Isnin, 28 September 2009

Tangguh Hasrat Tunaikan Fardu Haji


RIYADH 28 Sept. - Arab Saudi menggesa umat Islam yang tidak sihat seperti warga emas, yang sakit, wanita mengandung dan kanak-kanak supaya menunda hasrat mereka untuk melakukan ibadah haji ke Mekah sebagai usaha mengelakkan penularan berskala besar selesema babi (influenza A/ H1N1). Sehingga kini, kira-kira 3,500 kes H1N1 telah disahkan di Arab Saudi yang kebanyakannya berjaya dirawat manakala 26 daripadanya disahkan meninggal dunia, menurut media tempatan.
Arab Saudi mengambil langkah-langkah khusus untuk mencegah wabak besar itu pada musim haji November ini di mana tiga juta jemaah haji daripada 160 buah negara dijangka berkumpul di Mekah selain turut mengerjakan umrah. Antara langkah tersebut ialah, pemasangan 20 buah alat pengesan terma bagi memeriksa para jemaah di terminal lapangan terbang haji di bandar pelabuhan Laut Merah di Jeddah iaitu hentian pertama untuk para jemaah tiba di Arab Saudi.
Kakitangan perubatan di lapangan terbang itu akan dipertingkatkan kepada 20 peratus berbanding pada musim haji tahun lepas, iaitu menjadi 550 pakar perubatan termasuk para doktor, jururawat, juruteknik makmal dan ahli farmasi.
Pihak berkuasa akan menyediakan pusat kesihatan berdekatan lapangan terbang di Jeddah dan Madinah, kota suci kedua, yang boleh menampung sehingga 500 orang pesakit dalam satu-satu masa yang akan dihantar untuk menerima rawatan semasa tempoh kuarantin. Kerajaan tersebut juga telah membuat tempahan kira-kira 10 juta dos vaksin H1N1 yang dijangka akan tiba pada bulan Oktober dan ia akan diwajibkan kepada semua jemaah haji yang tiba di Arab Saudi. Arab Saudi turut meningkatkan stok Tamiflunya sehingga 20 peratus, dua kali melebihi daripada yang disyorkan oleh WHO untuk negara-negara lain, menurut pihak berkuasa Julai lalu.
Pihak berkuasa telah menangguhkan permulaan persekolahan tahu baru sehingga dua minggu untuk melatih kira-kira 66,000 orang guru mengenai kaedah mencegah penularan virus itu di sekolah. Kementerian turut akan mendapatkan lima juta dos vaksin H1N1 untuk golongan pelajar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan