Jumaat, 10 Julai 2009

Kembali Kepada Asal


Sekumpulan pekerja yang bekerja membuat suatu acuan.. lama kelamaan jika tidak dipantau atau tidak dibaharui gerak kerja tersebut oleh mereka sendiri ataupun ketuanya, nescaya ia akan lari dari tujuan asal ataupun acuan tersebut akan berubah bentuk, saiz mahupun berat. Dan menghasilkan satu produk yang tidak menepati spesifikasi yang dikehendaki. Ini menunjukkan lamanya tempoh masa suatu kerja yang dibuat, belum tentu ia tepat dan mengikut kehendak ketua atau organisasinya. Begitu juga dalam Islam, lamanya ibadah atau amalan yang kita lakukan yang diajar sejak turun temurun belum tentu ia menepati kehendak Allah dan RasulNya. Kerana itulah pentingnya seorang insan jika mengembara menyelusuri liku-liku kehidupan, gelora hidup dan cabaran akan menjumpai satu titik yang memerlukannya kembali kepada panduan dan prinsip hidup yang asal supaya tidak leka dan lari dari matlamat asal kehidupan.


Dalam Islam, semua ibadah mestilah merujuk kembali kepada ibadah yang asal, ibadah yang dikehendaki oleh Allah S.W.T yang telah diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. Rujukan yang terbesar umat Islam sudah tentulah al-Quran dan hadis yang sahih. Cara beragama pula mestilah berdasarkan ataupun menghampiri cara beragama yang dilakukan oleh Rasulullah, Sahabat dan generasi awal Islam. Kembali kepada Islam yang asal dengan berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah akan menjamin kehidupan seseorang di dunia dan akhirat. Seruan kembali kepada Islam yang asal ini dinamakan dengan seruan tajdid. Iaitu seruan ataupun gerakan pembaharuan dalam agama untuk merujuk kedua sumber agung tersebut.
Mungkin ramai yang masih hanyut dibuai kemewahan dunia, masih mencari-cari pegangan hidup, masih terumbang ambing pendirian tetapi iman tetap ada di dalam hati walaupun sebesar sebiji zarah. Kepada mereka, kembalilah kepada Islam. Islam adalah agama rahmat. Mungkin seruan kembali kepada Islam sering didengari di semua tempat tidak kira di ceramah-ceramah, forum perdana, radio, television atau sebagainya. Namun, seruan Islam tidak mungkin dapat dicapai jika tidak kembali kepada seruan Islam yang bersifat hidup, Islam yang tulen, Islam yang asal. Dengan inilah, antara golongan yang paling selamat adalah mereka yang kembali kepada Islam bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dengan pemahaman generasi salafussoleh. Kerana jika dilihat sekarang ini,semua golongan atau puak dalam Islam sering melaungkan slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tetapi, kita perlu sedar kesemua pemahaman terhadap al-Quran dan as-Sunnah ini boleh terdedah kepada kesilapan tetapi tidak jika kita mengambilnya dengan pemahaman salafussoleh. Generasi inilah yang diberkati dan dirahmati oleh Allah serta berada dalam zaman kegemilangan Islam.
Hidayah dan rahmat Allah itu banyak dan luas, ramai yang memperkatakan hidayah itu adalah keinsafan untuk kembali beribadat atau mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Namun skop hidayah ini sebenarnya terlalu umum. Orang yang tidak berilmu misalnya, mereka mendapat hidayah ilmu yang benar, orang yang mempunyai sifat takabur dan ujub, mendapat hidayah dengan menyedari dan membuang sikap tersebut. Juga hidayah berlaku kepada mereka yang hidup dalam Islam, dan beroleh hidayah untuk hidup dalam Islam yang sebenar yang penuh kerahmatan. Bukan sekadar hidup dalam Islam yang bersifat awan-awangan.
Seruan pembaharuan yang negara kita dilihat mengasak-asak. Mereka yang jumud ataupun dari golongan konservatif pastinya memandang pembaharuan ini adalah suatu yang akan menyebabkan perpecahan umat Islam. Mereka pasti menentang habis-habisan terhadap seruan ini. Maka, berbagai tohmahan, cacian dilemparkan kepada mereka yang terlibat dalam gerakan pembaharuan dicampuri dengan sifat hasad dan hawa nafsu serta takut kehilangan kuasa. Sedarlah bahawa gerakan pembaharuan untuk beragama mengikut al-Quran dan as-Sunnah adalah pembaharuan yang bersifat keseluruhan. Kerana pembaharuan ini adalah pembaharuan yang menyeru kepada Islam yang tulen. Islam merupakan agama fitrah yang suci dan merangkumi kesemua aspek kehidupan samaada dalam politik, ekonomi, muamalat, ibadah dan sebagainya. Oleh itu, marilah sama-sama kita balik kepada yang asal. Balik kepada Islam yang tidak ditokoh tambah. Kerana dengan Islam yang tulen itu, kerahmatan dan kegemilangan tamadun dapat dicapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan