Jumaat, 28 Januari 2011

Isu Laungan Azan: Sudah selesai, pengadu pindah

UALA LUMPUR 15 Jan – ‘Sudah selesai’, itu anggapan Gabungan NGO Malaysia tentang isu azan Masjid Al-Ikhlasiah, Kampung Kerinchi apabila pengadunya yang mendakwa dirinya seorang anggota MCA dan juga peguam telah berpindah dari kawasan tersebut baru-baru ini.

Memetik laporan The Malaysian Insider, Setiausaha Agung gabungan itu, Mohd Jurit Ramli berkata, beliau dimaklumkan bahawa individu berkenaan telah menulis e-mel kepada pihak yang dia pernah mengadu mengatakan mahu berpindah dari kondominium tempat tinggalnya di Pantai Hill Park atas faktor keselamatan.

Kondominium Pantai Hill Park terletak kira-kira satu kilometer dari masjid tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh pihak yang menerima salinan aduannya bahawa mereka ada menerima e-mel dua tiga hari yang lalu mengatakan dia sudah mengambil pendekatan mahu berpindah kerana bimbang keselamatan diri dia… itu maklumat yang kami terima,” kata pagi ini.

Jurit berkata, pihak yang menerima salinan surat peguam berkenaan meminta pihak-pihak yang mengadakan tunjuk perasaan semalam supaya tidak memanjangkan isu azan ini dan melihat ia “sudah selesai” selepas dia memutuskan untuk berpindah.

“Jadi kami pun menganggap ini sudah selesai. Kita tidak mahu perkara ini berpanjangan lagi.

“Kita mahu persekitaran yang aman, kalau keadaan tidak tenang, kita tidak boleh hidup tenang dan tenteram,” kata beliau.

Semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak agar peguam terbabit ditahan di bawah ISA.

Kumpulan itu terdiri daripada anggota kumpulan NGO Pekida dan Perkasa mendakwa peguam terbabit menuntut agar masjid tersebut menghentikan penggunaan pembesar suara bagi tujuan azan.

Penunjuk-penunjuk perasaan berkenaan menamakan peguam terbabit, malah mempamerkan alamat rumah dan nombor telefonnya pada kain rentang ketika berdemonstrasi.

Ditanya tindakan susulan Gabungan NGO Malaysia, Jurit berkata, pihaknya tidak mahu memanjangkan isu ini lagi.

“Tetapi tindakan penduduk kawasan itu, kami tidak tahu. Kami menganggap isu ini sudah selesai,” kata beliau lagi.

Katanya walaupun pihaknya menganggap isu ini sudah selesai tetapi sekurang-kurangnya pengadu perlu memohon maaf kepada umat Islam.

“Tindakan ini perlu untuk meredakan keadaan dan kita mahu setiap kaum hormat-menghormati agama dan kaum lain,” kata beliau lagi.

Ketika ditanya sama ada pihaknya ada mengunjungi unit kediaman peguam itu sebelum ini, Jurit berkata:

“Tidak, kami tidak menemui pengadu, tetapi hanya menerima maklumat daripada salinan surat aduan.”

Semalam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) memberitahu The Malaysian Insider bahawa pihaknya tidak mengeluarkan arahan kepada mana-mana pihak termasuk pengurusan masjid agak memperlahankan laungan azan atau menghentikan penggunaan pembesar suara untuk tujuan azan.

Jurit berkata, pihak berkuasa dan pengurusan tidak seharusnya melayan aduan-aduan daripada orang perseorangan.

“Dalam kes ini, aduan daripada seorang individu, mengapa perlu kita layan? Melainkan dia mewakili mana-mana pertubuhan atau parti, kita boleh melayan… sepatutnya kita tidak melayan surat individu,” kata beliau lagi.

“Surat dan aduan orang perseorangan, kita pun tidak pasti boleh percaya atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun Jurit berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya memang tiada arahan rasmi tetapi difahamkan ada perbincangan mengenai aduan yang diterima daripada peguam berkenaan.

Isu Azan: Jangan jadi seperti Singapura

Desakan naib presiden MCA, Gan Ping Sieu supaya kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) mengkaji dan mengawal selia penggunaan pembesar suara di masjid mahupun surau adalah mirip taktik yang diguna pakai di Singapura bagi membendung Islam, kata Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid

Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid

Katanya, cadangan pemimpin MCA itu seolah-olah cubaan untuk menjadikan Malaysia seperti Singapura yang melarang laungan azan didengar dari luar lingkungan kawasan rumah ibadat termasuk masjid.

“Ini adalah satu agenda luar, kalaulah Singapura berjaya menahan ataupun memperlahankan azan di surau, jadi mereka nak supaya Malaysia macam seperti itu juga.

“Islam agama rasmi di Malaysia, tidak mungkin kita hendak ikut agama jiran… saya cukup tidak suka perkara ni,” katanya.

Cadangan Ping Siue itu dibuat pada hari sama akhbar The Star yang juga di miliki MCA, menyiarkan lidah pengarang, membidas kerajaan negeri Selangor kerana mahu melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah yang melarang orang Islam bekerja dipremis menjual arak.

The Star menyifatkan langkah itu sebagai cubaan untuk menerapkan undang-undang Islam di Selangor dalam cubaan terdesak untuk meraih sokongan bukan Melayu untuk MCA di bawah presiden barunya, Chua Soi Lek.

Portal The Malaysian Insider hari ini melaporkan, Ping Siue sebagai berkata, kemelut laungan azan di Masjid AlIkhlasiah Kampong Kerinchi harus diambil bagi mengawal selia penggunaan pembesar suara di semua rumah ibadat demi mengelak perselisihan faham di kalangan masyarakat di negara ini.

Menurut Tamyes, soal laungan azan harus dilihat dari sudut keperluan agama Islam sendiri dan keperluan pemerintah Islam mempertahankan keperluannya.

“Ini (laungan azan) adalah satu syiar Islam yang menjadi tanggungjawab kepada umat Islam, khasnya pemerintah yang beragama Islam mempertahankan perkara ini.

“Ia sebenarnya syiar Islam yang begitu sensitif kalau sekiranya diperlahankan,” kata beliau.

Ping Sieu adalah pemimpin MCA pertama mempersoalkan keperluan memperlahankan laungan azan dan penggunaan suara pembesar di rumah ibadat termasuk masjid dan surau.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyifatkan isu laungan azan Masjid Al-Ikhlasiah aduan seorang ahli MCA, sebagai ‘mainan politik’ pihak tertentu untuk melaga-lagakan orang Islam dan orang bukan Islam.

Ketua Imam masjid berkenaan Mahadi Abdullah berkata pihaknya mengurangkan kadar laungan azan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akhir Disember lalu. Namun Jamil menafikan pihaknya mengeluarkan arahan seumpama itu walaupun mengesahkan pihaknya menerima aduan daripada ahli MCA berkenaan.

Kelmarin, kira-kira 100 orang berhimpun di pekarangan Masjid Al-Ikhlasiah mengadakan tunjuk perasaan selepas solat Jumaat mendesak ahli MCA berkenaan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA.

Susulan bantahan itu, ahli MCA berkenaan yang tinggal di Pantai Hill Park iaitu kira-kira satu kilometer dari Masjid Al-Ikhlasiah dilaporkan akan berpindah dari kawasan itu.

Sabtu, 22 Januari 2011

Kedudukan Adab di dalam Islam

Rasulullah s.a.w pernah berpesan kepada sebahagian para Sahabatnya : Sesungguhnya kamu bertemu dengan saudara-saudaramu sekalian , maka percantikkanlah pakaian kamu,perbaikilah tunganggan kamu, sehingga kamu itu seolah-olah tahi lalat di kalangan manusia, Sesungguhnya Allah tidak menyukai ketidaksopanan dan kurang adab [ berkata Syeikh Abdul Fattah :Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Imam Ahmad dan Al-Hakim dalam 'Mustadrak' daripada hadith Sahl bin Al-hanzaliah r.a]



+ Berkata Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah : Maksud disini (tahi lalat) adalah hendaklah mereka itu terselah dengan kecantikan dan kebersihan mereka dengan bau-bauan yang harum dan penampilan yang kemas sepertimana jelasnya tahi lalat di rupa wajah yang cantik dan dengan tahi lalat itu wajah tersebut bertambah terserlah.



+ Berkata Al-Imam Al-Qurafi dalam kitabnya " Al-Faroq" ( ketika beliau sedang berbicara tentang kedudukan adab berbanding amal , dan menjelaskan bahawa adab lebih didahulukan mengikut turutan ) : Ketahuilah bahawa Sesungguhnya sedikt daripada adab lebih baik dari banyaknya amalan ,oleh kerana itu telah berkata Ruwaim seorang yang alim dan soleh kepada anaknya : Wahai anakku jadikanlah amalanmu seperti garam,dan adabmu seperti tepung iaitu perbanyakkanlah beradab sehingga nisbahnya itu seperti banyaknya tepung daripada garam ( dalam adunan) ,maka banyaknya adab dalam keadaan amal yang sedikit lebih baik daripada amal yang banyak tetapi kurang adabnya [ dinaqalkan oleh Syeikh Abdul –Fattah Abu Ghuddah di dalam kitabnya 'min Adabi Alislam ]



Rujukan : Min adab Al-Islam oleh Syeikh Abdul Fattah Abu Ghuddah

“Masjid Wahana Transformasi Ummah

Bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktutr dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hassan Mohamed Ali.

SOALAN :

1. APA PANDANGAN DATO’ MENGENAI PERKEMBANGAN MASJID-MASJID DI NEGERI SELANGOR?

Alhamdulillah dewasa ini saya dapat melihat perkembangan masjid dan surau semakin baik dan permintaan untuk mendirikannya di kawasan-kawasan perumahan baru dan taman-taman amat memberangsangkan, namun kita juga dalam usaha untuk memperkasakan dari sudut pengisian, pentadbiran dan pengurusan agar masjid ini benar-benar menjadi wahana transformasi ummah.

Sehubungan dengan itu setelah saya, Timbalan Pengarah dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan JAIS melawat masjid-masjid di Singapura pada Julai lepas mendapati bahawa di Negeri Selangor perlu kepada perubahan gaya dan catra mengurus dan mentadbir masjid terutamanya perlu kepada kepimpinan masjid baru yang ada wawasan untuk pembangunan masjid samada dari sudut aktiviti pengimarahan masjid, pentadbiran, kemasyarakatan, keceriaan, sumber maklumat, ekonomi, tarbiyyah dan riadhah. Oleh itu faktor umur penjawat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid adalah dicadangkan 60 tahun ke bawah dan dicalonkan daripada mereka yang sekurang-kurangnya ada kelayakan akademik dari SPM, diploma, ijazah dan ke atas.

2. ADAKAH DATO’ BERPANDANGAN BAHAWA INSTITUSI MASJID DI SELANGOR SELAMA INI TELAH MELAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB YANG SEPATUTNYA, BAGAIMANA?

Alhamdulillah kita tidak nafikan sebahagian amanah yang asas seperti mendirikan sembahyang lima waktu, Sembahyang Jumaat dan sedikit pelaksanaan tazkirah dan kuliah telah dilaksanakan tetapi ia tidak cukup syarat untuk masjid dijadikan sebagai wahana tranformasi ummah sedangkan tugas dan tanggungjawab kita belum digembelingkan sehingga ke peringkat maksimum. Dari sudut pentadbiran dan pengurusan umpamanya, kita perlu jana masjid-masjid dan surau-surau agar mengikut segala arahan JAIS dan Kerajaan Negeri seperti mengemaskinikan aktiviti, kewangan, Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid, Mesyuarat Agong setiap tahun dan mengikuti kursus-kursus pengukuhan pentadbiran dan pengurusan agar ianya lebih berupaya, telus, ada pertanggungjawaban, adil dan amanah.

3. APAKAH KRETERIA YANG SEPATUT ADA PADA MASJID-MASJID DI SELANGOR INI?
Masjid dan surau di Negeri Selangor mestilah dijadikan sebagai wadah pengembelingan amal islami masyarakat dan wahana transformasi ummah melalui program mesra remaja, mesra keluarga dan mesra masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu menganjakkan paradigma kita ke arah:

a. Pemantapan organisasi pengurusan masjid dari segi kekompetensian pengurus dan jawatankuasa masjid;
b. Memperkasakan kurikulum dan metodologi pembelajaran Islam di masjid-dan surau;
c. Membentuk jati diri ummah menerusi masjid dengan program 3M di atas;
d. Menambah baikkan struktur pimpinan masjid;
e. Memperkukuh, menambah dan mempertingkatkan lagi tenaga-tenaga pakar dalam kepimpinan masjid;
f. Mempromosikan sistem masjid cemerlang dengan mengenakan aras kualiti sasaran seperti KPI ‘Key Performance Indeks’ kepada 50 masjid seluruh Negeri Selangor;
g. Mewujud dan meningkatkan jaringan ICT dan Ahli Jawatankuasa Kariah melalui mukim-mukim atau zon-zon yang sedia ada;
h. Masjid sebagai pusat maklumat dan kemasyarakatan yang bersifat ‘one stop centre’(aktiviti berpusat).

4. BAGAIMANA DATO’ MELIHAT PADA PERKARA PENGIMARAHAN MASJID DI SELANGOR INI DAN SIAPAKAH YANG PATUT BERPERANAN ?

Selain daripada Jabatan Agama Islam yang menjadi mentornya ianya juga patut disambut oleh badan-badan lain seperti NGO, Badan-badan koporat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan sukarelawan selain dari Jawatankuasa dan Pegawai Masjid sediada. Pembangunan pemikiran atau anjakan sikap dan mentaliti cara berfikir kita mesti digandakan terutama Pegawai dan Jawatankuasa masjid lebih-lebih lagi dalam suasana bertambahnya gejala sosial, murtad, penagihan dadah dan sebagainya yang memang mengancam akidah umat Islam. Oleh itu suatu aktiviti atau program islah masyarakat mesti dibuat dan dilaksana oleh kita bersama terutama institusi masjid. Kita mahukan institusi masjid lebih berperanan daripada hanya sembahyang lima waktu dan menyusun satu dua program semata.
Di samping itu kita ada Ketua Pegawai Penyelaras dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Daerah yang membantu pemantauan dan pelaksanaan program pengimarahan seluruh Negeri Selangor.
5. ADAKAH DATO’ MELIHAT JAWATANKUASA YANG DILANTIK BAGI MENGURUSKAN HAL EHWAL MASJID TELAH MEMAINKAN PERANAN YANG SEBAIKNYA?

Sebagaimana yang saya katakan tadi Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita perlu memainkan peranan sehingga ke peringkat maksimum agar mampu menampung kelemahan dan kekurangan dalam menguruskan masjid. Kita harapkan dengan penampilan jawatankuasa dan pegawai masjid yang bertukar sesi lepas Mei ini akan lebih perkasa dan kompeten. Menjadi tanggungjawab kita memperkukuhkan institusi masjid dengan latihan, kursus dan konvensyen agar mereka mampu berperanan sebaiknya.

6. APAKAH CIRI-CIRI YANG PERLU ADA PADA AJK MASJID YANG DILANTIK DI SELURUH MASJID NEGERI SELANGOR?

Sebagaimana pekeliling Tatacara Pencalonan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita telah meletakkan sebahagian kriteria-kriteria mereka seperti umur tidak melebihi 60 tahun, mesti anak kariah, boleh membaca, menulis dan mengira.

Bagi jawatan Nazir, keutamaan akademik minima ialah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Agama (SPA)/ Empat Thanawi dan keutamaan diberi kepada calon yang mempunyai diploma dan ke atas di samping mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan Ahli Jawatankuasa dan jemaah di samping mampu mengimamkan sembahyang, menyampaikan khutbah serta mengetuai majlis tahlil.

Bagi jawatan Setiausaha, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang memiliki pengalaman kesetiausahaan dan pentadbiran. Jawatan Bendahari, keutamaan hendaklah terdiri daripada mereka yang memiliki ilmu dan berkemahiran dalam penyimpanan buku kira-kira dan jawatankuasa lain hendaklah terdiri dari mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang kemahiran seperti mempunyai pengetahuan agama Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah, selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental, mempunyai daya kepimpinan dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan ahli kariah dan menunjukkan ciri-ciri kreatif serta sering membawa idea-idea baru untuk meningkatkan kemajuan masjid / surau.

7. APA YANG DATO’ MAKSUDKAN DENGAN “MASJID WAHANA TRANFORMASI UMMAH”?

Sejarah Islam membuktikan bagaimana Rasulullah SAW berjaya menjadikan institusi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat, pusat penyatuan dan pengislahan ummah serta menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu dan penyebaran maklumat, semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas hanya di bidang dakwah, bahkan perdagangan, perundangan dan pelbagai lagi. Bermula dari sinilah terpancar cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian, ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia.Di samping itu Baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Umat Islam berubah daripada menyembah berhala dan mengabdikan diri sesama manusia kepada hanya menyembah Allah dan mengikut peraturan dan undang-undang Allah SWT semata-mata. Inilah yang kita harapkan fungsi dan peranan masjid hari ini.

8. SEPERTI YANG DATO’ INGINKAN, ADAKAH SALAH SATU PERKARA YANG PERLU ADALAH MASJID SEBAGAI PEMANGKIN DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT ISLAM YANG BERKUALITI, JELASKAN ?
Hari ini kita mahu melihat masjid bukan sahaja mampu ditadbir dan diurus dengan baik tetapi mampu menjadi penggerak, pemangkin dan sebagai agen untuk merubah masyarakat Islam khususnya daripada kurang berilmu bertambah ilmunya, tertutup minda mereka kepada terbuka, berpeluk tubuh kepada peka dan perihatin sentiasa berfikir dan bertindak bagaimana hendak mengislahkan ummah dengan program-program yang disusun, bagaimana hendak memajukan ekonomi umat Islam, politik umat Islam serta pendidikan umat Islam.

Berfikir tentang peranan masjid mampu membendung gejala sosial dan membangun masjid dengan segala prasarana ilmu, tarbiyah dan pendidikan Sebenarnya, kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan olehnya, lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam di sekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.

9. BAGAIMANA PULA DATO’ MELIHAT PERANAN JEMAAH DISESEBUAH MASJID?

Tugas mengimarahkan masjid bukan hanya dibebankan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid sahaja tetapi ia merupakan tugas dan tanggungjawab ahli jemaah dan Anak Kariah masjid keseluruhannya. Contohnya kalaulah masjid menyusun banyak program tetapi kesedaran masyarakat sekeliling tidak mengambil endah dan tidak memberikan sokongan serta kerjasama, bagaimana suatu masjid itu akan maju, warganya faham Islam dan berubah sikap? Sebab itu peranan dan fungsi Anak Kariah dan jemaah orang Islam atau tepatnya penduduk Islam di sekitar sesuatu masjid itu turut penting dalam memainkan peranan mereka dalam memakmurkan masjid.

10. APAKAH CIRI-CIRI YANG PATUT ADA DI MASJID-MASJID KITA DI NEGERI SELANGOR INI AGAR IA MENJADI SEBAGAI PEMANGKIN KEPADA UMAT ISLAM KHUSUSNYA?

Saya jelaskan di atas cumanya paling minima semua Nazir-Nazir, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid mesti boleh bekerjasama dengan Kerajaan sekarang di samping memenuhi segala keperluan masyarakat setempat dari semua kemudahan yang patut seperti masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni. Dan mencapai visi masjid untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi dan sebagai ‘One Stop Centre’(pusat aktiviti) kepada masyarakat.

11. SECARA AMNYA APA PANDNGAN DATO’ BERHUBUNG DENGAN MASJID DALAM MEMBENTUK LAPISAN MASYARAKAT SETERUSNYA SEBUAH NEGARA YANG DIIDAM-IDAMKAN “ BALDATUN TAIYIBATUN WARABBUN GHAFUR”

Akhirnya apabila masjid benar-benar menjadi pusat atau centre kepada masyarakat Islam dan pengembangan ilmu berjalan dengan lancar serta bersepadu dunia dan akhirat melalui wadah masjid, apabila umat Islam faham Islam secara menyeluruh (syumul) dan hilang kejahilan, apabila umat faham tugas dia sebagai hamba, faham tugas dia sebagai khalifah, faham amar ma’ruf dan nahi mungkar dan faham jihad untuk memertabatkan umat Islam dan meninggikan syiar Islam, saya yakin masing-masing ada tanggungjawab, masing-masing ada peranan dan masing-masing ada amanah akhirnya proses untuk mengislahkan ummah dan Negara berjalan serentak dan itulah bibit-bibit mula ke arah “Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur”.t.k.

SUMBER JABATAN AGAMA ISLAM SELANGOR
SEMPENA KELUARAN MAJALAH JAIS BIL. 2