Selasa, 17 Julai 2012

Kelebihan Berpuasa

Nabi saw bersabda, "Setiap amalan baik anak Adam adalah untuk dirinya, setiap kebaikan digandakan dengan sepuluh kali ganda bahkan sampai seratus kali ganda. Allah berfirman; kecuali puasa; ia adalah untukKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sungguh dia telah meninggalkan syahwatnya, makannya dan juga minumnya demi Aku. Untuk setiap orang yang puasa ada dua kegembiran; kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Allah. Perubahan bau mulut orang yang berpuasa lebih baik bagi Allah di bandingkan wangian kasturi". (HR Bukhari dan Muslim).

Nabi saw bersabda, "Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang puasa, doa orang yang di zalimi dan orang yang musafir". (HR Bukhari)

Nabi saw bersabda, "Doa yang tidak ditolak bagi orang berpuasa ialah ketika dia berbuka." (HR Ibn Majah)

Nabi saw bersabda, "Sesiapa yang menjamu makanan untuk berbuka bagi orang yang berpuasa, pahalanya sama seperti pahala orang berpuasa, iaitu pahala orang berpuasa yang tidak dikurangkan walau sedikit".(HR at-Tirmizi)

Nabi saw bersabda, "Bukanlah puasa yang sebenar orang yang hanya tidak makan dan tidak minum, puasa yang sebenar adalah orang yang tidak melakukan perbuatan dan perkataan yang lagha (sia-sia) dan tidak bercakap perkataan yang keji." (HR Hakim, Ibnu Hibban dan Baihaqi)

Nabi saw bersabda, "Apabila seseorang berpuasa, maka janganlah dia mengucapkan perkataan yang kotor dan jangan pula bertengkar. Sekiranya dia dimaki oleh seseorang atau diajak bergaduh maka hendaklah dia berkata: "Sesungguhnya saya sedang berpuasa." (HR Bukhari dan Muslim)

Nabi saw bersabda, “Sesiapa yang tidak meninggalkan cakap bohong dan berkelakuan buruk ketika berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah, baginya hanya lapar dan dahaga sahaja.” (HR Bukhari)

Nabi saw bersabda,, "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadan dengan sungguh-sungguh beriman dan ikhlas kerana Allah semata-mata, nescaya diampuni Allah dosa-dosanya yang terdahulu".(HR Bukhari)

Nabi saw bersabda, "Sesungguhnya di dalam syurga itu ada sebuah pintu yang disebut Pintu Rayyan. Semua orang yang berpuasa akan memasukinya pada hari kiamat dan tidak dibenarkan sesiapa pun selain daripada mereka memasukinya. Lalu dikatakan: "Di manakah orang yang berpuasa?" Lantas mereka pun berdiri dan tidak ada seorang pun yang dapat masuk selain orang yang berpuasa. Apabila sekalian orang berpuasa telah masuk, maka ditutuplah dan tiada seorang pun yang dapat memasukinya." (HR Bukhari dan Muslim)

Daripada Abu Umamah ra, Aku bertanya kepada Rasulullah saw, "Tunjukkan aku satu amalan yang membolehkan aku masuk syurga". Rasulullah saw bersabda: “Hendaklah kamu berpuasa, tiada lagi yang seumpamanya”. (HR Ibn Hibban)

Nabi saw bersabda, “Puasa adalah perisai yang akan melindungi seseorang daripada api neraka”. (HR Ahmad)

Nabi saw bersabda, “Tidak ada seorang hamba yang berpuasa sehari di jalan Allah kecuali Allah akan menjauhkan dia dengan api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun perjalanan”. (HR Bukhari dan Muslim)

Arahan Mesyuarat Agung Tahunan

Kelebihan Bulan Ramadhan

Nabi bersabda, "Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan, adalah penghapus dosa-dosa yang terjadi di antara waktu tersebut jika dijauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim no: 233)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa sempat bertemu bulan Ramadan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauhlah dia dengan Allah" (HR Ibn Hibban)

Nabi saw. bersabda, "Telah datang kepadamu Ramadan, bulan berkah, Allah mewajibkan kamu berpuasa, pada bulan ini pintu-pintu syurga dibuka dan pintu-pintu Neraka ditutup, syaitan diikat, dan di dalamnya terdapat malam yang lebih baik dari seribu bulan. (HR Imam Ahmad dan Imam Nasa’i)

Nabi saw. bersabda, "Apabila tiba bulan Ramadan maka dibuka pintu-pintu rahmat." (HR Muslim)

Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan kerana iman dan ikhlas mengharapkan pahala dari Allah, maka dosanya yang lalu akan diampun oleh Allah.” (HR Bukhari)

Nabi saw. bersabda, "Apabila datang bulan Ramadan, kerjakanlah umrah kerana sesungguhnya umrah pada bulan Ramadan adalah menyamai haji." (HR Bukhari)

Firman Allah, "Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam al-Qadar. Apakah yang kebesaran yang terdapat pada malam al-Qadar? Malam al-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlaku pada
tahun berikutnya. Sejahteralah malam itu hingga terbit fajar." (al-Qadr:1-5)

Nabi saw. bersabda, "Sesiapa bersolat pada malam Ramadan dengan keimanan sebenar dan mengharapkan ganjaran daripada Allah, akan diampun dosa-dosanya yang lalu." (HR Muslim)

Jumaat, 6 Julai 2012

Kuliah Ihya Ramadhan 1433

Tarikh : 15 July 2012
Hari : Ahad malam Isnin
Masa : 8.00 malam (selepas solat maghrib)
Tempat : Masjid Parit 4 Sg Hj Dorani
Penceramah : Ustaz Taftazzani Atiqullah.

Muslimin muslimat dijemput hadir.Insyaallah

Ahad, 1 Julai 2012

Bacaan Yaasin Nispu Syaaban

Tarikh : 14 Syaaban 1433/ 4 July 2012
Hari : Rabu malam Khamis
Masa : 800 malam ( lepas solat maghrib )

Muslimin muslimat dijemput hadir.

Jumaat, 29 Jun 2012

Kelebihan Wuduk

Dari Abi Umamah ra. berkata, Rasulullah saw. bersabda, "Apabila seseorang muslim berwuduk maka akan gugur dosa-dosanya dari pendengarannya (telinganya), matanya, tangannya dan dari kedua kakinya. Apabila dia duduk menanti solat, dia duduk dalam keampunan". (HR Ahmad)

Dari Abu Hurairah r.a. pula bahawasanya Rasulullah s.a.w bersabda, "Mahukah saya tunjukkan kepada kamu perkara-perkara yang mana dengannya Allah menghapuskan dosa-dosa serta mengangkat darjat kamu ?. Para sahabat menjawab: Mahu, ya Rasulullah. Beliau s.a.w. lalu bersabda: Sempurnakan wuduk sekalipun di dalam kesukaran, langkah-lankah kaki kamu untuk ke masjid dan menantikan solat sesudah melakukan solat. Itulah yang disebut ribath, iaitu perjuangan menahan nafsu untuk memperbanyakkan ketaatan pada Tuhan. (HR Muslim)

Rasulullah s.a.w bersabda, "Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat dengan cahaya di wajah, di tangan dan di kaki kerana bekas wuduk". (HR Bukhari)

Solat Jumaat

Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual beli, yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui”. (Al-Jumaat: 9)

Rasulullah bersabda maksudnya : “Solat Jumaat adalah wajib ke atas setiap orang Islam secara berjemaah kecuali empat iaitu hamba sahaya, perempuan, kanak-kanak dan orang sakit”. (HR Abu Daud dan Al-Hakim)

Rasulullah bersabda maksudnya : “Sesiapa yang berwuduk dan kemudian dia pergi ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah dibacakan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya”. (HR Muslim)

Rasulullah bersabda maksudnya : “ Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (HR Muslim)

Dari Jabir bin ‘Abdillah r.a., dia menyatakan: “Sulaik al-Ghifani pernah datang pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. sedang menyampaikan khutbah lalu dia terus duduk. Nabi s.a.w. pun berkata kepadanya: “Wahai Sulaik, berdiri dan solatlah dua rakaat serta pendekkanlah dalam melaksanakannya.” Kemudian beliau bersabda: “Jika salah seorang di antara kamu datang pada hari Jumaat ketika imam sedang berkhutbah, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat dengan seringkasnya”.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, jika seorang muslim memasuki masjid ketika imam sedang menyampaikan khutbah Jumaat, hendaklah dia tidak duduk sebelum mengerjakan solat sunat dua rakaat dengan meringankannya.

“Apabila datang hari Jumaat, maka setiap pintu masjid ada Malaikat yang mencatat orang-orang yang masuk mengikut urutannya. Apabila imam telah duduk (di atas mimbar), para Malaikat menutup buku catatan mereka dan datang untuk mendengarkan zikir (khutbah). Perumpamaan orang yang hadir ke masjid lebih awal adalah bagaikan orang yang menyembelih hadyi (korban) seekor unta, kemudian seperti menyembelih seekor sapi, kemudian seperti menyembelih seekor kambing, kemudian seperti menyembelih seekor ayam, kemudian seperti orang yang memberikan sedekah sebiji telur”. (HR Muslim)

Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (HR Muslim)

Nabi s.a.w. bersabda; "Siapa yang berwuduk sahaja untuk menghadiri sembahyang Jumaat adalah sudah baik (memadai) tetapi siapa yang mandi, maka adalah lebih baik." (HR Abu Daud)

Kata Nabi SAW: “Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (HR Abu Daud)

Kata Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (HR Ahmad)

Nabi bersabda,"Sesiapa yang meninggalkan 3 kali solat Jumaat, Allah akan menguncikan hati mereka" (HR Abu Daud)