SHAH ALAM 21 JULAI : Program Diskusi Khas Muslimat sempena Ramadan
peringkat negeri akan diperluaskan lagi ke surau-surau di kawasan
perumahan pada tahun hadapan berikutan sambutan yang menggalakkan sejak
ia dilancarkan dua tahun lalu.
Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail berkata selaras
dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memberdayakan wanita, program wanita
dan agama seperti ini perlu diperluaskan lagi.
Katanya, ia bertujuan untuk menyemarakkan kehadiran bulan Ramadan
menerusi penyampaian ilmu Quran dan Sunnah bagi diaplikasikan dalam
kehidupan.
“Sambutan program ini tidak kurang dari 350 orang yang hadir. Seperti
di Masjid Negeri ini, seramai 1,500 wanita hadir,” katanya kepada
pemberita selepas merasmikan program terbabit di Masjid Negeri, di sini.
Beliau
berkata tahun ini, sembilan masjid di sembilan daerah akan melaksanakan
program tersebut dengan gabungan program-program lain antaranya wanita
dan kebajikan, wanita dan keselamatan, wanita dan kesihatan.
Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM100,000 khas untuk program wanita dan agama tahun ini.
“Kali ini, kita juga mencetak buku-buku ilmiah untuk diedarkan kepada
peserta. Kerajaan Negeri melihat, kita perlu mengadakan program wanita
bukan sahaja kebajikan tetapi juga perihal agama untuk menangani isu
wanita.
“Kita jadikannya sebagai program tahunan. Kita memilih masjid-masjid yang kurang imarahnya untuk diadakan program ini,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, beliau mahu wanita-wanita hadir untuk
mendengar dan memahami pengisian yang disampaikan oleh penceramah
bukannya hadir hanya disebabkan siapa penceramah yang dijemput tetapi
tajuk yang akan disampaikan.
Program
yang diberi nama ‘Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam’ itu antara
lain meliputi sesi solat sunat dhuha dan tasbih, zikir munajat, majlis
tadarus, penyampaian ceramah dan tayangan video Informasi Rakyat.
Ia bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari dan dianjurkan oleh
Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita bersama Jabatan Agama Islam
Selangor (Jais) .
Antara barisan penceramah itu, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Ustazah Zawiyah Hassan.
Hadir sama Timbalan Pengarah Jais, Zaki Arshad, Ketua Penolong
Pengarah Bahagian Dakwah Jais, Mazlan Abdullah dan Adun Seri Serdang,
Nurhanim Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan