SHAH ALAM, 2 DIS: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah
hari ini mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasikan
keprihatinan dan peranan baginda terhadap institusi masjid demi meraih
publisiti.
Menurut baginda, keprihatinan tersebut lahir demi menjalankan
tanggungjawabnya sebagai Ketua Agama Islam Negeri Selangor untuk
memastikan Agama Islam terus dihormati dan dimartabatkan.
“Jesteru itu, keprihatinan beta terhadap institusi masjid di Negeri
Selangor ini diharap tidak disalahertikan oleh pihak tertentu yang mahu
meraih publisiti dengan memanipulasikan peranan beta.
“Beta secara ikhlasnya ingin melihat Institusi Masjid menjadi
penyumbang kepada kemajuan dan pembangunan di Negeri Selangor ini,”
titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian
Seminar Pengurusan Masjid yang diadakan di Dewan Solat Bawah, Masjid
Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Baginda turut mengingatkan agar Ahli Jawatankuasa masjid agar
menyekat perkara negatif di dalam masjid seperti permainan politik,
penyebaran ajaran sesat, perpecahan di dalam qariah dan kuliah
penceramah tidak bertauliah.
Baginda juga mahukan masjid dijadikan ‘one stop centre’ (pusat khidmat setempat) yang menawarkan pelbagai khidmat.
Ini seperti tuisyen, pusat sumber internet, khidmat majlis keraian
seperti akad nikah, ceramah dan pemeriksaan kesihatan, ceramah
pengurusan keluarga, pengurusan kewangan dan aktiviti lain bermanfaat
kepada masyarakat Islam.
Dalam program Seminar Pengurusan Masjid tersebut, Sultan Sharafuddin
turut sempat berkenan mencemar duli untuk bertemu dan berkenalan dengan
para pegawai-pegawai masjid yang mengikuti seminar itu.
Dianggarkan hampir 300 peserta yang terdiri daripada para pegawai
masjid-masjid seluruh Selangor telah mengambil bahagian dalam program
sehari itu.
Program yang dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor itu diadakan
bagi memberi penerangan kepada pegawai masjid akan fungsi dan
tanggungjawab mereka dalam menguruskan dan mengimarahkan masjid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan