Selasa, 14 Julai 2009

Masjid Terus di Tutup

URUMQI 14 Julai - Sebuah masjid dan banyak premis perniagaan di bandar ini ditutup hari ini dekat kawasan dua lelaki Islam Uighur ditembak mati oleh polis semalam, ketika ketegangan etnik terus menyelubungi ibu kota wilayah Xinjiang ini.Anggota polis yang bersenjatakan raifal separuh automatik dan belantan dikerahkan ke sekitar tempat kejadian semalam.Pihak berkuasa China berkata, polis menembak mati dua penduduk Uighur yang 'melanggar undang-undang' dan mencederakan seorang yang lain.

Kejadian itu menunjukkan situasi di ibu kota Xinjiang ini boleh meledak pada bila-bila masa, lebih seminggu selepas keganasan etnik menyebabkan sekurang-kurangnya 184 orang terbunuh, sekalipun kawalan keselamatan ketat terus dikenakan.Hari ini banyak kedai di kawasan Uighur berhampiran tempat kejadian semalam terus ditutup dan sebuah masjid besar ditutup dengan pengawal keselamatan ditempatkan di kawasan luar masjid.

Seorang peniaga berkata, dia tidak membuka gerai pakaiannya."Keadaan terlalu tegang di sini, bagaimana saya boleh mendapat wang jika tidak ada pelanggan?" kata lelaki daripada etnik minoriti Hui itu.Walaupun keganasan meletus semula semalam, sesetengah pekedai membuka perniagaan mereka."Kami sudah pun biasa dengan ketegangan ini," kata seorang wanita Uighur yang sibuk menyusun roti di luar kedai makanannya.

Insiden tembakan semalam menandakan kali pertama kerajaan melaporkan pasukan keselamatan membunuh penduduk sejak keganasan meletus pada 5 Julai lalu.Namun, penduduk Uighur yang hidup dalam buangan mendakwa ramai anggota kaum itu terbunuh dalam operasi pasukan keselamatan untuk membendung keganasan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan