Jumaat, 20 Jun 2014

Panduan Iktikaf di Masjid

engertian beriktikaf
Iktikaf ialah usaha mendiami dan menetap diri di dalam masjid dari seseorang yang tertentu dengan cara-cara tertentu. Dinamakan juga “Jiwar” (Al-Majmu’ An-Nawawi 6/407), dan merupakan suatu Halwah Syar’iyyah. (Kitab Mukhtasar Baghiah Al-Insan min wazaifi Ramadhan libni Rajab m/s 30)
Asas disyariatkan Iktikaf.
Asas disyarakkan  iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan ialah :
1.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ.
Maksudnya : Daripada Aisyah R.A (Isteri Rasulullah SAW) bahawa Nabi SAW selalu beriktikaf pada sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan hingga diwafatkannya oleh Allah, kemudian (diteruskan sunnah) iktikaf selepasnya oleh para isterinya. (Muttafaq ‘Alaih (Al-Bukhari 2026, Muslim / 1772).
2.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قال : كَاْنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَعْتَكِفُ فِيْ كُلِّ رَمَضَانٍ عَشْرَةَ أَيَّامِ . فَلَمَّا كَانَ الْعَامُ الَّذِيْ قُبِضَ فِيْهِ اعْتَكَفَ عِشْرِيْنَ يَوْمًا.
Maksudnya : Daripada Abi Hurairah R.A, ia berkata : Adalah Nabi SAW selalu beriktikaf pada tiap-tiap Ramadhan sepuluh hari (akhirnya). Manakala pada tahun baginda diwafatkan, baginda beriktikaf dua puluh hari. (Sohih Al-Bukhari 2024)
Dengan itu, nyatalah bahawa iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat yang diamalkan secara berkekalan oleh Nabi SAW dan para isterinya, juga oleh para sahabatnya R.A.
Hukum Iktikaf
Telah Ittifaq (bersepakat) di antara imam-imam mazhab yang empat dan semua orang Islam, bahawa hukum iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan adalah sunat Muakkadah, kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW. dan menuntuti Lailatul Qadar. (Syarah Sohih Muslim li An-Nawawi 8/67 , Fathul Bari li Ibni Hajar As-Asqolani 4/272).
Dan tidak khilaf bahawa tidak wajib iktikaf kecuali apabila bernazar dengannya.
Manakala hukum iktikaf pada lain daripada sepuluh akhir Ramadhan dan lain daripada iktikaf nazar yang wajib, maka ia adalah sunat (Istihbab) sahaja. Oleh itu sayugialah bagi tiap-tiap orang yang duduk di dalam Masjid kerana menunggu solat atau kerana lain-lain hal, sama ada hal dunia mahu pun akhirat, bahawa ia niat iktikaf padanya, walaupun ia tidak berpuasa, kerana itu dikira pahala dengannya selama mana ia tidak keluar daripadanya. Dan apabila ia masuk semula ke dalam masjid selepas daripada keluarnya, maka hendaklah ia memperbaharui niatnya. (Syarah Sohih Muslim 8/67)
Kelebihan iktikaf 
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمَا عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : … وَمَنْ اعْتَكَفَ يَوْمًا ابْتِغَاءَ وَجْهِ اللهِ جَعَلَ اللهُ بَيْنَهُ وَبَيْنَ النَّارِ ثَلاَثَ خَنَادِقَ . كُلُّ خَنْدَقِ أَبْعَدُ مِمَّا بَيْنَ الْخَافِقَيْنِ.
Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas R.A daripada Nabi SAW ia bersabda : … Dan barangsiapa yang beriktikaf satu hari kerana menuntut keredhaan Allah, nescaya Allah jadikan di antaranya dan di antara api neraka (berjauhan) tiga buah parit, di mana jarak di antara tiap-tiap satu parit lebih jauh daripada jarak antara dua mata angin. (Dikeluarkan oleh At-Tabrani dan Al-Hakim, ia berkata : Sohih Al-Isnad (At-targhib wa At-tarhib 2/149 – 150), 
Hikmah / tujuan iktikaf 
Di antara hikmah dan tujuan iktikaf ialah : 
1. Meluangkan diri daripada kesibukan dunia dan anak isteri, demi mencari kejernihan jiwa dan membina kekuatan sebagai bekalan jentera dalam melancarkan kegiatan hidup secara lebih baik. (Syarah Sohih Muslim 8/69, Bada’i As-Sona’i li Al-Kasani 1/107) 
2. Kalaulah Ramadhan merupakan sebulan ujian yang penuh dengan rahmat bagi masa setahun, maka iktikaf pada sepuluh hari akhir Ramadhan adalah beberapa hari yang merupakan ujian khas yang lebih tinggi kepada orang-orang yang telah berjaya menempuh ujian Ramadhan secara umumnya, untuk mendapatkan kejayaan khusus yang lebih cemerlang. 
3. Berusaha untuk mendapatkan Lailatul Qadar menurut sunnah Rasulullah SAW. 
Rukun iktikaf 
Rukun iktikaf ada empat perkara : 
  1. Berdiam diri di dalam masjid, sekurang-kurangnya sekadar tamakninah di dalam rukuk, dan tidak keluar darinya kecuali ada sebab-sebab yang diharuskan oleh syarak. 
  1. Niat pada permulaan iktikaf atau pada pembaharuannya semula, seperti : “Sengaja aku iktikaf sepuluh akhir Ramadhan kerana Allah”. 
  1. Orang yang beriktikaf, syaratnya ialah : Islam, berakal, bersih dari haid, nifas dan junub, serta mendapat keizinan suaminya (sekiranya ia adalah seorang isteri) dan tidak (bagi perempuan) di dalam ‘idah. (Al-Umm li As-Syafi’e 1/108, As-Sunan Al-Kubra li Al-Baihaqi 4/323) 
  1. Tempat iktikaf, iaitu masjid.
Kenyataan iktikaf dalam masyarakat Islam
Adalah amat sedikit bilangan umat Islam yang beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan berbanding dengan jumlah mereka yang ada di dunia ini. Itulah makanya sejak zaman dahulu lagi Ibnu Syihab Az-Zuhri pernah berkata : 
عَجَبًا لِلْمُسْلِمِيْنَ تَرَكُوْا الإِعْتِكَافَ وَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَمْ يَتْرُكْهُ مُنْذُ دَخَلَ الْمَدِيْنَةَ حَتَى قَبَضَهُ اللهُ .
Maksudnya : Hairan sekali keadaan orang-orang Islam ! Mereka sanggup tidak beriktikaf (sepuluh akhir Ramadhan) sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkan iktikaf sejak baginda datang ke Madinah Al-Munawwarah hingga Allah mewafatkannya. (Fathul Bari 285/4 , Bada’i As-Sona’i 1/108) 
Memang tidak sayugia orang meninggalkan iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … terutama bagi pendakwah-pendakwah dan pejuang-pejuang yang tidak berada di medan perang, juga orang-orang yang mengaku cinta kepada sunnah Rasulullah SAW ! 
Masjid yang diktikaf padanya
Yang paling baik ialah Masjidilharam di Mekah Al-Mukarramah, Al-Masjil An-Nabawi di Madinah Al-Munawwarah, Al-Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Masjid-masjid jami’ umumnya secara tertib, menurut besar dan ramai ahlinya.  (Al-Umm li As-Syafi’e 1/107) 
-         Sah iktikaf di dalam semua masjid. (Syarah Sohih Muslim 8/68)
-         Sah iktikaf di dalam masjid di atas sutuhnya atau menara yang berhubung dengannya atau rahabahnya (serambinya) atau di kawasan mana sahaja yang dinamakan masjid. (al-Majmu’ 6/436-437)
-         Disunatkan seseorang perempuan yang beriktikaf di dalam masjid mengadakan tabir yang dapat melindungi dirinya dari penglihatan, tetapi tidaklah sampai menyempitkan ke atas orang yang bersolat. (Fathul Bari 4/277, Al-Mughni Li Qudamah 3/191)
-         Sah iktikaf perempuan di dalam masjid di rumahnya, iaitu di mana-mana satu ruangan dari rumahnya yang disediakan khusus untuk solatnya di sisi Imam Abu Hanifah dan pendapat lama bagi Imam As-Syafi’e.(Syarah Sohih Muslim 8/68, Fathul Bari 4/275 dan Raudhah At-Tolibin 2/398)
-         Harus bagi perempuan beriktikaf di dalam masjid bersama-sama dengan suaminya di sisi Al-Hanafiah dan Ahmad. (Bada’i As-Sona’i 2/113, Aujaz Al-Masalik li Kandahlawi 5/204)
-         Makruh bagi perempuan beriktikaf di masjid umum yang didirikan solat jemaah di sisi Imam As-Syafie. (Fathul Bari 4/275)
-         Suami berhak menahan isteri daripada beriktikaf dan mengeluarkannya daripadanya. (Al-Umm 2/108, Syarah Sohih Muslim 8/70)
Cara beriktikaf sepuluh akhir Ramadhan 
1. Dimulai masuk masjid sebelum jatuh matahari bagi petang hari kedua puluh Ramadhan dengan niat iktikaf sepuluh akhir Ramadhan dan keluar daripadanya pada pagi Aidilfitri atau selepas jatuh matahari pada malamnya. 
2. Harus bagi orang yang beriktikaf membawa hamparan khas untuknya masuk ke dalam masjid bersamanya dan harus pula mengambil mana-mana satu ruangan dari masjid sebagai tempat khas baginya, sekiranya tidak menyempitkan orang yang bersolat di dalam masjid. 
3. Mengadakan solat sunat tahiyyatul masjid dua rakaat, kemudian menetap diri di dalamnya dan tidak keluar daripadanya kecuali ada sebab-sebab yang diharuskan. 
4. Harus menjalankan ibadat iktikaf sunat secara tidak penuh atau tidak muwalah seperti iktikaf hanya sehari atau dua hari, nisbah kepada iktikaf di dalam masa sepuluh akhir Ramadhan, atau selang sehari atau hanya waktu malam dan sebagainya. (Fathul Bari 4/283, Raudhah At-Tolibin li An-Nawawi 2/393) 
Sebab-sebab diharuskan keluar.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَاْنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا اعْتَكَفَ يُدْنِيْ إِلَيَّ رَأْسَهُ فَأَرَجُلُهُ وَكَانَ لاَ يَدْخُلُ الْبَيْتَ إِلاَّ لِحَاجَةِ اْلإِنْسَانِ.
Maksudnya : Daripada Aisyah R.A, ia berkata : Adalah Nabi SAW apabila baginda beriktikaf, baginda menghulurkan / mendekatkan kepalanya kepadaku, maka aku pun menyikatkan rambutnya. Dan baginda tidak masuk ke dalam rumah, kecuali kerana hajat manusia. (Muttafaq ‘Alaih wa Lafz li Muslim 1/244) 
Berkata Ibnu Hajar Al-’Asqolani, Maksud :”Hajat Al-insan”. Di sini ialah telah ditafsirkan oleh Az-Zuhri dengan : Buang air kecil dan buang air besar, di mana telah ittifaq oleh semua ulama’ bahawa dikecualikan pada kedua-duanya dan bersalahan pendapat di antara mereka pada yang lain daripada kedua-duanya seperti makan minum. (Fathul Bari 4/273) 
Tegas Imam An-Nawawi : Berkata sahabat-sahabat kami : Harus bagi muktakif keluar masjid kerana mandi junub yang hasil dari mimpi dengan tidak khilaf. (Al-Majmu’ 6/430, Raudhah At-Tolibin 2/405) 
Walau bagaimanapun , saya dapat rumuskan bahawa sebab-sebab atau keuzuran yang diharuskan bagi muktakif (orang yang beriktikaf) keluar dari masjid-masjid iktikafnya, secara tidak dianggap putus muwalah iktikafnya dan tidak berhajat kepada pembaharuan semula niatnya apabila ia masuk, setelah hilang sebab dan keuzurannya ialah : 
1. Qadha hajat :
Iaitu buang air besar dan buang air kecil. Dan tidak mengapa sekiranya ia berwudhu’ di luar masjid, setelah selesai qadha hajat. Juga harus qadha hajat di dalam bilik air di rumah sendiri, walaupun jauh rumahnya dan sekalipun telah sedia ada bilik air di masjid atau di rumah kawan-kawan yang lebih dekat dengan masjid. Dan tidaklah disyaratkan bersangatan kuat rasa hendak qadha hajat bagi mengharuskan seseorang muktakif itu keluar menunaikan qadha’ hajatnya. (Raudhah At-Tolibin 2/405-406) 
2. Mandi junub : 
Iaitu mandi junub kerana mimpi dan sebagainya. 
3. Berwudhu’ : 
Kerana hendak berwudhu’ yang wajib, bukan tajdid, itu pun sekiranya tidak dapat berwudhu’ di dalam masjid. (Raudhah At-Tolibin 2/407, Al-Mughni li Ibni Qudamah 3/206) 
4. Menyucikan najis : 
Kerana menyucikan najis-najis pada badannya atau pakaiannya. 
5. Sakit bahaya : 
Kerana sakit berat yang boleh mengotorkan masjid. (Raudhah At-Tolibin 2/408) 
6. Keluar darah haid : 
Adapun keluar darah istihadhoh , maka kebanyakkan ulamak mengharuskan ia iktikaf di dalam masjid sekiranya tidak membawa kepada kekotoran masjid. (Aun Al-Ma’bud syarah Sunan Abi Daud 7/153) 
7. Takut bahaya : 
Kerana takut bahaya daripada mana-mana pihak. (Al-Umm 2/106, Raudhah At-Tolibin 2/408) 
8. Darurat / kecemasan : 
Kerana darurat untuk melepaskan diri atau orang lain dari apa-apa kecemasan dan bahaya atau sebagainya. 
9. Dipaksa : 
Kerana dipaksa oleh mana-mana sebab atau pihak secara kekerasan. (Al-Umm 2/105-106) 
10. Makan / Minum : 
Kerana hendak makan, sekalipun boleh makan di dalam masjid di sisi mazhab As-Syafie (Al-Umm 2/105-106) , begitu juga kerana hendak minum, sekiranya ia dahaga dan tidak ada air di dalam masjid. Ada pun sekiranya air telah sedia ada di dalam masjid, maka yang lebih sohih ialah ia tidak harus keluar daripadanya. (Al-Majmu’ 6/432-434 dan Raudhoh At-Tolibin 2/405-407) 
Adapun di sisi mazhab Al-Maliki, maka tidak diharuskan makan dan minum di luar masjid tetapi diharuskan keluar untuk membeli makanan / minuman jika tidak ada pihak yang menyediakan makanan untuknya. (Mawahib Al-Jalil li Al-Hatob Al-Maliki dan At-Taj wa Al-Iklil li Al-Mawaq Al-Maliki 2/461) 
Peringatan / Tambahan : 
1. Pembaharuan niat : 
Kesemua sebab-sebab atau keuzuran tersebut, apabila telah hilang atau selesai daripadanya, maka hendaklah ia segera kembali masuk semula beriktikaf dengan tidak payah memperbaharui niatnya. Kalau tidak, dikira batal iktikafnya (yakni muwalahnya) dan ia mesti memperbaharui semula niatnya. 
2. Acap kali : 
Tidak mengapa kalau seseorang muktakif itu acap kali keluar dari masjid tempat iktikafnya, sekiranya acap kali berlaku sebab-sebabnya, seperti senak perut dan sebagainya. (Al-Majmu’ li An-Nawawi 6/432-434, Raudhoh At-Tolibin 2/406) 
3. Keluar semua badan : 
Tidak diiktibarkan seseorang itu keluar dari masjid kecuali semua tubuh badannya dari masjid, bukan sekadar keluar satu juz daripada tubuh badannya. Kecuali apabila ia keluar dengan dua kakinya dan ia berdiri di atas kedua-duanya, maka diiktibarkan ia keluar, walau pun sebahagian daripada badannya seperti kepala atau tangannya masih berada di dalam masjid.  (Raudhoh At-Tolibin 2/404) 
4. Keluar dengan lupa : 
Tidak dianggap batal iktikaf seseorang yang keluar dari masjid tempat iktikafnya dengan sebab lupa atau tidak sengaja. (Raudhoh At-Tolibin 2/398) 
5. Mimpi keluar air mani : 
Tidak diiktibarkan batal iktikaf seseorang yang bermimpi sampai keluar mani, tetapi hendaklah segera keluar untuk mandi junub. 
6. Tidak mesti tergesa-gesa (terburu-buru) : 
Apabila seseorang muktakif itu keluar dari masjid kerana apa-apa sebab dan hajat yang diharuskan, maka tidak disyaratkan ia bersegera … cukuplah dalam kadar biasa ia menjalankan hajat atau kerja hingga dapat menyelesaikannya, tetapi tidaklah sampai terlalu lewat. (Raudhoh At-Tolibin 2/406, Al-Majmu’ 6/429) 
7. Hukum sewaktu di luar masjid. 
Bersalahan pendapat ulama’ mengenai hukum seseorang yang beriktikaf, sewaktu ia berada di luar masjid kerana sebab-sebab yang diharuskan itu, apakah ia dikira sebagai orang yang beriktikaf atau tidak !. 
8. Ziarah orang sakit dan menyaksi jenazah : 
Harus bagi orang yang beriktikaf keluar untuk menziarahi orang-orang sakit atau mengebumikan mayat… sekiranya tidak ada orang lain yang mengurusnya. Tetapi apabila ia masuk semula beriktikaf lebih baik ia memperbaharui niatnya, kerana ada khilaf ulama’ mengenai batal (muwalah) iktikafnya. Adapun menziarahi orang sakit sambil melalui jalan kepada satu-satu hajat yang diharuskan tanpa berhenti, maka tidaklah memutuskan muwalah iktikafnya. Rasulullah SAW pernah lalu di tepi orang sakit walhal ia sedang dalam iktikafnya . Baginda hanya bertanya halnya sambil berjalan tanpa berpaling dan berhenti. (Dikeluarkan oleh Abu Daud raqm 2455) 
Diriwayatkan daripada Ali RA, ia berkata : Orang yang beriktikaf (boleh) menziarahi yang sakit, menyaksi jenazah, menghadiri Jumaat dan menjumpai ahlinya, tetapi tidak duduk dengan mereka. (Al-Musonif li Ibni Abi Syaibah 8/631, dan Kanz Al-’Umal li Burhan Fauzi 3/87) 
9. Solat Jumaat. 
Ahli Jumaat yang beriktikaf di masjid yang bukan masjid jamek, hendaklah ia keluar dari tempat iktikafnya untuk pergi menunaikan fardu Jumaat di mana-mana masjid jamek dan batallah muwalah iktikafnya di sisi Al-jumhur. Setelah selesai solat Jumaat hendaklah ia kembali semula ke tempat iktikaf dengan memperbaharui niatnya semula. (Tuhfah Al-Ahwazi Syarah Jami’ At-Tirmizi 3/518-520, Al-Majmu’ 6/442) 
Berkata Abu Hanifah dan sahabatnya : Tidak sayugia bagi seseorang muktakif itu keluar daripada masjid kerana satu-satu hajat, kecuali untuk Jumaat, buang air besar dan buang air kecil. Dan sayugia ia keluar kepada solat Jumaat, ketika diazan solat atau sebelumnya sedikit, iaitu sekira-kira selama ia di dalam masjid Jumaat ia sempat solat empat rakaat sebelum Jumaat dan empat rakaat selepasnya. (Bada’i A-Sona’i 1/114, Aun Al-Ma’bud 7/140) 
Begitu juga pendapat Imam Ahmad, iaitu harus bagi seseorang yang beriktikaf di masjid yang tidak diadakan Jumaat padanya, keluar kerana bersolat Jumaat, dengan tidak dikira batal (muwalah) iktikaf kerana keluarnya adalah untuk sebab yang wajib dan yang tak dapat tidak baginya. (Al-Mughni 3/192) 
Berkata Al-Thauriey, As-Syafi’e dan Ishak : Jikalau sekiranya seorang yang beriktikaf itu telah bersyarat mulai iktikaf bahawa ia akan keluar solat Jumaat atau ziarah orang sakit atau mengiringi jenazah, maka tidaklah batal iktikafnya dengan berbuat demikian. Ini adalah satu riwayat daripada Imam Ahmad (Fathul Bari 4/273), terutama sekiranya iktikaf itu sunat (Aunul Ma’bud 7/140). 
Adapun di sisi mazhab Al-Maliki, maka dianggapkan batal juga muwalah iktikaf dengan sebab keluar solat Jumaat, tetapi diharuskan keluar kerana mandi dan membersihkan badan untuk Jumaat. Bahkan diharuskan juga keluar untuk mandi semata-mata kerana tujuan menyejukkan tubuh badan. (Mawahibul Jalil dan At-taj wal Iklil 2/462-463) 
10. Kewajipan yang lebih afdhal dari beriktikaf (sunat) : 
Sayugia bagi orang yang beriktikaf sunat bahawa ia keluar dari masjid iktikafnya kerana menjalankan satu-satu kewajipan yang lebih tinggi darjatnya dari iktikaf di sisi syarat … walaupun perkara itu adalah membatalkan (muwalah) iktikafnya. Kemudian hendaklah ia segera masuk semula dengan memperbaharui niat iktikafnya. 
Suami Isteri semasa Iktikaf 
1)      Harus bagi isteri orang yang beriktikaf (muktakif) :-
a.       Ziarah suaminya yang sedang beriktikaf di masjid dan bercakap dengannya, kerana Sofiyyah bt. Hayy R.A pernah menziarahi suaminya Rasulullah SAW dan bercakap-cakap dengannya sewaktu baginda sedang beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan. (Sohih Al-Bukhari 24/257)
b.      Berkhalwat dengannya dan berseronok (tamatta’) dengannya secara tidak bersyahwat, sama ada di dalam masjid atau di luarnya di sisi Al-Jumhur. (Fathul Bari 4/280, Raudah Al-Talibin 2/392)
c.       Menolong suaminya, seperti menyikat rambutnya dan sebagainya, walaupun isterinya itu berada di dalam keadaan haid yang terpaksa dihulur keluar kepala suaminya dari masjid, kerana Aisyah RA pernah menyikat rambut Rasulullah SAW sewaktu baginda sedang iktikaf di dalam masjid. (Sohih Ibn Khuzaimah 3/348-349) 
2)      Perkara yang dilarang lakukan dengan isteri.
a.       Berjimak dengannya, sama ada di dalam masjid atau sewaktu keluar darinya, sama ada di waktu malam atau siang. Apabila mana-mana orang yang beriktikaf itu berjimak dengan isterinya dalam keadaan ia sedar bahawa ia di dalam iktikaf – walaupun di luar masjid – serta tahu bahawa jimak itu dilarang ka atasnya, maka batallah iktikafnya dan hendaklah ia segera mandi junub dan masuk beriktikaf dengan memperbaharui semula niatnya. Kecuali jika sekiranya masa ia berjimak di luar masjid itu terlalu sedikit, kadarnya semasa ia keluar kerana qadha’ hajat … maka khilaf di antara ulama’ mengenai batal iktikafnya atau tidak. Adapun jika jimak dalam keadaan lupa bahawa ia sedang beriktikaf maka batal juga di sisi Jumhur ulama’ kecuali As-Syafie. (Al-Majmu’ 6/433 457 dan Mughni Al-Muhtaj 1/452)
b.      Adapun berseronok dengan isterinya secara bersyahwat pada yang lain daripada faraj, maka tidak membatalkan iktikafnya selama tidak keluar air mani di sisi Al-Jumhur. Begitu juga jika ia berusaha mengeluarkan air mani dengan tangan dan sebagainya. (Raudhoh At-Tolibin 2/392, Fathul Bari 4/272) 
Perkara yang harus dilakukan. 
Harus bagi orang yang beriktikaf melakukan yang berikut :- 
1.      Berpakaian biasa.
2.      Makan / minum di dalam masjid, tetapi disunatkan menggunakan alat-alat seperti hamparan bagi menjaga kebersihan masjid.
3.      Memakai bau-bauan.
4.      Bekerja dengan pekerjaan yang sedikit.
5.      Menyambut tetamu, bercakap dengannya dan menghantarkannya pulang.
6.      Sedikit berjual beli pada perkara-perkara yang sangat berhajat.
7.      Bercakap biasa.
8.      Berkahwin dengan mengahwinkan.
9.      Bercukur, menyikat rambut dan mengerat kuku.
10.  Belajar dan mengajar. (Al-Umm 2/105, Bada’i Al-Sona’i 2/116) 
Perkara yang tidak harus dilakukan 
Tidak harus bagi orang yang beriktikaf melakukan perkara yang tidak berfaedah seperti berjual-jual kosong dan apa-apa kerja yang sia-sia, apalagi yang makruh dan yang haram … begitu juga melakukan usaha kehidupan seperti bertukang dan sebagainya. (Al-Majmu’ 6/460, Aun Al-Ma’bud 7/142) 
Berkata Ali RA : Mana-mana lelaki yang beriktikaf, maka hendaklah ia tidak memaki orang dan tidak bercakap kotor. ( Al-Mughni 3/203). 
Amalan-amalan semasa iktikaf. 
Sebenarnya tidak ada bagi iktikaf itu satu-satu amalan dan bacaan yang tertentu yang tsabit dari Rasulullah SAW selain daripada kesungguhan baginda dalam beriktikaf dan beribadat pada sepuluh akhir Ramadhan lebih daripada masa-masa yang lain.
1.
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم يَجْتَهِدُ فِيْ الْعَشْرِ اْلأَوَاخِرِ مَالاَ يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهَا.
Maksudnya : Daripada Siti Aisyah RA, ia berkata : Adalah Rasulullah SAW bersungguh-sungguh (di segi beribadat) pada masa sepuluh akhir Ramadhan lebih banyak daripada (ibadatnya) pada masa-masa lain. (Sohih Muslim raqm 1175  2/832) 
2.
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ : كَانَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ.
Maksudnya : Daripada Siti Aisyah RA, ia berkata : Adalah Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh akhir daripada bulan Ramadhan, bersungguh-sungguhlah baginda pada mengerjakan ibadat (dengan meninggalkan tidur dengan isterinya), baginda menghidupkan malamnya dan menggerakkan isteri-isterinya, (supaya bangkit beribadat bersama-samanya). (Muttafaq ‘Alaih : Sohih Al-Bukhari 2/255, Muslim 2/832) 
Berkata An-Nu’man b. Basyir : Kami dapat adakan Qiamullail bersama-sama Rasulullah SAW pada malam yang kedua puluh lima hingga kepada setengah malam dan pada malam yang kedua puluh tujuh hingga kepada masa yang kami sangka kami tak sempat lagi hendak bersahur, kerana terlalu lewatnya. (Dikeluarkan oleh Ibn Khuzaimah raqm 2204, sanadnya hasan). 
Berkata As-Syafie dan sahabat-sahabatnya : Adalah sangat baik bagi orang yang beriktikaf bahawa ia memenuhi masanya dengan amalan-amalan taat seperti : solat, tasbih, zikir, membaca/tilawah Al-Quran dan belajar serta mengajar, juga mentalaah kitab-kitab dan menulisnya. (Al-Majmu’ 6/458). 
Tetapi setengah ulama’ berpendapat bahawa dikehendaki supaya setiap orang yang beriktikaf itu hanya menumpukan masanya dengan amalan asasi bagi iktikaf sahaja, iaitu zikir, solat, tilawah Al-Quran dan doa. ( Mawahibul Jalil dan Al-Taj Wal Iklil 2/461, Muktasar Baghiah Al-Insan min Wazaifi Ramadhan Libni Rajab, M/s 30). 
Seruan dan Khatam 
Kalaulah madrasah Qiamullail merupakan sebuah madrasah umum bagi tarbiah rohiyyah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW berdasarkan perintah Allah SWT :
قم الليل إلا قليلا (2 Surah Al-Muzammil)
Maka “Iktikaf sepuluh akhir Ramadhan” adalah merupakan “Ibadat khusus yang membawa kepada kemuncak darjat Qiamullail”, kerana ia dibantu oleh Shiam (puasa) Ramadhan pada siang hari dan tartil Al-Quran di malam-malam hari bulan nuzulnya Al-Quran. 
Kalaulah “Qiamullail” merupakan amalan umum pada setiap malam di sepanjang tahun … maka amalan iktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan merupakan “Amalan / ujian khas” secara lebih hebat dan lebih gigih bagi menaikkan darjat kehidupan Muslim / Muslimat di setiap akhir tahun … Ujian yang mengandungi padanya berbagai-bagai ibadat asas seperti : solat, shiam, zakat, qiamullail, tadarus Al-Quran dan tartil Al-Quran, berbagai-bagai zikir, doa, istighfar, taubat, mujahadah dan muhasabah diri serta mentazkiahkannya… 
Itulah barangkali di antara hikmah makanya disyarakkan Qiamullail secara umumnya di awal-awal kedatangan Al-Islam iaitu sewaktu baginda berada di Mekah Al-Mukarramah, manakala ibadat iktikaf yang merupakan kemuncak itu adalah disyarakkan sewaktu baginda berada di Madinah Al-Munawwarah. 
MasyaAllah !!! Alangkah jauhnya perbezaan di antara orang yang masuk ujian di akhir tahun secara penuh ikhlas dan ittiba’ (Iktikaf) dengan orang yang tidak masuk ujian…. 
MasyaAllah !!! Qudwah hasanah Rasulullah SAW amatlah dirasai, tepat dan sesuai dalam menyahut tuntutan fitrah bagi kehidupan manusia yang sangat perlu kepada ketenangan di celah-celah kesibukan kerja demi mengangkat mutu hati, menjernihkan jiwa … atau sekurang-kurangnya memperbaiki jentera hati yang merupakan asas kekuatan kepada daya gerak dalam menuju kemajuan hidup dunia dan akhirat… 
MasyaAllah !!! Di manakah kita, wahai ikhwan dan akhawat dengan peraturan Al-Islam yang cukup sempurna ini ? Di manakah kita dengan Qudwah hasanah dari sunnah Rasulullah SAW ini ? Di manakah kita dengan tuntutan fitrah kita yang cukup bersih dan benar ini ? 
Ayuh … marilah kita sama-sama membawa diri kita dan keluarga kita untuk mengurung diri beriktikaf dalam sebaik-baik tempat di bumi Allah ini, iaitu masjid, dan di waktu yang sebaik-baik, iaitu sepuluh akhir Ramadhan … kerana menyahuti dan mengikuti sunnah Rasulullah SAW Qauliyyah dan Fe’liyyahnya serta sohih lagi sorih …. 
Subhannallah !!! Hairan sekali kepada umat Islam yang telah mendapat kurniaan rezeki Allah SWT secara melimpah ruah… kesihatan badan yang segar bugar, waktu yang cukup lapang dan keadaan yang cukup mengizinkan. Tetapi, pada waktu yang sama, mereka tidak juga beriktikaf !!!. Sedangkan Rasulullah SAW telah menyeru, mengajak dan menekan untuk beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … bahkan dalam kesibukan kerja yang penuh – Baginda tetap beramal dengan amalan yang tidak hanya menjadi Qudwah sekadar sekali gus … tetapi berkekalan sehingga diwafat oleh Allah… 
Segala dakwaan kesibukan dalam bidangnya adalah tertolak secara cukup malu dan kecil diri di hadapan kesibukan yang berlipat kali ganda yang dihadapi oleh Nabi SAW, baik di peringkat peribadi mahu pun masyarakat dan negara … juga oleh para sahabatnya Radiallahu ‘Anhum !!!.
Akhir sekali, marilah sama-sama kita beriktikaf pada sepuluh akhir Ramadhan … nescaya kita dikurniakan Lailatul Qadar dan kelebihannya yang banyak, Aaminn.

Kelebihan Ramadhan

    Kelebihan Ramadan
  • Daripada Anas (r.a), Katanya: Bersabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba apabila melihat ia sehari bulan Ramadan lantas dia memuji Allah  ( kerana kedatangan bulan rahmat dengan kelebihan dan keistimewaanya) kemudian dibacanya Al-Fatihah tujuh kali, melainkan diafiatkan Allah daripada sakit matanya pada bulan ini.
  • Kelebihan bulan Ramadan dan keagungannya dengan adanya malam Lailatul Qadar yang dirahsiakan, sehingga mendapat keampunan dan pahala serta darjat dan darjah tertinggi bagi orang yang berjaya mendapatkan malam Lailatul Qadar dengan dipenuhi amal ibadah dan bertaqwa kepada Allah, disamping sembahyangnya yang sunat , istiqfar, tasbih dan berzikir sepenuhnya.
  • Berkata Saidina Ali, Nabi (s.a.w) telah bersabda apabila engkau melihat sehari bulan maka bacalah olehmu "AllahuAkbar" 3 kali, kemudian bacalah :


    1. (Segala kepujian bagi Allah yang telah menjadikan aku dan telah menjadikan engkau, dan telah menentukan bagi engkau pangkat-pangkat (darjah) dan telah menjadikan engkau tanda (kekuasaan) bagi sekalian alam) nescaya bermegah Allah akan Dia dengan malaikat dan firmanNya: Hai malaikat! saksikanlah kamu, bahwa Aku telah merdekakan daripada api neraka, atau dibacakan :


      (Ya Allah, zahirlah Ramadan atas kami dengan keamanan dan keimanan dan dengan keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhan engkau Allah.)
  • Bersabda Nabi (s.a.w) : Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana masuknya bulan Ramadan. Pada awal malam bulan Ramadan bertiup angin di bawah Arasy bergeraklah daun kayu lemah-longlainya di dalam syurga. Terdengarlah desiran daun-daun kayu, hembusan sang bayu syurga yang teramat indahnya.Seni rentak lagunya menawan seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya lalu berdirilah di atas puncak mercu syurga itu. Lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak meminang kami kepada Allah, kata bidadari pula: Apakah malam ini namanya? jawab Malek Ridwan (malaikat), Hai bidadari yang cantik manis, inilah malam awal Ramadhan, Lalu Allah berfirman: Hai Ramadan bukalah pintu syurga Bab AlJanan untuk orang-orang yang berpuasa daripada umat Muhammad (s.a.w). Hai Malek Ridwan tutuplah pintu neraka Al-Jahim daripada umat Muhammad (s.a.w), hai Jibrail belenggukan syaitan, lontarkannya ke dalam lautan supaya tidak membinasakan umat Muhammad akan puasanya. Maka berfirman Allah pada tiap-tiap malam Ramadan tiga kali : Adakah orang yang meminta ampun? Akan Aku ampunkan!
  • Pada malam Lailatul Qadar menyuruh Allah Ta'ala akan Jibrail Alaihisalam turun ke bumi, lalu turunlah Jibrail ke dalam perhimpunan malaikat ke bumi bersamanya bendera hijau lalu dipacakkan ke atas Kaabah, baginya 600 sayapnya , setengahnya tiada dibuka keduanya, melainkan pada malam Lailatul Qadar baharulah dibukakan keduanya, hingga sampai dari timur ke barat ( Musyriq Ke Maghrib ). Untuk menyelamatkan umat Muhammad, Lalu memberi salam kepada tiap orang yang berjaga pada malam Lailatul Qadar beribadah kerana mencari keredaan Allah, dan orang-orang yang duduk beribadah, orang yang sembahyang dan berzikir dan berjabat tangan sesama mereka mukmin dan mengucap amin doa orang-orang mukmin hingga terbit fajar subuh....... berkata para malaikat kepada Jibrail , apakah Allah berikan pada hajat orang mukmin dari umat Muhammad (s.a.w)  pada bulan Ramadan ini? Berkata Jibrail bahawasanya Allah menilik kepada  umat Muhammad yang berpuasa dan beribadah padanya dan dimaafkan mereka, diampunkan dosa-dosa mereka, melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya: yaitu orang yang kekal minum arak, orang yang derhakakan ibubapanya, orang yang memutuskan sillaturrahim dan orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih dari 3 hari.
  • Apabila pada malam akhir Ramadan dinamakan malam persalinan. Pada malam hari raya Aidilfitri didatangkan Allah malaikat kepada tiap-tiap negeri turunlah mereka ke bumi, berdiri pada permukaan jalan menyeru dengan suara yang kuat, semua mendengarnya kecuali jin dan manusia berkata mereka, hai umat Muhammad keluarlah kamu menghadap tuhan yang amat mulia (sembahyang raya di pagi raya) yang memberi pemberian yang berpanjangan dan mengampun akan dosa-dosa yang besar. Apabila tibalah umat Muhammad ke tempat sembahyang, firman Allah kepada maliakat : Hai malaikatKu, apakah balasan orang yang mengambil upah apabila selesai kerjanya ? Jawab malaikat , hai Tuhan kami, sempurnakanlah upahnya! Firman Allah bahawa Aku saksikan kamu hai malaikatku, telah aku jadikan pahala mereka dari puasa mereka pada bulan Ramadan mereka mendirikan sembahyang, ialah keredaanKu dan keampunanKu kepada mereka! Maka firmannya lagi : Hai segala hambaku, pohonlah kamu kepada ku, maka demi ketinggianku dan kebesaranku, tiada memohon kepadaku hari ini akak sesuatu bagi agamamu dan duniamu, melainkan Aku kurniakan kepadamu! (Al-Hadith).
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Diberi kepada umatku lima perkara yang belum pernah diberi kepada umat-umat dahulu sebelumnya :
    • a) Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada kasturi di sisi Allah
    • b) Segala perbelanjaan dan derita lapar selama puasanya adalah syurga balasannya.
    • c) Diampunkan dosa-dosa mereka pada malam Lailatul Qadar.
    • d) Amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan digandakan kepada 10 hingga 700 kali ganda, melainkan puasa maka ianya bagiKu, Aku balas kepadanya yang berkuasa menahan syahwatnya, makan minumnnya kerana Aku.
    • e) Dan mereka dikurniakan nikmat kepada mereka keseronokkan ketika berbuka dan ketika menemui tuhan di akhirat.(Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardhu, dan amal fardhu diberi balasan 70 kali ganda. Bulan puasa adalah bulan sabar (sabar dalam berbuat taat kepadaNya.), dan sabar itu adalah syurga balasannya bulan ini dilebihkan rezeki kepada hambanya orang mukmin, diampunkan baginya dosa-dosa. Barang siapa memberi makan kepada orang berpuasa pahalanya seperti memerdekakan hamba dan diampunkan dosanya, berkata sahabat : Bagaimana kami tak sanggup memberi makan orang yang berpuasa (berbuka puasa) ya Rasullullah - Allah memberi pahala ini kepada orang yang memberi seteguk susu atau sebiji kurma atau segelas air, barang siapa kenyangkan orang berpuasa diampunkan Tuhan dosanya, diminumkan Tuhan dari kolam Hudh sejenis minuman yang tiada dahaga lagi kemudiannya hingga masuk ia ke syurga dan pahalanya seperti pahala orang berpuasa. (Al-Hadith)
  • Puasa menurut segala yang disuruh dan menjauh segala pantang larangannya, diampunkan dosanya, dan bertasbih, bertahlil dibinakan rumah indah dalam syurga.
  • Barang siapa hadir ke dalam majlis zikir pada bulan Ramadan, ditulis tiap langkahnya ibadat setahun, dan pada hari Qiamat bersamaku di bawah Arasy. Siapa tetap berjemaah dalam bulan puasa didirikan kota bercahaya indah, cemerlangnya , dan yang berbakti kepada ibubapanya Allah memandang rahmat kepadanya, dan isteri yang berbuat sesuatu mencari keredaan suaminya, maka pahala yang besar Allah kurniakan kepadanya , seperti Siti Maryam dan siapa yang menyampaikan hajat orang mukmin, Allah menunaikan seribu hajatnya, dan siapa bersedekah kepada fakir miskin (yang ada anak isteri) tiap langkah dikurniakan kepadanya seribu kebajikan, dihapuskan seribu kejahatan dan diangkatkan seribu darjat baginya. (Al-Hadith).
  • Orang yang sembahyang bulan Ramadan tiap sekali sujud, dikurniakan kepadanya 1700 kebajikan, dan dibinakan rumah didalam syurga daripada permata bagi orang yang berpuasa dan beribadat, 75000 malaikat meminta ampun baginya dari pagi hingga tenggelam matahari, dan dibina sebuah mahligai baginya . (Al-Hadith)
  • Pada hari Qiamat, Allah memerintah Malek Ridwan supaya dikeluarkan orang-orang berpuasa daripada kuburnya dengan keadaan lapar dan dahaga, lalu disuruh Malek Ridwan berikan segala keinginan mereka dari segala macam makanan dan minuman syurga. Maka Malek Ridwan memerintah kepada anak-anak membawa talam-talam makanan , minuman dan buah-buahan. Sebagai balasan berlapar di bulan Ramadan. (A-Hadith)
  • Orang mukmin yang tidur dalam bulan puasa kerana puasa Ramadan, dia membalikkan badannya sambil meyebut Allah! maka kata malaikat kepadanya : Rahimakallah (Allah Mencucuri Rahmat kepada kamu.)
    • - Apabila  dia berdiri maka berdoalah hamparannya :  (Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadanya hamparan permaidani  tebal kepadanya di dalam syurga)
    • - Apabila memakai pakaian , berdoalah pakaian (Wahai Tuhanku, kurniakan kepadanya pakaian syurga)
    • - Apabila memakai kasut, berdoalah kasut  (Wahai Tuhanku, tetapkanlah atas titian Siratul Mustaqim!)
    • - Apabila memegang timba berdoalah pula timba : (Wahai Tuhanku kurniakan kepadanya gelas syurga!)


    • - Apabila mengambil air sembahyang , berdoalah air itu : (Wahai Tuhanku sucikannya daripada segala dosa dan kesalahan!)


    • - Apabila berdiri sembahyang , berdoalah rumahnya:  ( Wahai Tuhanku cahayakanlah kuburnya dan luaskanlah , lapangkanlah kuburnya!)


    • Serta menilik Allah kepadanya , maksudnya : HambaKu berdoa dan Aku menerima! (Al-Hadith)
  • Malaikat yang banyak muka bersujud kepada Allah pada hari Qiamat, satu muka sujud , satu muka melihat syurga, satu muka melihat neraka, satu muka melihat Arasy , lalu berkata malaikat itu : Wahai Tuhanku , ampunlah umat Muhammad, kasihanilah mereka! janganlah disiksa orang yang berpuasa Ramadan dari umat Muhammad! (Al-Hadith)

    • Keredaan Allah (bagi orang yang taat)
    • Keampuan Allah (bagi orang yang maksiat)
    • Jaminan Allah (bagi orang yang taat)
    • Kejinakan Allah (bagi orang yang tawakkal)
    • Anugerah Allah (bagi orang yang benar).
      • Ramadan, Ramada, ertinya : membakar - yakni menghapuskan dosa dosa orang yang berpuasa dan beribadat bulan Ramadan.
      • Ramadan ertinya bulan mendapatkan keredhaan Allah dan keampunan bagi hambaNya. Orang yang mendapat keredhaan dan keampunan Allah bererti memberi jaminan (kerana ibadatnya pada bulan mulia dengan penuh taat) mendapat syurga anugerah Allah bagi hambaNya yang benar benar melakukan ibadat kerana Nya pada bulan Ramadan termulia ini dengan ganjaran pahala sehingga seribu kali ganda dan keampunan yang banyak sekali, teristimewa pada malam Lailatul Qadar.

    • "Bahawa di dalam syurga terdapat bilik bilik, dilihat dari luar nampak di dalamnya dan dilihat dari dalam kelihatan di luarnya, berkata sahabat : untuk siapakah ya Rasulullah? Lantas Baginda menjawab : Ialah bagi orang yang baik percakapannya, bagi orang yang memberi makan makanan, bagi orang yang sentiasa berpuasa, bagi orang yang sembahyang di tengah malam sedang manusia banyak tidur." (Al Hadith)

    •  
    • "Semulia mulia sedeqah ialah sedeqah pada bulan Ramadhan." (Al Hadith)

    • "Puasa itu perisai dan sedeqah itu memadam kesalahan dosa sepertimana air memadamkan api." (Al Hadith)

    • "Siapa memberi makan ( berbuka puasa) kepada orang puasa makan baginya seumpama balasan pahala orang yang berpuasa dengan tidak kurang sedikitpun ." (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tiada daripada seorang hamba berpuasa Ramadan, diam tiada berkata yang sia sia dan daripada yang haram dan yang makruh, dan sentiasa menyebut Allah (berzikrullah), menghalalkan yang dihalalkan Allah, mengharamkan akan yang diharamkan Allah, tiada mengerjakan kejahatan, melainkan sehingga berakhir Ramadan, telah diampunkan baginya segala dosanya, dan tiap tasbih, tiap tahlil, dibinakan sebuah rumah yang terindah di dalam syurga daripada permata zamrud, di dalamnya daripada yaqut merah indah, di dalam rangka permata itu (yaqut) terdapat sebuah khemah, di dalamnya terdapat bidadari ( hurul ain isteri syurga). Terhias dengan permata bercahaya indah yang menerangkan bumi seluruhnya.(Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawasanya bagi Allah beberapa kejadianNya, dijadikan mereka supaya menyampaikan segala hajat orang dan supaya orang meminta tolong kepada Nya, pada menyempurnakan segala hajat yang diperlukan, mereka itulah orang yang aman daripada siksa Allah (Riwayat At Tibrani) (Al-Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Bahawa pintu langit dan pintu syurga dibuka pada awal Ramadan hingga akhir malam Ramadan, tiap orang yang bersembahyang pada malamnya dituliskan baginya tiap satu sujud 1700 kebajikan, dibina rumah baginya di dalam  syurga daripada yaqut merah indah, baginya 70 pintu daripada emas yang bertatah yaqut permata yang merah, orang yang berpuasa pada awal Ramadan diampunkan segala dosanya  hingga ke akhir bulan Ramadan, dibinakan baginya tiap tiap hari sebuah mahligai di dalam syurga, mempunya 1000 pintu daripa emas, dan meminta ampun baginya 70 000 malaikat  dari pagi  hingga tenggelam matahari (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Kelebihan hari Jumaat pada bulan Ramadan atas segala hari yang lainnya seperti kelebihan Ramadan atas segala bulan (Al Hadith)
  • Barangsiapa mengerjakan ibadat pada bulan Ramadan dengan keimanannya dan ikhlasnya kerana Allah, maka di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (Al Hadith)
  • Sabda Nabi (s.a.w) : Tidur orang yang berpuasa itu adalah ibadat, dan nafasnya itu adalah tasbih, doanya itu mustajab, dosanya diampunkan Allah, dan amal ibadatnya dilipatgandakan . (Al Hadith)
  • Apabila berakhir bulan Ramadan, menangis wali-wali Allah kerana terpisahnya bulan yang paling mulia yang digandakan ibadat berlipatkali ganda daripada bulan bulan yang lainnya, bulan Allah mudah menerima ampun taubat hambaNya, bulan yang banyak sekali diturun rahmat ke alam, bulan yang terdapat padanya malam Lailatul Qadar, suatu rahmat dan rahsia yang dikurniakan kepada hamba hamba Nya yang  salihin, yang tidak terdapat pada bulan bulan yang lainnya. Mereka menangis kerana belum tentu akan dapat menemui bulan termulia ini pada tahun tahun hadapan, kiranya dipanjangkan umur.
  • Apabila berakhirlah malam bulan Ramadan, menangislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi, dan segala malaikat, jerana berlalu Ramadan berlalulah kelebihan, sebab musibah bagi umatku, dan duduk segala malaikat bagi musibah, orang bertanya : Ya Rasullullah, apa itu musibah ? Jawab rasullullah (s.a.w), Kerana segala doa padaNya itu mustajab, sedakah makbul, segala kebajikan digandakan dan siksa kubur diangkat, maka apakah musibah yang terlebih besar daripada ini bagi umatku?! (Al-Hadith)
  • Malam Lailatul Qadar adalah malam rahsia, yang turunnya padanya malaikat Jibrail dan beberapa malaikat dengan perintah Allah. Orang yang berjaga dengan malam ibadatnya untuk mendapatkan malam Lailatul Qadar yang terahsia itu yang tidak diketahui oleh manusia, hanya orang-orang solihin yang hampir, orang berusaha mendapatkan malam mulia itu dengan berjaga malam pada sepuloh malam Ramadan yang terakhir maka diampunkan tuhan segala dosanya. Di pahalakannya dengan banyak , dirahmatkannya dengan limpah kurnia. Dan orang-orang solihin yang dikurniakan Allah mendapat malam Lailatul Qadar itu satu keberuntungan kebahagiaan bagi akhirat, mendapat keampunan dan rahmat terbesar, mendapat pimpinan Allah dalam hatinya, mendapat keredaan Allah dalam hidupnya dunia dan akhirat.
  • Malam Aidilfitri, malam raya, disunatkan kepada kita berjaga malam, beribadah, bertakbir "AllahuAkbar" sepanjang malamnya. Akan mendapat keampunan yang banyak, pahala yang besar, rahmat Allah tercurah kepadanya. Siapa yang menghidupkan dua malam raya (AidilFitri & AidilAdha) dengan ibadatnya dan takbirnya , tiada dimatikan hatinya pada hari yang dimatikan segala hati. (Al-Hadith).

Ceramah Diambang Ramadhan 1435

Tarikh 19 June 2014
Hari : Khamis malam Jumaat
Masa . Lepas Maghrib
Penveramah : Ustaz Hanafiah bin Md Nawawi.
Ketua Jabatan Penyelidikan dan Perundangan Syariah bank Rakyat KL.
Jamuan disediakan, insyaalllah.
Muslimin Muslimat dijemput hadir, war-warkan

Gambar akan menyusul kemudian.

Khamis, 10 April 2014

Sekitar Progran Mesra Tani Bersama PU Shahul Hameed


Mesra Tani Bersama PU Shahul Hameed






Program Mesra Tani bersama PU Shahul Hameed telah diadakan di masjid parit pada 4/4/2014, bersamaan Jumaat malam Sabtu. Majlis dian jurkan bersama Lembaga Zakat Selangor, JKK dan Masjid Parit 4. Majlis dimulakan dengan pembukaan kaunter bergerak LZS mulai jam 11 pagi, diikuti dengan tazkiran Jumaat oleh ustaz Hamizul Abd Hamid, seterusnya khutbah Jumaat oleh ustaz Hamizul. Jam 3 petang diadakan gotong royong mengecat rumah asnab Puan Sumiah Md Amin. Selepas solat maghrib diadakan solat hajat, memohon keselamatan, tahlil, simbolik penyampaian zakat,l solat isya. Selepas solat isya, ceramah perdana PU Shahul Hameed sehingga jam 11 malam.


Ahad, 24 November 2013

Selangor lantik AJK Masjid Jaga Kebajikan Muallaf

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor akan melantik jawatankuasa masjid yang akan mengendalikan tabung dan kebajikan golongan mualaf bermula tahun depan.Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi (gambar), jawatankuasa itu akan mengendalikan hal kebajikan golongan itu termasuk mengajar ilmu agama dan fardu ain.

Beliau berkata, pendekatan itu akan dilaksanakan kerana terdapat 93 permohonan golongan mualaf yang mahu keluar daripada Islam.“Mereka ini masuk Islam disebabkan mahu mendapatkan duit dan kita tidak mahu faktor ini menjadi punca masalah murtad.

“Kita mahu jawatankuasa ini membimbing mereka dengan cara yang terbaik selepas memeluk Islam,” katanya pada majlis berkaitan pengurusan masjid peringkat kebangsaan di sini, semalam.Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Zaki Arshad berkata, pihaknya dalam usaha menjadikan masjid di negeri ini sebagai ‘universiti terbuka’ bagi memudahkan masyarakat mendapat kefahaman berkenaan agama.

Beliau berkata, Jais akan meneliti beberapa modul terbaik untuk dijadikan bahan kepada masjid yang terpilih di negeri itu bagi menjalankan kuliah dan program.

Katanya, program itu dilihat akan memberikan kefahaman yang menyeluruh kepada orang ramai, di samping dapat mengimarahkan masjid sebagai institusi pendidikan agama,” ujarnya dipetik Selangor Kini.

Jumaat, 8 November 2013

Menghadiri Majlis Ilmu

KELEBIHAN MENGHADIRI MAJLIS ILMU

Telah berkata Al-Fakih Abu Laits As-Samarqandi di dalam kitab Tanbihul Ghafilin:
"Barangsiapa datang kepada orang alim lalu hadir dalam majlisnya tetapi tidak mampu mengingati atau menghafal pelajaran tersebut maka baginya 7 macam kemuliaan":

1- Dia akan mendapat kemuliaan orang-orang yang belajar agama.

2- Selama dia duduk di dalam majlis tersebut, dia akan tertahan daripada berbuat dosa dan kesalahan.

3- Apabila dia keluar daripada rumahnya turun rahmat ke atasnya.

4- Apabila duduk dia di sisi orang alim tersebut maka turun rahmat ke atas penuntut-penuntut ilmu, maka menimpa dia juga dengan berkat majlis tersebut.

5- Selama dia mendengar ilmu tersebut nescaya dituliskan baginya kebajikan.

6- Malaikat menaung ke atas mereka dengan sayap-sayapnya kerana redha dengan majlis tersebut padahal dia ada di dalamnya.
7- Tiap-tiap kali kakinya melangkah dikifarahkan segala dosa-dosanya dan dinaikkan beberapa darjat dan ditambah segala kebajikan.