Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi telah
bersabda: "Jika salah seorang di antara kamu berasa mengantuk,
hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuknya. Jika seseorang
bersembahyang ketika mengantuk bermungkinan dia membaca istighfar
sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."
Dalam
sebuah hadis disebutkan tentang kisah Abu Darda' yang, di antaranya,
tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadah. Salman,
sahabatnya, telah menegurnya dengan berkata: "Tuhanmu ada hak ke
atasmu, badanmu ada hak ke atasmu dan isterimu ada hak ke atasmu.
Berikan kepada semua ini haknya." Ketika Nabi mendengar perkataan
Salman, Baginda berkata: "Benarlah Salman." (Bukhari)
Dalam hadis
yang lain diceritakan bahawa Baginda Nabi telah memasuki Masjid dan
ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang. Selepas bertanya,
Baginda diberitahu bahawa tali itu adalah kepunyaan Zainab agar dia
dapat berpaut kepadanya ketika keletihan melakukan sembahyang. Nabi pun
terus mengeluarkan arahan:
"Buka tali ini! Hendaklah salah seorang
di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas, dan ketika sudah
mengantuk hendaklah tidur." (Bukhari-Muslim)
Semua ini
menunjukkan bahawa Islam amat mementingkan produktiviti yang berkualiti
dalam setiap amalan. Ia juga menampakkan tentang perkaitan di antara
produktiviti dan kualiti dengan tahap kecergasan diri seseorang.
Tidur
siang pernah dianggap sebagai salah satu tanda kemalasan. Islam
menganggapnya sebagai suatu kebaikan asalkan seseorang itu tidak
berlebih-lebihan dengannya.
Di dalam kitab 'Misykatul Masabih'
disebutkan tentang salah satu amalan sunnah yang pernah dilakukan oleh
Nabi: "Tidur yang sedikit di waktu tengahari (qailulah) tidaklah keji.
Rasulullah ada melakukannya."
Imam Al Ghazali di dalam kitab
'Ihya Ulumuddin' telah berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan
tidur di siang hari kerana ianya membantu ibadah di malam hari
sebagaimana sahur membantu puasa di siang hari. Sebaik-baiknya ialah
bangun sebelum gelincir matahari untuk solat zohor."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan