Jumaat, 31 Julai 2009

Hadith Pertama


وَسَلَّمَ إِذَا خَطَبَ احْمَرَّتْ عَيْنَاهُ وَعَلَا صَوْتُهُ وَاشْتَدَّ غَضَبُهُ حَتَّى كَأَنَّهُ مُنْذِرُ جَيْشٍ يَقُولُ صَبَّحَكُمْ وَمَسَّاكُمْ وَيَقُولُ بُعِثْتُ أَنَا وَالسَّاعَةُ كَهَاتَيْنِ وَيَقْرُنُ بَيْنَ إِصْبَعَيْهِ السَّبَّابَةِ وَالْوُسْطَى وَيَقُولُ أَمَّا بَعْدُ فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الْأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلَالَةٌ ثُمَّ يَقُولُ أَنَا أَوْلَى بِكُلِّ مُؤْمِنٍ مِنْ نَفْسِهِ مَنْ تَرَكَ مَالًا فَلِأَهْلِهِ وَمَنْ تَرَكَ دَيْنًا أَوْ ضَيَاعًا فَإِلَيَّ وَعَلَيَّ. (مسلم وغيره)


1- Dari Jabir bin Abdullah r.a., katanya: Pernah Rasulullah s.a.w apabila berpidato merah menyala matanya, lantang suaranya dan bersangatan marahnya, sehingga seolah-olah Baginda seorang pemberi amaran yang menyatakan kepada angkatan tentera (tentang kedatangan musuh) dengan katanya: Bahawa musuh akan datang menyerang kamu pada pagi-pagi hari dan (mungkin) pada waktu petang!; serta Baginda bersabda: "(Masa) aku diutuskan dan masa berlakunya qiamat seperti dua jari ini," lalu Baginda menyatukan kedua jari tangannya - jari telunjuk dan jari tengah, serta baginda bersabda lagi: "(Ketahuilah) selain dari itu, maka sebenar-benar perkataan ialah kitab Allah dan sebaik-baik jalan pimpinan ialah jalan pimpinan Muhammad (s.a.w) dan (sebaliknya) sejahat-jahat perkara ialah perkara-perkara baharu (yang) diada-adakan dalam agama), sedang tiap-tiap perkara baharu (yang diada-adakan dalam agama) itu adalah bid'ah dan tiap-tiap bid'ah itu sesat". Kemudian Baginda bersabda lagi: "Aku adalah berhak menolong tiap-tiap seorang mukmin lebih daripada ia menolong dirinya sendiri, - sesiapa yang meninggalkan harta benda maka itu adalah untuk waris-warisnya dan sesiapa yang meninggalkan hutang atau orang yang kehilangan tempat bergantung maka terserahlah kepadaku menjaganya atau akulah yang menanggung hutangnya".( Muslim )

Rabu, 29 Julai 2009

Masjid Bebas Pengaruh Politik


DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mahu institusi masjid dan surau tidak dijadikan sebagai tempat berpolitik.“Beta mahu masjid dan surau dijadikan institusi bebas, tempat rujukan ilmu, membuat ibadah dan seterusnya menyatukan umat Islam di negeri ini,” titah baginda.Sultan Sharafuddin bertitah tindakan tegas akan diambil sekiranya baginda mendapati perkara itu berlaku.

Baginda juga mahu masjid yang akan dibina dikaji dengan teliti terlebih dahulu bagi memastikan ia diimarahkan dan tidak berlaku kejadian ketiadaan jemaah.Sultan Selangor turut menyatakan kebimbangan baginda dengan tersebarnya pelbagai bentuk ajaran sesat di negeri ini.“Beta amat bimbang dengan tersebarnya pelbagai bentuk ajaran sesat di Selangor. Walau bagaimanapun Beta dimaklumkan perkembangan ajaran sesat di negeri ini adalah terkawal,” titahnya.

Titah baginda kerajaan negeri telah berusaha keras mengawalnya antaranya dengan menetapkan syarat sesiapa yang ingin mengadakan ceramah di masjid dan surau perlu mempunyai tauliah daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).Sehingga kini Jais telah mengeluarkan 886 kad tauliah kepada golongan profesional, guru dan pendakwah bebas yang memenuhi prosedur permohonan.Selangor mempunyai 359 buah masjid dan 1,800 buah surau.Baginda bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-12 pagi tadi.-
Arkib 21 Mei 08

Selangor Pusat Cetak Al Quran


JIKA Mekah dan Syria terkenal sebagai tempat mencetak al-Quran, Malaysia adalah pusat di mana mushaf al-Quran bukan sekadar dicetak,’ bahkan disalin.Pencapaian ini adalah hasil usaha Yayasan Restu yang bertungkus-lumus meninggikan lagi kualiti, peranan dan penghasilan seni khat Islam.Dengan 13 tahun pengalaman, Yayasan itu mempunyai pengalaman luas mencetak pelbagai bentuk al-Quran salinan tangan dan terjemahan berbagai saiz. Setiap al-Quran salinan asli dijual dengan harga hingga mencecah RM900,000. Ada juga dalam bentuk lain yang dijual dengan harga RM70,000, RM30,000 atau lebih murah.

Semuanya bergantung kepada saiz dan sama ada ia disalin dengan tangan atau diulang cetak seperti dilakukan di tempat-tempat lain.Mula-mula dulu Yayasan itu mengambil masa yang lama untuk menghasilkan Quran, tetapi dengan bertambahnya kakitangan yang cekap ia dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.Menurut Ketua Pegawai Operasi Yayasan Restu, Ahmad Ikram Hussain Abdul Mutalib ia sekarang sedang menyiapkan al-Quran dalam bahasa Hausa (Nigeria) dan dalam rundingan untuk menyiapkan dalam bahasa Jerman.

Yang menarik ialah jika di negara lain, yang menyalin al-Quran adalah orang tua, tetapi di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di Seksyen 10 Shah Alam, mereka yang melakukan kerja rumit itu adalah anak-anak muda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Diploma yang dilatih.Pada masa ini Yayasan mempunyai hampir sembilan penyalin mushaf. Setiap mushaf mengambil masa kira-kira dua tahun untuk siap. Tetapi bagi yang dicetak tanpa disalin dengan tangan, ia mengambil masa kira-kira tiga bulan dan harganya pun lebih murah. Namun hasil kerjanya tetap halus dan cantik.

Projek murni Yayasan itu bermula dalam tahun 1994 apabila kerajaan memberi peruntukan RM1.8 juta untuk kegiatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D).Ini termasuk melatih anak muda lepasan sekolah memahirkan diri dalam seni khat Islam, mewarna, melakar dan membentuk seni zukhruf (ragam hiasan).Keindahan dan kehalusan seni motif setiap helai al-Quran berbeza dilukis dan diwarnakan, berdasarkan lakaran Melayu lama.

Seni motifnya diambil berasaskan motif flora dan fauna, bangunan lama, tangga istana, pintu gerbang dan produk Islam yang menarik dan unik.Motif al-Quran adalah juga hasil pembabitan dan tunjuk ajar badan-badan agama, jurutera, doktor dan ahli perniagaan. Ini dilakukan untuk mencapai taraf pengurusan komersial yang tinggi dan sekali gus ia menjadi produk komersial yang bermutu.Yayasan ini juga terlibat dalam usaha membuat hiasan seni Islam dalam bentuk berbingkai. Turut dihasilkan ialah ukiran atas mosaic, kaca atau ukiran kayu.Kompleks Taman Seni Islam Selangor, salah satu mercu tanda terpenting di Shah Alam, diberi oleh Kerajaan Negeri.Kini, Kompleks Taman Seni Islam Selangor turut dikenali sebagai pusat penyalinan dan penerbitan.

Arkib : 30/4/08

Jangan Guna Masjid Rebut Kuasa


DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tidak berkenan masjid dijadikan gelanggang perebutan kuasa antara umat Islam.Titah baginda institusi masjid adalah instrumen penyatuan yang harus dikekalkan.Umat Islam perlu bersatu dalam pegangan akidah yang sama di bawah naungan masjid.“Masjid harus kekal berkecuali dari pengaruh mana-mana kumpulan,” titah baginda ketika menyempurnakan majlis perasmian Taman Bukit Indah Ampang, Gombak hari ini.

Titah baginda, negara ini baru melalui situasi pilihan raya dalam keadaan aman dan pemimpin baru dipilih untuk mentadbir negeri Selangor.“Oleh itu umat Islam di Selangor ini hendaklah melupakan segala perbezaan ideologi dan pegangan politik yang lalu dan bersatu untuk kemajuan agama, bangsa dan negeri yang kita cintai ini,” titah baginda.Amat penting umat Islam menjauhi perpecahan akibat perbezaan pendapat kerana jika perpecahan berlaku, bangsa dan agama akan rugi.

Baginda juga berharap ahli-ahli jawatankuasa masjid mematuhi peraturan yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).“Mereka yang bertauliah sahaja dibenarkan berceramah, mengajar, berkuliah dan berkhutbah di masjid untuk mengelakkan individu yang tidak bertanggungjawab mengguna masjid menyebar ajaran sesat atau menanam fahaman tidak benar, ekstrem dan lain-lain lagi,” titah baginda.

Baginda juga mahu jawatankuasa masjid mengemas kini rekod maklumat berkaitan zakat, wakaf dan tanah perkuburan.Masjid di kawasan seluas empat ekar itu siap dibina pada April 2003 dengan kos RM6 juta dan mampu menampung 3,500 jemaah pada satu-satu masa.
Menurut Pengarah Jais, Dato’ Mohammed Khusrin Munawi kos pembinaan itu dibiayai sepenuhnya oleh Mohd Nazir, seorang dermawan.

“Kita harap ramai lagi individu yang sedia berkorban untuk menyumbang dalam menegakkan syiar Islam di negara ini,” titahnya.Sesuatu yang menarik ialah sistem takungan air hujan yang boleh digunakan untuk menampung keperluan masjid. Hadir di majlis itu ialah Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ramli Mahmud, orang-orang kenamaan, ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kerajaan. Arkib 18/4/08

Tahsin Qiraan BATAL

Pengajian Tahsin Qiraat Rabu malam khamis oleh ustaz Hamzah bin Nasruni di BATAL kan atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Pengajian akan disambung semula minggu hadapan, insyaallah.

Isnin, 27 Julai 2009

Hari Keluarga Masjid USJ2


Program hari keluarga Masjid Al-Mukminun USJ2 merupakan wadah terbaik untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat setempat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.
Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, agama Islam menyeru umatnya supaya menghormati dan berusaha merapatkan hubungan di kalangan bangsa lain.“Program yang begitu bagus begitu positif insya Allah dengan mewujudkan hari keluarga di Masjid Al-Mukminun USJ2 Subang Jaya ini akan menjadi pemacu ke arah pembangunan masyarakat yang lebih positif, konstruktif, progresif dan maju ke depan”,katanya.

Dr Halimah berkata demikian ketika merasmikan Hari Keluarga Masjid Al-Mukminun USJ2, Subang Jaya pagi tadi.Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh memberitahu peranan setiap ahli keluarga penting dalam melahirkan modal insan yang sempurna.Ini kerana gaya hidup masyarakat kini sudah berubah, terutamanya ibu bapa kurang meluangkan masa bersama anak-anak mereka kerana sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Unit keluarga penting dalam usaha membina modal insan yang sempurna. Di Subang Jaya ramai penduduk sibuk bekerja tiada masa untuk keluarga apa lagi jiran. Saya gembira hari ini kumpulan-kumpulan penduduk yang lain turut mengambil bahagian dalam sambutan Hari Keluarga seperti Rukun Tetangga USJ 2 dan 6 dan peserta senaman tai chi juga.“Semangat hormat menghormati bahasa dan budaya sesama kaum harus diteruskan bagi menjamin kesejahteraan penduduk setempat. Untuk menyokong usaha murni tuan-tuan dan puan, saya sudah memperuntukkan RM3 ribu bagi membantu penganjuran majlis pada hari ini”,katanya.

Pada majlis itu, pelbagai acara dianjurkan antaranya, senaman Tai Chi, persembahan Seni Silat Paduka, mini jogathon dan beberapa pertandingan sukan.Program anjuran Masjid Al-Mukminun ini juga turut meraikan anak-anak yatim, ibu tunggal dan saudara-saudara baharu di kawasan ini.“Alhamdulillah program ini berjalan dengan lancar ia merupakan acara tahunan kita, sejak sebelum ni lagi la dan satu program yang penting sebab dia menggabungkan pelbagai kaum dan ahli kariah kita di sini”,katanya.Pada majlis itu beberapa pengunjung bukan Islam juga dibawa melawat persekitaran Masjid Al-Mukminun bagi mendedahkan mereka dengan ibadat yang dilakukan oleh orang Islam dalam masjid.

“Penduduk dekat sini tidak kira bangsa datang bersama-sama dengan orang Islam yang duduk dekat sini laa, saya sebagai Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga USJ 2 & USJ 6 ni ada kita buat banyak kerja-kerja sosial laa. Ini merupakan kerja begitu bermakna mereka menjemput kita beramai-ramai datang untuk makan minum semua dekat sini dan tengok tempat ini,”katanya.Kira-kira 39 gerai jualan turut disediakan dalam program setengah hari ini yang dihadiri hampir 1,000 penduduk setempat hadir pada majlis ini.

Nazir Wajib Pantau Masjid


Tindakan mungkin dikenakan terhadap nazir-nazir masjid negeri ini yang membenarkan khutbah atau ceramah berunsur politik dalam masjid.

Datuk Seri Indah Diraja, Datuk Haji Abu Bakar Abdul Hamid berkata, perkara ini terkandung dalam Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989, Kaedah-kaedah Pegawai Masjid Dan Jawatan Kuasa Kariah (Negeri Selangor) 2001 dan Kaedah Tauliah (Selangor) 2001.

Antaranya, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mungkin mengeluarkan surat amaran dan jika ia masih berlaku, jawatan nazir masjid berkenaan dilucutkan.

“Sekarang tidak ada lagi dah, khutbah berunsur politik, wakil rakyat takleh baca khutbah sekarang ya dulu terlepas, sbelum perlantikan yang baru. Jika berlaku lagi, nazir kita tangkap”, katanya.

Katanya, semua Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Parlimen dan tokoh-tokoh politik dilarang sama sekali untuk berceramah atau menyampaikan khutbah Jumaat di mana-mana masjid di seluruh negeri Selangor.

Beliau berkata, khutbah Jumaat hendaklah disampaikan oleh imam yang dilantik manakala penceramah yang dijemput perlu mendapat tauliah dari Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Katanya, Nazir turut bertanggungjawab memantau aktiviti tabligh di masjid-masjid, selagi menjaga kebersihan masjid dan menjaga ketenteraman awam, mereka dibenarkan melakukan dakwah.

“Itu terpulang kepada Ahli Jawatankuasa Masjid untuk membenarkan selagi mereka menjaga kebersihan sebab mereka sesama mereka sahaja dan kita dengar ceramah mereka tidak ada unsur politik”, jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sijil-sijil tauliah kepada jawatankuasa baharu 66 masjid Daerah Petaling, di Masjid Negeri, pagi tadi.

Pelantikan Ahli Jawatankuasa Masjid bagi sesi 2009/2012 dibuat pada 27 Julai lalu dalam Majlis Konvensyen Pengurusan Masjid yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sementara itu, penerima tauliah berkenaan berjanji berusaha untuk menghidupkan semula pelbagai aktiviti ibadah dan kemasyarakatan di masjid masing-masing.

Selain menyusun semula program pengimarahan masjid, umat Islam juga bakal menyambut ketibaan Ramadhan dengan pelbagai program yang sesuai.

“Sasaran saya untuk mengimarahkan masjid dan dapat menyatu padukan Qariah di kawasan Subang Jaya dengan aktiviti-aktiviti yang akan datang pada bulan Rejab, Syaban dan Ramadan”, kata Ahli Jawatankuasa Masjid An Nur USJ 4.

Ahad, 26 Julai 2009

Majlis Pengajian Ilmu


Pengajian Ilmu Masjid Parit 4.

Isnin malam Selasa
Tn Hj Idris bin Ramli, Tn Kadhi Daerah Sabak Bernam.( Fekah)

Selasa Malam Rabu
Ustaz Asri bin Nordin, Kitab hadith 40.

Rabu malam Khamis
Ustaz Hamzah bin Nasruni, Tahsin Kiraat.

Khamis malam Jumaat
Ustaz Salleh bin Basar, Bacaaaan Yaasin dan tahlil.

Lapangkanlah masa tuan-puan untuk kebaikan bersama, insyaallah.

Rabu, 22 Julai 2009

Masjid-masjid di Sungai Besar

Masjid Badli Shah
Parit 6, Parit Panjang, 45400 Sungai Besar, Selangor
Masjid Batu 23
Batu 23, Pasir Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Batu 4
Sapintas, Batu 4 Sapintas, 45200 Sungai Besar, Selangor
Masjid Batu 501
Batu 50, Pasir Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor
Masjid Binjai Patah
Binjai Patah, Sungai Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Hashimiah
Kampung Sungai Limau.
Masjid Kampung Parit 2 Tengah
Sungai Hj. Dorani, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Lubok Pusing
Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sungai Panjang, 45300, Sungai Besar, Selangor .
Masjid Ma`nuriah
Pekan Sungai Besar, Pancang Bedena, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Muhammad Shah
Parit 10, Sungai Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Muhammadiah
Pancang Bedena, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Parit 11
Parit 11, Sungai Nibung, 45400 Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor .
Masjid Parit 12
Sungai Panjang, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Parit 13 Hujung
Sungai Panjang, 45300 Sungai Besap, Selangor .
Masjid Parit 14 Darat
Parit 14 Darat, Panchang Bedena, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Parit 4
Sungai Hj. Dorani,45300 Sungai Besar, Selangor
.

Masjid Parit 7
Ban 2, Sungai Leman, Pasir Panjang, 45400 Sekinchan, Selangor .
Masjid Parit 8 Gambut
Parit 8, Gambut, Panchang Bedena, 45300 Sungai Besar, Selangor .
Masjid Parit 9
Parit 9, Pasir Panjang, 45400 Sekinchan, Selangor .
Masjid Pekan Bagan Terap
Bagan Terap Sungaipanjang, 45300 Sungaiterap, Selangor .

Masjid Wahana Transformasi Ummah


Alhamdulillah dewasa ini saya dapat melihat perkembangan masjid dan surau semakin baik dan permintaan untuk mendirikannya di kawasan-kawasan perumahan baru dan taman-taman amat memberangsangkan, namun kita juga dalam usaha untuk memperkasakan dari sudut pengisian, pentadbiran dan pengurusan agar masjid ini benar-benar menjadi wahana transformasi ummah.Sehubungan dengan itu setelah saya, Timbalan Pengarah dan Ketua-Ketua Penolong Pengarah dan Pegawai-Pegawai Kanan JAIS melawat masjid-masjid di Singapura pada Julai lepas mendapati bahawa di Negeri Selangor perlu kepada perubahan gaya dan catra mengurus dan mentadbir masjid terutamanya perlu kepada kepimpinan masjid baru yang ada wawasan untuk pembangunan masjid samada dari sudut aktiviti pengimarahan masjid, pentadbiran, kemasyarakatan, keceriaan, sumber maklumat, ekonomi, tarbiyyah dan riadhah. Oleh itu faktor umur penjawat Pegawai dan Jawatankuasa Masjid adalah dicadangkan 60 tahun ke bawah dan dicalonkan daripada mereka yang sekurang-kurangnya ada kelayakan akademik dari SPM, diploma, ijazah dan ke atas.
Alhamdulillah kita tidak nafikan sebahagian amanah yang asas seperti mendirikan sembahyang lima waktu, Sembahyang Jumaat dan sedikit pelaksanaan tazkirah dan kuliah telah dilaksanakan tetapi ia tidak cukup syarat untuk masjid dijadikan sebagai wahana tranformasi ummah sedangkan tugas dan tanggungjawab kita belum digembelingkan sehingga ke peringkat maksimum. Dari sudut pentadbiran dan pengurusan umpamanya, kita perlu jana masjid-masjid dan surau-surau agar mengikut segala arahan JAIS dan Kerajaan Negeri seperti mengemaskinikan aktiviti, kewangan, Mesyuarat Bulanan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid, Mesyuarat Agong setiap tahun dan mengikuti kursus-kursus pengukuhan pentadbiran dan pengurusan agar ianya lebih berupaya, telus, ada pertanggungjawaban, adil dan amanah.
Masjid dan surau di Negeri Selangor mestilah dijadikan sebagai wadah pengembelingan amal islami masyarakat dan wahana transformasi ummah melalui program mesra remaja, mesra keluarga dan mesra masyarakat. Untuk mencapai matlamat ini kita perlu menganjakkan paradigma kita ke arah:

a. Pemantapan organisasi pengurusan masjid dari segi kekompetensian pengurus dan jawatankuasa masjid;
b. Memperkasakan kurikulum dan metodologi pembelajaran Islam di masjid-dan surau;
c. Membentuk jati diri ummah menerusi masjid dengan program 3M di atas;
d. Menambah baikkan struktur pimpinan masjid;
e. Memperkukuh, menambah dan mempertingkatkan lagi tenaga-tenaga pakar dalam kepimpinan masjid;
f. Mempromosikan sistem masjid cemerlang dengan mengenakan aras kualiti sasaran seperti KPI ‘Key Performance Indeks’ kepada 50 masjid seluruh Negeri Selangor;
g. Mewujud dan meningkatkan jaringan ICT dan Ahli Jawatankuasa Kariah melalui mukim-mukim atau zon-zon yang sedia ada;
h. Masjid sebagai pusat maklumat dan kemasyarakatan yang bersifat ‘one stop centre’(aktiviti berpusat).

Selain daripada Jabatan Agama Islam yang menjadi mentornya ianya juga patut disambut oleh badan-badan lain seperti NGO, Badan-badan koporat, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Jawatankuasa Penduduk, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan sukarelawan selain dari Jawatankuasa dan Pegawai Masjid sediada. Pembangunan pemikiran atau anjakan sikap dan mentaliti cara berfikir kita mesti digandakan terutama Pegawai dan Jawatankuasa masjid lebih-lebih lagi dalam suasana bertambahnya gejala sosial, murtad, penagihan dadah dan sebagainya yang memang mengancam akidah umat Islam. Oleh itu suatu aktiviti atau program islah masyarakat mesti dibuat dan dilaksana oleh kita bersama terutama institusi masjid. Kita mahukan institusi masjid lebih berperanan daripada hanya sembahyang lima waktu dan menyusun satu dua program semata.
Di samping itu kita ada Ketua Pegawai Penyelaras dan Pegawai-Pegawai Penyelaras Daerah yang membantu pemantauan dan pelaksanaan program pengimarahan seluruh Negeri Selangor.
Sebagaimana yang saya katakan tadi Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita perlu memainkan peranan sehingga ke peringkat maksimum agar mampu menampung kelemahan dan kekurangan dalam menguruskan masjid. Kita harapkan dengan penampilan jawatankuasa dan pegawai masjid yang bertukar sesi lepas Mei ini akan lebih perkasa dan kompeten. Menjadi tanggungjawab kita memperkukuhkan institusi masjid dengan latihan, kursus dan konvensyen agar mereka mampu berperanan sebaiknya.
Sebagaimana pekeliling Tatacara Pencalonan Jawatankuasa dan Pegawai Masjid kita telah meletakkan sebahagian kriteria-kriteria mereka seperti umur tidak melebihi 60 tahun, mesti anak kariah, boleh membaca, menulis dan mengira.

Bagi jawatan Nazir, keutamaan akademik minima ialah mempunyai kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Agama (SPA)/ Empat Thanawi dan keutamaan diberi kepada calon yang mempunyai diploma dan ke atas di samping mampu mengetuai halaqah-halaqah ringan yang melibatkan Ahli Jawatankuasa dan jemaah di samping mampu mengimamkan sembahyang, menyampaikan khutbah serta mengetuai majlis tahlil.
Bagi jawatan Setiausaha, keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang memiliki pengalaman kesetiausahaan dan pentadbiran. Jawatan Bendahari, keutamaan hendaklah terdiri daripada mereka yang memiliki ilmu dan berkemahiran dalam penyimpanan buku kira-kira dan jawatankuasa lain hendaklah terdiri dari mereka yang berlatarbelakangkan pelbagai bidang kemahiran seperti mempunyai pengetahuan agama Islam, mempunyai akhlak yang mulia dan amanah, selalu membuat amal kebajikan, sihat tubuh badan dan mental, mempunyai daya kepimpinan dan sentiasa menjalin hubungan baik dengan ahli kariah dan menunjukkan ciri-ciri kreatif serta sering membawa idea-idea baru untuk meningkatkan kemajuan masjid / surau.

Sejarah Islam membuktikan bagaimana Rasulullah SAW berjaya menjadikan institusi masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat, pusat penyatuan dan pengislahan ummah serta menjadikan masjid sebagai pusat pengembangan ilmu dan penyebaran maklumat, semuanya bermula dari masjid. Masjid telah dijadikan sebagai tempat untuk berkumpul, berbincang dan merancang strategi dan tidak terbatas hanya di bidang dakwah, bahkan perdagangan, perundangan dan pelbagai lagi. Bermula dari sinilah terpancar cahaya Islam, pancaran ilmu, keharmonian, ihsan dan ketinggian akhlak umat Islam di seluruh pelusuk dunia.Di samping itu Baginda telah menjadikan masjid sebagai pusat ibadat, pusat pemerintahan dan pentadbiran negara, nadi gerakan Islam dan penggerak kegiatan masyarakat, tempat menuntut hak dan keadilan, pusat kebajikan, gedung ilmu serta pusat hubungan dengan Allah dan manusia sesama manusia.

Umat Islam berubah daripada menyembah berhala dan mengabdikan diri sesama manusia kepada hanya menyembah Allah dan mengikut peraturan dan undang-undang Allah SWT semata-mata. Inilah yang kita harapkan fungsi dan peranan masjid hari ini.

Hari ini kita mahu melihat masjid bukan sahaja mampu ditadbir dan diurus dengan baik tetapi mampu menjadi penggerak, pemangkin dan sebagai agen untuk merubah masyarakat Islam khususnya daripada kurang berilmu bertambah ilmunya, tertutup minda mereka kepada terbuka, berpeluk tubuh kepada peka dan perihatin sentiasa berfikir dan bertindak bagaimana hendak mengislahkan ummah dengan program-program yang disusun, bagaimana hendak memajukan ekonomi umat Islam, politik umat Islam serta pendidikan umat Islam.

Berfikir tentang peranan masjid mampu membendung gejala sosial dan membangun masjid dengan segala prasarana ilmu, tarbiyah dan pendidikan Sebenarnya, kejayaan sesebuah masjid itu sangat bergantung kepada sejauh manakah peranan dan fungsi yang dijalankan olehnya, lebih-lebih lagi setakat manakah sesebuah masjid itu dapat menarik masyarakat Islam di sekelilingnya untuk beribadat dan menggunakan masjid tersebut untuk kebaikan dan kebajikan masyarakat.

Tugas mengimarahkan masjid bukan hanya dibebankan kepada Pegawai dan Jawatankuasa Masjid sahaja tetapi ia merupakan tugas dan tanggungjawab ahli jemaah dan Anak Kariah masjid keseluruhannya. Contohnya kalaulah masjid menyusun banyak program tetapi kesedaran masyarakat sekeliling tidak mengambil endah dan tidak memberikan sokongan serta kerjasama, bagaimana suatu masjid itu akan maju, warganya faham Islam dan berubah sikap? Sebab itu peranan dan fungsi Anak Kariah dan jemaah orang Islam atau tepatnya penduduk Islam di sekitar sesuatu masjid itu turut penting dalam memainkan peranan mereka dalam memakmurkan masjid.

Saya jelaskan di atas cumanya paling minima semua Nazir-Nazir, Jawatankuasa dan Pegawai Masjid mesti boleh bekerjasama dengan Kerajaan sekarang di samping memenuhi segala keperluan masyarakat setempat dari semua kemudahan yang patut seperti masjid sebagai pusat ibadah, pusat pendidikan, pusat kegiatan sosial, pusat pembangunan masyarakat, pusat penerangan dan maklumat, pusat kehakiman, pusat perhubungan, pusat interaksi masyarakat, pusat rawatan dan kecemasan, pusat pemulihan dan pusat seni. Dan mencapai visi masjid untuk menjadikannya sebagai sebuah institusi dan sebagai ‘One Stop Centre’(pusat aktiviti) kepada masyarakat.

Akhirnya apabila masjid benar-benar menjadi pusat atau centre kepada masyarakat Islam dan pengembangan ilmu berjalan dengan lancar serta bersepadu dunia dan akhirat melalui wadah masjid, apabila umat Islam faham Islam secara menyeluruh (syumul) dan hilang kejahilan, apabila umat faham tugas dia sebagai hamba, faham tugas dia sebagai khalifah, faham amar ma’ruf dan nahi mungkar dan faham jihad untuk memertabatkan umat Islam dan meninggikan syiar Islam, saya yakin masing-masing ada tanggungjawab, masing-masing ada peranan dan masing-masing ada amanah akhirnya proses untuk mengislahkan ummah dan Negara berjalan serentak dan itulah bibit-bibit mula ke arah “Baldatun Toiyyibatun Wa Rabbun Ghafur”.t.k.

Selasa, 21 Julai 2009

Gerhana Matahari, Tanda Kebesaran Allah

MASYARAKAT Islam dinasihatkan tidak melakukan perkara khurafat yang boleh melanggar akidah Islam apabila berlaku gerhana matahari. Fenomena gerhana matahari separa itu akan dapat dilihat terutama di kawasan utara Semenanjung Malaysia khususnya Kangar, Perlis mulai jam 8.23 pagi ini. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, berkata ramai yang masih mengaitkan kepercayaan salah termasuk kelahiran dan kematian dengan gerhana matahari dan khurafat itu perlu dihentikan kerana ia menyebabkan syirik kepada Allah.

“Gerhana matahari perlu dilihat sebagai satu lagi kejadian yang membuktikan kebesaran Allah yang berkuasa ke atas makhluknya termasuk menentukan peraturannya.Apa yang perlu dilakukan masyarakat Islam, selain melihat keagungan Allah itu ialah mereka hendaklah mensyukuri melalui solat sunat gerhana matahari diikuti dengan khutbah khas seperti yang dilakukan Rasulullah SAW ketika fenomena itu berlaku pada tahun 8 Hijrah,” katanya ketika dihubungi. Rakyat Malaysia boleh melihat gerhana matahari penuh itu hari ini dengan melayari laman web yang membuat siaran langsung secara webcasting seperti www.exploratorium.edu/eclipse/2009/index.html, www.saros.org/index.html, www.live-eclipse.org dan www.eclipse-tv.com.

Gerhana matahari separa yang sukar dilihat dengan mata kasar, akan berlangsung selama lebih sejam iaitu bermula 8.23 pagi dan berakhir pada 9.48 pagi. Jamil Khir berkata, fenomena yang berlaku hari ini, amatlah besar hikmatnya, supaya manusia memerhatikan kebesaran Allah. Bulan, matahari dan cakerawala lain, sentiasa sujud dan bertasbih kepada Allah. “Oleh itu, manusia yang lebih sempurna sifatnya, hendaklah sentiasa mengingati Allah, apatah lagi ketika gerhana matahari. Umat Islam disunatkan mengadakan solat sunat gerhana matahari dan khutbah khas. Manusia hendaklah sedar bahawa nikmat matahari kurniaan Allah boleh ambil kembali pada bila-bila masa,” katanya.

Sebahagian wilayah dari India sehingga Shanghai, China dan Jepun akan bergelap hampir enam minit, berikutan fenomena gerhana matahari penuh yang berlaku pagi ini, yang dianggap gerhana paling lama bagi abad ke-21. Bagaimanapun, Malaysia yang pernah mengalami gerhana matahari penuh di Kudat Sabah pada November 1995, dan beberapa negara lain di Asia, sebaliknya hanya mengalami gerhana matahari separa. Menurut Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Darul Iman Malaysia, Terengganu, melalui laman webnya, www.falak.udm.edu.my, penduduk negara ini hanya berpeluang menyaksikan gerhana itu dalam fasa separa dalam peratus maksimum yang kecil antara tiga peratus hingga 18 peratus saja.

Gerhana matahari separa berlaku selepas waktu Subuh, namun ia semakin jelas dari jam 8.24 pagi sehingga 9.56 pagi ini. Gerhana matahari terjadi apabila bulan yang sedang mengelilingi bumi lalu bersetentangan dengan bumi dan matahari.Bayangnya yang terkena pada permukaan bumi membentuk gerhana. Fenomena ini sebenarnya jarang berlaku dengan kemungkinan hanya sekali atau dua kali dalam setahun kalendar. Kali terakhir negara mengalami gerhana matahari ialah pada 26 Januari lalu.

Gerhana matahari terbahagi kepada empat jenis, iaitu gerhana penuh, gerhana annulus (cincin), gerhana hibrid (penuh dan cincin) dan gerhana separa (sebahagian). Gerhana separa merujuk peringkat awal atau akhir suatu gerhana matahari, atau bahagian bumi yang masih dapat melihat gerhana, tetapi tidak akan dapat melihat gerhana matahari fasa penuh atau cincin. Dilaporkan, masyarakat Jepun bakal meraikan gerhana penuh dengan percikan bunga api, manakala di India, wanita hamil tidak dibenarkan keluar rumah bagi mengelak cahaya halimunan matahari dan pelbagai tahyul berkaitan gerhana matahari.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melalui khutbah online menyatakan masyarakat Islam perlu melihat fenomena ini secara positif sebagai memperlihatkan kekuasaan Allah yang memperlihatkan matahari yang bercahaya secara tiba-tiba menjadi gelap, kemudian bercahaya semula. Kehebatan kekuasaan Allah mampu mengubah segala-galanya di langit dan bumi pada bila-bila masa dan tidak ada satu kuasa lain yang dapat menyekat qada dan qadar-Nya.

Allah berfirman dalam al-Quran menjelaskan bahawa perubahan yang berlaku terhadap matahari dan bulan itu adalah di bawah tadbir-Nya. Oleh itu sujudlah kepada Allah yang mengawal selia dan menyelenggara terbit dan terbenam matahari serta bulan.
Firman-Nya yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari, tidak juga bulan dan sujudlah kepada Allah yang menciptakannya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah.” - (Surah al-Fussilat, ayat 37)atatan sejarah Islam memperlihatkan gerhana matahari berlaku pada 10 Rabiulawal tahun kelapan Hijrah. Kebetulan gerhana matahari itu berlaku sewaktu kematian putera Baginda SAW, iaitu Ibrahim ketika usianya baru 70 hari.

Maka Rasulullah SAW pun bersabda yang bermaksud: “Bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda kekuasaan Allah. Allah menakutkan hamba-Nya dengan perubahan matahari dan bulan. Dan bahawasanya matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan kematian seseorang daripada kalangan manusia. Maka apabila kamu melihat berlakunya sesuatu (gerhana matahari atau bulan), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan tersingkap semula bagi kamu.” - (Hadis riwayat Imam Muslim dari Abi Mas'ud al-Ansari)

Sesungguhnya berlakunya gerhana matahari atau bulan memang menjadi tanda kebesaran Allah dan supaya manusia bersyukur terhadap-Nya tanpa mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun. Imam an-Nasaie meriwayatkan, Saidatina Aishah berkata: “Dan sesungguhnya sudah jelas cahaya matahari, maka Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan orang ramai sambil memuji Allah dan sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua daripada keagungan Allah. Gerhana kedua-duanya berlaku bukan disebabkan mati atau hidup seseorang.

Isnin, 20 Julai 2009

Israk dan Mikraj

Isra' Mikraj adalah antara proses kematangan kerohanian Rasulullah s.a.w dalam menempuh perjuangan baginda. Ketika ini, seluruh tubuhnyadibalut keletihan. Jiwanya dibungkus keresahan. Letih, lesu dan resah gelisah yang berkubang di jiwa raganya dipendam bersendirian saat mengenang apakah lagi malang nasib yang jatuh ke atasnya bertimpa-timpa pada masa-masa yang akan datang.

Khadijah, saudagar wanita, penyokong sendi kekuatannya telah wafat. Abu Talib, bapa saudaranya, tonggak perjuangan dan penampan kepada serangan kafir Quraisy telah pun pergi meninggalkannya. Selama ini, rasa segan terhadap Abu Talib dalam kalangan musyrikin itulah yang menyelamatkannya daripada serangan yang berlaku akibat dakwah itu. Bermodalkan kedudukannya sebagai anak saudara Abu Talib, maka tiada sesiapa pun yang berani menyentuh baginda.

Tetapi keadaan telah berubah kini. Dengan kewafatan Khadijah disusuli pemergian Abu Talib, akar tunjang dan tonggak kekuatan lambang keutuhan perjuangan dakwah baginda telah hilang. Pemergian kedua-duanya berlaku dalam tahun yang sama. Hal ini begitu terkenal dalam sirah sehingga sejarawan telah menamakan tahun tersebut sebagai 'Tahun Kesedihan' ('amul huzni).

Bayangkan, bagaimana baginda dapat menempuh kehidupan ini bersendirian dengan Fatimah yang masih kecil. Apalah sangat yang mampu dilaksanakan gadis sekecil itu melainkan dengan menyapu najis unta yang dilumurkan ke atas kepala baginda ketika sedang bersujud di depan Kaabah.

Allah maha besar! Allah maha berkuasa. Tidak sesekali Dia meninggalkan kekasihNya dihimpit derita itu bersendirian. Sudahlah ketika kecilnya dia kehilangan bapa ketika masih dalam kandungan, malah al-Amin juga ditinggalkan oleh ibu dan datuknya ketika masih kecil. Kini, menjelang dewasa, ketika dia diarahkan Tuhan untuk menyebarkan dakwah, maka dia diuji dengan rasa bersendirian menanggung bebanan dakwah ini.

Bagi tujuan menghibur baginda, dan atas tujuan mengingatkan pertalian perjuangan risalah ini yang ada kaitan dengan perjuangan nabi terdahulu, maka itulah antara sebabnya kenapa baginda dijemput Tuhan ke langit tertinggi. Isra' Mi'raj adalah suatu peristiwa yang teragung dalam bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Rasulullah s.a.w dan para sahabat, beramai-ramai ke Madinah.

Ertinya, Isra' Mi'raj adalah 'turning point', titik permulaan Islam mula bertapak di Mekah, solat mula diisytiharkan sebagai suatu amalan dan ketika itu hidup Muslimin penuh dengan riwayat sengsara dan gangguan sehingga memaksa mereka mencari perlindungan di Madinah. Lalu, dengan itu terbentuklah sebuah Negara Islam yang pertama di dunia.

Ini kerana, sejurus kembalinya baginda membawa khabar berita, gambaran peristiwa langit, maka baginda dicela Abu Lahab, bapa saudaranya sendiri. Bermula saat itu, tekanan ke atas baginda telah bermula. Itu perkara yang pertama. Yang kedua, Isra' Mi'raj adalah satu 'turning point' di mana Islam itu terasas dengan begitu kukuh oleh kerana telah termaktub suatu resolusi dari langit mengenai kefardhuan solat yang mana sebelum itu, solat belum lagi diperkukuhkan sebagai suatu amalan yang wajib.

Tiga pihak, dua kejadian

Resolusi mengenai kewajipan solat itu melibatkan tiga pihak, dua kejadian. Pihak yang terlibat dalam hal 'mewajibkan' solat itu ialah Allah s.w.t, Nabi Musa a.s yang berunding dengan Rasulullah s.a.w dan hasil ulang-alik Nabi Muhammad s.a.w menemui Allah s.w.t untuk mengurangkan jumlah bilangan solat fardhu tersebut.

Selain itu, dua peristiwa yang menyebabkan timbul rasa ghairah supaya diwujudkan suatu mekanisme perhubungan langsung antara manusia dengan penciptaNya, ialah kerana baginda telah menyaksikan gelagat para malaikat yang telah bersujud, rukuk kepada Tuhan dengan lain-lain perbuatan yang mirip kepada solat hari ini. Peristiwa kedua, ialah ketika Nabi Muhammad s.a.w sendiri diangkat menjadi imam untuk mengerjakan solat di mana para makmum di belakangnya adalah nabi-nabi yang terdahulu sebelum baginda.

Lalu, terfikir di benak baginda, alangkah baiknya jika diwujudkan suatu mekanisme yang menyebabkan manusia sentiasa dapat berhubung dengan Tuhannya lewat ibadat tersebut. Keghairahan Rasulullah s.a.w mengenai solat itu tergambar ketika hampir tiba saatnya baginda wafat. Di bibir baginda hampir tidak lekang menyebutkan, "Ummati.. as-Solah.." (Umatku.. sembahyang..)

Betapa tidak! Nabi Muhammad s.a.w telah naik ke langit menyaksikan malaikat bersujud hingga baginda tentang bagaimana mahu umatnya bersujud sebegitu rupa dengan tempoh lama dan penuh semangat. Tetapi, amalan berat seperti solat ini telah diminta dikurangi oleh Musa a.s apabila nabi itu teringatkan pengalaman Bani Israel yang berat menerima perintah solat tersebut. Sebab itu, kita dapatlah memahami kenapa sampai begitu tebal sekali baginda mengingatkan hal tersebut kepada umatnya berhubung solat, hatta ketika hampir wafat sekali pun. Tidaklah disebut hal zakat, puasa dan lain-lainnya, melainkan solat itulah yang kerap diperingatkan baginda.

Pembebasan Palestin

"Maha suci Allah yang membawa hambaNya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa (Palestin) yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah juga yang amat mengetahuinya." (Surah al-Isra': 1)

Ada riwayat menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w diarah Jibril agar berhenti, bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah s.a.w akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s dilahirkan).

Unsur kesengajaan memang wujud di sini walaupun dalam nas di atas, hanya perihal Israk sahaja yang dihebahkan Tuhan. Langsung sahaja Tuhan menyebut tempat berlepas Rasulullah s.a.w itu dari Masjidil Aqsa yang kini berada dalam tahanan Yahudi Zionis.

Seolah-olah Tuhan mahu beritahu kita sesuatu, apakah tindakan kita untuk membebaskan Masjid al-Aqsa? Sebagai Muslimin individu yang terhad kuasanya, kita mungkin boleh diampunkan dengan sebab kita telah mengeluarkan wang ringgit untuk membantu seadanya, termasuk menggesa negara berbuat sesuatu tanpa melibatkan PBB.

Yang patut menjawab di hadapan Allah s.w.t kelak ialah para pemimpin negara Islam yang tunduk berdiam diri dan hanya bertawakal kepada PBB untuk menyelesaikan kemelut berkenaan.

Syahadan, mungkin tak perlu diletakkan perihal mi'raj ke langit oleh sebab langit itu tiada nama yang khusus seperti halnya di bumi. Tapi, sengaja disebutkan Masjidil Aqsa guna menyentuh hati nurani Muslim agar peka ke atas pergolakan di sana yang berombak dengan lautan darah dan membadai dengan air mata.

Pada zaman ini, kita boleh saja menaiki pesawat terbang ke udara. Perihal naik ke udara itu tidak perlulah ditekankan sangat sebab kawasan langit dan laluan udara tempat laluan pesawat itu tidak penting sangat untuk diketahui.

Yang penting diketahui adalah tempat di mana pesawat kita mahu berlepas (departure) dan tempat di manakah pesawat itu bakal mendarat (landing). Ertinya, terbang ke awan itu sudah diketahui umum, tapi yang diperkirakan orang ketika mahu berpergian ke mana-mana ialah di tempat mana pesawat mereka mahu berlepas dan di tempat mana ia akan mendarat.

Sebab itu, kita jangan hairan kenapa nas itu tidak menghebahkan soal mi'raj, sebaliknya cuma menyebut tempat berlepas ketika Isra' (berjalan malam). Tuhan menyebutkan Masjidil Aqsa itu bererti, tempat itu amat penting dan bernilai.

Sebagai termaklum, selepas peristiwa Isra' Mi'raj, solat difardhukan. Tempoh daripada kisah itu hingga penghijrahan ke Madinah memakan masa selama setahun. Dan, ketika di Madinah juga, Muslimin masih berkiblat kepada Masjidil Aqsa.

Maka, sebelum mendapat arahan bahawa Muslimin wajib solat fardhu lima waktu, Nabi Muhammad s.a.w diminta 'berkenalan' terlebih dahulu dengan kiblat pertama kita di Baitul Maqdis itu, sebuah daerah kelahiran Nabi Isa a.s dan tempat Nabi Musa a.s menempatkan Bani Israel dalam sebuah negara merdeka dalam riwayat-riwayat terakhir perjuangan dakwahnya.

Maka, sejurus tibanya baginda ke Mekah, ketika itulah bermulanya solat dengan kiblat terarah ke Masjidil Aqsa; kiblat pertama yang mana Nabi Muhammad s.a.w telah diperkenalkan terlebih dahulu dengannya sebelum ini.

Seolah-olahnya, sebelum menerima perintah solat yang wajib itu, Tuhan juga mahu berbicara kepada kekasihnya, "Inilah nantinya yang akan menjadi kiblat umatmu kelak!"

Mirip kisah tarbiyah Musa - Khidhir

Perjalanan kerohanian Nabi Muhammad s.a.w bersama Jibril a.s itu mirip kepada tarbiyah Khidhir a.s ke atas Musa a.s dalam surah al-Kahfi. Dalam perjalanan, ada saja penglihatan yang terbentang dan pengajaran yang baginda lihat.

Diriwayatkan bahawa baginda telah menyaksikan golongan yang sedang bertani dam terus menuaikan hasil pertaniannya. Baginda juga menyaksikan tempat berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, kaum sedang memecahkan kepala, kaum yang menutup kemaluan dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah berbau busuk.

Rasulullah dibawa ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim yang sedang berada di Baitul Ma'mur bersama beberapa kaumnya. Rasulullah s.a.w juga melihat golongan yang sedang menanggung satu bebanan. Ketika bebanan itu berat, mereka menambah lagi bebanan itu sehingga mereka tidak terdaya lagi menanggungnya.

Demikian iktibar ke atas penguasa yang tidak kuat menanggung amanah rakyat, tapi masih sanggup lagi menanggung amanah rakyat yang akhirnya menyebabkan mereka menderita azab yang parah di akhirat kelak. Demi sesungguhnya, iktibar dan pengajaran Isra' Mi'raj ini tak akan sampai tamat diulas kerana falsafahnya sangatlah kaya sekali sehinggakan kita tidak akan jemu-jemu meneliti kisah ini.

Sabtu, 18 Julai 2009

Jemputan Israk Mikraj

Israk Mikraj Masjid Parit Empat
Hari: Ahad malam Isnin
Tarikh : 19 Julai 2009
Tempat : Masjid Parit 4
Masa : Lepas Maghrib
Penceramah : Ustaz Zainal Abidin bin Sulaiman, Kadhi Daerah Kuala Selangor

Muslimin muslimat dijemput hadir, Jamuan insyaallah disediakan.

Selasa, 14 Julai 2009

Masjid Terus di Tutup

URUMQI 14 Julai - Sebuah masjid dan banyak premis perniagaan di bandar ini ditutup hari ini dekat kawasan dua lelaki Islam Uighur ditembak mati oleh polis semalam, ketika ketegangan etnik terus menyelubungi ibu kota wilayah Xinjiang ini.Anggota polis yang bersenjatakan raifal separuh automatik dan belantan dikerahkan ke sekitar tempat kejadian semalam.Pihak berkuasa China berkata, polis menembak mati dua penduduk Uighur yang 'melanggar undang-undang' dan mencederakan seorang yang lain.

Kejadian itu menunjukkan situasi di ibu kota Xinjiang ini boleh meledak pada bila-bila masa, lebih seminggu selepas keganasan etnik menyebabkan sekurang-kurangnya 184 orang terbunuh, sekalipun kawalan keselamatan ketat terus dikenakan.Hari ini banyak kedai di kawasan Uighur berhampiran tempat kejadian semalam terus ditutup dan sebuah masjid besar ditutup dengan pengawal keselamatan ditempatkan di kawasan luar masjid.

Seorang peniaga berkata, dia tidak membuka gerai pakaiannya."Keadaan terlalu tegang di sini, bagaimana saya boleh mendapat wang jika tidak ada pelanggan?" kata lelaki daripada etnik minoriti Hui itu.Walaupun keganasan meletus semula semalam, sesetengah pekedai membuka perniagaan mereka."Kami sudah pun biasa dengan ketegangan ini," kata seorang wanita Uighur yang sibuk menyusun roti di luar kedai makanannya.

Insiden tembakan semalam menandakan kali pertama kerajaan melaporkan pasukan keselamatan membunuh penduduk sejak keganasan meletus pada 5 Julai lalu.Namun, penduduk Uighur yang hidup dalam buangan mendakwa ramai anggota kaum itu terbunuh dalam operasi pasukan keselamatan untuk membendung keganasan.

Ahad, 12 Julai 2009

Catatan Dari Singapura


POLITIK terdapat di mana mana, termasuk di masjid.Jadi, apabila membaca beberapa surat keluhan relawan masjid, Oteh anggap ini sebagai perkara biasa.Sebenarnya bukan mudah hendak menguruskan sesebuah pertubuhan, termasuk masjid.Walaupun lembaga pentadbirnya ditentukan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), ada saja perkara yang tidak kena.

Ada kala pengerusi dengan setiausaha tidak seiring. Atau ada ahli jawatankuasa yang pandai-pandai buat cerita sehingga menjadi fitnah. Begitulah adatnya.Namun apapun halnya, pengerusi masjid mestilah orang yang berkebolehan dan dapat dihormati anak buahnya.

Walaupun kini zaman komersial - segala-galanya pakai wang saja - namun khidmat relawan amat penting pada mana-mana badan masyarakat. Masjid tidak terkecuali.
Bahkan demi menghadapi kemelesetan, relawan diharapkan dapat mengisi keperluan masjid - dari segi membersih, berkebun, mendapatkan derma dan sebagainya.

Cuma untuk masjid berjaya menjana relawan dan memanfaatkan mereka secara menguntungkan, maka perlulah ilmu pengurusan yang betul.Oteh syorkan para pegawai masjid yang berurusan dengan relawan dilatih secara khusus. Menurut anak buah Oteh, sudah ada badan nasional yang melatih relawan. Ayuh, manfaatkanlah khidmat badan ini.

Sebenarnya, relawan pun manusia biasa.Ada yang senang bergaul dan memberikan kerjasama.Ada pula yang mempunyai corak pemikiran tersendiri sehingga yakin pendapatnya saja yang betul.

Oleh itu, sebelum relawan diterima di masjid, adakanlah sesi kenal suai dan kaunseling. Tak kenal, maka tak cinta.Selanjutnya, relawan diberikan tugas yang termampu mereka pikul. Jika mereka tak mampu, berikanlah tugas lain. Yang utama ialah relawan pun perlu pengiktirafan dan diberikan sambutan atas usaha mereka.

Zaman relawan bertungkus-lumus tanpa mengharap jasa dijulang sudah lapuk.Zaman kini memerlukan semacam sanjungan dalam setiap perkara yang kita lakukan. Alahai apa nak buat?Pun Oteh yakin, masih ada relawan yang berbuat sesuatu kerana Allah (swt) dan tidak mengharapkan apa jua ganjaran.

Untuk mereka, tentulah ganjaran Ilahi yang lebih besar maknanya kelak.Sudah sewajarnya skim relawan dilembagakan agar tersusun.Apabila sudah ada aturan atau sistem, barulah tampak setiap kerja yang lebih beres lagi rapi. Hendak-hendak soal urusan kewangan atau harta benda yang sering boleh menimbulkan masalah jika tidak ditangani dengan telus dan berkesan.

Bahkan wajar juga masjid menyediakan semacam skim ganjaran yang bukan berbentuk wang tunai seperti peluang melancong dan melanjutkan pelajaran atau menghadiri kursus di luar negara untuk sukarelawan gigih.Cara ini merapatkan masjid dengan relawan dan tentulah masyarakat sekeliling.Bahkan Oteh fikir ada baiknya juga relawan bukan Muslim sekalipun boleh disertakan.

Misalnya, jika mereka sanggup berbakti dalam kegiatan umum masjid yang bukan bersifat agama khusus seperti mengagihkan bantuan untuk warga tua dan miskin, tidak kira agama. Ini menunjukkan semangat Islam sebagai rahmat seluruh alam.Bagi relawan yang gigih berkhidmat di masjid, Oteh beri tabik kepada mereka.Namun ingatlah wahai pentadbir masjid, relawan pun ada hati perut. Jadi, ambillah 'hati' mereka agar terus dapat berbakti.

Isra dan Mikraj

Majlis Isra Mikraj yang sepatutnya pada 18/07/2009 dipinda kepada :

Hari : Ahad malam Isnin
Tarikh : 19/07/2009
Masa : Selepas Solat Isya
Penceramah : Ustaz Zainal Abidin Sulaiman
Kadhi Daerah Kuala Selangor.

Muslimin muslimat dijemput hadir,
Jamuan insyaallah disediakan.Tak banyak sedikit.

Khalifah Umar r.a dan Khalid Ibn Walid r.a

Khalid Ibn Waled, yang terkenal sebagai ‘pedang islam' dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Umar r.a al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Umar r.a dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.[12] Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, Namun ia adalah dari sebab berikut
a- Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah, ia jelas dari surat umum yang dihantar Umar r.a kepada umat Islam memberitahu agar mereka tidak terlalu ‘attached' dengan Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah swt.
b- Pentadbiran ; iaitu dalam urusan dan keputusan pembahagian harta.
c- Pentadbiran : Umar r.a inginkan keteletian dan laporan berterusan dari setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentabdiran yang bebeas dari penelitian sentiasa oleh Khalifah.
Di waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Syria, belia berkata :-
"Amir al-Mukminin (Umar r.a) melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancer, beliau melucutkan jawatanku"
Lalu seorang lelaki berkata : "Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah"
Kahlid membalas :
"selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu TIADA RUANG FITNAH untuk berlaku" [14]
Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar r.a walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar r.a adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.
Di ketika Khalid r.a hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda r.a,
"Wahai Abu Darda, bila Umar r.a al-Khattab r.a wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku"
Dan berkata lagi sambil mengelap air matanya:
"Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi setelah aku fikrikan kembali berkenaannya di ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Umar r.a Al-Khattab r.a melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah dari setiap tindakannya"[15]
Khalid juga melantik Umar r.a sebagai waasi (pengurus harta pusakanya), ketika Umar r.a al-Khattab menrima surat wasiat itu, beliau turut menangis.
Cuba kita bayangkan ketegasan Umar al-Khattab r.a tersebut dan bagaimana tingginya taqwa beliau dan juga para sahabat yang bersamanya. Mengapa mereka tidak melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya?. Kerana Umar sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam, dan beliau tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya makan terlebih dahulu.
Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a.. Sesungguhnya wahai Umar al-faruq kami merinduimu pemerintahanmu..

Sabtu, 11 Julai 2009

Pemimpin Adil Lagi Beriman

Kita kerap kali menyebut berkenaan kehebatan Khalifah Umar bin Abd Aziz dalam pentadbirannya sebagai pemerintah, sehinggakan masarakat bukan Islam turut mengetahui berkenaannya serba sedikit lalu menjadikannya role model dalam ucapan-ucapannya, saya berharap agar ia bukan hanya terhenti setakat di dalam ucapan sahaja dalam tindakannya. Tidak dinafikan usaha ke arah itu dapat dilihat sedikit demi sedikit, tahniah.

Selain Umar Abd Aziz, kita juga adakalanya dapat membaca kehebatan pentadbiran Islam di bawah khalifah kedua Islam iaitu Umar Al-Khattab r.a. Dalam tulisan ringkas ini saya ingin berkongsi beberapa petikan kisah ketegasan Umar Al-Khattab semasa pemerintahannya termasuk semasa menerima laporan dari rakyat terhadap perilaku gabenor-gabenor yang dilantiknya; ia amat baik dijadikan panduan dan ingatan bagi para pimpinan pentadbiran korporat, kerajaan negeri dan pusat dan bagi mereka yang ingin mengambil pengajaran.
KISAH 1 : KHALIFAH UMAR r.a DAN SA'AD ABI WAQQAS r.a [1]
Umar al-Khattab telah melantik Sa'ad Abi Waqqas r.a seorang sahabat besar Nabi s.a.w sebagai gabenor di Kufah, Iraq. Namun terdapat beberapa kumpulan munafiq yang amat benci kepada Sa'ad, lalu membuat aduan palsu kononnya Sa'ad r.a tidak adil dalam pembahagian dan tidak memimpin ketika peperangan. Sedangkan di ketika itu, kerajaan Islam sedang sibuk membuat persiapan untuk menuju ke Nahawand. Amat difahami kumpulan ini ingin mengganggu kelancaran perancngan kerajaan Islam.
Walaupun aduan ini sememangnya telah diketahui palsu oleh Umar Al-Khattab r.a tetapi beliau masih meraikannya secara SERTA MERTA dengan menghantar wakil penyiasat iaitu Muhammad Ibn Maslamah. Umar r.a seorang yang amat sensitif dan serius dengan segala laporan terhadap gabenor lantikannya. Tatkala proses siasatan terbuka dijalankan, semua wakil ketua yang berada di Kufah tidak tahu menahu berkenaan laporan ketidakladilan Sa'ad lalu semuanya mengkhabarkan kebaikan Sa'ad.
Tiba-tiba muncul Usamah Bin Qatadah mendakwa Sa'ad tidak adil dan tidak memimpin perang. Sa'ad menafikan dengan sumpah serta mendoakan buta mata, kurang zuriat dan terdedah kepada fitnah dunia bagi sesiapa yang menipu dan melontarkan fitnah ke atasnya. Hasil doa individu soleh seperti Sa'ad, kesemua kumpulan yang meinpu ini mati . Usamah pula menjadi buta, kurang zuriat dan ditimpa nafsu syahwat yang luar biasa.
Walaupun Sa'ad terbukti selepas itu tidak bersalah, demi mengelakkan perpecahan dan menjaga status Sa'ad bin Abi Qaqqas, Umar al-Khattab meminta Sa'ad untuk menamakan penggantinya, lalu dilantik ‘Abdullah bin Abdullah Bin ‘Utban yang merupakan timbalan kepada Sa'ad sebelum ini. Manakala Sa'ad di bawa ke Madinah bagi menyertai ahli Majlis Syura Khalifah di Madinah. [2]
KISAH 2 : UMAR R.A DAN HARTA GABENOR DAN PEGAWAINYA
Umar al-Khattab begitu tegas dan ketat dalam urusan kewangan negara, beliau juga amat ketat dalam meneliti pendapatan dan harta setiap gabenor dan pegawainya. Setiap pegawai yang dilantik akan diminta melakukan deklarasi harta, dan peningkatan hartanya akan disemak dengan begitu kerap. Jika peningkatan berlaku, Umar r.a akan mengambil separuh untuk baitul Mal dan dalam beberapa keadaan Umar r.a mengambil semuanya. [3] Selain itu, Umar r.a turt melakukan lawatan mengejut ke ruamh pegawainya bagi memastikan tiada pertambahan harta secara syubhah. [4]
Berikut beberapa kisah prihatinnya Umar r.a r.a :-
a- Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut
"Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu" [5]
b- Dalam satu keadaan lain, Sa'ad juga dilaporkan membina pagar di sekitar rumahnya ( di ketika itu amat jangkal rumah mempunyai pagar kecuali terlalu kaya), sehingga orang ramai menggelarkannya "ISTANA SA'AD". Dinyatakan bahawa Sa'ad membina agar itu kerana rumahnya berhampiran degan pasar dan amat bising, lalu dibinanya agar dapat menghalang sedikit kebisingan. Apabila berita sampai kepada Umar al-Khattab, beliau melihat mudarat pagar itu lebih besar dari manfaatnya, lalu dengan segera menghantar Muhammad bin Maslamah untuk membakar pagar tersebut.[6]
c- Umar r.a telah melantik Mujasha' bin Mas'od untuk beberapa tugasan, dan kemudiannya mendapat laporan isteri Mujasha' bernama al-Khudayra kerap membeli perabot baru dan hiasan dinding. Lalu Umar r.a menghantar surat kepada Mujasha' agar mengoyakkan semua hiasan dinding. Mujasha' menerima surat itu ketika bersama orang ramai, lalu dengan segera beliau mengarahkan isteri keluar lalu diminta orang ramai masuk ke rumah dan membantu mengoyak dan menurunkan semua hiasan dinding baru yang dibeli isterinya[7]. Sebenarnya, Umar r.a tahu ia dibeli dengan harta syubhah akibat jawatan Mujasha', kerana itu diarahkan sedemikian. Anda juga boleh melihat betapa kuatnya taat dan yakinnya para pegawai dengan keikhlasan dan kejujuran Umar r.a.
d- Umar r.a pernah melawat pegawai-pegawainya di Syria, dan kemudian Yazid Bin Abi Sufyan menjemputnya datang ke rumah, ketika Umar r.a memasuki rumah lalu dilihatnya penuh dengan hiasan dinding bergantungan. Umar r.a mula mengambilnya sambil berkata
"barang-barang ini boleh digunakan oleh rakyat jelata untuk melindungi diri mereka dari kesejukan dan panas" [8]
e- Umar r.a juga pernah mengambil beberapa bahagian harta adik beradik gabenornya dan pegawainya apabila hasil penyelidikannya mendapati keraguan. Contohnya seperti beliau mengambil sebahgian dari harta Abu Bakrah. Namun Abu Bakrah cuba membantah dengan mengatakan
"aku tidak pernah berkhidmat denganmu (sebagai pegawai kerajaan)"
Umar r.a menjawab
"Ya benar, tetapi adikmu berkhidmat sebagai penyelia Baitul Mal, dan dia telah memberikan beberapa pinjaman kepadamu agar kamu boleh berniaga dengannya" [9]
Kesimpulannya, semua tindakan Umar r.a ini tidaklah diambil secara sembrono, kisah ini hanyalah ringkasan sahaja, dan tindakan beliau semua bagi mengelakkan jawatan di jadikan PELUANG UNTUK MERAUT KEKAYAAN.
Ibn Taymiah mengulas beberapa tindakan Umar r.a tadi bagi membuang segala keraguan rakyat terhadap pendapatan para gabenor dan pegawainya, yang mungkin menjadi kebiasaan diberi hadiah oleh rakyat jelata disebabkan oleh jawatannya.[10]
KISAH 3 : KHALIFAH UMAR r.a DAN DENDA ANAKNYA
Abd Rahman bin Umar Al-Khattab, salah seorang anak Umar al-Khattab berada di Mesir dan dilaporkan telah melakukan kesalahan dengan meminum arak. Beliau kemudiannya meminta Amru bin Al-‘As untuk melaksanakan hukuman ke atasnya.
Namun Amru al-‘as r.a merasa serba salah kerana ia adalah anak khlaifah lalu menjatuhkan hukuman secara sedikit berbeza iaitu mencukur kepalanya dan ia disebat secara tertutup di dalam rumahnya. Sepaptunya prosedur di ketika itu adalah hukuman minum arak mestilah dicukur dan disebat pada waktu yang sama di hadapan khalayak ramai.
Peristiwa ini bocor kepada Umar r.a lalu beliau menghantar surat yang antara lainnya menyebut :-
"engkau telah menyebat dan mencukur Abd Rahman di dalam rumahmu dan KAMU TAHU IA BERTENTANGAN DENGAN APA YANG AKU HARAPKAN (hukuman seperti orang lain), ...Abd Rahman adalah salah seorang warga di bawah tanggungjawabku (DI AKHIRAT), dan kamu beralasan dengan mengatakannya adalah anak Khalifah sedangkan kamu tahu aku TIDAK SESEKALI BERKOMPROMI dengan sesiapapun dalam melaksanakan amanah terhadap Allah swt" [11]
KISAH 4 : KHALIFAH UMAR r.a DAN KHALID IBN WALID r.a
Khalid Ibn Waled, yang terkenal sebagai ‘pedang islam' dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Umar r.a al-Khattab, iaitu pada tahun 13 Hijrah sejurus selepas Umar r.a dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah.[12] Namun kedua-dua peristiwa ini bukan kerana Khalid tidak baik dan bermasalah, Namun ia adalah dari sebab berikut [13] :-
a- Menjaga keyakinan umat Islam terhadap Allah, ia jelas dari surat umum yang dihantar Umar r.a kepada umat Islam memberitahu agar mereka tidak terlalu ‘attached' dengan Khalid sehingga tersilap sangka kemenangan Islam disebabkan oleh kehandalan Khalid dan bukan kerana bantuan Allah swt.
b- Pentadbiran ; iaitu dalam urusan dan keputusan pembahagian harta.
c- Pentadbiran : Umar r.a inginkan keteletian dan laporan berterusan dari setiap pegawainya, namun Khalid inginkan pentabdiran yang bebeas dari penelitian sentiasa oleh Khalifah.
Di waktu Khalid dipecat dari jawatannya sebagai gabenor di Syria, belia berkata :-
"Amir al-Mukminin (Umar r.a) melantik aku sebagai gabenor dan setelah urusan menjadi licin dan lancer, beliau melucutkan jawatanku"
Lalu seorang lelaki berkata : "Sabarlah wahai ketua, ia waktu untuk bermulanya fitnah"
Kahlid membalas :
"selagi anak Al-Khattab ini hidup, selagi itu TIADA RUANG FITNAH untuk berlaku" [14]
Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar r.a walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar r.a adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.
Di ketika Khalid r.a hampir wafat (beliau wafat pada 21 H), beliau berkata kepada Abu Darda r.a,
"Wahai Abu Darda, bila Umar r.a al-Khattab r.a wafat kelak, kamu akan dapati sesuatu yang kamu benci berlaku"
Dan berkata lagi sambil mengelap air matanya:
"Aku memang merasa sedikit kecewa dengan beliau dalam sesetengah isu, tetapi setelah aku fikrikan kembali berkenaannya di ketika aku sakit ini, aku menyedari bahawa Umar r.a Al-Khattab r.a melakukannya dengan ikhlas dan hanya mengharapkan rahmat Allah dari setiap tindakannya"[15]
Khalid juga melantik Umar r.a sebagai waasi (pengurus harta pusakanya), ketika Umar r.a al-Khattab menrima surat wasiat itu, beliau turut menangis.
Cuba kita bayangkan ketegasan Umar al-Khattab r.a tersebut dan bagaimana tingginya taqwa beliau dan juga para sahabat yang bersamanya. Mengapa mereka tidak melenting akibat diambil sebahagian harta dan sebagainya?. Kerana Umar sendiri mengambil hartanya untuk umat Islam, dan beliau tidak makan daging sehingga semua orang miskin di bawah pentadbirannya makan terlebih dahulu.
Cuba pula kita membandingkan kehidupan para pemimpin di sekeliling kita hari ini. Bagaimana mereka jika berada di bawah pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab r.a.. Sesungguhnya wahai Umar al-faruq kami merinduimu pemerintahanmu..

Jumaat, 10 Julai 2009

Wajahnya Muslim, Juadahnya ?

Setiap orang menanggung dosa masing-masing, tiada sesiapa dibebankan dengan dosa orang lain. Itu adalah prinsip asas yang wujud di dalam Islam berdasarkan firman Allah swt : -
Dan tidaklah seorang membuat dosa melainkan kemudaratannya kembali kepada dirinya sendiri; dan seorang yang berdosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kemudian kepada Tuhanmulah kamu kembali, dan akan diberitakan-Nya kepadamu apa yang kamu perselisihkan ( Al-An'am : 164 )
Imam Al-Qurtubi menjelaskan[1], ketiadaan kaitan ini hanya dari sudut dosa di akhirat, mankala di dunia, orang yang tidak melakukan dosa masih terdedah kepada azab yang dikenakan ke atas pelaku dosa. Ia berdalilkan kepada ayat dari Surah Al-Anfaal : 25 iaitu :-
"Dan peliharalah dirimu daripada siksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim sahaja di kalanganmu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya"
TERIMA HADIAH DAN TANGGUNGJAWAB
"ustaz, saya ada terima hadiah aiskrim dari seorang rakan, tapi sebab saya baru sampai UK, dan tak tahu apa jenama dan kandungan yang halal, saya hanya bergantung kepada dia, boleh tak ustaz?" soal seorang pelajar di United Kingdom
"Ye la, tak kanlah dia nak bagi saya aiskrim ada babi pulak kan" tambahnya lagi sebelum sempat saya memberikan buah fikiran.
"Jika demikian, enta boleh makan aiskrim itu" jawab saya ringkas.
"Tak perlu baca ingredients ke ustaz?"
"Dah tadi anta kata, tak tahu apa yang halal, begini, kalau reti, bacalah dan buat penilaian ikut ilmu serta keyakinan sendiri, jika tiada mampu bergantung sahaja kepada penilaian rakan yang beri tu"
"Perlu tidak saya tanya dia direct,contohnya saya tanya "ni halal ke"?" katanya meminta penjelasan lanjut.
"Dua-dua boleh, nak tanya boleh, tidak tanya pun boleh juga, yang mesti adalah baca bismillah sebelum makan" saya menerangkan, cadangan itu berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w menerima daging dari seorang yang tidak dapat dipastikan sama ada ia disembelih atau tidak, maka diajar oleh Nabi untuk membaca basmalah.
"Kalau rasa kawan tu betul-betul rapat, sudut budaya dan adab pun ok, boleh ajukan pertanyaan, tapi kalau rasa ia sampai boleh menggugat hubungan persaudaraan, senyap saja dan balik semak sendiri dan buat keputusan, saya sendiri pernah simpan hadiah sekotak aiskrim yang orang bagi, akhirnya kami buang kerana tidak yakin, walaupun yang memberi tu rakan Islam juga" tambah saya lagi
MEMANG KERAP
Memang benar, bukan sesekali malah dalam banyak keadaan, kita tidak mampu untuk sentiasa meneliti dan menyemak segala-galanya, khususnya di dalam hal makanan.
Ketika kita memesan makanan di sebuah restoran milik orang Islam, adakah kita pasti ayam, daging lembu yang digunakan untuk menyiapkan hidangan adalah halal?.
Adakah kita dituntut untuk menyelidiki dan bertanya setiap masa, setiap kali? Bagaimana pula jika semasa memilih makanan di bazaar Ramadhan. Adakah semuanya halal ? atau adakah mencukupi hanya bergantung kepada bangsa atau agama penjual? Jika Islam, adakah secara automatic makanannya juga halal ? Bagaimana pula jika penjual itu berbangsa Melayu, adakah secara automatik dia juga Islam dan makanannya halal ? Begitukah sifirnya?
Jawapan yang ideal namun kurang praktikal adalah :
Semua tidak halal kecuali setelah yakin melalui kajian, semua bahan yang digunakan adalah halal.
Memberi jawapan sedemikian memang mudah, namun pelaksanaannya kurang dimampui. Islam tidak diturunkan untuk menyusahkan, namun begitu sebahagian hukum Islam ada yang dirasai sukar, bertujuan menguji sejauh mana keimanan umat Islam terhadap larangan dan suruhan Allah swt.
Pun begitu, semua arahan dan larangan yang dituntut oleh Islam, masih berada di dalam ruang lingkup kemampuan manusia biasa. Tiada arahan yang tidak dimampui oleh tenaga manusia, sebagai contoh wajib sebulan sekali solat di angkasa, puasa mestilah 48 jam berturut-turut tanpa makan dan minum.
Tiada di dalam Islam tuntutan sedemikian. Firman Allah swt : -
Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. ( Al-Baqarah : 286 )
Atas alasan ini, jawapan kepada pelbagai persoalan di atas adalah :-
Semua penjual Islam WAJIB bertanggungjawab menjual barang yang halal sahaja. Oleh itu,
Jika dijual ayam : Wajib dipastikan diambil ayam tersebut dari pembekal yang diyakini melaksanakan proses sembelihan yang sempurna.
Jika buka restoran : wajib dipastikan ayam, daging dan lain-lain bahan mentah yang dibeli adalah halal, dari pembekal yang halal.
Jika buka gerai : wajib bertanggungjawab di hadapan Allah swt akan semua hidangan atau juadah yang dijual. Semuanya menggunakan bahan yang halal dan diadun tanpa sebarang kandungan haram seperti arak dan sepertinya.
Jika beri hadiah : Wajib bertanggungjawab bahawa hadiah makanan yang diberi, adalah makanan yang halal, telah dipastikan melalui ilmu, ia tidak mengandungi kandungan haram.
Jika buat kenduri, rumah terbuka, jamuan : Wajib bertanggungjawab memastikan semua juadah adalah dari bahan halal, jika caterer yang menyediakan, wajib tuan rumah memastikan caterer bertanggungjawab ke atas perkara tersebut.

Semua pemberi hadiah, penjual makanan dan minuman, penjemput ke majlis dan pembekal memastikan bahan yang mereka sedia dan beri adalah HALAL. Tanggungjawab HALAL tergantung di atas bahu mereka, tiada cop halal JAKIM bagi sepinggan mee mamak, semangkuk mee bandung dan tom yom, secucuk satay dan ayam percik. HALALnya bergantung kepada si penjual dan mereka yang menghidang (jika kenduri).
Saya fikir amat PENTING untuk diingatkan para penjual, pemberi, penjemput, penjamu dan sebagainya berkenaan tanggungjawab mereka ini. Kerana umat Islam sememangnya tidak mampu untuk bertanya dan menyelidiki setiap satu hal di atas.
Saya sebenarnya merasa sedikit bimbang, apabila umat Islam pada ketikanya kelihatan bergantung sepenuhnya kepada bangsa. Jika restoran dilihat dilayan oleh Melayu, tanpa ragu dan bimbang lagi, diyakini semua hidangannya adalah halal. Sebenarnya, ramai Melayu dan Mamak yang bukan lagi Islam, ramai juga peniaga Melayu dan Mamak yang tersangat ambil mudah bab halal, sehingga ada kemungkinan mereka ingin menjimatkan kos dengan membeli ayam bangkai (tidak sembelih yang lebih murah) untuk restorannya, untuk kedai ayam perciknya, untuk jualan di kedai sataynya dan sebagainya.

Kembali Kepada Asal


Sekumpulan pekerja yang bekerja membuat suatu acuan.. lama kelamaan jika tidak dipantau atau tidak dibaharui gerak kerja tersebut oleh mereka sendiri ataupun ketuanya, nescaya ia akan lari dari tujuan asal ataupun acuan tersebut akan berubah bentuk, saiz mahupun berat. Dan menghasilkan satu produk yang tidak menepati spesifikasi yang dikehendaki. Ini menunjukkan lamanya tempoh masa suatu kerja yang dibuat, belum tentu ia tepat dan mengikut kehendak ketua atau organisasinya. Begitu juga dalam Islam, lamanya ibadah atau amalan yang kita lakukan yang diajar sejak turun temurun belum tentu ia menepati kehendak Allah dan RasulNya. Kerana itulah pentingnya seorang insan jika mengembara menyelusuri liku-liku kehidupan, gelora hidup dan cabaran akan menjumpai satu titik yang memerlukannya kembali kepada panduan dan prinsip hidup yang asal supaya tidak leka dan lari dari matlamat asal kehidupan.


Dalam Islam, semua ibadah mestilah merujuk kembali kepada ibadah yang asal, ibadah yang dikehendaki oleh Allah S.W.T yang telah diwahyukan kepada Rasulullah S.A.W. Rujukan yang terbesar umat Islam sudah tentulah al-Quran dan hadis yang sahih. Cara beragama pula mestilah berdasarkan ataupun menghampiri cara beragama yang dilakukan oleh Rasulullah, Sahabat dan generasi awal Islam. Kembali kepada Islam yang asal dengan berpegang dengan al-Quran dan as-Sunnah akan menjamin kehidupan seseorang di dunia dan akhirat. Seruan kembali kepada Islam yang asal ini dinamakan dengan seruan tajdid. Iaitu seruan ataupun gerakan pembaharuan dalam agama untuk merujuk kedua sumber agung tersebut.
Mungkin ramai yang masih hanyut dibuai kemewahan dunia, masih mencari-cari pegangan hidup, masih terumbang ambing pendirian tetapi iman tetap ada di dalam hati walaupun sebesar sebiji zarah. Kepada mereka, kembalilah kepada Islam. Islam adalah agama rahmat. Mungkin seruan kembali kepada Islam sering didengari di semua tempat tidak kira di ceramah-ceramah, forum perdana, radio, television atau sebagainya. Namun, seruan Islam tidak mungkin dapat dicapai jika tidak kembali kepada seruan Islam yang bersifat hidup, Islam yang tulen, Islam yang asal. Dengan inilah, antara golongan yang paling selamat adalah mereka yang kembali kepada Islam bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah dengan pemahaman generasi salafussoleh. Kerana jika dilihat sekarang ini,semua golongan atau puak dalam Islam sering melaungkan slogan kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah. Tetapi, kita perlu sedar kesemua pemahaman terhadap al-Quran dan as-Sunnah ini boleh terdedah kepada kesilapan tetapi tidak jika kita mengambilnya dengan pemahaman salafussoleh. Generasi inilah yang diberkati dan dirahmati oleh Allah serta berada dalam zaman kegemilangan Islam.
Hidayah dan rahmat Allah itu banyak dan luas, ramai yang memperkatakan hidayah itu adalah keinsafan untuk kembali beribadat atau mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. Namun skop hidayah ini sebenarnya terlalu umum. Orang yang tidak berilmu misalnya, mereka mendapat hidayah ilmu yang benar, orang yang mempunyai sifat takabur dan ujub, mendapat hidayah dengan menyedari dan membuang sikap tersebut. Juga hidayah berlaku kepada mereka yang hidup dalam Islam, dan beroleh hidayah untuk hidup dalam Islam yang sebenar yang penuh kerahmatan. Bukan sekadar hidup dalam Islam yang bersifat awan-awangan.
Seruan pembaharuan yang negara kita dilihat mengasak-asak. Mereka yang jumud ataupun dari golongan konservatif pastinya memandang pembaharuan ini adalah suatu yang akan menyebabkan perpecahan umat Islam. Mereka pasti menentang habis-habisan terhadap seruan ini. Maka, berbagai tohmahan, cacian dilemparkan kepada mereka yang terlibat dalam gerakan pembaharuan dicampuri dengan sifat hasad dan hawa nafsu serta takut kehilangan kuasa. Sedarlah bahawa gerakan pembaharuan untuk beragama mengikut al-Quran dan as-Sunnah adalah pembaharuan yang bersifat keseluruhan. Kerana pembaharuan ini adalah pembaharuan yang menyeru kepada Islam yang tulen. Islam merupakan agama fitrah yang suci dan merangkumi kesemua aspek kehidupan samaada dalam politik, ekonomi, muamalat, ibadah dan sebagainya. Oleh itu, marilah sama-sama kita balik kepada yang asal. Balik kepada Islam yang tidak ditokoh tambah. Kerana dengan Islam yang tulen itu, kerahmatan dan kegemilangan tamadun dapat dicapai.

Manfaatkan Teknologi Terkini




Dunia IT sekarang sangat berbeza dari dahulu, jika dahulu komputer dan internet ibarat satu aksesori untuk orang-orang mewah sahaja, tetapi kini zaman telah berubah. Boleh dikatakan kebanyakan orang sudah tahu menggunakan internet. Perkara-perkara ‘bida’ah’ dalam teknologi sangat cepat membangun dengan pesat. Itulah aspek keduniaan, manakala Islam pula ia adalah satu agama yang sesuai dengan tuntutan zaman. Demikian juga para dai’e atau pendakwah sibuk memikiran dan merancang kertas kerja bagaimana dakwah Islam dan seruan kembali kepada Islam yang tulen ini sampai kepada masyarat sesuai dengan zaman yang serba canggih ini.
Tetapi ramai diantara masyarat kita terlepas pandang terhadap fungsi, kebaikan dan keburukan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya terhadap blog atau laman web. Ramai diluar sana yang menggunakan blog untuk berniaga, berkongsi ilmu, motivasi, memaparkan kisah-kisah peribadi dan luahan hati. Malah ada juga mereka dari golongan para pencaci dan penfitnah dengan mudah menjual maruah orang lain dengan memburukkan orang di dalam blog mereka. Ini sering berlaku kepada sesetengah puak yang mementingkan parti mereka, kumpulan mereka atau ajaran mereka yang mereka pegang. Secara tidak sedar ia akan menimbulkan keburukan kepada golongan tersebut. Bayangkan seorang blogger yang banyak membawa keburukan dengan fitnah terhadap orang lain dan meninggal dunia tanpa sempat bertaubat, saban hari blognya di baca oleh pengunjung, apakah kebaikanya yang boleh diambil lagi. Sama juga dengan sesetengah golongan yang tanpa rasa malu pun meletakkan gambar-gambar mereka yang tidak wajar ditayangkan atau untuk dikongsi yang hanya menunjukkan rendahnya harga diri mereka. Kita minta dijauhkan dari itu semua
Marilah kita memikirkan sejenak terhadap apa yang boleh di kita sumbangkan kepada umat Islam, kepada masyarakat umumnya, supaya masyarakat dapat mengambil manfaat walaupun hanya sepotong ayat dari bahan atau ruang yang kita sediakan. Bayangkan satu orang penulis yang menulis cetusan idea-idea bernas dan segar, ilmu yang menjadi bahan tatapan masyarakat kita dan mereka mengambil manfaat darinya, tidakkah ia juga salah satu daripada amalan yang perlu dibawa ke dalam liang lahad nanti?
Firman Allah yang bermaksud: “Maka berlomba-lombalah kamu dalam berbuat kebaikan” (Al-Baqarah :148).FirmanNya juga: “Dan perbuatlah kebajikan, supaya kamu mendapat kemenangan” (AL-Hajj : 77)
Oleh itu pergunakanlah sebaik-baiknya apa juga medium yang ada pada masa ini, terutamanya bagi mereka yang hendak menegakkan kebenaran dan menegakkan agama Allah S.W.T dan sunnah Nabi Muhammad S.A.W yang bersendikan kefahaman al-Salaf al-Saleh. Rancanglah sebaik-baiknya strategi supaya dakwah ini sampai kepada masyarakat.

Artis bukannya Idola

Melihat kepada perkembangan dunia hiburan di Malaysia ini, tidak dapat dinafikan bahawa hiburan di negara kita boleh dikatakan berada pada tahap yang amat ‘memberangsangkan’. Manakah tidaknya, muda mudi sekarang di dalam minda mereka hanya artis itu dan ini, gaya pakaian artis, apa artis buat, perangai artis dan sebagainya. Perbualan harian pun berkisar tentang hiburan dan artis. Jauh sekali memikirkan atau membincangkan mengenai Al-Quran, hadis, akhlak, ulama’, kepimpinan, perjuangan dan islah.
Manakala media pula seakan-akan berlumba-lumba untuk mencari lebih banyak liputan, siaran langsung berkenaan dengan hiburan artis yang bagi mereka boleh menaikkan populariti dan keuntungan semata-mata tanpa mengambil kira perkara yang lebih penting untuk di masukkan dalam slot mereka. Akibatnya, dunia hiburan berada bukan ditempatnya. Atau dengan erti kata lain dunia hiburan berada di tempat paling utama di hati muda-mudi kita. Sehinggakan lauk pauk mereka hanyalah hiburan, artis, dan sebagainya. Mereka bagaikan tiada arah tujuan hidup, mahu berhibur semata-mata.
Tanyalah kepada mereka yang terlalu taksub dengan hiburan, semestinya mereka akan katakan ‘ala muda-muda ni enjoy la dulu, nanti tua taubat la‘, ataupun dengan kata-kata yang lebih enak mereka katakan ‘ ala hiburan je..hidup perlukan hiburan‘. Maka kita katakan ya, hidup memerlukan hiburan bagi kebanyakan orang, tetapi biarlah berpada-pada. Islam adalah sebuah agama yang syumul, dan bukanlah ia satu agama yang jumud sehingga melarang hiburan. Dalam hadis Nabi S.A.W,
“Dari Aisyah r.a, bahawa ketika dia menghantar pengantin perempuan ke tempat laki-laki Ansar, maka Nabi bertanya: Hai Aisyah! Apakah mereka ini disertai dengan suatu hiburan? Sebab orang-orang Ansar gemar sekali terhadap hiburan.” (Riwayat Bukhari)
Dan banyak lagi hadis-hadis shahih yang boleh diambil dalam menentukan bentuk hiburan yang dibolehkan. Lihatlah betapa Islam membolehkan hiburan, tetapi mestilah berdasarkan syariat dan batasan yang ditetapkan.
Begitu juga contoh-contoh hiburan yang tidak boleh dan dijatuhkan haram atau makruh oleh ulama’ seperti Dr Yusof Qardhawi didalam kitabnya, Halal dan Haram dalam Islam:
“Di antara yang sudah disepakati, bahwa nyanyian yang disertai dengan perbuatan-perbuatan haram lainnya seperti: di persidangan arak, dicampur dengan perbuatan cabul dan maksiat, maka di sinilah yang oleh Rasulullah s.a.w. pelakunya, dan pendengarnya diancam dengan siksaan yang sangat, yaitu sebagaimana sabda beliau:
“Sungguh akan ada beberapa orang dari ummatku yang minum arak, mereka namakan dengan nama lain, kepala mereka itu bisa dilalaikan dengan bunyi-bunyian dan nyanyian-nyanyian, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu kedalam bumi dan akan menjadikan mereka itu seperti kera dan babi.” (Riwayat Ibnu Majah)
Bukan merupakan kelaziman kalau mereka itu dirombak bentuk dan potongannya, tetapi apa yang dimaksud dirombak jiwanya dan rohnya. Bentuknya bentuk manusia tetapi jiwanya, jiwa kera dan rohnya roh babi”. (Halal dan Haram dalam Islam: Dr Yusof Qardhawi, Alih bahasa: H. Mu’ammal Hamidy, PT. Bina Ilmu, 1993)
Hiburan yang ditonjolkan bukanlah melambangkan kemajuan dan ketamadunan sesuatu zaman. Walaupun lirik dan suasana telah berubah, orang pada zaman dahulu yang jahil pun tahu menyanyi dan menari. Sama juga dengan perbuatan artis yang menanggalkan pakaian di khalayak ramai. Jika dibandingkan dengan orang jahiliyah zaman dahulu dengan hiburan yang ada sekarang langsung tiada perbezaan. Hiburan yang sebegitu hanya melambangkan kebodohan dan kejahilan terhadap kaum tersebut. Langsung tidak melambangkan ciri-ciri khalifah di bumi yang sepatutnya matang serta berakhlak.
Jika ditanya kepada mereka, apakah akhirnya yang anda dapat jika anda terlalu mengikuti hiburan dan gaya hidup artis? Tentu mereka diam. Mereka sebenarnya tahu ia tiada hala tuju, tidak mendapat apa-apa manfaat pun akhirnya, tetapi hati mereka dilalaikan oleh hiburan atas alasan memenuhi jiwa mereka.
Ada juga mereka yang tidak peduli langsung tentang hiburan, bagi mereka hiburan bukanlah dari hidup mereka. Mereka tiada masa dengan hiburan, bagi mereka hiburan ini merugikan masa serta tidak menguntungkan. Ini bermakna hiburan bukanlah kemestian yang ada pada seseorang. Jika dilihat kehidupan para sahabat, tabien dan generasi awal Islam, langsung hiburan tidak menerjah di hati mereka. Mereka ada lebih banyak agenda dan perjuangan untuk Islam kerana mereka lebih mengetahui dan merasai balasan Allah S.W.T kepada mereka di kehidupan dunia dan akhirat. Bagi para sahabat Nabi, dunia ini hanyalah di hujung jari mereka, tetapi akhirat di hati mereka. Pada waktu itulah tamadun Islam dapat berkembang dengan pesat. Kerana mereka tahu tujuan dan perjuangan sebenar yang perlu mereka lalui.
Oleh itu, marilah kita melakukan islah, hidup kita bukan untuk hiburan. Golongan muda-mudi sekarang yang akan menjadi pemimpin di masa depan, anda mempunyai banyak tanggungjawab, perjuangan kepada umat Islam, kepada agama dan rakyat. Janganlah terikut-ikut dengan rentak hiburan yang ada di negara kita mahupun diluar negara. Anda tiada masa dengan hal-hal yang melalaikan serta tidak memberi faedah ini. Media juga perlu peka terhadapat isu-isu umat dan kemunduran sesebuah negara disebabkan hiburan semata-mata. Janganlah menonjolkan seolah-olah negara kita agenda yang paling utama adalah industri hiburan. Hiburan itu boleh, tetapi biarlah berpada dan bukan satu keutamaan kerana banyak lagi masalah dan perjuangan serta agenda umat yang perlu dilaksanakan.

Khamis, 9 Julai 2009

Ibadat hanya sempurna dengan Sunnah

Ibadat hanya sempurna dengan SunnahOleh Idris MusaUMAT Islam dinasihatkan berpegang teguh dengan sunnah Nabi Muhammad s.a.w jika mahu mendapatkan kesempurnaan beribadat dan tidak terpedaya dengan dakyah pihak tertentu yang memperkecilkannya.Pensyarah Jabatan Al-Quran dan Sunnah, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Fauzi Deraman, berkata sunnah memainkan peranan penting kerana ia memberikan penjelasan terhadap ayat al-Quran.Menurutnya, jika tidak kerana sunnah Nabi Muhammad banyak perkara dalam Islam tidak dapat dilaksanakan."Contohnya seorang Muslim tidak dapat mengetahui waktu dan bilangan rakaat solat jika tidak ditentukan sunnah."Begitu juga dengan cara melaksanakan haji, tiada dalam al-Quran secara terperinci, tetapi diterangkan Rasulullah," katanya pada ceramah sambutan Maulidur Rasul di surau The New Straits Times Press (NSTP) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.Dr Fauzi berkata, bagi pihak yang mendakwa hanya perlu berpegang kepada al-Quran dan meninggalkan sunnah sudah tentu gagal melaksanakan ajaran Islam dengan sempurna kerana tidak mengetahui cara untuk beribadat. Justeru, katanya, sudah semestinya setiap individu Muslim mengikuti Nabi Muhammad supaya kehidupan beribadat lebih sempurna.Menurutnya, untuk mengikuti Nabi Muhammad sekali gus menjadi umat yang berjaya, setiap orang mesti menepati panduan seperti dibangunkan baginda yang membabitkan semua aspek."Pertama, setiap individu kena ada iman atau akidah, kerana apabila tidak ada iman, amalan akan tertolak walaupun beribadat dan bersolat begitu hebat. Aspek ini kena jelas bagi mengelakkan pelbagai masalah. "Tauhid itu senang dan iman itu mudah. Kata seorang ulama kontemporari, iman dalam Islam mudah iaitu beriman pada Allah."Macam mana? Tengoklah biodata Allah seperti diterangkan dalam al-Quran. Misalnya melalui surah al-Ikhlas iaitu surah paling terkenal dan paling pendek, menceritakan mengenai diri Allah."Satu lagi ayat yang popular ialah ayat Kursi. Apabila kita faham ayat yang menceritakan mengenai diri Tuhan itu, kenallah kita terhadap Tuhan," katanya.Beliau berkata, ilmu yang betul juga amat penting terutama membabitkan elemen halal dan haram, syurga dan neraka."Ilmu yang dipelajari dan dimiliki juga mesti bersepadu dan seimbang supaya seseorang manusia itu tidak hanyut," katanya.Beliau melahirkan dukacita terhadap sesetengah remaja yang cemerlang dalam akademik sehingga mendapat pujian dan sebutan ramai, tetapi tidak pada keperibadian, malah hancur nilai akhlaknya.Dalam usaha meletakkan diri dan masyarakat menjadi cemerlang, katanya, umat Islam juga perlu mementingkan harta dan kekayaan."Aset, modal dan kekayaan juga perlu. Kaya penting dan dengan sebab itu sahabat nabi ramai yang kaya. "Tetapi apabila ada harta, kenalah membelanjakannya pada jalan yang betul kerana setiap antara kita akan ditanya, ke mana harta dibelanjakan," katanya.

Mengumpat, antara yang diharuskan dan di haramkan

Sebagaimana Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: “Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya. Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat” (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad). Lihatlah betapa besarnya dosa orang yang mengumpat. Ringan di mulut, berat timbangannya di akhirat. Yakni ringan sahaja untuk kita mengumpat, tetapi dosa itu teramat berat dan besar di sisi Allah. Perkara ini terlalu biasa bagi kita sehingga tidak sedar akan dosa-dosa dari perbuatan mengumpat.
Pun begitu, di dalam Islam terdapat perkara-perkara yang mengharuskan atau membolehkan kita untuk mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain. Sebagaimana terdapat di dalam beberapa hadis dengan huraian yang jelas dan dapat difahami di dalam kitab-kitab muktabar seperti Riyadhus Salihin karangan Imam Nawawi. Apakah jenis mengumpat yang dibolehkan dan apakah disiplin-disiplin serta prinsip yang membolehkan seseorang itu mengumpat dengan maksud yang dibolehkan oleh syarak. Disiplin-disiplin inilah yang mesti ditekankan secara terperinci sebelum seseorang itu mendedahkan kesalahan orang lain yang mana ia akan dipertanggungjawabkan dan akan dibicarakan di mahkamah Allah pada hari akhirat kelak.
Perkara pertama yang perlu ditekankan adalah adakah dengan perbuatan mendedahkan kesalahan orang lain ini boleh menyebabkan orang lain berhati-hati atau boleh menyebabkan orang lain berjaga-jaga daripada keburukan yang dibawa oleh orang yang didedahkan keburukan tersebut? Jika ini berlaku, maka ia dibolehkan. Contohnya, jika kaum tertentu mempunyai sikap yang tidak elok seperti suka memukul orang lain, tidak menjaga harta benda orang lain, suka memaki hamun, maka kita dibenarkan menyatakan keburukan kaum tersebut kepada orang lain agar lebih berhati-hati terhadap mereka. Demi untuk menjaga kebajikan dan kemaslahatan di pihak yang lain.
Tetapi, jika perbuatan mendedahkan kesalahan seseorang boleh menyebabkan orang lain memandang rendah kepada orang yang kita dedahkan kesalahannya, memperlekehkannya, mentertawakannya, mengejek serta menghinanya, maka ia adalah mengumpat yang termasuk di dalam perkara haram. Mengumpat disini bukanlah untuk kemaslahatan orang lain, tetapi hanya suka-suka ataupun niat yang buruk dan sikap yang berlebih-lebihan. Inilah yang ditekankan oleh Allah di dalam Quran yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan buruksangka (kecurigaan), karena sebagian dari buruksangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah menggunjingkan satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.(QS 49:12)
Justeru itu, sasaran ataupun tujuan untuk mendedahkan kesalahan orang itu perlu jelas dan mempunyai matlamat yang dibenarkan. Niat seseorang itu mestilah betul dan ikhlas dalam memperkatakan keburukan seseorang itu. Yakni yang boleh memudaratkan orang ramai jika tidak diperkatakan. Bukanlah dengan niat mendapatkan pangkat, kuasa, wang mahupun kerusi politik. Tetapi niat tersebut hanyalah untuk mengelakkan penderitaan atau untuk kemaslahatan orang lain semata-mata. Mereka-mereka yang dizalimi juga dibenarkan untuk memberitahu kesalahan orang yang menzaliminya kepada orang lain agar pembelaan yang adil dapat dilakukan sebagaimana dalam firman Allah dalam Al-Quran: Allah tidak menyukai ucapan buruk, (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (QS 4:148)
Perkara kedua yang perlu ditekankan dan yang paling penting adalah kesahihan sesuatu maklumat. Keburukan atau benda yang tidak baik yang hendak dinyatakan itu mestilah benar dan sahih semata-mata. Jika tidak, ia akan jatuh ke lembah fitnah. Apabila Islam mengharuskan orang untuk menyatakan keburukan orang lain, orang yang tidak faham atau kurang ilmu serta tidak bertanggungjawab akan mudah menggunakan alasan ini untuk mengumpat. Perbuatan ini lebih menjurus kepada memporak perandakan orang ramai daripada mengundang kebaikan dan keadilan. Dua dosa diperolehi walaupun bermula dengan niat baik iaitu hanyalah untuk mengelakkan penderitaan atau kemaslahatan orang ramai.
Jalan yang paling selamat, adalah jika sesuatu berita itu masih samar-samar dan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Jangan terus menyebarkan berita-berita tersebut kerana bimbang tidak berada di pihak yang benar. Islam amat menekankan supaya kita berhati-hati terhadap berita-berita yang dibawa oleh kaum fasik. Islam juga amat menititberatkan dan menyuruh kita menyemak dan mengkaji dahulu berita-berita yang kita terima. Allah menjelaskan di dalam Al-Quran yang bermaksud: Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu. (QS 49:6)
Walaupun mengumpat itu dibolehkah dengan syarat-syarat tertentu, tetapi dalil-dalil dan nas amat menitikberatkan supaya kita jangan mengumpat atau membuka aib sesama muslim. Juga jangan memikirkan, menilai dan mencari-cari kesalahan orang lain. Kita tidak diberikan hak untuk menilai dan mendedahkan aib atau maruah orang dan juga tidak diberi hak ukntuk menghukum. Kecuali dengan hukuman dari Allah samaada di dunia ataupun di akhirat. Tetapi jika ianya melibatkan masyarakat seperti membunuh, mencuri, merompak, rasuah dan sebagainya, perkara ini wajib kita dedahkan jika telah mempunyai bukti. Adapun yang melibatkan aib dan maruah seseorang yang tersembunyi, serahkan kepada Allah S.W.T. Kita tidak berhak menilai dan menghukum.
Justeru itu, jauhilah mengumpat dan berhati-hati dalam setiap perkara yang diperkatakan. Teliti dahulu apakah akibat, kesan sebelum dan selepas kita mendedahkan keburukan orang lain. Atas tiket Islam membenarkan mengumpat, akan jadi lah umat yang suka mengumpat jika tidak dikawal. Wujudlah suasana yang tidak harmoni dan kurang kasih sayang antara satu sama lain. Dengan tujuan-tujuan atau kepentingan yang tertentu, umpatan dibenarkan berleluasa. Maka, hentikanlah perbuatan mengumpat, memaki hamun, mencela dan sebagainya yang dilarang oleh Islam. Mengumpat itu boleh, tetapi teliti dahulu adakah umpatan itu tergolongan dalam umpatan yang dibenarkan atau diharamkan. Tepuklah dada, tanyalah Iman. Di pihak manakah kita dalam memperkatakan keburukan orang lain. Adakah harus, wajib, makruh atau haram? Jika tersilap, nerakalah tempatnya. Nauzubillah Himinzalik
Maka, janganlah mengumpat dan memperkatakan keburukan orang lain yang tidak izinkan syarak. Sabda Rasulullah S.A.W. “wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya, dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri” (Hadis riwayat Abu Daud

Rabu, 8 Julai 2009

Isra dan Mikraj

Majlis Sambutan Isra dan Mikraj Masjid Parit 4

Tarikh : 18/07/2009/25 Rejab 1430
Hari : Sabtu malam Ahad
Masa : Selepas solat isya
Penceramah : Ustaz Zainal Abidin Zulaiman
Kadhi Daerah Kuala Selangor

Muslimin muslimat dijemput hadir, Jangan kada datang, jamuan ada haja

Dalil Wajib Haji


Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Islam dibina atas lima rukun." Baginda s.a.w. menyebut di antaranya ialah ibadat Haji. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Tidak ada ganjaran bagi Ibadat Haji yang mabrur kecuali Syurga." Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesiapa yang mengerjakan ibadat Haji dan tidak sekali-kali menyetubuhi isterinya juga tidak melakukan maksiat nescaya dia kembali suci bersih sebagaimana hari dia dilahirkan." Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Wahai umatku semua, sesungguhnya Allah s.w.t. memfardhukan ibadat haji kepada kamu, oleh itu kamu hendaklah mengerjakan ibadat haji." Lalu seorang lelaki bertanya Baginda s.a.w.: "Adakah wajib dikerjakan pada setiap tahun, wahai Rasullullah?" Rasulullah s.a.w. hanya diam sehinggalah lelaki tersebut bertanya kali ketiga lantas Baginda s.a.w. menjawab: "Jika aku katakan ya, nescaya kamu wajib mengerjakan pada setiap tahun, oleh itu kerjakanlah ibadat haji ketika kamu berkemampuan."
Semua imam-imam bersependapat bahawa ibadat Haji adalah fardhu, malah ia adalah rukun Islam kelima dan ia juga fardhu yang perlu dikerjakan secepat mungkin.

Jumaat, 3 Julai 2009

Doa simpati dan kasih nabi kepada umatnya - Tafsir All-Maidah : 118 PDF Print E-mail



Firman Allah SWT yang maksudnya : "Aku tidak berupaya untuk melakukan apa sahaja yang dikehendaki, tetapi terpulang kepada Mu, wahai Tuhanku" (Al Maidah : 118).

Diriwayatkan dalam satu ahadis bahawa pada satu malam,. Rasulullah s.a.w bersembahyang dengan hanya membaca satu ayat ini sahaja iaitu firman Allah yang bermaksud "...Jika sekiranya Engkau menyeksa mereka sesungguhnya mereka adalah hamba Mu, dan jika sekiranya Engkau mengampunkan mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118).

Sepanjang malam itu Rasulullah s.a.w hanya membaca ayat ini sahaja pada setiap rakaat sembahyangnya. Diriwayatkan Nabi saw membaca ayat tersebut sehingga pada masa rukuk dan sujudnya, mengadu kepada Allah dengan membaca ayat ini.

Ayat ini bermaksud " jika sekiranya Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah : 118)

Diriwayatkan oleh Abdullah bin Amar bin Al-'As r.a bahawa Rasulullah s.a.w membaca ayat ini dan setelagh selesai sembahyang dia mengankat kedua-dua belah tangannya sambil berdoa kepada Allah dalam keadaan menangis, "Ya Allah Ya Tuhanku, umatku, umatku, umatku..."

Menyebut sepanjang doanya dengan kalimah itu mengadu kepada Allah sehingga Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.

Allahlah Yang Maha Mengetahui apa yang dilakukan oleh Nabi-Nya, bersimpati dengan umatnya sekaligus kasih kepada umatnya, lebih daripada ibu bapa sayang kepada anaknya.

Ibu Bapa sayang kepada anaknya hanya sekadar memberi makan dan minum serta pakaian di atas dunia ini sahaja.

Apabila mati, tidak diingat lagi. Adapun Nabi s.a.w sentiasa mengingati kepada umatnya sampai ke wafatnya dan sampai hari kiamat. Tetapi Allah lebih lagi daripada itu.

Berdoa sepanjang malam, setelah membaca ayat itu sepanjang malam, dan berdoa sambil mengadu tentang apa kesudahan umatnya, lalu Allah mengutuskan malaikat Jibril a.s.

Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad, tanyakanlah dia apakah yang menyebabkan engkau menangis wahai Muhammad.

Bagaimanapun Allah Maha Mengetahui tentang apa yang ada dalam diri Nabi s.a.w tetapi Allah tetap mengutuskan malaikat Jibrail untuk bertanyakan tentang perkara tersebut.

Rasulullah s.a.w memberitahu kepadanya bahawa baginda s.a.w mengadu kepada Allah berkenaan dengan umatnya supaya Allah menyelamatkan umatnya pada hari kiamat.

Lalu Allah berfirman yang bermaksud, "Wahai Jibrail, pergilah berjumpa dengan Muhammad dan katakan kepadanya, sesungguhnya Kami redha kepadamu dan ummatmu dan Kami tidak akan melakukan apa-apa perkara memudaratkan umatmu."

Diriwayatkan dalam satu hadis yang lain bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: "Diberitahu kepadaku bahawa seramai 70 000 di kalangan umatku masuk syurga dengan tiada hisab dan setiap orang daripada 70 000 ini diikuti oleh 70 000 orang yang lain, masuk syurga dengan tiada hisab."

Yakni diberi syafaat oleh 70 000 orang ini disamping syafaat Nabi saw yang diberikan kepada ummatnnya. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibu Kathir di dalam tafsirnya sebagai tambahan daripada hadis ini bahawa Allah memberi keistimewaan di mana Dia tidak akan memperlakukan keburukan kepada umat Muhammad.

Dengan syarat umat Muhammad itu mestilah menjaga dua kalimah syahadah, jangan membatalkan dua kalimah syahadah, jangan melakukan perkara yang membatalkan Islam, mestilah mengikut ajaran Nabi saw sebagaiman yang disabdakan oleh Nabi saw yang bermaksud, "peganglah dengan gigi geraham kamu."

Yakni ajaran Rasulullah saw itu bukan sahaja dipegang dengan tangan bahkan dipegang dengan gigi geraham (dengan kuat) tidak berganjak.

Tidak undur walaupun sedikit dari ajaran Nabi saw. Jika seseoarang itu mempunyai dosa, ada harapan mendapat syafaat Rasulullah saw serta mendapat rahmat yang diberi oleh Allah kepada umat Muhammad saw.