, disebabkan ingatan terhadap makanan tersebut. Dengan itu para ulama menyatakan dimakruhkan solat setelah makanan terhidang di hadapan mata. Kata an-Nawawi (meninggal 676H): Di dalam hadis-hadis tersebut dimakruhkan solat apabila terhidangnya makanan yang hendak dimakan kerana ia boleh mengganggu hati dan menghilangkan kesempurnaan khusyuk.

(An-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 4/208, cetakan: Dar al-Khair, Beirut).

Sebenarnya bukan pada makan malam atau solat Maghrib sahaja kita disunatkan mendahulukan makanan yang dihidang sebelum solat, bahkan sunah ini meliputi semua solat dan waktu makan kerana dibimbangi menghilangkan khusyuk. Ini sekiranya makanan telah terhidang di depan mata. Al-Munawi (meninggal 1031H) pula menyebut:

“Hadis tersebut menyatakan hendaklah didahulukan makan malam sebelum solat Maghrib. Namun ia juga dipraktikkan juga pada solat-solat yang lain. Ini kerana punca arahan ini ialah bimbang hilangnya khusyuk.”

(al-Munawi, Faidh al-Qadir, 1/295, cetakan: al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Mesir).

Malangnya ada di kalangan yang kurang faham, lalu mereka menyatakan bahawa kalau azan sudah berkumandang, hidangan dan makanan hendaklah ditinggalkan demi mengutamakan solat jemaah. Inilah kedangkalan meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w., lalu mengandaikan agama dengan emosi sendiri.

Adapun sekiranya makanan belum terhidang atau perasaan keinginan terhadap makanan tiada, maka tidaklah dimakruhkan untuk terus solat. Ini bukanlah bererti kita disuruh mementingkan makanan melebihi solat, sebaliknya tujuan arahan Nabi s.a.w. ini ialah untuk memastikan kesempurnaan solat. Al-Imam Ibn Hajar al-`Asqalani (meninggal 852H) memetik ungkapan Ibn Jauzi (meninggal 597H):

“Ada orang menyangka bahawa mendahulukan makanan sebelum solat adalah bab mendahulukan hak hamba ke atas hak Tuhan. Sebenarnya bukan demikian, tetapi ini adalah menjaga hak Allah agar makhluk masuk ke dalam ibadahnya dengan penuh tumpuan. Sesungguhnya makanan mereka (para sahabat) adalah sedikit dan tidak memutuskan mereka daripada mengikuti solat jemaah.”

(Ibn Hajar al-`Asqalani, Fath al-Bari, 2/385, cetakan: dar al-Fikr, Beirut).
4. Makan dengan kadar yang tidak berlebihan ketika berbuka. Ini bertepatan dengan firman Allah s.w.t. maksudnya:

Dan makan dan minumlah kamu, dan jangan berlebih-lebihan. Sesungguhnya Dia tidak suka orang yang berlebih-lebihan.

(Surah al-`Araf:31).

Di dalam hadis Baginda s.a.w. menyebut:

“Anak Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan.”

(Riwayat Tirmizi, katanya: hadis ini hasan sahih. Al-Hafiz Ibn Hajar al-`Asqalani dalam Fath al-Bari menyatakan hadis ini hasan).

Hadis ini salah difahami oleh sesetengah pihak, lalu mereka menyangka Nabi s.a.w. menyuruh umatnya jika makan, hendaklah satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk pernafasan. Sebenarnya jika kita teliti hadis ini bukan demikian, pembahagian tersebut ialah had maksimum. Kalau boleh kurang daripada itu. Sebab itu Baginda menyebut jika tidak dapat, maka tidak melebihi pembahagian tadi. Namun yang lebih utama digalakkan sekadar yang dapat memberi tenaga.
5. Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:

“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka.”

(Riwayat Ibn Majah, sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ishaq bin ‘Abd Allah al-Madani dithiqahkan oleh Abu Zur’ah dan disebut saduq oleh al-Zahabi dalam al-Kasyif ).

Maka kita boleh berdoa dengan apa sahaja doa yang kita hajati. Doa orang berpuasa makbul disebabkan jiwa yang telah dibersihkan daripada kotoran dosa dan syahwat. Justeru itu al-Munawi menyebut:

”Hadis di atas hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan tanggungjawab puasa dengan menjaga lidah, hati dan anggota.”

(Faidh al-Qadir, 2/500).

Di sana ada doa yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. ketika berbuka dan disunatkan kita membacanya:

“Adalah Rasulullah s.a.w. apabila berbuka, Baginda bersabda: Telah hilanglah dahaga, telah basahlah peluh (hilang kekeringan) dan telah tetaplah pahala, insya-Allah.”

(Riwayat Abu Daud, sanadnya hasan)

Namun setiap orang yang menunaikan puasa dengan sepenuhnya, hendaklah merebut peluang doa yang makbul ketika dia berbuka.
6. Berdoa kepada sesiapa yang menjamu kita berbuka, kata Anas r.a.:

“Baginda s.a.w. pernah datang kepada (rumah) Saad bin Ubadah. Dia menghidangkan roti dan minyak. Baginda pun makan dan bersabda: Telah berbuka puasa di sisi kamu mereka yang berpuasa, telah makan makanan kamu mereka yang baik dan telah berselawat ke atas kamu para malaikat.”

(Riwayat Abu Daud, Diya al-Maqdisi dalam Al-Ahadith al-Mukhtarah menyatakan ia sahih 5/158). Maka berdoalah kepada mereka yang menjamu kita berbuka puasa. Ini adab yang sangat baik.

Demikian senarai adab-adab yang terkandung di dalam sunah Nabi s.a.w. ketika berpuasa. Semoga pengamalan adab-adab ini menambahkan lagi pahala puasa kita.

Rabu, 26 Ogos 2009

Pegawai Masjid Dilindungi Insurans

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sedang menyiapkan cadangan untuk mendapatkan perlindungan insuran berkelompok bagi pegawai masjid yang diberi kuasa menahan orang Islam yang minum arak dan tidak berpuasa.

Penolong pengarah di bahagian penguatkuasaan JAIS, Noorashita Mattar berkata, perkara itu diusahakan setelah mengambil kira faktor keselamatan pegawai terbabit.

"Kita memang sedang deraf cadangan itu," katanya.

Ditanya sama ada terdapat permintaan daripada pegawai terbabit supaya kemudahan itu disediakan, Noorashita berkata, ia merupakan usaha JAIS sendiri bagi menjaga kebajikan kumpulan tersebut.

Kelmarin, exco hal-ehwal Islam Selangor, Datuk Dr Hasan Ali mengumumkan bahawa nazir, imam, bilal dan siak di lebih 370 masjid di Selangor, diberikan kuasa untuk membantu menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.

Dr Hasan dilaporkan berkata, pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menahan pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada pegawai penguatkuasa agama untuk tindakan lanjut.

‘Tangkap semula'

Pegawai masjid juga boleh menangkap orang Islam yang meminum arak tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguatkuasa agama.

Dihubungi Malaysiakini pagi ini, Noorashita menjelaskan, pegawai masjid yang diberikan kuasa, boleh membuat tangkapan, walaupun secara berseorangan dan tanpa kehadiran penguatkuasa syariah atau polis, mengikut peruntukan dalam Seksyen 18, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2003.

"Seorang pun boleh. Tetapi biasanya dibuat secara bersama. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku. Biasanya mereka pergi berkumpulan, terumanya di lokasi yang berisiko.

"Kemudian barulah dibawa kepada polis atau penguatkuasa untuk 'tangkap semula' (diserahkan)."

Setakat ini, katanya, JAIS telah mengadakan tiga siri taklimat bagi menerangkan prosedur tangkapan, termasuk aspek keselamatan, terbaru di Shah Alam kelmarin.

Sementara itu, sebuah akhbar harian berbahasa Melayu hari ini melaporkan, pihak berkuasa agama empat negeri lain di Melaka, Johor, Sarawak, Terengganu tidak berhasrat mengikut jejak Selangor itu.

Selasa, 25 Ogos 2009

Perkara Wajib Haji

Perkara wAJIB HAJI

Oleh Nukman Fadzil (siri i)

Bakal haji perlu mengetahui di mana mereka patut bermiqat bagi mengelak dikenakan dam.

MENGERJAKAN ibadat haji adalah satu kefarduan bagi mereka yang telah mencukupi syarat-syarat wajib menunaikan haji. Jutaan manusia mengerjakan haji pada setiap tahun dengan harapan dan matlamat yang satu iaitu mendapat haji yang mabrur.

Mendapatkan haji mabrur bukannya satu perkara yang mudah, tidak semudah dilafazkan. Inilah yang memerlukan persediaan ilmu yang bersungguh-sungguh dan istiqamah serta beramal dengannya. Ilmu berhubung ibadat haji yang maha luas ini tidak hanya terhenti pada perkara rukun sahaja, malahan merangkumi perkara-perkara wajib, sunat dan sebagainya. Selain rukun-rukun haji seperti yang telah dibicarakan dalam siri sebelum ini, jemaah haji juga perlu mengetahui apakah yang dikatakan wajib haji?

Wajib haji ialah pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan haji. Jika tidak dikerjakan salah satu daripadanya, haji tersebut tetap sah, tetapi dikenakan dam menurut syarat-syaratnya, dan juga akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja. Terdapat enam wajib haji iaitu:

I. Berniat ihram di Miqat.

II. Meninggalkan larangan ihram.

III. Mabit (bermalam) di Muzdalifah.

IV. Melontar anak batu di Jamrah Kubra.

V. Mabit (bermalam) di Mina.

VI. Melontar anak batu di tiga Jamarah, iaitu Jamrah Sughra, Jamrah Wusta dan Jamrah Kubra.

Niat Ihram di Miqat

Niat ihram ialah lafaz niat untuk mengerjakan ibadat haji atau umrah, ia tertakluk kepada cara pelaksanaan haji yang dipilih iaitu sama ada haji tamattuk, ifrad atau qiran.

Niat tersebut hendaklah dilafazkan di miqat. Contoh Lafaz niat ihram haji: "Sahaja aku mengerjakan haji dan berihram dengannya kerana Allah taala".

Apakah yang dimaksudkan dengan miqat?

Miqat ialah ketentuan tempat atau sempadan atau masa untuk berniat ihram haji atau umrah. Miqat pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu miqat Zamani dan miqat Makani.

l Miqat Zamani haji ialah masa bagi seseorang untuk berniat ihram haji. Ia bermula dari 1 Syawal hingga seketika terbit fajar (masuk waktu Subuh) pada 10 Zulhijjah. Tempoh inilah yang dinamakan bulan-bulan haji.

l Miqat Zamani umrah pula ialah sepanjang masa selain dari masa sedang berihram haji.

l Miqat Makani ialah ketentuan tempat atau sempadan untuk berniat ihram haji atau umrah.

Miqat Makani haji atau umrah bagi penduduk Luar Mekah iaitu:

I. Yalamlam atau pun dikenali juga sebagai al- Sa'diyyah

Yalamlam ialah nama sebuah bukit yang terletak berhampiran Laut Merah di Semenanjung Tanah Arab. Jaraknya lebih kurang 89 kilometer (km) dari Mekah. Yalamlam ialah miqat bagi penduduk Yaman dan orang yang datang dari arahnya.

II. Zulhulaifah atau pun dikenali juga sebagai Abyar Ali/Bir Ali

Zulhulaifah ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 425 km dari Mekah dan lebih kurang 10 km dari Masjid Nabawi. Zulhulaifah ialah miqat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang dari arahnya.

III. Al- Juhfah

Al- Juhfah ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 187 km dari Mekah. Al- Juhfah ialah miqat bagi penduduk Syam (Jordan, Lubnan, Palestin dan Syria) dan mereka yang datang dari arahnya.

IV. Qarn al-Manazil atau pun dikenali juga sebagai al-Sayl

Qarn al-Manazil ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 94 km dari Mekah. Qarn al-Manazil ialah miqat bagi penduduk Najd atau orang yang datang dari arahnya.

V. Zatu 'Irqin atau pun dikenali juga sebagai al- Daribah

Zatu 'Irqin ialah kawasan yang jaraknya lebih kurang 94 km dari Mekah. Zatu 'Irqin ialah miqat bagi penduduk Iraq atau orang yang datang dari arahnya.

Pada masa kini, kebiasaannya hanya dua miqat sahaja yang dilalui oleh jemaah haji dari Malaysia iaitu:

1. Qarn al-Manazil- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah dan seterusnya ke Mekah dari Malaysia.

2. Zulhulaifah- Bagi jemaah haji yang dijadualkan penerbangan masuk ke Jeddah kemudian Madinah atau terus ke Madinah dari Malaysia selepas itu barulah ke Mekah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji tamattuk akan berniat umrah terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat haji akan disempurnakan di Mekah (tempat penginapan), kebiasaannya pada 8 Zulhijjah.

Jemaah haji yang melaksanakan haji ifrad atau qiran akan berniat haji terlebih dahulu ketika melalui miqat yang ditetapkan. Niat umrah pula akan disempurnakan pada kebiasaannya di Tan'im, Ja'aranah atau Hudaibiyah selepas selesai melaksanakan haji.

Walau bagaimanapun menurut pandangan para ulama jemaah haji boleh berniat ihram sebelum melepasi kawasan atau sempadan miqat, tetapi yang terbaik adalah sebaik sahaja memasuki/tiba di miqat yang ditetapkan.

Bagaimana jemaah haji akan mengetahui miqat manakah yang akan dilaluinya untuk berniat, sama ada niat ihram haji atau umrah?

Jemaah haji perlu mengambil perhatian ia adalah tertakluk kepada jenis haji yang dipilih oleh jemaah haji, iaitu sama ada melakukan haji tamattuk, ifrad dan qiran dan juga ada kaitan dengan jadual penerbangan haji yang akan dikeluarkan oleh TH.

Jika berhajat berniat ihram lebih awal dan contohnya dalam pesawat (bagi kes miqat yang dilalui nanti adalah Qarnul Manazil) maka niat hendaklah dilafazkan setelah empat atau lima jam mengharungi perjalanan udara.

Tidak digalakkan berniat terlalu awal contohnya di Kompleks Haji Kelana Jaya atau Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram

Jemaah haji perlu memahami perkara berhubung larangan semasa dalam ihram. Walaupun hanya perkara wajib haji jemaah perlu memberi tumpuan dan perhatian kerana dibimbangi akan memberi kesan terhadap mencapai matlamat haji mabrur.

Meninggalkan larangan semasa dalam ihram bermaksud setelah jemaah haji berniat ihram sama ada haji atau umrah maka haram melakukan perkara yang ditegah.

Jika melakukan perkara tersebut maka dikenakan dam menurut syarat-syaratnya. Sekiranya dilakukan juga dengan sengaja maka ia akan memberi kesan dosa.

Larangan ihram adalah seperti berikut:

1- Menutup kepala atau sebahagian daripadanya (lelaki sahaja).

2- Menutup muka (perempuan sahaja).

3- Memakai pakaian yang berjahit secara bercantum atau bersarung (lelaki sahaja). (Memakai kain pelekat dengan cara tidak menyarung ke dalamnya adalah dibenarkan)

4- Memakai sarung tangan.

5- Menanggalkan rambut atau bulu dari mana-mana anggota badan.

(Perlu diingatkan bagi kes rambut/bulu yang gugur bukan disebabkan oleh usaha atau perbuatan tangan maka tidak berdosa dan tidak dikenakan dam begitu juga dengan kuku).

6- Mengerat atau memotong kuku.

7- Memakai wangi-wangian sama ada di badan, pakaian, makanan, minuman atau menghisapnya ke dalam hidung (sabun, ubat gigi atau shampoo yang ada wangian dibenarkan penggunaannya hanya sekadar keperluan bagi tujuan pembersihan sahaja).

Penggunaan minyak ubat/gosok yang terdapat wangian seperti minyak serai wangi, balm dan sebagainya adalah dibenarkan.

8- Memakai minyak di rambut atau janggut dan semua bulu muka selain daripada tumbuhan di pipi dan di dahi.

9- Memotong/menebang/mengerat atau mencabut pokok-pokok di Tanah Haram.

10- Memburu binatang buruan yang halal di makan atau membinasakannya di Tanah Haram atau Tanah Halal.

11- Melakukan mukadimah (pendahuluan) persetubuhan.

12- Bersetubuh.

13- Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wakil kahwin.

Dalam pelaksanaan ibadat haji jemaah haji akan dikira bebas dari 10 larangan ihram (no. 1 hingga 10) di atas setelah bertahallul awal, iaitu melakukan dua daripada tiga perkara berikut:

i- Melontar Jamrah Kubra

ii- Tawaf dan saie

iii- Bercukur atau bergunting

Jika sekiranya telah melakukan ketiga-tiga perkara di atas maka jemaah haji dikira telah tahallul thani dan akan bebas semua larangan ihram.

Ini berbeza dengan pelaksanaan ibadat umrah, iaitu jemaah akan dikira bebas daripada semua larangan ihram setelah selesai melakukan tawaf, saie dan bercukur atau bergunting.

Berdasarkan pengalaman penulis, perkara mengenai larangan dalam ihram sering mengelirukan jemaah haji, khususnya dikenakan dam atau tidak, berdosa atau tidak berdosa, sengaja atau tidak sengaja, jika dilakukan dalam keadaan lupa dan sebagainya.

Jika jemaah haji memerlukan penjelasan dan bantuan bagi menyelesaikan permasalahan ini mereka dinasihatkan merujuk kepada guru agama yang bertugas di hotel Mekah dan Madinah (Pusat Perkhidmatan Maktab dan Zon).

Jangan malu dan teragak-agak serta elakkan sama sekali menghantar wakil (kawan) untuk bertanya kepada guru agama. Ini penting bagi mengelak perasaan was-was timbul di kemudian hari.

Isnin, 24 Ogos 2009

Pertandingan Azaz Untuk Lahirkan Pelapis.

SHAH ALAM, 15 Ogos - Lazimnya, bilal masjid dan surau-surau yang mengalunkan azan adalah terdiri daripada kalangan mereka yang telah berusia.Menyedari kekurangan tersebut serta pentingnya laungan azan dan peranan bilal, Radio Malaysia Selangor menganjurkan pertandingan azan muazin peringkat negeri Selangor.

Pengarah Penyiaran Selangor, Isamuddin Ahmad berkata program yang julung kali diadakan ini bertujuan melatih dan mendedahkan remaja, terutama pelajar sekolah dengan kemahiran dan teknik melaungkan azan.
“Yang ini merupakan satu projek percubaan kali pertama dan iannya telah berjaya mencungkil bakat-bakat baru dalam melaungkan azan. Tapi perkara yang paling penting wujud hubungan yang rapat sekolah-sekolah agama dan mereka juga memberi komitmen yang tinggi untuk jayakan program ini”,katanya.

Isamuddin berkata demikian kepada media selepas Pertandingan Akhir Azan Muazin Muda Peringkat Negeri Selangor, di Kompleks Seni Islam Selangor, Shah Alam petang tadi.
Katanya, 60 pelajar tingkatan satu hingga 5 dari seluruh negeri, menyertai uji bakat pada saringan pertama, 4 Julai lalu tetapi hanya 10 peserta layak ke peringkat akhir.

Bagaimanapun, seorang peserta menarik diri pada saat-saat akhir.
Pada pertandingan petang tadi, Muhammad Firdaus Sobri, dari Sekolah Menengah Agama Hulu Langat, muncul johan mengalahkan lapan peserta lain.
Suaranya yang nyaring, jelas dan menepati hukum-hukum tajwid, berjaya mengutip markah tertinggi iaitu 81 peratus, mengalahkan Halid Sabtu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Selangor dengan perbezaan 0.5 peratus di tempat kedua.

Firdaus menerima hadiah iringan berupa Al-Quran dan wang tunai sebanyak RM2,000.
Sementara, tempat kedua dan ketiga, masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM1,500 dan RM1,000.Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar, Lembaga Zakat Selangor, Ahmad Shahir Makhtar.Sementara itu, Firdaus yang ditemui melahirkan rasa gembira kerana terpilih sebagai juara pertandingan ini.

“Saya akan melanjutkan pelajaran saya dalam bidang teranum, inilah untuk tingkatkan lagi sama ada dalam bidang teranum ini,ia merangkumi pelbagai aspek”,katanya.

Institusi Zakat Perlu Bebas Campur Tangan Luar

SHAH ALAM, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu pengurusan zakat di negeri ini ditingkatkan dengan menerapkan tiga nilai murni iaitu amanah, telus dan akauntabiliti.Selain itu, penekanan kepada peningkatan amalan nilai integriti menjadi satu keperluan bagi menjadikan pengurusan zakat lebih dinamik dan kompetitif.

“Beta ingin tegaskan di sini bahawa segala kutipan zakat di negeri Selangor ini hanya boleh digunakan untuk membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri ini. Beta sekali-kali tidak berkenan wang zakat ini diambil, dipinjam atau disalurkan untuk perkara-perkara lain. Beta tidak berkenan mereka yang luar dari pentadbiran Lembaga Zakat Selangor ini campur tangan dalam pengurusan zakat negeri ini”, titah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda bertitah demikian, semasa merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor di Hotel Bluewave, Shah Alam pagi tadi.Konvensyen ini dianjurkan bersama Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Negeri Selangor dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.Hampir 500 peserta terdiri daripada warga kerja LZS, pegawai Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) hadir sebagai peserta.

Turut terlibat ejen kutipan zakat termasuk ejen Institut Pengajian Tinggi (IPT), bank dan ejen cukai.Peserta turut diberi penekanan agar menjadi individu yang dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan seterusnya menjadi ejen perubahan yang cemerlang.“Beta juga berkenan supaya kutipan zakat setiap tahun hendaklah diberi pengetahuan kepada rakyat negeri Selangor melalui akhbar ataupun media massa berapa jumlah kutipan yang diperolehi dan ke manakah wang ini disalurkan. Pengurusan Zakat hendaklah dilakukan dengan betul dan janganlah adanya berlaku penyelewengan dalam pengurusan, kutipan dan pembahagiannya”, titahnya lagi.

Antara pembentang kertas kerja ialah Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid; Pensyarah Graduate School of Management merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Prof. Dato’ Dr Aziuddin Ahmad, serta Timbalan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Mustafar Ali.Selain itu, Fellow Amat Terhormat, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam, Prof. Dr. Muhammad Uthman El Muhammedy; Ketua Pegawai Eksekutif EONCAP Islamic Bank Berhad, Fozia Amanulla dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Dato’ Dr. Hassan Mohamed Ali.

Hadir sama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Ramli Mahmud; Pengerusi MAIS, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa serta Pengerusi Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail

Perutusan MB

SHAH ALAM-21Ogos: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyeru umat Islam di Negeri Selangor khususnya dan Malaysia, umumnya supaya meneruskan budaya dan sikap toleransi yang telah lama dipupuk di kalangan masyarakat.

Beliau berkata, sikap toleransi di kalangan masyarakat adalah asas kepada pembentukan perpaduan berterusan yang dikecapi hari ini.

Katanya, sempena bulan mulia ini, rakyat diminta mendalami erti sebenar toleransi berdasarkan ajaran agama Islam.

“Pupukkanlah lagi semangat toleransi antara kita, kerana toleransi mengajar kita menerima kesusahan dan kritikan orang lain, mengajar kita berkorban untuk orang lain dan membuat kita lebih bersikap terbuka dan berlapang dada mengenai pelbagai perkara dalam kehidupan kita sebagai rakyat Malaysia yang pelbagai kaum dan agama ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya sempena menyambut bulan Ramadhan.

Beliau turut berharap, sikap toleransi di kalangan umat Islam kepada umat bukan Islam dapat diteruskan dan dipupuk dengan lebih baik lagi.

Katanya, cara ini dapat mencerminkan bahawa Islam itu satu agama yang cantik dan damai, dan bukanlah satu agama yang mengajar umatnya bertelingkah dan bertikam lidah atau memusuhi orang bukan Islam.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya rakyat tetap mengawasi kesihatan diri dan ahli-ahli keluarga daripada jangkitan kuman selsema babi atau virus influenza H1N1 yang sedang melanda negara.

Selain itu, beliau menggesa rakyat meningkatkan pengawalan kendiri daripada demam denggi dan penyakit lain yang boleh mencacatkan usaha untuk melakukan ibadat dan menikmati kehidupan yang sempurna

Pegawai Masjid di Beri Surat KUasa


SHAH ALAM: 24 Ogos: Pegawai masjid yang terdiri daripada Nazir, Imam, Bilal dan Siak di lebih 370 masjid di Selangor diberi surat kuasa untuk membantu Jabatan Agama Islam Selangor menguatkuasa Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adatadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, surat kuasa itu diberikan dua minggu lepas.

Antara kesalahan yang diberi penekanan untuk dibanteras pada bulan Ramadan ini ialah makan, minum dan menghisap rokok di khalayak ramai pada masa berpuasa, katanya pada sidang akhbar di Shah Alam.Kesalahan di bawah Seksyen 19 Enakmen itu boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali.Dr Hasan berkata pegawai masjid yang mempunyai surat kuasa itu bagaimanapun tidak boleh menangkap pesalah tetapi hanya mengambil butiran diri dan jenis kesalahan serta barang kes untuk diserah kepada Pegawai Penguatkuasa Agama untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Dr Hasan berkata pegawai masjid boleh menangkap orang Islam yang meminum arak, tetapi perlu menyerahkan mereka kepada polis atau pegawai penguatkuasa agama.
Orang Islam yang meminum arak di tempat awam atau kedai, boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau keduadua sekali jika sabit kesalahan.
Bagi orang Islam yang membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, menyimpan atau membeli arak pula, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-dua sekali
.

Ahad, 23 Ogos 2009

Anjing anjing Neraka

Sabda Rasulullah S.A.W kepada Mu'adz, "Wahai Mu'adz, apabila di dalam amal perbuatanmu itu ada kekurangan :

· Jagalah lisanmu supaya tidak terjatuh di dalam ghibah terhadap saudaramu/muslimin.

· Bacalah Al-Qur'an

· tanggunglah dosamu sendiri untukmu dan jangan engkau tanggungkan dosamu kepada orang lain.

· Jangan engkau mensucikan dirimu dengan mencela orang lain.

· Jangan engkau tinggikan dirimu sendiri di atas mereka.

· Jangan engkau masukkan amal perbuatan dunia ke dalam amal perbuatan akhirat.

· Jangan engkau menyombongkan diri pada kedudukanmu supaya orang takut kepada perangaimu yang tidak baik.

· Jangan engkau membisikkan sesuatu sedang dekatmu ada orang lain.

· Jangan engkau merasa tinggi dan mulia daripada orang lain.

· Jangan engkau sakitkan hati orang dengan ucapan-ucapanmu.

Nescaya di akhirat nanti, kamu akan dirobek-robek oleh anjing neraka. Firman Allah S.W.T. yang bermaksud, "Demi (bintang-bintang) yang berpindah dari satu buruj kepada buruj yang lain." Sabda Rasulullah S.A.W., "Dia adalah anjing-anjing di dalam neraka yang akan merobek-robek daging orang (menyakiti hati) dengan lisannya, dan anjing itupun merobek serta menggigit tulangnya."

Kata Mu'adz, " Ya Rasulullah, siapakah yang dapat bertahan terhadap keadaan seperti itu, dan siapa yang dapat terselamat daripadanya?" Sabda Rasulullah S.A.W., "Sesungguhnya hal itu mudah lagi ringan bagi orang yang telah dimudahkan serta diringankan oleh Allah S.W.T."

Al Quran Sebagai Pembela di Hari Akhirat

Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an." Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."

Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."

Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?" Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Ramadhan dan Masa

DIRAFA'KAN kesyukuran kepada Allah SWT ramadhan menggamit lagi. Bulan yang penuh keberkatan dan pelbagai keistimewaan antaranya rahmat, maghfirah (keampunan) dan gandaan pahala.

Oleh kerana masa begitu pantas berlalu dan kita sentiasa terkejar-kejar dengan masa, di samping banyak membazirnya maka di sini suka diterangkan berkenaan dengan masa mengikut neraca Islam.

Daripada Ibn Abbas r.a berkata bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Dua nikmat yang kebanyakan manusia rugi (kecewa) alam menerima keduanya iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari 6412, Imam Ahmad dalam musnadnya 1/344, al-Tirmizi dalam al-Zuhud 2304, Ibn Majah dalam a-Zuhd 4170 dan al-Baihaqi dalam al-Sunan 3/370.

Sheikh Abdullah Ba'lawi berkata: Saudara-saudaraku sesama Muslim sekelian, jagalah baik-baik dan berhati-hatilah dengan waktu yang kamu miliki kerana ia sangat terbatas, tidak boleh dimajukan atau ditangguh walau sesaat pun, detik demi detik, minit demi minit, saat demi saat, hari demi hari dan seterusnya tempoh yang kita hidup di dalamnya adalah tempoh yang sangat singkat berbanding kehidupan di akhirat nanti.

Setiap hembusan dan tarikan nafas, setiap denyut nadi dan degup jantung, seluruhnya itu mustahil berlaku tanpa izin Allah SWT. Bahkan pada hembusan nafas anda yang terakhir, pada denyut nadi yang terakhir dan pada degup jantung anda yang terakhir hendaklah anda gunakan waktu itu untuk berbakti kepada Allah SWT, sama ada ketika jaga ataupun tidur.

Gunakanlah untuk sesuatu yang berfaedah dan jangan biarkan berlalu seminit pun dengan sia-sia. Jikalau anda keliru menggunakannya maka di kemudian hari anda pasti merasa penyesalan anda nanti. Inilah yang wajib anda perhatikan mulai sekarang.

Setelah meninggalkan dunia fana ini, barulah anda mengetahui betapa ruginya mensia-siakan waktu sekalipun hanya seminit sahaja. Anda semua pasti akan mengalaminya sendiri nanti dan pasti pula anda akan meyakini serta membenarkan apa yang saya katakan ini.

Sheikh Abdullah Ba'lawi menambah: Akan diperhatikan kepada setiap manusia di akhirat nanti semua hari dan malamnya dalam bentuk almari. Setiap hari dan malam terdapat dua puluh empat almari sesuai dengan jumlah hitungan hari dan malam itu.

Manusia itu akan melihat sendiri setiap jam yang digunakan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, nampaklah almari itu penuh cahaya, sedang setiap jam yang digunakan untuk bermaksiat kepada Allah SWT nampaklah almari itu dalam keadaan gelap gelita.

Seterusnya jikalau ia mendapati almarinya sendiri itu berisi kegelapan yang hitam pekat, maka sekiranya ia dibenarkan memilih untuk mati. Nescaya ia akan rela mati serta merta ketika melihatnya. Namun tiada kematian lagi di alam akhirat.

Justeru, seseorang yang selalu mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT, sudah tentu amat gembira dan ingin sekali menjadi manusia gembira, malahan terus bertambah kegembiraan dan sukacitanya itu sepanjang masa (atau lebih gembira lagi sekiranya dapat menambahkan amal solehnya).

Sebaliknya manusia yang sentiasa berbuat maksiat kepada Allah SWT, maka itulah manusia yang benar-benar berdukaita serta merasa takut, malahan kesedihan dan dukacitanya itu makin bertambah, tanpa ada penghabisannya sama sekali.

Katanya lagi: Saudaraku sesama muslim yang tercinta, kini tinggal bagaimana kamu memilih salah satu daripada dua hal. Mudah-mudahan Allah SWT sentiasa memberi anugerah dan rahmat-Nya kepadamu.

Adakanlah pilihan untuk anda sendiri selagi anda masih berada di alam yang di dalamnya masih diberi kebebasan untuk memilih. Saya hanya menganjurkan yang baik-baik sahaja, pilihan anda jangan sampai keliru dan tersesat.

Pilihan yang baik dalam mengamalkan segala sesuatu yang dapat mendatangkan manfaat, sebab hanya inilah yang akan meninggalkan darjat selagi masih hidup di dunia atau setelah di akhirat nanti. Anda mesti selalu ingat bahawa waktu yang sudah anda lalui itu tidak akan kembali lagi.

Ini kerana jika sudah berlalu tidak mungkin kembali maka pilihan untuk mengerjakan kebaikan atau keburukan pun sudah tidak ada lagi, yang sudah berjalan dan berupa kebaikan tetap menjadi amal yang soleh bagi anda, sedang yang buruk tetap menjadi buruk dan tidak boleh dilenyapkan kecuali dengan bertaubat.

Oleh itu bersegeralah, jangan menangguh-nangguh melakukan perbuatan yang diredai Allah SWT kerana ia suatu keburukan tersendiri. Padahal kita semua tahu manusia itu terlalu terganggu oleh bermacam-macam keadaan berbahaya serta banyaknya pekerjaan yang mesti segera diselesaikan hingga kesempatan yang semestinya boleh digunakan untuk beramal soleh akhirnya hilang sia-sia tanpa ada manfaat sedikitpun.

Marilah sama-sama kita mengambil semangat Ramadan dengan melakukan ibadat sama ada yang wajib mahupun yang sunat. Semoga dengan amalan tersebut melayakkan kita mendapat ketakwaan. Amin.

Allah beri ganjaran bagi setiap kebajikan

Sheikh Sya'rawi berkata: Allah SWT telah menggariskan bagi kebenaran tanpa menyebut kesemuanya. Ada di kalangan mereka mempunyai fikrah iman dengan rasul, fikrah iman dengan al-Quran dan ada yang beriman dengan kesemuanya kerana itu daripada keadilan Allah, memisahkan antara mereka yang ada iman dan mereka yang kekal dengan kekufuran.

Ayat ke-113

Firman Allah SWT yang bermaksud: Ahli-ahli Kitab itu tidaklah sama. Di antaranya ada golongan yang (telah memeluk Islam dan) tetap (berpegang kepada agama Allah yang benar) mereka membaca ayat-ayat Allah (al-Quran) pada waktu malam, semasa mereka sujud (mengerjakan sembahyang).

Sebab Nuzul

Ibn Abbas menyatakan sebab turun ayat ini kerana Abdullah bin Salam dan kumpulannya memeluk Islam lantas pendeta Yahudi berkata: "Tidaklah beriman dengan Muhammad kecuali orang-orang kita."

Iktibar dan fiqh ayat

i. Perkataan umat yang berdiri mempunyai tiga tafsiran:

l Adil. Inilah pendapat al-Hasan dan Ibn Juraij.

l Mentaati Allah SWT. Inilah pendapat al-Sidiq.

l Tetap atas urusan dan perintah Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Abbas, al-Qatadah dan al-Rabi'.

ii. Maksud membaca ayat-ayat al-Quran sepanjang malam ialah:

l Banyak masa di waktu malam. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Rabi'.

l Di tengah malam. Inilah pendapat al-Suddiq.

iii. Sheikh Mutawalli al-Sya'rawi menjadikan penutup ayat 113 di atas sebagai bukti bahawa yang dimaksud adalah orang-orang Yahudi yang telah memeluk agama Islam.

Ini kerana orang-orang Yahudi tidak mengenal solat malam. Dengan solat membuktikan mereka telah masuk Islam kerana hanya umat Islam yang mengenal solat malam.

iv. Hamka berkata: "Dan kita dapat menghargai pegangan mereka. Meskipun kita berpendapat kitab-kitab mereka telah bercampur aduk namun ayat yang asal dan tulen masih ada.

"Kita perhatikan dalam kitab Zabur dan Mazmur, ada ayat, doa dan munajat kepada Tuhan yang mendatangkan kekhusyukan bagi mereka apabila dibaca tengah malam dalam suasana sepi dan sunyi sehingga hati begitu dekat dengan Tuhan".

v. Al-Sonhadji berkata, setelah Allah SWT menerangkan sifat-sifat orang yang fasiq dan keburukan pekerti mereka maka Allah telah menyatakan pula sifat-sifat orang mukmin:

i. Ahli Kitab itu ada sekumpulan yang lurus (adil) tidak menganiaya seseorang atau menyalahi agama.

ii. Mereka membaca al-Quran dan solat tahajud.

iii. Dikhaskan sebutan sujud kerana di antara rukun-rukun sembahyang yang menandakan khusyuk dan tunduk terhadap Allah SWT.

Ayat ke-114

Firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), dan mereka pula segera segera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya), adalah dari orang-orang yang soleh.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Al-Alusi berkata: "Allah mengkhususkan dengan hari Akhirat untuk menzahirkan percanggahan dengan orang Yahudi sekalipun mereka mendakwa beriman tetapi mengkufurkan sebahagian kitab dan rasul".

ii. Al-Maraghi berkata: "Digunakan perkataan sur'ah dan bukan perkataan 'ajalah kerana perkataan yang pertama ini mendahulukan sesuatu yang wajar didahulukan lagi terpuji, dan perkataan yang berlawanan dengannya adalah menunda. Sedangkan perkataan 'ajalah bererti mendahulukan sesuatu yang tidak patut didahulukan (tergesa-gesa)".

iii. Hamka berkata: "Tuhan membuka mata kita untuk bersikap adil dan menghargai orang lain. Ini kerana masih terdapat orang-orang yang baik walaupun menganuti agama yang lain".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Allah SWT menyebutkan sifat mereka selanjutnya: Mereka percaya kepada Allah SWT dan hari kemudian dengan cara yang diredai Allah berbeza dengan kepercayaan orang Yahudi.

"Mereka menyuruh berbuat makruf dan melarang kepada perkara yang mungkar dengan melengkapkan diri dengan ilmu amal. Bersegera melakukan perkara-perkara kebaikan dengan tidak melambat-lambatkannya dan bermalas-malasan. "Hanya orang yang banyak alasan untuk mengerjakan kebaikan mempunyai hati yang sakit dalam diri mereka".

Ayat ke-115

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari (atau disekat dari mendapat pahalanya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.

Iktibar dan fiqh ayat

i. Ibn Kathir berkata: "Allah sekali-kali tidak mengabaikan balasan tetapi membalas dengan secukupnya bahkan sebanyak-banyaknya kepada yang melakukan kebaikan".

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Allah membalas dengan adil tanpa sebarang kecuaian. Justeru, kebaikan yang dilakukan oleh manusia sekalipun tidak diketahui oleh manusia atau diingkari sedangkan Allah Maha Mengetahui terhadap orang yang bertakwa".

iii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT akan menurunkan ganjaran kepada mereka yang beramal, menurut keadaan mereka yang hanya diketahui Allah SWT, dan sesuai dengan niat yang terkandung di hati mereka.

"Barang siapa yang memiliki iman yang benar dan bertaqwa kepada Allah SWT sudah pasti akan berhasil memperoleh kebahagiaan.

"Ayat ini merupakan dalil seperti sebelumnya kerana tidak adanya pemberian pahala terhadap mereka yang melakukan perbuatan yang baik. Kemungkinan besar kerana lupa atau kerana tidak tahu.

"Walau bagaimanapun, sifat ini tidak wajar terjadi pada Allah SWT sebab Dia Maha Mengetahui segala sesuatu. Atau boleh jadi Dia tidak memberikan pahala itu kerana Dia tidak mampu memberi, atau kikir, atau dia sendiri memang memerlukannya".

iv. Sheikh Muhammad Thair Ibn 'Asyur, majoiti ulama membaca ayat di atas dengan wa ma taf'alu, yakni apa sahaja yang kamu kerjakan. Berbeza dengan bacaan imam-imam qiraat Hamzah, al-Kisa'i dan Hafsh yang membacanya wa ma yaf'alu yang terjemahannya apa saja yang mereka kerjakan.

v. Hamka berkata: "Kalau iman dalam hati nescaya ayat ini mempengaruhi untuk berbuat amal dan kebajikan. Sedangkan ahli Kitab belum percaya kepada risalah dan nubuwah Muhammad SAW, belum mengenal al-Quran dan berdoa kepada Tuhan dengan isi kitab Mazmur".

Semoga kita menjadi orang yang beriman, melakukan amal makruf nahi munkar seterusnya berlumba dalam melakukan kebajikan. Amin.

Pikat Remaja Ke masjid

PEKAN 23 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta ahli jawatankuasa masjid dan surau mencari jalan untuk menarik golongan muda supaya terus mengimarahkan masjid selepas bulan Ramadan.Menurut Perdana Menteri, suasana masjid dan surau yang sesak dipenuhi oleh para jemaah termasuk golongan muda sepanjang bulan puasa seharusnya dikekalkan untuk melahirkan insan beriman dan bertakwa.

"Harapan saya semoga rumah Allah ini dijadikan tempat beribadat untuk semua golongan. Kita tak mahu lihat dalam bulan Ramadan sahaja, rumah ibadat penuh sesak dengan mereka yang berpusu-pusu ke masjid untuk solat dan bertarawih."Terlintas pada fikiran saya, adakah keadaan ini dapat kita pertahankan dalam bulan-bulan lain."Adalah penting untuk kita ambil langkah supaya golongan muda berjinak-jinak dengan masjid. Kalau tidak, masjid sesak pada bulan Ramadan, tetapi sepi pada bulan-bulan lain.

"Jawatankuasa masjid dan surau boleh fikirkan bagaimana untuk menarik minat golongan muda lebih kerap mengunjungi masjid selepas Ramadan," kata beliau.Perdana Menteri menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan sempena Ramadan kepada 55 buah masjid dan 153 buah surau dalam Parlimen Pekan

Khamis, 20 Ogos 2009

Umat Islam Berpuasa Sabtu

Insyaallah, umat Islam akan mula berpuasa mulai Sabtu 22/08/09 ini dan solat terawikh akan bermula malam esok. Kepada ahli Kariah masjid parit 4, marilah kita memakmurkan rumah Allah. Hadirlah ke majlis tahlil pada setiap petang mulai Ahad 23/08/09 dan majlis betbuka puasa yang ditaja oleh individu tertentu. Seterusnya solat isya berjamaah, bertarawikh. Bawalah anak-anak ke masjid agar timbul minat berjamaah.

Solat Hajat & Bacaan Yasin

Khamis malam Jumaat, majlis Bacaan Yasin dan Solat hajat diadakan di Masjid Parit 4, bagi pelajar2 SK Parit 4 yang akan menduduki peperiksaan upsr pada 8-10 Sept 2009 ini. Majlis bacaan yasin dan solat hajat diketuai oleh Ustaz Saleh Basar, Semoga adik2 akan terus berusaha, kami mendoakan kejayaan anda semua.

Ahad, 16 Ogos 2009

Selamat Datang Ramadhan

TABIR Syaaban hampir berlabuh. Berlalu meninggalkan hari-hari yang penuh berkat dan diberkati. Alhamdulillah, Ramadan pula hampir bertamu bersama keberkatannya yang melimpah ruah dan tidak terhingga.

Sesungguhnya Allah SWT Maha Kaya dan Maha Berkuasa meletakkan keberkatannya pada apa sahaja perkara yang dikehendaki-Nya. Maka Ramadan telah dipilih-Nya untuk menerima antara curahan terbanyak keberkatan itu untuk diambil manfaat oleh sesiapa yang dipilih untuk mendapatkannya. Sebagai antara ikhtiar kita untuk digolongkan dalam golongan terpilih ini, marilah kita mempersiapkan diri menyambut Ramadan dengan menghimbau kembali makna dan martabat bulan yang mulia ini.

Ramadan itu adalah bulan yang tertinggi darjat dan martabatnya di sisi Islam. Pada bulan inilah Allah memfardukan puasa ke atas kaum muslimin dan dicatatkan sebagai kewajipan yang tidak boleh ditinggalkan. Firman Allah SWT dengan maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, moga-moga kamu bertakwa. (al-Baqarah :183)

Di bulan Ramadan juga, Allah SWT menurunkan kitab suci al-Quran dan dipilih di antara malamnya suatu malam yang dinamakan lailatul qadar yang mana ia adalah lebih utama daripada seribu bulan. Allah SWT berfirman dengan maksudnya: Di dalam bulan Ramadan itulah diturunkan al Quran yang menjadi petunjuk bagi manusia... (al-Baqarah: 185)

Kelebihan Ramadan

Mengenai kelebihan bulan Ramadan, terdapat banyak hadis Nabi SAW yang membicarakan tentangnya. Antaranya: "Bulan Ramadan adalah bulan keampunan. Apabila seseorang hamba berpuasa pada permulaan bulan Ramadan, maka Allah SWT mengampunkan dosa-dosanya hingga akhir bulan tersebut hingga ke Ramadan berikutnya. Bagi hamba tersebut, dibina mahligai yang indah di dalam syurga, pintunya diperbuat dari emas bagi setiap hari dia berpuasa dan 70,000 malaikat memohon keampunan untuknya dari pagi hingga tenggelam matahari".

Bulan Ramadan dikenali dengan 'bulan kesabaran'. Ini kerana pada amalan berpuasa pada bulan ini menuntut kita bersabar menahan diri dari melakukan segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa dan perkara yang membawa kepada kurangnya pahala puasanya.

Rasulullah SAW sendiri menamakan bulan Ramadan dengan bulan kesabaran. Dalam satu hadis dari Salman r.a yang diriwayatkan oleh Khuzaimah di dalam Sohihnya bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: "Ia adalah bulan kesabaran dan pahala kesabaran ialah syurga."

Menurut pendapat cendekiawan Islam, sabar boleh dibahagi kepada tiga:

lPertama: Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.

lKedua: Sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT.

lKetiga: Sabar dalam menerima takdir Allah SWT yang perit dan menyakitkan.

Kesemua jenis sabar ini terangkum di dalam ibadah puasa, kerana mereka yang berpuasa perlu bersabar dalam mentaati perintah Allah SWT, bersabar meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah iaitu kehendak syahwat dan bersabar menghadapi keperitan rasa lapar, dahaga dan lemah badan kerana melakukan ibadah puasa.

Ramadan juga adalah bulan digandakan amalan kebaikan yang dilakukan. Abu Bakar ibn Abi Maryam r.a berkata daripada sheikh-sheikhnya, bahawa mereka berkata: "Apabila tiba bulan Ramadan, maka hendaklah kamu meluaskan nafkah pada bulan tersebut, kerana memberi nafkah pada bulan tersebut digandakan pahalanya seperti memberi nafkah pada jalan Allah dan sekali bertasbih pada bulan tersebut lebih afdal daripada seribu tasbih pada bulan yang lain. Satu solat yang dikerjakan pada bulan Ramadan lebih afdal daripada seribu rakaat solat yang dikerjakan pada bulan yang lain".

Ramadan adalah bulan yang digandakan segala amal kebaikan. Allah SWT menggandakan ganjaran amalan berpuasa melebihi amalan-amalan yang lain. Maka berpuasa di bulan Ramadan sudah tentu menjanjikan ganjaran yang berlipat kali ganda berbanding puasa pada bulan lain. Inilah antara kesan kemuliaan bulan Ramadan dan puasa Ramadan yang difardhukan oleh Allah SWT ke atas hamba-hamba-Nya.

Ibadah puasa merupakan suatu kefardhuan yang jami', (komprehensif dan merangkumi ibadah-ibadah yang lain) dan ibadah yang kamil (sempurna dan lengkap) kerana melalui puasa seseoraang mampu mengenal kemanisan iman dan ihsan. Intipatinya ialah hati dan roh.

Tujuannya supaya orang yang berpuasa dapat menghayati dan merasai kehidupan golongan soleh yang telah berjaya menyucikan jiwa dan raga, orang-orang yang luhur dan mendekatkan diri kepada Allah SWT, tidak melakukan kefasiqan, perbalahan, kemaksiatan zahir dan batin.

Ibadah puasa juga merupakan suatu amalan simbolik, menjadi rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhan-Nya. Lantaran itu, orang yang berpuasa diberi keistimewaan Allah SWT memilih dari senarai carta ibadah-ibadah yang lain untuk disimpan di dalam perbendaharaannya sebagai jaminan untuk dipersilakan masuk ke syurga dan layak bertemu dengan-Nya.

Rasulullah SAW h mengungkapkan dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan daripada Tuhan-Nya yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam adalah bagi dirinya melainkan puasa. Ia adalah bagi-Ku dan Akulah yang membalasnya".

Sekitar Gotong Royong





Ahad, 9 Ogos 2009

Nazir dan AJK Masjid perlu Amanah


Shah Alam, 8 Ogos - Nazir dan jawatankuasa baru masjid di seluruh negeri ini diingatkan bahawa kedudukan yang disandang bukan satu kebanggaan dan menjadi rebutan.
Menteri Besar,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, amanah dan tanggungjawab yang berat ini tidak akan melepaskan mereka apabila berhadapan dengan Allah di akhirat kelak.

“Oleh sebab itulah tuan-tuan yang terpilih untuk mengendalikan rumah-rumah Allah ini perlu serius dan prihatin untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan kesabaran,”Katanya.

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata demikian pada majlis penyampaian sumbangan bantuan moreh sempena Ramadhan 1430 Hijrah kepada masjid dan surau di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hari ini.Pada majlis itu, beliau turut menyerahkan kad kuasa kepada pegawai penguatkuasa agama dan pegawai masjid yang dilantik di seluruh negeri Selangor.

Menteri Besar berkata, masjid wajar dijadikan pusat pemantapan ibadah, menjana kesejahteraan keluarga, meningkatkan keupayaan belia dan menjana generasi berilmu.
“Marilah kita menjadikan masjid sebagai nadi bagi kehidupan umat islam dan masyarakat sekelilingnya dalam segala perkara yang berkaitan dengan apa jua urusan umat islam.”Jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, solat sunat Tarawih tahun ini hendaklah dilaksanakan sebanyak 20 rakaat bagi memberi keselesaan umat islam memperbanyakan ibadat di bulan Ramadhan.
Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Moreh kali ini melibatkan 373 buah masjid di seluruh negeri Selangor dengan peruntukkan 1.3 juta ringgit. Setiap masjid menerima bantuan seribu ringgit manakala surau mendapat 400 ringgit.
Sumbangan ini merupakan galakan untuk jawatankuasa masjid mengadakan jamuan moreh selepas solat sunat Tarawih pada bulan Ramadhan.

Khamis, 6 Ogos 2009

Matahari Pengaruhi Perubahan Bumi


SHAH ALAM, 1 Ogos - Fenomena perubahan matahari mempunyai kaitan dengan kejadian-kejadian bencana alam yang berlaku di bumi ini, kata Yang DiPertua Persatuan Ahli Falak Selangor, Prof Dr. Zambri Zainuddin.

Katanya, jika kedudukan dan perubahan perilaku matahari dikaji dengan teliti, ia ada kaitannya dengan apa yang berlaku di bumi seperti banjir, pemanasan ozon, El Nina dan El Nino.

“Untuk memahami fenomena dibumi ini kita boleh mengkaji perilaku matahari, kerana fenomena matahari itu misteri dan ahli sains barat dan islam mendapati segala perubahan yang berlaku dibumi ini ada kaitan dengan perubahan yang berlaku di matahari,”

“ Apabila matahari itu mempunyai kitaran 11 tahun, apabila mencapai maksimum bilangan tompok matahari yang ada pada muka matahari, sama ada berlaku banjir , El Nino atau pemanasan hari ini, ini juga pengaruh daripada matahari, ahli sains dunia sedang memikirkan tentang cuaca angkasa, untuk lihat medan magnet bumi,” katanya.

Utamakan Pembangunan Syiar islam


Shah Alam,2 Ogos - Umat Islam didapati semakin kurang memberi tumpuan terhadap pembangunan syiar Islam di negara ini, khususnya di Selangor, kata Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali.

Menurutnya, penyertaan mereka dalam aktiviti dakwah dan majlis ilmu tidak menunjukkan perkembangan yang positif, malah hanya individu yang sama sahaja yang hadir.

Beliau berkata, peruntukan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk pelajar melanjutkan pengajian di peringkat tinggi juga tidak digunakan sepenuhnya.

Datuk Dr Hassan berkata demikian ketika menutup Konvensyen Falak Selangor 2009 di Auditorium Berhad, Shah Alam, hari ini.

Ahad, 2 Ogos 2009

Gotong Royong Sempena Ramadhan 1430


Satu gotong royong ahli kariah masjid parit 4 akan diadakan pada ketetepan berikut :-
Hari : Sabtu
Tarikh : 15 Ogos 2009
Masa : 0800 Pagi
Tempat : Masjid Parit 4.

Sila bawa alatan seperti mesen gendong, playar.
Insyaallah, pihak masjid menyediakan jamuan.

Sabtu, 1 Ogos 2009

Mesyuarat AJK Masjid 2/09

Hari : Isnin malam Selasa
Tarikh : 10 Ogos 2009/19 Syaaban 1430.
Masa : Lepas Isya'
Tempat : Bilik Mesyuarat Masjid Parit 4.

Semua AJK dan pegawai masjid dijemput hadir,
surat jemputan insyaallah akan menyusul.