Selasa, 16 Oktober 2012

Doa Untuk Orang Sakit

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang ziarah orang sakit yang belum tiba ajalnya, lalu ia mengucapkan doa ini di sisinya sebanyak tujuh kali (yang bermaksud “Aku memohon kepada Allah yang Maha Agung, Tuhan bagi ‘arasy yang agung, semoga Ia berkenan untuk menyembuhkanmu”) nescaya Allah SWT akan menyembuhkannya daripada penyakit itu. (HR Abu Daud dan Tirmizi).
Rasulullah saw. apabila menziarahi orang sakit atau orang yang menderita sakit itu di datangkan kepada baginda saw., Baginda mengucapkan (doa yang bermaksud): “Hilangkan penyakit ini, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkau adalah Maha Penyembuh. Tidak ada kesembuhan selain kesembuhan-Mu, kesembuhan yang tidak meninggalkan penyakit.” (HR Bukhari dalam Fathul-Bari No.5675).
Daripada Abu Sa’is al-Khudri, Nabi saw. bersabda, “Apabila kamu menjenguk orang sakit, maka hendaklah kamu beri harapan akan panjang umur. Kerana yang demikian itu, meskipun tidak dapat menolak takdir sedikit pun, tetapi dapat menyenangkan hatinya.” (HR Ibnu Majah dan Tirmizi).



Tempat Yang Mulia

Dari Abu Hurairah ra. Nabi Muhammad saw. bersabda, "Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ke tiga buah masjid, Masjidil Haram di Mekkah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa di Palestin." (HR Bukhari)
Dari Abi Hurairah ra. Nabi Muhammad saw. bersabda, "Satu solat di masjid ku ini (masjid Nabawi) lebih baik dari seribu solat di tempat lain kecuali Masjidil-Haram". (HR Bukhari dan Muslim)
Dari Jabir bin Abdullah r.a. Rasulullah saw. bersabda, "Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lain kecuali masjidil Haram dan solat di masjid Haram lebih afdal dari 100,000 solat di masjid lain". (HR Ahmad dan Ibnu Majah).

Ikhlas ?

Allah jua yang maha mengetahui.

Abu Hurairah yang berkata, ”Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya orang yang pertama kali diadili pada hari kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan kemudian dinampakkan kepadanya nikmat-nikmat yang diberikan kepadanya maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apa yang kamu lakukan dengannya?” Dia menjawab, “Aku berperang untuk-Mu sampai aku mati syahid.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau berperang karana ingin disebut sebagai orang yang berani. Dan itu sudah kau perolehi.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya tertelungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.
          Kemudian seorang yang menuntut ilmu dan mengajarkannya dan juga membaca Al Quran. Dia didatangkan kemudian ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang sudah didapatinya dan dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kau perbuat dengannya ?” Maka dia menjawab, “Aku menuntut ilmu, mengajarkannya dan membaca Al Quran karena-Mu.” Allah berfirman, ”Engkau dusta, sebenarnya engkau menuntut ilmu supaya disebut orang alim. Engkau membaca Quran supaya disebut sebagai Qari’.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya tertelungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.
          Kemudian ada seseorang yang telah mendapatkan anugerah banyak harta. Dia didatangkan dan ditunjukkan kepadanya nikmat-nikmat yang diperolehnya. Maka dia pun mengakuinya. Allah bertanya, “Apakah yang sudah kamu perbuat dengannya?” Dia menjawab, “Aku telah sedekahkan harta di jalan-Mu dan untuk-Mu.” Allah berfirman, “Engkau dusta, sebenarnya engkau lakukan untuk digelar orang yang dermawan, dan engkau sudah memperolehnya.” Kemudian Allah memerintahkan malaikat untuk menyeretnya tertelungkup di atas wajahnya hingga dilemparkan ke dalam neraka.” (HR Muslim)

Aqiqah

           AQIQAH ialah penyembelihan haiwan ternakan yang dilakukan untuk anak yang baru lahir sebagai tanda bersyukur kepada Allah.Rasulullah s.a.w. dengan sabdanya yang bermaksud: "Setiap anak yang lahir itu terpelihara / tergadai dengan aqiqah yang disembelih untuknya pada hari ketujuh selepas kelahirannya, dicukur rambutnya dan diberi nama." (Riwayat Abu Dawud, al-Turmuzi dan Ibnu Majah)
HUKUM AQIQAH
Hukum aqiqah itu adalah Sunat Muakkad (Sunat yang dituntut) kecuali dinazarkan hukumnya menjadi wajib.
          Penyembelihan aqiqah ialah pada hari ketujuh dari kelahiran bayi atau pada hari ke empat belas atau ke dua puluh satu. Jika tidak dapat maka bila-bila masa selagi anak itu belum baligh.Jika anak telah baligh, maka gugur tuntutan atas walinya dan sunnat bagi dirinya (individu yang berkenaan) mengaqiqahkan untuk dirinya sendiri. Hal ini berdasarkan hadis dari Ahmad, Abu Dawud dan al-Tabrani, bahawa Rasulullah s.a.w. pernah mengaqiqahkan dirinya sendiri sesudah Baginda s.a.w. diangkat menjadi Rasul.
         Aqiqah untuk anak lelaki disembelihkan dua ekor kambing (tetapi sah sekiranya seekor) dan perempuan seekor kambing. Diriwayatkan daripada Aisyah, bahawa Rasulullah s.a.w. memerintahkan para sahabat agar menyembelih aqiqah untuk anak lelaki dua ekor kambing yang umurnya sama dan untuk anak perempuan seekor kambing. (Riwayat al-Turmuzi). Daripada Ibnu Abbas r.a. pula menyatakan. bahawa Rasullullah s.a.w. menyembelih aqiqah untuk Hasan dan Husin masing-masing dengan seekor kambing. (Riwayat Abu Dawud)
          Niat penyembelihan aqiqah: "Aku jadikan penyembelihan binatang ini sebagai aqiqah untuk anakku kerana Allah Ta'ala." Daging aqiqah sunat dimasak dengan masakan yang manis dan disedekahkan kepada fakir miskin atau dihadiahkan kepada orang yang mampu. Unta, lembu atau kerbau boleh dikongsi sebahagian untuk qurban dan sebahagian untuk aqiqah. Orang kafir tidak boleh diberi makan daging korban dan daging aqiqah.
           Daging atau mana-mana bahagian dari binatang qurban atau aqiqah orang NAZAR, haram dimakan atau diambil oleh orang yang bernazar tersebut.

Dua kalimah Yang Ringan..

Dari Abu Hurairah r.a, Rasulullah saw. bersabda, “Dua kalimah yang ringan di lisan namun berat di dalam timbangan dan keduanya dicintai oleh Allah iaitu Subha nallahi wabihamdih, Subha nallahil ‘azim.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Maha Suci Allah

Rasulullah saw. bersabda, "Sesiapa yang mengucapkan سبحان الله و بحمده (SUBHA NALLAHI WA BIHAM DIH) (Maha Suci Allah dan segala pujian bagi-Nya) dalam satu hari seratus kali, nescaya dihapuskan dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di laut.” [HR. Bukhari dan Muslim]

Nabi saw. bersabda, "Ucapkan tasbih سبحان الله و بحمده (SUBHA NALLAHI WA BIHAM DIH) seratus kali, niscaya akan dicatat baginya seribu kebaikan dan dihapus baginya seribu keburukan." (HR. Muslim)

Zikir

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan, tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Walaupun mudah tetapi ramai yang gagal melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian. Punca atau sebab selalu terlupa berzikir adalah kerana lalai dan kerana tidak dibiasakan amalan berzikir.
Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya: “Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)

Demikianlah amalan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah diucapkan.