Ahad, 6 Disember 2009

Pelihara Kedaulatan Raja


SHAH ALAM, - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah supaya seluruh rakyat dan barisan kepimpinan sentiasa menjaga kedaulatan Raja dan undang-undang.Titahnya ini penting bagi memastikan kejayaan yang dikecapi dapat dinikmati generasi akan datang.Baginda turut bertitah Raja Berdaulat yang memerintah adalah pelindung atau payung kepada rakyat agar mereka di bawah naungannya tidak teraniaya oleh mana-mana pihak.

“Raja Berdaulat yang memerintah adalah juga sebagai pelindung kepada rakyat atau merupakan payung kepada rakyat agar rakyat di bawah naungannya tidak teraniaya oleh mana-mana pihak. Ketiadaan kedaulatan Raja akan menyebabkan tiadanya satu kuasa yang ingin memecahbelahkan perpaduan rakyat dan keutuhan sesebuah kerajaan”, titah baginda.Baginda bertitah demikian semasa merasmikan ‘Wacana Kedaulatan Raja- Warisan Yang Mesti Dipertahankan’ di Auditorium, Dewan Jubli Perak, Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pagi tadi.

Baginda turut bertitah supaya Orang Besar Daerah, Penghulu, Ketua Kampung, Imam dan Nazir menjalankan tanggungjawab untuk memberikan pengetahuan kepada rakyat mengenai fungsi Raja-raja yang memerintah.“Tanggungjawab Orang Besar Daerah, Penghulu, Ketua-ketua Kampung, Imam-imam dan Nazir-nazir adalah untuk memberi pengetahuan kepada rakyat bahawa antara satu fungsi Raja-raja yang memerintah adalah untuk melihat dan memastikan pentadbiran negeri ini berjalan dengan lancar, adil dan saksama, yang mana rakyat jelata akan menikmati segala faedah daripada kemakmuran negeri ini”, titah Tuanku lagi.

Baginda juga bertitah agar pemimpin masyarakat mengekalkan keharmonian hidup serta sentiasa memastikan masjid dan surau di Selangor tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak.Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum.Bengkel Wacana Kedaulatan Raja ini dianjurkan Sultan Selangor bagi meningkatkan tahap kefahaman dan kesedaran penjawat awam serta pemimpin masyarakat terhadap Institusi Raja dan Istana sepertimana yang termaktub dalam Perlembangaan.

Dalam pada itu, bengkel setengah hari ini juga bertujuan menanam taat setia yang tidak berbelah bagi terhadap Institusi Raja dan Istana sebagai pemerintah negeri dan mewujudkan kesefahaman antara kaum supaya dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Wacana kali ini dibentangkan oleh beberapa tokoh terkemuka negara dalam bidang berkaitan dalam membincangkan kepentingan mempertahankan kedaulatan Institusi Raja di Malaysia.

Mereka ialah Pensyarah Universiti Malaya, Prof Emeritus Tasn Sri Datuk Dr Khoo Kay Kim; Pengamal Undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin dan Pensyarah Universiti Teknologi MARA, Datuk Prof Dr Ramlah Adam.Wacana kali ini membabitkan 3 kertas kerja iaitu Kedaulatan Raja dan Peranannya Dalam Sebuah Negara Berbilang Bangsa, Kedaulatan Raja dari Perspektif Perlembangaan Persekutuan dan Institusi Raja-raja: Sebuah Tradisi Kelangsungan Bangsa dan Negara Malaysia

Tiada ulasan:

Catat Ulasan