Sabtu, 12 Februari 2011

Kelebihan Menuntut Ilmu

Sebagai seorang Islam, di antara kewajipan yang dituntut dalam memelihara akal ialah menuntut dan menguasai ilmu.

Kewajipan menuntut ilmu sebagai agenda penting umat Islam dijelaskan oleh Rasulullah dalam sabdanya yang bermaksud:

"Mencari ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim."

Bertitik-tolak daripada inilah, kita berkewajipan untuk terus memelihara akal kita dengan ilmu dan pengetahuan. Sebagai hamba Allah, kita tidak seharusnya berhenti melakukannya selagi masih bernafas dan menyedut udara segar kurniaan Allah..

Dalam memperkatakan soal ilmu, tidak dapat dinafikan bahawa orang berilmu mampu menguasai sesuatu dari manusia lain yang kurang ilmunya atau tidak berilmu. Orang berilmu dalam sesuatu bidang, tidak akan bersusah payah untuk menyelesaikan setiap masalah yang dihadapinya berbanding orang lain yang tidak berilmu.

Sebelum sesuatu langkah diambil, seseorang akan berfikir semasak-masaknya sebelum meneruskan tindakannya. Berbeza dengan orang yang tidak berilmu akan mudah terburu-buru untuk bertindak tanpa menggunakan akal fikirannya. Implikasinya, segala tindakannya itu kemungkinan akan mengundang masalah yang lebih besar.

Allah mewajibkan setiap Muslim supaya terus menuntut ilmu. Sebagai bonusnya, Allah memberikan kedudukan yang tinggi kepada mereka ini. Ia dapat dilihat di kalangan masyarakat hari ini. Mereka yang mempunyai ilmu dan kepakaran dalam sesuatu bidang akan dihormati dan diberikan kemuliaan di tengah masyarakat. Kadangkala, mereka juga turut diberi kepercayaan untuk menjadi jurucakap malah pemimpin dalam sesuatu perkara.

Bagi orang yang beriman, semakin tinggi ilmu diperolehi akan membuatkannya lebih tawaduk atau merendah diri. Ia menunjukkan bahawa seseorang yang berilmu akan semakin taat kepada Tuhannya. Inilah darjat yang dimiliki oleh ilmuwan Islam atau lebih tepat lagi disebut ulama.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang yang takut (taat) kepada Allah di kalangan hamba-Nya ialah ulama (orang yang berilmu)." (Surah al-Fathir: 28)

Daripada maksud ayat itu, dapat kita fahami bahawa ketaatan manusia kepada sesuatu perkara adalah berasaskan kepada kefahaman dan penghayatannya kepada perkara tersebut. Dan ketaatan serta penghayatan tersebut tidak dapat diperolehi melainkan dia berilmu.

Tidak dapat dinafikan, kedudukan orang berilmu dengan orang jahil sememangnya berbeza terutama dari segi pemikiran dan cara tindakannya. Maka benarlah seperti firman Allah di atas yang menjelaskan bahawa orang yang tahu memanfaatkan akalnya mampu untuk menerima segala bentuk pengajaran dan nasihat.

Sesungguhnya, orang yang berilmu bukan saja dihormati dan dikasihi oleh manusia tetapi juga oleh malaikat bahkan oleh seluruh makhluk di dunia ini. Ia dibuktikan oleh nas dan dalil al-Quran dan Hadis yang begitu banyak memperkatakan kelebihan orang yang berilmu.

Secara umumnya, perlu kita sedari bahawa ilmu yang dimaksudkan bukanlah terhad kepada ilmu yang berkaitan akhirat atau biasa disebut sebagai ilmu agama. Secara sedar atau tidak, semua ilmu yang terdapat hari ini sama ada mencakupi ilmu dunia atau akhirat, kedua-duanya adalah sunnah kepada manusia untuk mempelajari dan menguasainya.

Mesyuarat AJK Masjid 1/2011

Tarikh : 14/02/2011
Hari : Isnin malam Selasa
Masa : 900 malam
Tempat : Bilik Mesyuarat Masjid Parit 4.

Semua Penasihat, AJK dan Pegawai Masjid dijemput hadir.

Sabtu, 5 Februari 2011

Tizkiran, Tidak Semudah Yang disangka..

Memberikan tazkirah bukan satu perkara remeh, mudah, santai sehinggakan sesiapa sahaja boleh melakukannya tanpa disiplin tertentu. Di sini saya ringkaskan beberapa masalah dalam beberapa tazkirah termasuklah tazkirah sepanjang Ramadhan yang saya temui dan saya masih ingat. Tidak dinafikan terdapat tazkirah yang disampaikan dengan penuh ilmu dan penghayatan lantas memberi kesan pada diri saya dan orang lain. Tumpuan saya hanyalah pada segelintir tazkirah dan pentazkirah sebagai kritikan membina dan peringatan bersama.

Berserta nasihat ini juga saya sertakan cadangan penyelesaian untuk para pentazkirah agar kesilapan yang sama tidak akan berulang. Apa guna kita mengkritik jika kita tidak membantu?
Selamat membaca..

1- Terdapat sebahagian pentazkirah yang tersalah dalam menyebut ayat-ayat Al-Quran yang ingin dijadikan isi tazkirahnya. Bahkan ada yang tersalah memberikan terjemahan dan tafsiran. Contohnya terjemahan ayat 'Fitnah itu lebih besar dosanya dari membunuh' [iaitu ayat 191 dan ayat 217 dari surah al-Baqarah] dengan menafsirkan 'fitnah' sebagai 'tuduhan bohong terhadap manusia tidak bersalah'. Ini adalah terjemahan yang tidak tepat. 'Fitnah' di dalam kedua ayat tersebut bukan bermaksud 'tuduhan bohong' tetapi ia membawa maksud 'usaha orang-orang kafir yang mengganggu dakwah dan cuba memesongkan umat Islam dari jalan kebenaran lantas menyemai amalan syirik'.


Cadangan:
Seeloknya pentazkirah menyenaraikan terlebih dahulu ayat-ayat yang beliau ingin gunakan lalu mengambil sedikit masa untuk menyemak terjemahan dan tafsirannya. Salah seorang ulama tafsir terkemuka negara Arab, Dr. Solah Abd. Fattah al-Khalidi pernah menasihatkan di dalam bukunya Ma'a Qasas al-Saabiqin supaya para pendakwah membuat persediaan sebelum berdakwah agar dakwahnya lebih kukuh dan mantap serta kurang melakukan kesilapan.

2- Terdapat beberapa tazkirah yang menyebut hadith-hadith dhaif dan palsu. Adakah pentazkirah itu tahu ia dhaif dan palsu? Saya merasakan bahawa beliau tidak tahu. Namun begitu ia tetap satu perkara yang tidak wajar kerana hadith palsu itu akan tersebar dalam kalangan yang mendengar tazkirah. Contohnya seperti :

'Tuntutlah ilmu sehingga ke negeri China'
'Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad'
'Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya keampunan, hujungnya pembebasan dari neraka'
'Beramallah untuk duniamu seolah kamu akan hidup selamanya, beramallah untuk akhiratmu seolah kamu akan mati keesokannya'
'Sesiapa yang inginkan dunia, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan akhirat, hendaklah memiliki ilmu, sesiapa yang inginkan keduanya, hendaklah memiliki ilmu'
'9/10 rezeki itu ada pada perniagaan'

Sedangkan kata-kata di atas telah pun dinilai sebagai palsu dan bukan hadith oleh ramai ahli hadith dan ulama sejak dahulu hingga kini. Maka bagaimana kita boleh 'terleka' dan 'tersebut' hadith-hadith ini dalam tazkirah di hadapan orang ramai? Kita tidak boleh asyik menuturkan alasan mudah seperti 'nak buat macam mana, saya tak tahu', 'saya ingatkan hadith' atau 'dah lama saya tahu ini hadith' dan sebagainya. Ini bukan alasan kerana hadith-hadith sahih terlalu banyak untuk kita capai dalam buku-buku terkemuka seperti Riyadhussolihin, Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain. Alasan itu boleh diterima dari mereka yang mendengar tazkirah, bukan 'pentazkirah'.

Cadangan:
Jadikan buku-buku utama hadith seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Riyadhussolihin sebagai bahan rujukan utama jika ingin mencari hadith-hadith untuk digunakan dalam tazkirah. Tidak mengapa jika kita tidak menyebutkan terlalu banyak hadith. Cukup dengan satu dua hadith pun memadai jika dihuraikan dan dihayati maksudnya.

3- Menumpukan sesuatu isu yang kecil dan membesarkannya sedangkan ia tidak termasuk dalam kategori 'wajib' atau 'haram'.

Contohnya saya pernah mendengar seorang pentazkirah beria-ia memarahi orang yang tidak solat terawih 23 rakaat. Manakala dalam masa yang sama ada pula pentazkirah yang seolah menghadkan terawih mesti 11 rakaat dan tidak boleh lebih. Sedangkan di zaman awal Islam perkara sebegitu begitu kecil dan ada yang menunaikan solat sehingga 30 atau 40 rakaat lebih. Ia hanyalah bilangan rakaat.

Manakala terdapat pula pentazkirah yang memarahi anak-anak muda pergi ke masjid tanpa memakai kopiah dan baju melayu. Adakah ini satu perkara yang patut dibangkitkan sedangkan ia tidak wajib dan bukan asas dalam beragama?

Seorang lagi pentazkirah pula berkeras mahukan para jemaah mengkhatam Quran dalam bulan Ramadhan sedangkan ia bukanlah satu tuntutan wajib. Sesiapa yang berjaya khatam 30 juzuk maka ia satu perkara yang baik namun sesiapa yang tidak mampu, tidak wajar kita mempertikaikannya.

Cadangan:
Setiap isu dan perkara yang ingin dibawa mestilah dilihat dari segi 'keutamaannya'. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Awlawiyyat atau Fiqh Keutamaan menggariskan bahawa pendakwah dan umat Islam perlu menumpukan kepada yang lebih utama. Contohnya mendahulukan perkara wajib sebelum sunat, perkara tentang masyarakat sebelum individu, perkara haram sebelum makruh, perkara yang bermanfaat untuk ramai dan sebagainya. Buku beliau Fiqh al-Awlawiyyat telah pun diterjemah dan elok dijadikan bahan bacaan pendakwah.


4- Membawa kisah-kisah pelik dan ajaib yang tidak bersumberkan dari Al-Quran atau hadith sahih. Kisah-kisah ini adakalanya berkaitan umat terdahulu atau kadangkala kisah di zaman moden ini yang belum dipastikan kebenarannya.

Cadangan:
Sebagaimana kita membuat persediaan untuk menyemak ayat Al-Quran dan hadith yang akan kita gunakan dalam tazkirah, buatlah juga kajian tentang kesahihan kisah atau cerita pelik yang akan kita sampaikan nanti. Tidak semua kisah pelik itu benar. Ada kisah pelik dan ajaib yang memang ada dalam Al-Quran dan hadith. Tetapi ada juga kisah pelik yang tiada dalam mana-mana sumber yang diyakini.

5- Berdoa terlalu lama selepas tazkirah sehingga para jemaah tidak selesa. Doa bukanlah satu kemestian setiap kali selepas tazkirah. Namun begitu jika pentazkirah ingin berdoa, dinasihatkan agar berdoa dalam kadar sederhana dan tidak terlalu panjang. Kita semua tahu bahawa Rasulullah s.a.w. pernah memarahi sahabatnya Mu'adz Bin Jabal kerana terlalu memanjangkan solat ketika menjadi imam solat fardhu. Tidakkah hadith ini boleh membuatkan kita terfikir, adakah patut kita memanjangkan doa sehingga terlalu lama?

Cadangan:
Berdoalah dengan doa-doa ringkas yang diterjemahkan agar dapat dihayati oleh mereka yang mendengar tazkirah. Malah amat memadai kalau kita akhiri dengan tasbih kaffarah dan surah al-Asr. Itu sudah cukup cantik dan ringkas serta mencapai matlamat.

Itulah sekadar yang dapat saya kongsi untuk kali ini. Maafkan saya jika terkasar atau mengguris hati sesiapa. Apa yang baik, harap disebarkan.

Hentikan Perbuatan Khurafat dan Bidaah

Mekah, 19 Oktober, Jemaah-jemaah haji Malaysia yang menunaikan ibadah haji musim 1431 Hijrah diingatkan tidak membazir masa dan merancang aktiviti serta menjauhi perbuatan kufur atau bertentangan dengan akidah semasa berada di tanah suci.

Pengurus Besar (Bimbingan) Lembaga Tabung Haji (TH) Tengku Aziz Raja Abdullah ketika memberi nasihat itu meminta mereka menggunakan kesempatan berada di tanah suci sebaik-baiknya dengan menumpu kepada amalan-amalan bagi mencapai kesempurnaan ibadah.


"Analisis dan maklum balas yang diterima musim lepas mendapati ada jemaah terutama golongan tua masih melakukan perbuatan bidaah seperti mengambil batu di Mina dengan kepercayaan untuk murah rezeki.

"Saya harap perbuatan khurafat dan bidaah seperti ini dihentikan. Lebih baik berdoa di tempat mustajab antaranya di Multazan dan hadapan Kaabah di Masjidil Haram memohon Allah SWT mengabulkan doa kita," kata beliau kepada pasukan media TH yang membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah di sini Selasa.

Tengku Aziz yang juga setiausaha bahagian Ibadat dan Ziarah TH di Mekah mengingatkan jemaah tentang tujuan utama mereka datang menunaikan fardu haji dan digalakkan banyak meluangkan masa beribadat di Masjidil Haram.

"Di sini saya ingin menekankan tentang rukun wajib haji dan umrah terutama jemaah yang kali pertama menunaikan haji supaya benar-benar faham mengenainya bagi membantu mereka mendapat haji mabrur.

"Kita mendoakan semoga jemaah-jemaah yang mendapat haji mabrur apabila pulang nanti akan terus mengamalkan ciri-ciri orang solehah," katanya.

Beliau berkata jemaah yang tiba awal di tanah suci digalakkan melakukan ziarah di Arafah (tempat wukuf), Muzdalifa (tempat bermalam) dan Mina (tempat melontar jamrah) bagi mendapat gambaran untuk membuat persediaan menjelang hari wukuf 14 Nov ini.

Kota Mekah pula mula menerima kedatangan tetamu Allah setiap hari. Rombongan kedua jemaah haji Malaysia dari Madinah tiba di hotel Al Janadriyah awal hari ini selepas rombongan pertama lebih 1,100 orang tiba semalam.

Perjalanan mereka dengan bas lancar. Kesihatan jemaah Malaysia yang berada di Kota Mekah juga dalam keadaan baik dan memuaskan walaupun cuaca panas dan kering.

Bersabarlah Wahai Saudaraku...

Hidup yang beberapa tempoh lamanya ini tidak terlepas dari kita akan beberapa situasi yang menyukarkan kita. Tatkala ini berlaku, bermacam-macam perasaan datang, yang kadang-kadang boleh merosakkan diri dan iman kita.

Renung dan perhatikanlah beberapa ayat al-Quran dan hadith-hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam berikut. Ia khusus untuk memperbaiki cara kita pandang dan fikir terhadap setiap masalah yang menimpa diri kita.


Mudah-mudahan kalam ALLAH Yang Maha Benar dan kalam Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam berikut bisa menenangkan jiwa kita. Semoga dengan membacanya makin bertambah kekuatan sabar dan redho di dalam diri kita semua tatkala berhadapan dengan masalah, musibah dan kesukaran, insyaALLAH:



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اصْبِرُوا وَصَابِرُوا

Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu” (Ali ‘Imran, 3:200)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِنَ الأمْوَالِ وَالأنْفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:155)

إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُمْ بِغَيْرِ حِسَابٍ

Yang bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar, 39:10)

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اسْتَعِينُوا بِالصَّبْرِ وَالصَّلاةِ إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah, 2:153)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ حَتَّى نَعْلَمَ الْمُجَاهِدِينَ مِنْكُمْ وَالصَّابِرِينَ وَنَبْلُوَ أَخْبَارَكُمْ

Yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antara kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ihwalmu.” (Muhammad, 47:31)

Berikut pula beberapa hadith Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam:

Dari Abu Yahya Shuhaib bin Sinan radhiAllahu ‘anhu berkata bahawa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Memang sangat menakjubkan keadaan orang mukmin itu; kerana segala urusannya sangat baik baginya dan itu tidak terjadi kecuali bagi seseorang yang beriman, di mana apabila ia mendapat kesenangan ia bersyukur, maka demikian itu sangat baik baginya. Dan apabila ia ditimpa kesusahan, ia sabar, maka yang demikian itu sangat baik baginya.” (HR Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu bahawasanya Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda, ALLAH Ta’ala berfirman: “Tidak ada pembalasan bagi seorang hambaKU yang mukmin yang telah AKU ambil kembali kekasihnya dan ahli dunia ini kemudian ia hanya mengharapkan pahala daripadaKU, kecuali pembalasan syurga.” (HR Bukhari)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata: “Saya mendengar Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya ALLAH Ta’ala berfirman: “Apabila AKU menguji salah seorang hambaKU dengan buta kedua matanya, kemudian ia sabar, maka AKU akan menggantikannya dengan syurga.” (HR Bukhari)

Dari ‘Atha’ bin Abi Rabah berkata: “Ibnu ‘Abbas radhiAllahu ‘anhuma berkata kepadaku: “Mahukah kamu saya tunjukkan seorang wanita yang termasuk ahli syurga?” Saya menjawab: “Ya, saya mahu”. Ia berkata: “Itu wanita hitam yang pernah datang kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam yang mana ketika itu dia berkata: “Sesungguhnya saya mempunyai ayah dan sesungguhnya saya mempunyai penyakit ayan, dan sesungguhnya pernah terbuka aurat saya kerananya (penyakit itu), oleh itu doakanlah kepada ALLAH Ta’ala agar penyakit saya sembuh.” Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila kamu mahu sabar maka kamu akan mendapatkan syurga, dan apabila kamu tetap meminta maka saya pun akan berdo’a kepada ALLAH agar DIA menyembuhkan penyakitmu itu.” Wanita itu berkata: “Saya akan bersabar”. Kemudian wanita itu berkata lagi: “Sesungguhnya kadang-kadang sampai terbuka aurat saya, maka do’akanlah kepada ALLAH agar aurat saya tidak terbuka.” Maka Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam pun mendo’akan baginya. (HR Bukhari & Muslim)

Dari Abu Sa’id dan Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhuma, dari Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Seorang muslim yang tertimpa kecelakaan, kemelaratan, kegundahan, kesedihan, kesakitan mahupun kedukacitaan akibat tertusuk duri pun, nescaya ALLAH akan menebus dosanya dengan apa yang menimpanya itu.” (HR Bukhari & Muslim)

Dari Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Barangsiapa yang dikehendaki oleh ALLAH menjadi orang baik, maka ditimpakan musibah (ujian) kepadanya.” (HR Bukhari)

Dari Ibnu Mas’ud radhiAllahu ‘anhu berkata: “Saya masuk ke tempat Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam sedang beliau menderita sakit panas, kemudian saya berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya tuan benar-benar menderita sakit yang panas sekali.” Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Benar, sakit panas yang saya deritai ini dua kali ganda yang biasa dideritai oleh seseorang di antara kamu sekalian.” Saya berkata: “Kalau begitu, tuan mendapat pahala dua kali ganda.” Beliau sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Benar, memang demikianlah keadaannya. Seorang muslim yang tertimpa suatu kesakitan, baik itu berupa duri ataupun lebih dari itu nescaya ALLAH menutupi kesalahan-kesalahannya dan menghapus dosa-dosanya sebagaimana daun berguguran dari pohonnya.” (HR Bukhari & Muslim)

Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sesungguhnya besarnya pahala itu tergantung pada besarnya ujian. Dan sesungguhnya apabila ALLAH Ta’ala mencintai sesuatu bangsa maka ALLAH menguji mereka; barangsiapa redho maka ALLAH akan meredhoinya. Dan barangsiapa yang marah, maka ALLAH akan memarahinya.” (HR at-Turmudzy)

Dari Anas radhiAllahu ‘anhu berkata, Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila ALLAH menghendaki hambaNYA itu menjadi orang baik maka DIA akan menyegerakan seksaannya di dunia ini, dan apabila ALLAH menghendaki hambaNYA itu menjadi orang jahat, maka DIA akan menangguhkan balasan dosanya sehingga akan dituntut nanti pada Hari Kiamat.”

Dari ‘Aisyah radhiAllahu ‘anha bahawasanya dia bertanya kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tentang wabak taun. Kemudian Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam memberitahu kepadanya bahawa wabak taun itu merupakan seksaan yang ditimpakan oleh ALLAH Ta’ala kepada sesiapa sahaja yang dikehendakiNYA. Akan tetapi ALLAH Ta’ala menjadikannya sebagai rahmat bagi orang-orang yang beriman. Seseorang yang tetap tinggal pada suatu daerah yang dijangkiti taun dan dia sabar, malah memohon kepada ALLAH serta sedar bahawa dia tidak akan tertimpa musibah itu kecuali apabila ALLAH telah mentaqdirkannya maka dia akan mendapat pahala seperti pahalanya orang yang mati syahid.“ (HR Bukhari)

Semoga hati kita lebih tenang dan redho setelah membaca kalam-kalam yang mulia di atas. Lantas menerbitkan kesabaran yang mantap dan iman yang padu dalam menempuh ranjau hidup yang penuh mencabar di hadapan sana. Mudah-mudahan ALLAH bersama-sama kita, amin…

WAllahu Ta’ala A’lam.

Sebelum Beramal dan Berucap, Tuntutlah Ilmu

Bagaimana dapat dipastikan satu-satu amalan itu dilakukan sempurna dan betul, andai pelakunya tidak mempunyai ilmu tentang amalan yang mahu dilakukan.

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pernah menegur sahabat yang berwudhuk dengan tidak menyempurnakan basuhan air ke kaki. Baginda bersabda, “Azab seksaan dan kebinasaan bagi tumit-tumit kaki tersebut”.
Riwayat Bukhari (no: 60), dan Muslim (no: 241).



Amalan yang dilakukan jika tidak menepati sunnah, tidak berlandaskan ilmu, ia tidak diterima oleh Allah Taala. Lebih dahsyat, bukan pahala yang diperoleh, dibimbangi azab seksaan yang menanti di sana.

Justeru, menuntut ilmu sebelum membuat amalan adalah kewajipan setiap muslim, tanpa pengecualian. Amat wajar guru sekalian ulama hadits, Imam Bukhari di dalam kitab Sahihnya, membikin sebuah bab bertajuk ‘Ilmu Sebelum Pertuturan dan Perbuatan’.


Dalilnya, kerana Allah Taala dalam Al-Quran, menyebut:

Maksudnya: “Oleh itu, maka tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan mintalah ampun kepadaNya bagi salah silap yang engkau lakukan dan bagi dosa-dosa orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di akhirat)” (Muhammad: 19)

Perhatikan susunan pada ayat tersebut, bagaimana Allah Taala mendahulukan arahan supaya mengetahui, sebelum menyebut arahan supaya beristighfar kepadaNya. Sifir mudahnya, ilmu mesti didahulukan sebelum perkataan dan perbuatan.

Demikian dalil al-Quran tentang perlunya ilmu sebelum amal. Apakah alasan logiknya pula? Rasionalnya, kerana setiap amalan tidak diterima Allah kecuali jika ia menepati syariat yang diturunkan. Dan tidak mungkin seseorang muslim dapat mengetahui syariat Allah, kecuali dengan menuntut ilmu. Natijahnya, wajib menuntut ilmu sebelum membuat amalan.

Akibat amalan ibadah tanpa ilmu, tersesatnya golongan Nasrani. Ibadah mereka kuat, perasaan kasih sayang mereka mendalam, dan dihiasi pula dengan rahbaniyyah yang mereka ada-adakan. Tetapi sayang, mereka tiada cakna terhadap ilmu. Lantas menjadi golongan yang menyeleweng dan sesat.

Kerana ibadah tanpa sandaran ilmu jualah, terpesongnya sebahagian pentaksub amalan tarekat batiniyyah. Lain yang disabda, lain pula yang dibuat. Yang disabda ditinggalkan, konon ia amalan orang awam. Tidak sesuai diamalkan oleh golongan khawass. Yang diamalkan pula, ada pula tokok tambahnya. Puncanya, amalan tanpa pengetahuan.

Oleh yang demikian, tuntutlah ilmu supaya amalan yang dilakukan diterima Tuhan. Jangan terikut-ikut resam orang Nasrani, amal ibadatnya banyak, tetapi ilmunya sedikit.

Pesanan Untuk Si Kaya

Merenung, mengkaji dan mempelajari kisah para Nabi dan Rasul di dalam Al-Quran pasti akan membawa kepada pelbagai kesan positif. Kali ini mari kita bersama melihat dan merenung kisah Nabi Sulaiman a.s. sebagaimana dinyatakan di dalam Al-Quran. Kisah yang cukup menarik tentang seorang yang bukan sahaja dilantik sebagai Nabi malah juga seorang Raja yang memiliki kekayaan dan kerajaan.

SEJAUH MANA KEKAYAAN NABI SULAIMAN?

Bagaimana kekayaan dan kekuasaannya? Mari kita lihat apa kata Nabi Sulaiman a.s. sendiri:


قَالَ رَبِّ اغْفِرْ لِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي إِنَّكَ أَنْتَ الْوَهَّابُ
Maksudnya:
Katanya: " Wahai Tuhanku! Ampunkanlah kesilapanku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun kemudian daripadaku; sesungguhnya Engkaulah yang sentiasa Melimpah kurniaNya ".
[Surah Sad, ayat 34 dan 35]

Kekayaan yang tidak ada bandingnya..tiada tandingan daripada sesiapa pun! Itulah kekayaan Nabi Sulaiman a.s.

KEKAYAAN...DAN ILMU!

Bukan hanya kekayaan yang diperolehi oleh Nabi Sulaiman a.s. Malah beliau juga dikurniakan ilmu pengetahuan. Apalah kekayaan tanpa ilmu yang mampu memeliharanya. Lihatlah firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا دَاوُودَ وَسُلَيْمَانَ عِلْمًا وَقَالَا الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي فَضَّلَنَا عَلَى كَثِيرٍ مِّنْ عِبَادِهِ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:
Dan sesungguhnya kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".
[Surah al-Naml, ayat 15]

APAKAH SIKAP NABI SULAIMAN?

Sebahagian manusia akan sombong apabila memiliki kekayaan dan ilmu pengetahuan. Begitulah sikap yang menjadi lumrah dalam alam ini. Namun sebahagian lagi sedar bahawa kekayaan milik Allah...ilmu juga kurniaan Allah...maka mengapa perlu aku angkuh dan sombong?

Sikap Nabi Sulaiman a.s. amat jelas dan terang - Bersyukur dan beramal soleh. Masih ingat lagi bagaimana kisah Nabi Sulaiman a.s. melalui satu lembah semut? Mari kita baca bersama dan fokus pada sikap SYUKUR dan BERAMAL dalam diri Baginda:

وَحُشِرَ لِسُلَيْمَانَ جُنُودُهُ مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنسِ وَالطَّيْرِ فَهُمْ يُوزَعُونَ

حَتَّى إِذَا أَتَوْا عَلَى وَادِي النَّمْلِ قَالَتْ نَمْلَةٌ يَا أَيُّهَا النَّمْلُ ادْخُلُوا مَسَاكِنَكُمْ لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمَانُ وَجُنُودُهُ وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ

فَتَبَسَّمَ ضَاحِكًا مِّن قَوْلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya:
Dan dihimpunkan bagi Nabi Sulaiman bala tenteranya, dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing. (Maralah angkatan itu) hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml" (lembah semut), berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, sedang mereka tidak menyedari". Maka tersenyumlah Nabi Sulaiman mendengar kata-kata semut itu, dan berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".
[Surah al-Naml, ayat 17 hingga 19]

MAKA NASIHAT DAN PESANAN UNTUK SI KAYA:

1-Ingat segala kekayaan adalah kurniaan Allah SWT. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.

2-Mohonlah keampunan di atas kesilapan yang telah dilakukan. - Surah Saad, ayat 34 dan 35.

3 -Bersyukurlah kerana itu sahajalah sikap yang mampu menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat nanti. - Surah al-Naml, ayat 19.

3-Pastikan ilmu juga bertambah sebagaimana harta kita bertambah. - Surah al-Naml, ayat 19.

4- Amalan soleh perlu dijaga kerana itulah bekalan kita di akhirat sana. Seorang yang kaya adalah lebih mudah untuk mengerjakan amalan soleh dengan pelbagai cara dan kemudahan. - Surah al-Naml, ayat 19.

Semua nasihat ini disimpulkan daripada kisah seorang Nabi dan Raja yang agung - Sulaiman alaihissalaam