Sabtu, 28 Julai 2012

Solat Sunat Menampung Solat fardhu

Dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya amal seseorang yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat adalah solat, jika solatnya baik (diterima), maka beruntung dan berbahagialah dia. Dan jika solatnya rosak (tidak diterima), maka kecewa dan rugilah dia. Kiranya terkurang sesuatu daripada solat fardunya, Allah berfirman: “Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai solat sunat yang dapat menampung solat fardunya? ”Demikianlah keadaan semua amal yang lain dihisab.” (HR At-Tirmizi r.a.)

Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya amalan pertama manusia yang akan diperiksa pada hari akhirat ialah solatnya, berkata Tuhan kepada malaikat pada hal Dia Maha Mengetahui: Periksalah pada solat hamba-Ku sama ada dia menyempurnakannya atau tidak, kalau didapati dia telah menyempurnakan solatnya, maka tuliskanlah dengan sempurna, sebaliknya apabila didapati solat yang dilakukan tidak sempurna maka Allah berfirman yang bermaksud: “Lihatlah kalau hamba-Ku itu ada melakukan solat sunat? Kalau ada solat sunat yang dilakukannya maka Allah berfirman lagi, sempurnakanlah solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian semua amalannya yang lain diterima kerana kesempurnaan solatnya.” (HR Abu Daud)

Sekitar Tarawikh 1433










Jumaat, 27 Julai 2012

Allah Pemberi Rezeki

Diceritakan oleh Syeikh Malik bin Dinar bahawa ketika beliau sedang makan di dalam rumah, tiba-tiba beliau terpandang seekor kucing datang meluru ke arahnya. Lantas mengambil seketul daging dari pinggannya lalu melarikan diri.

Beliau terperanjat melihatkan yang demikian. Walau bagaimana pun beliau terus bangun lalu mengikut dari belakang ke manakah si kucing tadi membawa seketul daging tersebut. Rupa-rupanya si kucing berlari sambil menggigit seketul daging menuju ke sebuah lubang. BIla sampai di depan lubang tersebut si kucing pun mencampakkan daging yang digigitnya itu. Lalu berundur sedikit ke belakang.

Tidak lama kemudian rupa-rupanya keluar seekor ular yang buta kedua matanya lalu memakan daging tersebut.

Begitulah Allah SWT memberi rezeki kepada sekalian makhluk-Nya.

Bersikap Dermawan di Bulan Ramadhan

Allah Ta’ala berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah, sama ada laki-laki mau pun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat-gandakan ganjaran kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak.” (Al Hadid: 18)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (HR. Tirmidzi, disahihkan Al Albani dalam Sahih At Tirmidzi, 614)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sedekah akan memadamkan api siksaan di dalam kubur.” (HR. Thabrani, disahihkan Al Albani dalam Sahih At Targhib, 873)

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit". (HR al-Tirmizi)

Diceritakan oleh Ibnu Abbas radhiallahu’anhuma, "Nabi s.a.w adalah manusia paling dermawan dan kemuncak sifat dermawan baginda itu ditunjukkan pada bulan Ramadan." (HR Bukhari)

Adab Seorang Muslim

Tafsir Surah An-Nisa' ayat 86 - Adab seorang Muslim

Allah mengajar orang-orang yang beriman dengan suatu adab yang baik iaitulah adab pergaulan sesama mereka dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam) maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung akan tiap-tiap sesuatu." (Surah an-Nisa': 86)

Pendapat yang lebih kuat - yang dimaksudkan dengan hormat di sini ialah memberi salam walaupun ada ulama yang menjelaskan bahawa termasuk dalam ayat ini Tasymitul 'Atisy (berzikir ketika seseorang bersin) dan membalas orang yang 'Musyamit'. Ertinya apabila seseorang itu bersin, dia berkata 'al-hamdulillah' dan yang berada di sisinya menjawab 'Yarhamukallah'. Ini adalah diantara perkara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. tetapi yang lebih kuat dimaksudkan ayat ini ialah memberi salam.

Menjadi ijma' di kalangan para ulama bahawa memulakan salam itu disunatkan dan sangat digalakkan manakala menjawab salam diwajibkan.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan apabila kamu diberi hormat dengan suatu penghormatan (salam) maka kamu hendaklah menghormatinya (menjawab salam itu)." (Surah an-Nisa': 86)

Ulama' berkhilaf dalam masalah sama ada menjawab salam itu wajib kifayah atau fadhu ain. Di sisi Imam Malik dan Imam Syafie, menjawab salam itu menjadi fardhu kifayah (wajib secara umum). Sekiranya ada orang yang menjawab salam di kalangan kumpulan yang ramai maka lepaslah tanggungjawab yang lain (yang tidak menjawab salam di kalangan mereka).

Abu Lahab

Abu Lahap adalah musuh utama Nabi saw semasa baginda mula menyampaikan ajaran Islam. Pelbagai aniaya dan kejahatan telah dilakukan oleh Abu Lahab keatas Nabi saw dan sesiapa yang mengikuti ajaran Islam. Abu Lahap sungguh-sungguh bermusuhan dengan Nabi saw sehingga berusaha agar Nabi saw dibunuh.

Firman Allah, “Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan benar-benar binasa dia! Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (neraka). Dan (begitu pula isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal.” (Al-Lahab: 1 – 5).

Abu Lahap adalah bapa saudara Nabi saw. Nama sebenar Abu Lahap ialah Abdul Uzza bin Abdul Mutalib. Abu Lahab adalah abang kepada ayahanda Nabi saw, Abdullah bin Abdul Mutalib.

Lapar dan dahaga sahaja

Nabi saw bersabda, “Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika berpuasa, baginya tidak ada pahala di sisi Allah, baginya hanya lapar dan dahaga sahaja.” (HR Bukhari)