Isnin, 14 Februari 2011

Beberapa Larangan Rasulullah SAW

Dari al-Mughirah r.a, dari nabi s.a.w baginda bersabda: “Allah telah melarang keras (mengharamkan) kamu menderhakai ibu, melarang membuat kikir dan mengubur anak perempuan. Tuhan benci kamu jika kamu terlalu banyak berbicara begitu begini, terlalu banyak bertanya serta membuang-buang harta tidak pada tempatnya.”

(Bukhari)

Huraian:

Dosa-dosa besar adalah perbuatan yang membolehkan seseorang itu tergolong di kalangan orang-orang yang menempah keburukan di akhirat nanti walhal di dunia pun balasan dosa akibat perbuatan tersebut tidak mustahil akan menimpa mereka.

Menderhakai ibu, bakhil dengan kelebihan nikmat yang dikurniakan Allah S.W.T, membunuh anak sendiri, banyak bercakap perkara yang sia-sia, banyak bersoal jawab sebelum melakukan sesuatu perkara dan suka melakukan pembaziran merupakan perbuatan yang dilarang dan dibenci di dalam Islam.

Jika direnung akan keadaan umat sekarang, musibah-musibah yang datang menimpa tidak pernah berkesudahan. Sama ada ia boleh dikategorikan sebagai cubaan Allah, bala atau malapetaka semuanya bergantung pada kedudukan sesebuah umat itu kerana Allah tidak pernah menzalimi manusia tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri.

Jika kita lalai daripada mengingati dan mensyukuri nikmat Allah, segala sesuatu yang buruk akan sanggup kita lakukan kerana ia timbul hasil dorongan hawa nafsu. Hilang sifat kasih sayang, kasihan belas apatah lagi sifat kebergantungan terhadap Yang Maha Kuasa. Timbullah sikap angkuh dan bongkak hingga sanggup menzalimi orang lain. Tidak sedar akan balasan Allah yang bakal menimpa. Bahkan kita melakukan dosa dengan perasaan megah dan bangga.

Itulah antara sebab-sebab yang mengundang kecelakaan. Oleh itu sebagai hamba yang beriman janganlah kita melakukan perkara yang ditegah kerana setiap tegahan itu adalah untuk kebaikan diri kita sendiri agar hidup sentiasa berada di dalam keredhaan Ilahi.

Kesabaran Seorang Nabi & Rasul

Dari Abdullah r.a, katanya: “Seolah-olah saya melihat Nabi s.a.w menceritakan seseorang di antara nabi–nabi yang dipukul oleh kaumnya hingga mengalir darahnya dan nabi itu menghapuskan darah di mukanya sambil berdoa: “Wahai Tuhan! Ampunilah kiranya kaumku kerana sesungguhnya mereka belum tahu.”

(Bukhari)

Huraian:

Kebenaran (hak) itu datangnya daripada Allah S.W.T. Pemimpin kebenaran khususnya para rasul wajib menyampaikan kebenaran itu kepada seluruh manusia. Bahkan salah satu sifat wajib bagi rasul ialah menyampaikan (tabligh). Mereka tidak boleh menyembunyikan kebenaran walaupun satu huruf.

Apabila datang penentangan terhadap yang hak itu, maka kebenaran sikap mereka tetap tidak berubah, melainkan terus mencari jalan bagaimana kebenaran itu boleh sampai dan diterima oleh para penentang. Sekiranya sudah tidak ada lagi jalan untuk penentangnya menerima kebenaran, maka didoakannya pula. Doanya kepada penentang ialah agar menerima kebenaran dan Tuhan ampunkan segala kesilapan dan dosa-dosa mereka.

Begitulah mulianya hati dan jiwa insan yang Allah anugerahkan sebagai pemimpin umat. Inilah hati para rasul. Lihatlah sikap Rasulullah s.a.w yang memaafkan penduduk Thaif yang menghina baginda. Malah baginda mendoakan agar mereka nanti akan menerima kebenaran dan beriman kepada Tuhan suatu masa kelak.

Mengumpat Amalan Tercela.

SALAH satu sikap buruk yang ada pada manusia adalah mengumpat atau mengatakan perihal seseorang. Ada antara kita terutamanya golongan wanita cukup suka mengumpat.

Setiap hari ada sahaja perkara yang mahu diumpatkan dan paling mereka suka apabila ia berkaitan dengan rumahtangga atau hal peribadi seseorang.

Kalau yang diumpatkan itu musuh mereka maka semakin bersemangatlah mereka mengumpat sehingga akhirnya tanpa mereka menyedari mereka tergolong dalam golongan yang melakukan fitnah.

Rasulullah SAW menjelaskan mengenai mengumpat seperti mana sabda baginda yang bermaksud: Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya. (riwayat Muslim)

Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia disamakan seperti memakan daging saudara seagama. Manusia waras tidak sanggup memakan daging manusia, inikan pula daging saudara sendiri.

Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat. Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.

Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya di akhirat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat. (riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibban)

Disebabkan mengumpat terlalu biasa dilakukan, maka ia tidak dirasakan lagi sebagai satu perbuatan dosa. Hakikat inilah perlu direnungkan oleh semua.

Mengumpat dan mencari kesalahan orang lain akan mendedahkan diri pelakunya diperlakukan perkara yang sama oleh orang lain. Allah akan membalas perbuatan itu dengan mendedahkan keburukan pada dirinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan janganlah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri. (riwayat Abu Daud)

Orang yang mengumpat akan mendapat kerugian besar pada hari akhirat. Pada rekod amalan mereka akan dicatatkan sebagai perbuatan menghapuskan pahala.

Rasulullah SAW juga pernah bersabda yang bermaksud: “Perbuatan mengumpat itu samalah seperti api memakan ranting kayu kering”.

Pahala yang dikumpulkan sebelum itu akan musnah atau dihapuskan seperti mudahnya api memakan kayu kering sehingga tidak tinggal apa-apa lagi.

Diriwayatkan oleh Abu Ummah al-Bahili, di akhirat seorang terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia.

Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhan ku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya”. Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui”.

Sebaliknya, jika pahala orang yang mengumpat tidak ada lagi untuk diberi kepada orang yang diumpat, maka dosa orang yang diumpat akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Inilah dikatakan orang muflis di akhirat kelak.

Memandangkan betapa buruknya sifat mengumpat, kita wajib berusaha mengelakkan diri daripada melakukannya. Oleh itu perbanyakkanlah zikir supaya dapat menghindarkan diri daripada mengumpat.

Justeru tinggalkan amalan buruk berkenaan. Janganlah kita melampaui batas apabila kita tidak menyukai seseorang sehingga kita sanggup memburuk-burukkkannya di belakang.

Ingatlah setiap apa yang kita lakukan pasti ada pembalasan sama ada ia perbuatan baik atau sebaliknya.

Islam Melarang Umatnya Memohon Untuk Mati

Rasulullah saw. Bersabda bermaksud: “Janganlah ada diantara kamu yang bercita-cita hendak mati. Sekiranya ia seorang yang baik mudah mudahan ia dapat menambahkan lagi kebaikan, dan sekiranya ia seorang yang jahat mudah mudahan ia dapat bertaubat kepada Allah.”

Riwayat Hadith Al-Bukhari dan Muslim

Huraian:

* Haram hukumnya bagi seseorang muslim bercita cita dan berdoa untuk mati apabila hidup didalam kesengsaraan dan menderita.
* Setiap mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal ibadat kepada Allah sebagai bekalan di akhirat nanti.
* Islam tidak membenarkan umatnya bercita cita untuk mati, tetapi menggalakkan umatnya supaya bercita cita untuk menambahkan ilmu pengetahuan demi kemajuan ummah.

Enggan Masuk Syurga

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Semua umat ku akan masuk syurga kecuali orang yang enggan. Baginda ditanya: “Siapakah yang enggan?” Baginda bersabda: “Sesiapa yang taat kepada ku ia masuk syurga dan sesiapa yang derhaka kepada ku ia masuk neraka.” (al-Bukhari)
Huraian:
Pada hakikatnya tiada seorang pun yang waras fikirannya enggan memasuki syurga, malah yang bermati-matian mengejar dunia ini sekali pun, tidak lain ialah kerana menganggap dunia ini adalah syurga yang terlalu indah padahal syurga yang sebenar adalah syurga akhirat yang kekal abadi. Enggan memasuki syurga bererti seseorang itu memilih untuk memasuki neraka. Kesimpulan daripada hadis di atas ialah bahawa orang yang bakal memasuki syurga adalah orang yang taat kepada Rasulullah SAW sedangkan pengertian orang yang tidak mahu memasuki syurga adalah mereka yang derhaka kepada baginda SAW.

Ahad, 13 Februari 2011

Ramai Yang Masih Tidak Solat

Sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari”. Anda mungkin terkejut dengan data ini tetapi itulah hakikatnya. Dalam satu kajian yang telah dilakukan oleh tokoh motivasi terkenal di Malaysia, Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah, bahawa sejumlah 80 peratus umat Islam di Malaysia masih tidak menyempurnakan solat lima waktu dalam sehari. Peratusan angka ini diperoleh melalui tinjauan beliau menerusi program-program ceramah dan motivasi, yang dijalankan di seluruh negara serta pemerhatian terhadap gaya hidup masa kini.


Menurut Dato’ Dr. Mohd Fadzilah Kamsah antara golongan yang kerap meninggalkan ibadah solat ini ialah golongan para pelajar sekolah, golongan belia, pekerja kilang, anggota pasukan seragam dan juga para peniaga (Utusan Malaysia 2008, 23 Jun).

Menurut kajian itu lagi hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari, sementara bagi pelajar -pelajar sekolah menengah, iaitu hanya 15 peratus sahaja mengakui bersembahyang lima kali sehari. dan fakta ini ternyata menyamai dapatan kajian yang menunjukkan bahawa sejumlah 86.2% responden mengakui kerap meninggalkan solat dan sejumlah kecil responden yang melaksanakan solat dengan secukupnya.

Selain dari itu kadar pelaksanaan yang rendah dalam ibadah solat di kalangan responden dalam kajian ini juga mungkin dapat dikaitkan dengan tahap pengetahuan dan kemahiran responden dalam menunaikan ibadat tersebut. Apakah faktor yang menyebabkan jumlah besar responden tidak menunaikan solat dalam kehidupan mereka? Persoalan ini mungkin tidak dapat diselesaikan dengan menjaga fakta-fakta atau cara melaksanakan solat. Sesungguhnya ia melibatkan banyak faktor lain termasuk motivasi pelaksanaan solat dan ibadat. Menurut al-Kumayi (2009) terdapat tiga halangan dalam melaksanakan ibadah iaitu:

* Malas (kasal) mengerjakan ibadat kepada Allah, sedang setiap insan sanggup dan berupaya melakukan ibadah.
* Lemah fikiran (futur) atau tidak memiliki tekad yang kuat kerana terpengaruh dengan kehidupan dunia.
* Bosan (malal) atau cepat berasa bosan melakukan ibadah sedangkan tujuan belum tercapai.

Sesungguhnya amalan atau perbuatan meninggalkan solat ini merupakan masalah yang serius atau cukup barat, kerana baik buruknya perlakuan seseorang itu sangat dipengaruhi oleh solatnya. Jika ibadah solatnya baik, dilakukan dengan peluh kesempurnaan yang merangkumi aspek rukun, syarat dan penuh khusyuk ia akan dapat mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar. Aspek ini menjadi jawapan kepada pelbagai masalah yang timbul dalam organisasi atau pun yang melakukan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan syarak.

Formula Solat Sempurna

Penulis : Ust. Zaharuddin Abd. Rahman
HARGA : RM25.90
Dapatkan secara online di http://store.stormreaders.org

FORMULA SOLAT SEMPURNA ini menjelaskan kepada pembaca dengan pendekatan mudah dan mantap berkenaan cara menunaikan solat secara lebih sempurna iaitu dengan menggabungkan sunat-sunat semasa solat bersama rukun dan syaratnya.

Keistimewaan buku ini terletak pada kupasan ringkas dan padat hasil kajian mendalam daripada kitab-kitab turath silam dan kontemporari. Penulis membawakan nas-nas yang terbaik hasil ijtihad para ulama hadis silam dan semasa.

Aspek ini menjadikan ia sebuah buku yang amat sesuai buat semua lapisan masyarakat dan latar belakang, hingga mereka yang mempunyai kefahaman Syariah yang minimum juga mampu memahami ulasan di dalam buku ini dengan baik. Demikian juga mereka yang khusus dalam ilmu Syariah juga diyakini akan mendapat sesuatu yang menarik daripada buku ini. Kandungan buku ini disusun dalam bentuk menarik mengikut kronologi pergerakan solat dan kemudian disusuli dengan nas-nas warid daripada Nabi s.a.w. Seterusnya huraian amat berguna berkaitan khusyuk, masalah dan punca kehilangannya dewasa ini.

Pengajaran disebalik Kontrovesi Azan

SU bantahan peguam yang menghantar memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Lembah Pantai membantah laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah dianggap selesai apabila kelmarin, peguam terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua umat Islam.

Tindakan peguam berkenaan mendapat bantahan seluruh umat Islam, maka wajarlah permohonan maaf dibuat kepada seluruh umat Islam di negara ini.

Azan, syiar Islam yang bermula di Madinah pada tahun pertama hijrah seperti disebut dalam hadis diriwayatkan Abdullah bin Umar semasa orang Islam mula sampai di Madinah dan berkumpul menunggu menunaikan solat tetapi tiada yang menyeru untuk bersembahyang.

Maka Rasulullah SAW pada satu hari mengumpulkan sahabat untuk membincangkan cara mengingatkan umat Islam mengenai masuk waktu solat dan mengajak mereka ke masjid menunaikan solat berjemaah.

Dalam perbincangan itu, ada mencadangkan supaya dikibarkan bendera, ditiupkan serunai atau terompet, dibunyikan loceng dan dinyalakan api di atas bukit. Namun, semua usul itu ditolak Nabi Muhammad SAW kerana sama dengan amalan agama lain seperti Nasrani (Kristian) dan Yahudi.



Kemudian Saidina Umar mencadangkan supaya dilaungkan ayat ‘telah datang waktu solat’ dan cadangan itu diterima Nabi, tetapi Baginda menukar lafaznya kepada ‘marilah solat berjemaah’.

Sehinggalah pada suatu malam Abdullah bin Zaid dan Umar bin al-Khattab sama-sama bermimpi, mengenai cara lebih baik untuk menghebahkan solat dengan mengumandangkan ‘azan’ seperti yang ada pada hari ini.

Apabila mimpi sahabat disampaikan kepada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: “Mimpi itu mimpi yang benar.” Lalu Nabi memerintahkan Bilal bin Rabah melaungkan azan pada setiap kali masuk waktu solat.

Untuk solat Jumaat, dua kali azan iaitu pertama menandakan masuk waktu Zuhur memanggil orang Islam ke masjid dan kali kedua sejurus sebelum imam memulakan khutbah Jumaat.

Manakala azan Subuh semasa zaman Rasulullah SAW dikumandangkan sebanyak dua kali seperti dilakukan di Masjidilharam.

Pertama, selepas berlalunya separuh malam untuk memberitahu umat Islam waktu Subuh sudah hampir dan waktu itulah mereka digalakkan bersembahyang sunat tahajud dan sebagainya atau bersahur untuk berpuasa.

Azan kedua diperdengar ketika masuk waktu Subuh dengan tambahan lafaz ‘solat itu lebih baik daripada tidur’. Azan juga sunat dibisikkan ke telinga bayi lelaki baru lahir.

Dalil mensyariatkan seruan azan ialah firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu dipanggil (diseru) untuk sembahyang…” (Surah al-Ma’idah, ayat 58).

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Apabila tiba waktu sembahyang hendaklah salah seorang kamu melakukan azan dan yang lebih tua daripada kamu hendaklah menjadi imam.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Keajaiban syiar Islam dalam azan ini terbukti apabila azan akan berkumandang di setiap minit selama 24 jam sehari di seluruh dunia berdasarkan perbezaan waktu dan tempat.

Ribuan bilal akan melaungkan azan Subuh seawal 5.30 pagi, bermula di bahagian timur Indonesia dan bergerak ke barat kepulauan Indonesia.

Belum pun laungan azan itu selesai di seluruh Indonesia, azan akan bergema pula di Malaysia, kemudian disambut di Thailand, Myanmar, China dan seterusnya. Azan akan terus bersahutan di Bangladesh dan bergema pula di India.

Sebelum berakhir di Pakistan, laungan azan Subuh akan dilaungkan di Afghanistan dan Oman, kemudian di Emiriah Arab Bersatu, di tanah suci Makkah, Madinah dan negara lain. Proses ini berterusan setiap detik sehingga ke pantai timur Atlantik dalam jangka masa sembilan jam setengah.

Sebelum azan subuh bergema di situ, azan Zuhur sudah berkumandang di Indonesia semula dan begitulah seterusnya laungan azan akan bersahut-sahutan di serata pelusuk dunia melaungkan keagungan Allah dan Nabi Muhammad SAW setiap detik, sepanjang waktu.

Semoga selepas ini tidak ada lagi pihak mempertikaikan amalan agama masyarakat di negara ini.

Janganlah menghuru-harakan keadaan masyarakat yang hidup dalam rukun dan damai. Walaupun permohonan maaf dibuat, namun hakikatnya ada yang tersinggung dengan tindakan itu.

Perbuatan menghina amalan agama sesuatu masyarakat tidak sepatutnya berlaku kerana kita hidup dalam masyarakat majmuk, berbilang bangsa, agama dan kepercayaan.

Cuba bayangkan jika umat Islam mempertikai amalan upacara keagamaan lain seperti amalan membunyikan loceng di kuil pada waktu Maghrib atau membakar colok di tokong yang mengeluarkan asap serta bau tidak menyenangkan, sudah tentu penganut agama itu akan marah.

Hakikat agama Islam sebagai agama Persekutuan dan agama lain bebas untuk dianuti seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan perlu difahami dan dihormati masyarakat bukan Islam.

Agama Islam yang diletakkan di bahagian awal dalam Perlembagaan membawa makna yang besar dari segi peranan, kedudukan dan keutamaannya.